Jumaat, Jun 17, 2016

BN MENANG BESAR DI SUNGAI BESAR?

Semalam saya ambil penulis hebat dari Sabah, Musli Oli di KLIA2 pada jam 1.45 petang dan kami terus ke Sungai Besar dengan kereta sewaan kami Viva.

Saya memandu perlahan kerana Musli kata kita tidak perlu rushing. Dari KLIA terus kami lalu ikut Shah Alam, lebuhraya Guthrie, lebuhraya LATAR,Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sungai Besar.

Di LATAR hujan lebat, maka Musli pula yang memandu. Kami selfie dan saya masukkan gambar itu dalam grup wasap kami. Fakhrul komen kenapa tetamu pula yang memandu. Saya jawab tukar driver kerana mata saya kurang sharp dalam hujan lebat.

Trafik sepanjang jalan dari Ijok ke Sungai Besar tidak sibuk mana. Tiba di Tanjung Karang Musli hairan kenapa pekan itu nampak kosong kerana tiada pokok sepanjang jalan.Musli seorang yang observant. Bila masuk Sekinchan baru nampak bendera parti yang bertanding. Menurut Musli, kalau ikut bilangan bendera yang dipasang sepanjang jalan BN sudah menang.

Jam 5 kami tiba di Sungai Besar. Kami cari pusat daerah mengundi (PDM Parit 1 Timur yg dinaungi oleh Umno Sabah dan Umno Bahagian Selayang.

Kami jumpa cari PDM tersebut.Malam kelmarin ahli grup wasap kami Shahbudin Embun berceramah di situ berapi api menghentam Tun Dr Mahathir. Kami temui wanita yang berbaju merah wanita Umno.

"Dari mana kakak semua,"tegur saya.
"Dari Beaufort Sabah," jawab wanita itu.
"Ini kawan kawan dari Beluran,Libaran dan Sipitang,"tambah wanita tadi.
"Kakak tak kenal kawan saya ini dari Kota Belud," kata saya.
"Tak," jawab wanita Beaufort itu.
"Inilah Musli Oli," kata saya.
"Astaga. Kami selalu baca buku Musli tapi ini kali baru kenal orangnya," katanya terperanjat. Mereka kagum dapat menemui penulis buku politik terkenal.

Petang itu kami berbuka puasa di surau kampung tersebut. Di situ kami terjumpa rakan lama di akhbar Watan, Drs Kamaruzaman Zainal orang Kuantan. Dia bersama NGO bekas kakitangan KEMAS Malaysia berkampung di situ beri bantuan kepada pengundi. Di situ kami terjumpa juga Jaafar orang kuat Umno Selayang yang sering kami temui di Nagas. Tetapi Mohd Nor Rajie tidak ada kerana berada di Kuala Kangsar.

Dalam perbualan kami dengan penduduk kampung BN dijangka menang besar kali ini. Malah PDM tersebut pada PRU 2013 kalah kerana undi orang muda pergi kepada calon PAS. Apabila pembangkang berpecah maka undi orang muda berpecah kepada PAS dan Amanah.

Prk ini memberi rahmat kepada orang kampung yang menyewakan rumah mereka sebanyak RM5,000 sebuah kepada jentera prk Sungai Besar.Malah hotel kami tinggal dalam pekan pun Green Hotel bertaraf hotel bajet RM80.00 satu malam berharga RM148.00. Musli kata pemilik hotel pun ambil kesempatan di musim prk.

Esok hari penentuan siapa yang menang di Sungai Besar. Menurut jentera BN, calon BN akan menang besar kerana Budiman sudah terbukti seorang yang berbudi. Malah undi orang Cina di DUN Sekinchan pun berpecah dua kerana ADUN DAP tidak sokobg calon Amanah. Undi penyokong beliau akan pergi kepada calon PAS.Sama samalah kita tunggu malam esok.