Jumaat, November 05, 2010

GOLONGAN MUDA DAN KAUM CINA MENYOKONG SEMULA BN


Kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas memberi petanda bahawa golongan muda dan kaum Cina sudah mula memberikan sokongan semula kepada kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak pernah percaya isu sentimen walaupun semasa pilihan raya umum ke-12, kaum Cina sudah tidak lagi menyokong kerajaan.

"Di Batu Sapi yang mempunyai majoriti Cina, kita telah 'double up' kita punya majoriti dan ini adalah satu yang di luar dugaan. Kita nampak jelas sekali manifestasi pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina telah memberikan kemenangan yang amat besar di Batu Sapi dan juga di Galas," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Deepavali Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang Datuk V.S. Mogan di Rantau.

Kemenangan ini juga membuktikan pengundi muda sudah kembali kepada kerajaan kerana mereka ini hanya akan menyokong pihak yang benar dan yang mampu membela nasib mereka.

Beliau juga melihat rakyat sudah mula menolak politik ekstrem dan ganas yang sering dimainkan oleh parti pembangkang.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kemenangan BN pada kedua-dua pilihan raya itu semalam menunjukkan kematangan rakyat dalam membuat pilihan.

Ahmad berkata walaupun mempunyai pilihan, nyata rakyat khususnya pengundi di situ tidak terpengaruh dengan hasutan dan permainan politik sempit bersifat peribadi yang boleh menghancurkan negara, yang diamalkan sesetengah pihak.

"Ia membuktikan mereka (rakyat) ingin bersama-sama nikmati kemajuan dalam suasana aman dan harmoni yang telah dikecapi selama ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kemenangan itu juga sebagai tanda sokongan rakyat di kedua-dua kawasan itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.