Ahad, Februari 14, 2016

P. RAMLEE: 43 TAHUN TANPA PENGGANTI



Pada 29 Mei 1973, rakyat Malaysia terkejut bila mendengar berita kematian Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee. Saya masa itu berusia 14 tahun turut terkejut mendengar berita radio jam 7 pagi. Rosli Haji Ahmad menangis ketika membaca berita kematian tersebut.

Ribuan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menghantar jenazahnya di tanah perkuburan Jalan Ampang. Begitulah hebatnya pengaruh P. Ramlee yang telah meninggalkan kita 40 tahun lalu.

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929. Beliau meninggal dunia dalam usia yang muda, 44 tahun.

Beliau telah berlakon dalam 66 buah filem serta telah menyanyi dan menggubah 360 buah lagu. Beliau adalah seorang seniman yang serba boleh, boleh berlakon, boleh mengarah filem, boleh menyanyi dan boleh menggubah lagu.

Filem arahan sulungnya pada tahun 1957 ialah Penarik Beca lakonan beliau dan Saadiah. Filem itu mendapat sambutan pecah panggung (box office) di seluruh Malaya.

Selepas itu beliau mengarah filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab, Anak Bapak, Tiga Abdul, Labu Labi, Nasib Si Labu Labi dan banyak lagi.

Pada tahun 1957, beliau memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik (Anakku Sazali) di Pesta Filem Asia ke 4 di Tokyo.

Filem Ibu Mertuaku memenangi anugerah ‘most versatile talent’ di Pesta Filem Asia ke 10 di Tokyo pada tahun 1963. Madu Tiga mendapat hadiah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia ke 11 di Taipeh pada tahun 1964.

Nujum Pak Belalang pula menerima anugerah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia ketujuh di Tokyo pada tahun 1960. Pendekar Bujang Lapok memenangi anugerah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia kelima di Kuala Lumpur pada tahun 1959.

Meneliti kembali filem-filem P. Ramlee, komidinya tetap segar sampai hari ini. Kita tetap ketawa walaupun sudah banyak kali menonton Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok.

Filem komidi P. Ramlee tak sama dengan filem-filem komidi hari ini yang mana kita tidak ketawa apabila menontonnya buat kali kedua.

Setiap kali RTM dan Astro menayangkan filem-filem P Ramlee, kita tak jemu menontonnya walaupun kita sudah berpuluh kali menontonnya.

Itulah kelebihan P. Ramlee yang mendahului zaman. Kita heboh dengan pemimpin yang ambil komisen 10 persen tetapi P. Ramlee sudah ceritakannya dalam filem Tiga Abdul apabila Salleh Kamil selaku penasihat Ahmad Nesfu mahu 10 persen jika berjaya dalam dealnya.

Dalam filem yang sama, Pak Jamal unta berkata lebih baik berniaga orang dari berniaga unta bila menjual S. Kadarisman dan Haji Mahadi kepada P. Ramlee.

Perniagaan ini sudah menjadi kenyataan apabila kerajaan memberi lesen kepada ejen membawa masuk pekerja asing. Sehingga ada pemimpin Umno menjadi jutawan dipanggil Six Million Dollar Man dengan perniagaan ini.

P Ramlee turut menyindir Raja dalam filem-filem Nujum Pak Belalang dan Musang Berjanggut. Malah pertentangan kelas di antara orang kaya dengan dengan miskin dinyatakannya secara jelas dalam filem Penarik Beca, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat.

Filem-filem P. Ramlee terbukti hebat ketika beliau berkarya di Studio Jalan Ampas. Apabila beliau berpindah ke Kuala Lumpur dengan Merdeka Filem Production, karya-karyanya tidak begitu menyengat.

Di Kuala Lumpur, beliau membuat filem Do Re Mi ( P. Ramlee, A. R. Tompel dan Ibrahim Din) untuk mengulangi kejayaan Bujang Lapok (P. Ramlee, Aziz Satar dan Jins Shamsudin) tetapi filem-filem Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Laksmana Do Re Mi gagal mendapat sambutan.

Di akhir hayatnya beliau pernah diboo ketika menyanyi di Stadium Merdeka. Ketika itu dia rasakan dia sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi selepas beliau meninggal dunia, beliau dikagumi dan dipuja sampai sekarang.

Sehingga sekarang kita belum ada pengganti P. Ramlee yang serba boleh. Mungkin kita perlukan 60 tahun lagi untuk mencari P. Ramlee kedua.