Sabtu, Jun 15, 2019

MPM MASIH KEKAL DENGAN PENDIRIAN TUBUH RCI UNTUK ADIB


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Terlalu banyak kontroversi dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib.


Isu keterangan saksi pakar merupakan salah satu isu yang mengundang perbualan umum sehingga menjadi sesuatu yang kontroversi. Keterangan Prof Shahrom Abdul Wahid, menyatakan bahawa punca kecederaan Allahyarham Adib adalah kerana Allahyarham telah ditarik keluar dan dipukul.

Kenyataan ini bertentangan dengan keterangan saksi pakar forensik pihak pendakwaan , Dr Ahmad hafizam yang mengatakan Adib tidak dipukul dan keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang sedang mengundur. Dalam hal ini, kredibiliti pakar forensik tersebut telah dipersoalkan apabila beliau dilihat mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah. 

Terdapat juga isu Pejabat Peguam Negara yang telah memfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai. 

Dan pastinya isu penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili tiga pihak dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib juga telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Kemudian timbul pula dakwaan, ada pihak telah menghantar surat mengarahkan KPKT menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan kerana kononnya tindakan peguam berkenaan telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mewakili kerajaan.

Mengapakah tidak ada bantahan tentang isu itu sebelum ini? Kenapa isu ini hanya timbul pada akhir pendengaran? Dan sekiranya kedudukan peguam Syazlin Mansor yang mewakili tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, Bomba dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mewujudkan konflik berkepentingan, sepatutnya Peguam Negara telah mengambil tindakan lebih awal selaku penasihat kepada kerajaan dalam hal ini.


Kemudian baru-baru ini Peguam, Syazlin Mansor telah mengubah pendirian dengan mengumumkan akan terus mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam prosiding inkues kematian mangsa.

“Pada pandangan saya, ada cubaan untuk mengacau ganggu prosiding inkues ini terutamanya dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan saksi pakar,” begitu yang dinyatakan oleh Syazlin dalam sidang akhbar yang dianjurkan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di ibu pejabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) baru baru ini.Syazlin juga menyatakan rasa peliknya kerana isu perlantikannya dibangkitkan apabila dia mula menyoal teori pakar forensic patologi HKL dan membawa saksi pakar Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid untuk membantu inkues.


Apa yang pasti segala kontroversi yang terdapat dalam inkues ini akan menjejaskan kepercayaan awam terhadap keputusan inkues ini nanti. 

Disebabkan pelbagai isu dan kontroversi yang timbul ini, maka jangan salahkan rakyat jika ada yang membuat kesimpulan bahawa ini semua adalah satu konspirasi untuk menutup punca kematian sebenar Allahyarham Adib. Itu sebabnya isu ini perlu ditangani dengan berkesan agar integriti kehakiman dan perundangan di negara ini tidak dicalar. 
 
Dan sebagaimana yang pernah disarankan oleh pelbagai pihak, termasuklah dari Majlis Perundangan Melayu (MPM) , Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah sebaik baik kaedah dalam menangani isu kontroversi kematian Mohammad Adib ini .

Sekali lagi ditegaskan, RCI perlu ditubuhkan bukan hanya untuk menyiasat kematian anggota bomba terbabit, tetapi juga insiden rusuhan kuil tersebut.

Dalam hal ini, RCI sememangnya jalan terbaik untuk dijadikan sebagai kayu pengukur agar kejadian menyedihkan yang telah meragut nyawa ahli pasukan keselamatan negara tidak akan berulang pada masa hadapan.

MPM kekal dengan pendirian bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan hendaklah ditubuhkan bagi penyiasatan menyeluruh dilakukan keatas tragedi kematian Allahyarham Adib ini. Penubuhan Suruhanjaya ini adalah mengikut punca kuasa yang diberikan undang-undang berkaitan iaitu Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 atau Akta 119. Akta 119 ini merupakan undang-undang dibuat sebelum merdeka dan ia telah disemak semula pada tahun 1973.