Selasa, November 22, 2016

TERGUGATKAH UMNO DENGAN PELBAGAI PARTI BARU?

SEREMBAN, (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO 2016, pada penghujung bulan ini akan berlangsung dalam keadaan agak luar biasa apabila dua kerusi barisan kepimpinan utamanya kosong, ekoran masing-masing yang dipecat dan keluar parti.

Saban tahun perhimpunan agung parti terbesar yang dianggotai 3.5 juta orang Melayu ini menjadi tumpuan pemerhati politik dan kali ini, Perhimpunan Agung UMNO 2016 dilihat luar daripada kebiasaaan berikutan perkembangan terkini yang berlaku dalam parti.

Bukan sahaja melibatkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 24 Jun dan Datuk Seri Mohd Shafei Apdal yang merupakan Naib Presiden keluar parti 4 Julai lepas, ia turut membabitkan beberapa pemimpin bahagian dan akar umbi yang tidak lagi bersama parti.

Landskap politik tanah air berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan ia menyaksikan penubuhan parti-parti politik baharu di samping penjenamaan semula parti sedia ada, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Dua daripadanya ditubuhkan atas dasar tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO.

Sebuah lagi parti pula ditubuhkan selepas sekumpulan pemimpin yang sebelum ini menerajui saf kepimpinan dalam PAS tersingkir dalam pemilihan pada Muktamar 2015.



Parti Berasaskan Melayu Kian Bertambah

Selain UMNO, terdapat dua lagi parti berasaskan Melayu sedia ada di negara ini iaitu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini jumlahnya menjadi enam kesemuanya dengan wujudnya Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Warisan Sabah (PWS - parti yang diasaskan di Sabah).

Selain Amanah, yang merupakan parti yang dijenamakan semula daripada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, PWS juga merupakan parti yang turut melalui penjenamaan semula selepas Mohd Shafie mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS).

Walaupun PPBM dan PWS mengisytiharkan mereka adalah parti berbilang bangsa, namun penubuhan awalnya adalah berasaskan daripada sokongan segelintir orang Melayu dan bumiputera Sabah.

Dengan pertambahan parti-parti politik kini yang meraikan demokrasi, cabaran yang dihadapi UMNO kini bukan lagi seperti biasa malah memerlukan parti itu bekerja lebih kuat dan luar biasa bagi memastikan sokongan pengundi khususnya orang Melayu sekurang-kurangnya ditahap kekal atau bertambah pada pilihan raya umum akan datang.



Tergugatkah UMNO?

Persoalannya, tergugatkah UMNO dengan penubuhan lebih banyak parti berasaskan Melayu dewasa ini?

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi MARA cawangan Jengka, Pahang Che Hamdan Che Mohd Razali berkata sedikit sebanyak penubuhan parti baharu berkenaan memberi kesan kepada UMNO.

"Selain daripada Parti Amanah, kedua-dua parti baharu ini iaitu PPBM dan PWS merupakan serpihan kepada UMNO. Maka daripada segi sokongan, pengaruh dan kekuatan ia sedikit sebanyak terjejas kerana aktivis-aktivis parti di dalamnya adalah dari UMNO.

"Lebih membimbangkan lagi, mereka yang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO ini juga mempunyai pengalaman yang lama dalam parti. Segenap kelebihan dan kelemahan UMNO mungkin akan dipergunakan untuk survival agenda politik mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Justeru, katanya penubuhan parti-parti baharu ini akan menjadi satu cabaran yang besar kepada UMNO yang kini sedang diserang dengan pelbagai isu oleh pembangkang.

Pun begitu, beliau berkata kemampuan UMNO dalam menghadapi saingan parti-parti politik khususnya yang mewakili orang Melayu sangat bergantung kepada sokongan akar umbi.

"UMNO tidak boleh terlalu bergantung kepada kata-kata manis daripada pemimpin peringkat bahagian dan cawangan kerana kadang-kadang pimpinan atasan UMNO mendapat maklumat dan gambaran yang kosmetik tentang situasi di akar umbi.

