Khamis, Ogos 10, 2017

PELANCARAN ECRL TETAP UTAMAKAN PATRIOTISME

KUANTAN, 10 Ogos (Bernama) -- Pemuda UMNO Pahang hari ini menyangkal dakwaan majlis pecah tanah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini semalam mengetepikan unsur-unsur patriotisme.


Ketuanya Mohd Shahar Abdullah berkata sebaliknya majlis yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu menonjolkan identiti Malaysia termasuk nyanyian lagu Negaraku, lagu Pahang selaku tuan rumah dan penggunaan bahasa Melayu sepanjang majlis.

"Bendera Jalur Gemilang kebanggaan kita dikibarkan di pentas utama dan bacaan doa di awal majlis juga dibuat dalam bahasa kebangsaan. Malah juruacara juga menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin sepanjang majlis berlangsung.

"Ucapan oleh (kedua-dua) perdana menteri dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah) juga ada menggunakan bahasa Melayu, tetapi sebagai menghormati tetamu yang tidak memahami bahasa Melayu, majlis juga menggunakan khidmat jurubahasa," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini.

Mohd Shahar mengulas dakwaan pihak-pihak tertentu termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia bahawa majlis itu menghilangkan identiti negara dan tidak menonjolkan semangat patriotisme selain didominasi oleh bahasa bukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar yang turut hadir pada majlis tersebut, berkata apa yang ditularkan menerusi media sosial itu hanya sebahagian daripada yang berlaku.

Pada masa sama, beliau meminta rakyat melihat aspek faedah yang akan dibawa ECRL termasuk peningkatan ekonomi setempat.

Beliau juga merujuk kepada persetujuan yang dicapai perdana menteri bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia diberi peluang untuk terlibat dalam projek itu.

"Projek itu juga melibatkan persetujuan bahawa 3,600 pelajar kita diberi peluang untuk menimba pengetahuan berkaitan teknologi kereta api yang secara tidak langsung negara akan mempunyai golongan profesional dalam bidang itu pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA