Sabtu, Mei 13, 2017

PAS SELANGOR OPORTUNIS

SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) -- PAS Selangor dilabel sebagai parti 'tidak bermaruah' dan oportunis kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditamatkan semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata alasan parti Islam itu untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah tidak munasabah.

Ini kerana katanya mandat rakyat adalah berdasarkan manifesto DAP-PKR-PAS yang diterajui bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipecat.

"Kalau PAS kata PKR khianat syarat tahaluf siyasi, kenapa masih mahu berada dalam kerajaan Selangor? PAS dan PKR ibarat 'suami isteri' yang sudah bercerai tapi masih mahu tinggal bersama
PAS sanggup jadi 'suami' dayus.

"Saya yakin ketiga-tiga anggota Exco PAS ini tidak akan letak jawatan. Mereka mahu kekal menunjukkan mereka sanggup ketepikan perjuangan parti demi kuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh juga tidak menolak kemungkinan tindakan PAS Selangor itu akan menyebabkan berlaku tindakan lompat parti dalam kalangan anggota PAS, Anggota Dewan Undangan Negeri atau anggota Exco Kerajaan Negeri daripada parti Islam itu.

"Jika PAS keluar daripada kerajaan Selangor, Pakatan Harapan (DAP-PKR-Parti Amanah Negara) masih cukup untuk wujudkan komposisi pemerintahan baharu...PAS kini pembangkang di Selangor," katanya.

Disebabkan itu katanya, rakyat Selangor harus membuka mata dan bijak membuat perbandingan sama ada mahu memilih pakatan parti politik dengan krisis dan perpecahan tidak berkesudahan atau solidariti dan kebersatuan yang ditunjukkan Barisan Nasional.

Semalam, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta susulan parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama itu.

Keputusan itu memberi impak kepada kedudukan tiga Exco PAS dalam kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dalam satu kenyataan semalam menyatakan tiga Exco itu, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal berkhidmat dalam kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

-- BERNAMA