Ahad, Julai 23, 2017

HISHAMUDDIN CABAR DR MAHATHIR LAWAN NAJIB DI PEKAN

LIPIS, 23 Julai (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di Pekan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekadar kenyataan bersifat populis.
Beliau juga melihat kenyataan itu bertujuan mengganggu tumpuan anggota UMNO kerana dibuat ketika UMNO bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan perwakilan.

"Saya tengok itu merupakan kenyataan bersifat populis, kalau Tun Dr Mahathir berani bertandinglah di Pekan, saya cabar dia.

"Kalau dia berani, saya sendiri dan Datuk (Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan turun pertahankan kedudukan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Presiden parti... jadi kalau berani bertandinglah," katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pakatan Harapan akan kemungkinan bertanding pada PRU ke-14 dan mencari kawasan sesuai termasuk Pekan sekiranya keadaan memerlukan.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berhubung sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan sekarang mengatasi sokongan kepada BN, Hishammuddin berkata kenyataan itu hanya satu andaian menjelang PRU-14.

Menyentuh hasrat perwakilan UMNO Cameron Highlands yang mahu kawasan berkenaan ditandingi oleh UMNO dan bukan lagi MIC pada PRU akan datang, Menteri Pertahanan itu berkata usul tersebut akan dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi untuk diperhalusi.

"Kita kena tengok calon yang boleh diterima rakyat dan yang penting dalam keadaan sekarang, anggota dalam dewan (persidangan) ini sahaja tidak mampu memenangkan calon kita.

"Jika tanpa sokongan semua kita tidak akan mampu menang di kawasan yang mempunyai berbilang kaum. Namun saya beri jaminan kepada mereka, apa jua keputusan pucuk pimpinan kelak adalah demi keutuhan parti," katanya.

Wan Rosdy dalam ucapannya sebelum itu menyatakan 39 daripada 40 cawangan di bahagian berkenaan mahukan calon UMNO bertanding di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Ini berdasarkan jumlah pengundi Melayu dan Orang Asli yang kini mewakili 55 peratus dan kemenangan calon BN pada pilihan raya umum lalu, Datuk Seri G. Palanivel daripada MIC banyak dibantu oleh majoriti tinggi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai selepas BN tewas di kerusi DUN Tanah Rata.

-- BERNAMA

RISIKO TERLALU TINGGI JIKA UMNO KALAH DI SABAH

PAPAR, 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota UMNO dan seluruh rakyat Sabah agar tidak sesekali terpengaruh dengan cubaan pihak luar untuk 'memBrexit'kan' Sabah daripada gelanggang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata tindakan pihak 'luar' itu, termasuk bekas kepimpinan UMNO peringkat negeri dan nasional yang telah meninggalkan UMNO, merupakan langkah yang silap dan boleh memberi impak negatif kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Jika ada orang luar sama dari dalam kita (BN dan UMNO), tokoh yang asalnya daripada Barisan Nasional yang cuba membawa rakyat Sabah keluar daripada gelanggang UMNO dan BN, mereka salah perkiraan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Secara Berkelompok perwakilan UMNO Zon 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan dekat sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua UMNO Bahagian Kimanis yang juga Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Abdul Rahim Ismail dan Datuk Isnin Aliasni, masing-masing Ketua UMNO Bahagian Papar dan Beaufort.

Brexit adalah merujuk kepada langkah rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa dengan bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Britain begitu menyesal dengan langkah brexit berkenaan kerana akibat langkah itu bukan seperti yang diharapkan mereka.

"Sabah tidak mahu jadi brexit di Malaysia ini. Sabah tidak mahu BN dan UMNO kecundang. Oleh yang demikian, berpandu kepada pengalaman di depan mata kita, bagaimana menyesalnya rakyat Britain dan kita tahu bahawa jika ini dilakukan oleh pemimpin berkenaan (bekas pemimpin UMNO dan BN) untuk membawa sekali lagi rakyat Sabah keluar dari gelanggang 'water reservoir' yang sama dengan reservoir Putrajaya, maka bukan pemimpin yang menerima akibat tetapi rakyat menerima akibat tidak baik ," kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau jika Sabah meninggalkan gelanggang UMNO dan BN, risikonya terlalu tinggi seperti yang pernah dilalui oleh beberapa kerajaan negeri Sabah sebelum ini apabila mereka menubuhkan kerajaan hasil mainan sentimen yang tidak selari dengan kerajaan Pusat.

Justeru, katanya, situasi politik di Sabah kini di mana wujud perkongsian kuasa di kalangan parti-parti komponen BN perlu diteruskan demi kestabilan politik meskipun mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) ditambah daripada 60 kepada 73 kerusi kelak.

"Saya harap rakan-rakan kita dalam BN jangan beri tekanan kepada Ketua Menteri. Kita harap rakan-rakan kita dalam BN berunding dengan sebaik-baiknya. Yang penting bukan pembahagian kerusi tetapi yang penting UMNO dan BN boleh memerintah dengan selesa di Sabah.

Ahmad Zahid yakin kerajaan BN yang ditunjangi UMNO tidak mustahil dapat dikekalkan meskipun dengan tambahan kerusi DUN berkenaan kerana dapatan kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2016 mendapati 76 peratus rakyat Sabah masih memerlukan BN untuk meneruskan agenda membangunkan Sabah.

Malah, kata Ahmad Zahid, kajian universiti berkenaan juga menunjukkan bahawa 71.2 peratus rakyat Sabah menganggap BN telah berjaya melakukan transformasi kepada Sabah sekali gus membuktikan rakyat Sabah mahukan UMNO dan BN mentadbir Sabah.

Beliau juga mengingatkan anggota UMNO dan rakyat di Sabah agar belajar daripada peristiwa Tanduo di Lahad Datu serta serangan militan di Marawi di selatan Filipina yang ingin memisahkan diri daripada negara Filipina agar peristiwa seumpama tidak lagi berlaku di negara ini.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Ahmad Zahid, beliau akan memperkuatkan Kawasan Keselamtan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di Sabah terus terpelihara.