"Natijahnya, sering kali terdapat salah faham sehingga menyebabkan kegagalan dalam menangani isu-isu penting. Oleh itu, perlu diberikan penekanan tentang peranan sebenar agen perubahan di peringkat bawah agar dapat berfungsi dalam memberikan penerangan dan meningkatkan solidariti ahli UMNO secara khusus dan rakyat awam secara umum," katanya.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berpendapat penubuhan parti-parti baharu itu memberi kesan terhadap sokongan rakyat dan pengaruh UMNO kepada pengundi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kepimpinan UMNO harus melihat perkembangan ini sebagai satu cabaran kepada parti, katanya, sambil menegaskan bahawa kekuatan UMNO banyak bergantung kepada semangat dan kejituan kebolehpercayaan terhadap kepimpinan parti dalam kalangan anggotanya.

"Saya berpendapat, sudah sampai masanya UMNO kembali kepada perjuangan asalnya iaitu UMNO untuk Melayu yang mana jika UMNO gagal membela nasib orang Melayu, maka parti lain akan mengambil alih fungsi ini dan perjuangan UMNO akan terjejas dan menjadi semakin tidak relevan," katanya.



Tumpuan Perhimpunan Agung AGUNG UMNO 2016

Landskap politik hari ini memerlukan UMNO menawarkan politik yang mampu memberi keyakinan dan harapan kepada seluruh rakyat khususnya generasi Y dan Z.

Seiring dengan perubahan masa, pendekatan lama yang diamalkan termasuk memainkan sentimen sejarah tidak lagi berkesan dalam usaha parti untuk menarik sokongan dan minat generasi berkenaan.

Bagi tujuan itu, Che Hamdan berkata beberapa perkara perlu diberi perhatian dalam perhimpunan tahunan UMNO kali ini, iaitu antara lain berkaitan dengan keperluan untuk membersihkan parti daripada kelompok yang cuba untuk menjatuhkan kredibiliti pemimpin dan parti.

"Selain itu, gerak kerja bagi menghadapi cabaran pilihan raya juga perlu diberikan perhatian yang cukup mendalam dan sewajarnya dan yang paling penting, tumpuan ke arah memahami masalah rakyat keseluruhannya.

"Seterusnya, menyusun strategi bagi membantu pihak kerajaan dalam memberikan sistem sokongan dan jaringan sosial kepada kelompok berpendapatan pertengahan dan bawahan hendaklah menjadi agenda utama," katanya.

Bagi Mohd Idrus, perhimpunan itu dijangka membahaskan isu-isu berkaitan kepimpinan parti, ekonomi semasa negara dan juga ancaman kepada keamanan serta keharmonian negara.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan berlangsung pada 29 Nov hingga 3 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

KIMMA SOKONG PENUH PM DAN MB TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Walaupun Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) bukan parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi KIMMA tetap menjadi parti yang mesra BN.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Terengganu, Salahudin Shahabudin, KIMMA tetap menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sehubungan dengan itu, beliau mengutuk keras perhimpunan Bersih 5 yang diadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

"Kami membantah keras demonstrasi jalanan yang merugikan perniagaan peniaga peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada hari tersebut," katanya ketika berucap di kongres KIMMA peringkat negeri Terengganu di sini baru-baru ini. Kongres tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung KIMMA Malaysia, Hussin Jamal.

Katanya, mereka tidak wajar berhimpun secara haram sebaliknya mereka hendaklah menjatuhkan kerajaan secara sah melalui pilihanraya umum.

Beliau mendakwa keahliaan KIMMA di seluruh negeri meningkat kepada 1,000 orang ahli dengan tiga bahagian iaitu di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Salahudin meminta semua india muslim di negeri ini bernaung di bawah KIMMA supaya senang KIMMA menjaga kebajikan mereka.

Beliau memuji langkah yang diambil ketua puteri KIMMA Terengganu, Nur Farah yang menyertai pemukiman penceramah Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM) di Kuala Lumpur baru baru ini.

"Dengan penyertaan ahli-ahli KIMMA dalam pemukiman tersebut, dapat menambah ilmu sebagai penceramah dalam kempen pilihanraya umum akan datang untuk membantu kemenangan BN di Terengganu, "katanya lagi.