Selasa, Ogos 24, 2010

TIDAK MUSTAHIL ORANG CINA PERINTAH MALAYSIA KALAU MELAYU TIDAK BERSATU


Sudah tiba masanya semua orang Melayu tanpa mengira ideologi politik kembali bersatu.

Ia kerana perpecahan telah menyebabkan kaum lain berani mempertikaikan setiap keistimewaan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk berkaitan dengan Islam.

Malah, Presiden Protem Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, orang Melayu harus sedar bahawa perpecahan yang dialami itu juga boleh menjadi penyebab kepada jatuhnya Malaysia ke tangan orang lain.

Beliau berkata, sekiranya itu yang berlaku bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu, bahkan segala institusi Melayu serta Islam termasuk institusi raja akan terhapus.

‘‘Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat Malaysia diperintah oleh kaum selain Melayu. Apa akan jadi kepada agama Islam, raja kita. Bagaimana pula dengan nasib anak cucu kita apabila negara diperintah oleh orang lain.

‘‘Kita harus sedar di sebalik perpecahan orang Melayu, DAP, MCA dan Gerakan pula telah menampakkan penyatuan mereka. Ini yang amat membimbangkan saya kerana tidak mustahil Malaysia akan diperintah oleh mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin masyarakat Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berani menyentuh hak keistimewaan orang Melayu.

Terbaru, ucapan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ketika Kongres Ekonomi Cina Malaysia baru-baru ini yang antara lain meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Kamarudin berkata, atas sebab itu juga pihak majlis telah mengadakan satu persidangan meja bulat semalam dan ia turut dihadiri oleh 136 ahli gabungannya iaitu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Di dalam persidangan itu katanya, pihak majlis telah mengeluarkan satu resolusi dan antara intipatinya adalah menetapkan orang Melayu sama ada UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau yang tidak berparti supaya kembali bersatu.

‘‘Lupakan segala pertelingkahan dan persengketaan demi survival Islam dan orang Melayu. Kita wajib mempertahankan negara daripada diperintah oleh orang lain.

‘‘Resolusi turut mengutuk orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh kaum lain khasnya DAP sehingga mencemarkan kesucian agama serta menentang perlembagaan,’’ katanya.

Beliau berkata, resolusi turut mendesak kerajaan melaksanakan satu bahasa, satu budaya dan satu jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dalam usaha merealisasikan konsep 1Malaysia.

‘‘Kita juga telah menetapkan supaya kadar 30 peratus ekuiti untuk bumiputera dinaikkan kepada 67 peratus dalam semua sektor supaya ia sejajar dengan kadar populasi 67 peratus bumiputera di negara ini,’’ katanya.