Jumaat, Mac 06, 2009

LAJIM GANTI TEMPAT SHAFIE AFDAL


Dengan bertandingnya Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal bagi jawatan Naib Presiden UMNO, maka ahli majlis tertinggi UMNO dari Sabah hanya tinggal Ketua Menteri seorang, Datuk Seri Musa Aman.

Oleh itu perwakilan UMNO Sabah sedang mencari seorang calon untuk mengisi kekosongan kerusi itu. Yang paling layak mengisinya sudah tentu Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajik Haji Okin.

Penulis mengenalinya sejak bekerja di Sabah lagi pada tahun 1989. Ketika itu beliau adalah ADUN dilantik dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang menjaga hal ehwal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Dua tahun kemudian, beliau menang kerusi DUN Klias dan dilantik menteri penuh dalam kabinet Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Pada tahun 1994, beliau mengejutkan rakyat Sabah apabila meninggalkan PBS dan menyertai UMNO.

Bersama Datuk Rubin Balang dan Datuk Haji Zaini, maka tindakan mereka bertiga menyebabkan kerajaan PBS tumbang di Sabah. Oleh itu jasa Lajim dalam membentuk kerajaan BN Sabah amat besar. Tanpa tindakan Lajim ini sudah tentu kerajaan PBS tidak tumbang lagi ketika itu.

Lajim pernah dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah dan pernah menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO buat kali pertama pada tahun 2000. Tetapi beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada tahun 2004. Kali ini beliau bertanding lagi atas kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau pernah juga disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Sabah setelah Tan Sri Chong Kah Kiat menamatkan tugasnya sebagai Ketua Menteri. Beliau tidak bernasib baik kerana jawatan itu diserahkan kepada Datuk Seri Musa Aman. Bagaimanapun Lajim dikekalkan sebagai menteri dalam kabinet Musa Aman.

Ramai bekas timbalan menteri pengangkutan menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO seperti Tan Sri Zaleha Ismail, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Datuk Seri Ali Rustam. Dapatkah Lajim mengikut jejak-langkah mereka? Hanya perwakilan yang tahu menjawabnya pada 25 Mac nanti.

Dengan 63 pencalonan dan ranking di tangga 28, beliau mampu menang. Kelebihan Lajim ialah beliau seorang timbalan menteri yang dapat menjelajah ke seluruh negara tanpa had sedangkan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dulu beliau tidak dapat menjelajah seorang negara begitu bebas kerana jawatannya hanya untuk rakyat Sabah. dalam pada itu beliau tetap menang kerusi majlis tertinggi pada tahun 2000.

Oleh itu peluang Lajim untuk menang sebagai wakil dari Sabah amat cerah. Semoga anak Bisaya ini dapat kembali semula ke majlis tertinggi UMNO. Insya Allah.