Ahad, Januari 07, 2018

NADMA DISARAN PERLUASKAN PENDAFTARAN BANJIR DALAM TALIAN

KEMAMAN, 6 Jan (Bernama) -- Agensi Pengurusan Banjir Negara (NADMA) disaran memperluaskan sistem pendaftaran banjir dalam talian bagi memudahkan pengurusan mereka apabila berlakunya bencana itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sistem berkenaan, yang telah dilaksanakan di Kemaman, ternyata berkesan dalam membantu melancarkan pengurusan banjir di daerah itu.

"Mangsa banjir hanya perlu membuat pendaftaran semasa log masuk kerana kita sudah mempunyai rekod lama untuk dijadikan panduan. Rekod mangsa akan dikumpulkan di Pejabat Daerah Kemaman dan pada masa hadapan ia dianalisis dengan lebih terperinci.

"...saya rasa pihak NADMA bersedia mengambil kira menjadikan sistem ini sebagai sistem nasional semasa banjir. Data yang ada kelak membantu kita dalam merencana dan menjadikan perkhidmatan ini lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Mohd Said Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman Mohd Zahari Md Azahar.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut mengucapkan tahniah kepada NADMA yang bersedia dengan pelbagai komponen semasa berlakunya banjir termasuk menyediakan tempat pemindahan mangsa yang selesa.

"Pusat pemindahan yang baik akan menggalakkan mangsa berpindah lebih awal...kali ini, ada penyediaan lampin, berus gigi dan tempat permainan untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata selain menyediakan 48 pusat pemindahan, persediaan bekalan makanan juga dapat menampung 40,000 orang mangsa banjir di seluruh Kemaman.

--BERNAMA