Selasa, Mac 08, 2011

PM MAHU BANK PERMUDAHKAN PINJAMAN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar semua institusi kewangan yang terlibat di bawah Skim Rumah Pertamaku mempermudahkan segala urusan pembiayaan bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

"Saya amat berharap bahawa segala urusan berhubung dengan skim ini dipermudahkan oleh institusi kewangan dan bukanlah sebaliknya.

"Mungkin skim ini tidak boleh memberi keuntungan yang besar kepada institusi kewangan tapi ini merupakan satu skim yang amat-amat bermakna kepada rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Rumah Pertamaku di sini Selasa.

Najib turut mempelawa bank-bank yang belum menyertai skim ini supaya melibatkan diri dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dengan sepenuhnya.

Beliau berkata sehingga kini skim ini berjaya melibatkan penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam.

"Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan golongan tertentu terutamanya mereka yang baru bekerja dan berpendapatan rendah atau sederhana rendah terlepas peluang memiliki rumah sendiri," kata Najib.

Skim Rumah Pertamaku yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar.

Di bawah skim ini, kemudahan diberikan terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Melalui skim ini, individu terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman sebanyak 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun.

Ini bermakna kerajaan melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut dan permohonan boleh dibuat secara langsung di cawangan-cawangan perbankan di seluruh negara mulai hari ini.

Beliau juga berharap skim ini juga akan menggalakkan pemaju supaya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di Malaysia.

"Ini adalah komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju.

"Kita selalu berpegang kepada prinsip keterangkuman (inklusif). Inklusif bererti bahawa kekayaan negara kita mestilah dibahagikan secara adil dan saksama dan di samping itu menegakkan satu prinsip yang sangat unggul yakni skim keadilan sosial," katanya.

Sementara itu, Najib berkata dalam usaha untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan telah mengenalpasti betapa pentingnya peningkatan kualiti hidup rakyat serta kewujudan persekitaran yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan adanya perumahan mampu milik bagi rakyat.

Katanya, keadaan ekonomi yang pesat berkembang serta penghijrahan ke bandar dan peningkatan keseluruhan dalam pendapatan boleh guna akan mengakibatkan peningkatan harga hartanah, terutama di kawasan bandar yang boleh menjangkau lebih daripada 30 peratus.

KES DAPHNE IKING SELESAI


Kes saman peribadi yang dikemukakan oleh bekas suami model dan pengacara TV Daphne Iking terhadap ahli perniagaan Darren Choy Khin Ming selesai hari Isnin, selepas Choy membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap bekas suami Daphne, Ryan Chong Yiing Min.

Choy, bekas pengarah urusan Adidas didakwa memikat Iking (ketika itu masih isteri kepada Chong) untuk melakukan persetubuhan dengan Iking di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.

Choy, 46, selaku defendan menghadapi saman peribadi itu yang dikemukakan oleh Chong, 33, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah berkata mahkamah membuat keputusan selepas peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Chong memberitahu tidak bercadang untuk meneruskan pendakwaan terhadap Choy.

Wong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya membuat cadangan untuk menarik balik pendakwaan saman itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Choy, membacakan surat yang ditandatangani Choy yang bertarikh 7 Mac (hari ini), yang mengandungi penafian Choy bahawa dia bukan bapa kandung kepada anak perempuan Iking, Isobel Daniella Iking Chong, tiga tahun.

Penafian tersebut berhubung dakwaan Chong dalam keterangannya pada 17 Dis lalu, yang memberitahu bahawa Isobel bukan anak kandungnya.

Choy turut meminta maaf kerana hubungan sulitnya dengan Iking telah menyebabkan Chong dan ahli keluarganya berasa malu dan terhina.

Ahli perniagaan barangan alat sukan itu turut memohon maaf kerana hubungannya dengan model tersebut telah mendorong Chong memfailkan saman terhadapnya.

Choy juga melahirkan rasa kekesalannya kerana sewaktu pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap Chong, pelbagai isu telah dibangkitkan di dalam prosiding itu menyebabkan kesan yang buruk terhadap Chong sekeluarga.

"Secara ikhlas, saya meminta maaf kepada Chong, ibu bapanya dan seluruh ahli keluarganya," kata Jagjit yang mewakili Choy membacakan surat itu.

"Ini yang diharap-harapkan oleh mahkamah kerana ia diselesaikan tanpa ada perbicaraan lanjutan mengenai kes ini. Kesemua pihak yang terlibat mendapatkan cara penyelesaian terbaik dalam kes ini.

"Oleh yang demikian, OKS (Darren Choy) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah," kata Majistret Engku Ahmad Rashdi ketika membuat keputusan itu.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 29 Nov tahun lalu, telah memanggil seramai empat saksi.

Chong dan Choy yang sebelum ini sentiasa menjarakkan kedudukan mereka di dalam mahkamah sepanjang prosiding itu, dilihat bersalaman antara satu sama lain selepas prosiding selesai.

Choy yang ditemui pemberita di luar mahkamah, memberitahu, kes tersebut berjaya diselesaikan dengan situasi menang-menang antara pihaknya dan Chong.