Selasa, November 29, 2016

TUN MAHATHIR SANGGUP TELAN APA YANG DIA BENCI



MUKADIMAH: DATUK Ibrahim Ali sememangnya diketahui umum sebagai penyokong kuat Tun Dr. Mahathir Mohamad.Tetapi beberapa siri serangan oleh bekas Perdana Menteri itu ke atas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu sejak akhir-akhir ini menerbitkan persoalan apakah jalinan hubungan antara mereka sudah retak?

 Bagi menjawab persoalan tersebut, kami telah menemubual Ibrahim di pejabatnya baru-baru ini dan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, beliau tidak berkrisis dengan Dr. Mahathir sebaliknya hanya berlaku sedikit perbezaan pendapat dalam isu melibatkan DAP. Menurut Ibrahim, beliau tidak menyertai Dr. Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah disebabkan soal prinsip perjuangannya walaupun mengakui teramat hormat serta sayang kepada bekas Perdana Menteri itu.



Pelbagai tanggapan dilemparkan apabila Datuk tidak menyertai Dr. Mahathir dalam PPBM. Sebenarnya apakah ha­halangan terbesar menyebabkan Datuk tidak bersetuju dengan beliau kali ini?

IBRAHIM: Saya sangat hormat kepada Tun dan menjadikan beliau idola, tetapi Tun tidak boleh ambil mudah apabila membuat satu-satu keputusan dan berha­rap kita memberi sokongan tidak berbelah bahagi. Kalau itulah tanggapannya, amat tidak tepat.

Saya telah beritahu Tun awal-awal lagi, sebelum PPBM di­daftar­kan, saya tegaskan kalau parti itu bekerjasama dengan DAP saya tidak akan sertai. Saya tegaskan pendirian ini di depan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa rakan lain (dalam satu pertemuan). Kenapa saya tolak DAP sudah dijelaskan sebelum ini iaitu kerana doktrin Malaysian Malaysia. Doktrin ini cukup bahaya.

Kalau Tun kata saya sengaja menjadikan DAP sebagai alasan untuk tidak sertai PPBM kerana telah berpakat dengan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), ini dusta yang amat besar. Saya juga ada maruah. Tun bukan tidak kenal saya, tetapi itu bukan alasan untuk beliau take things for granted ke atas saya walaupun saya pernah kata apa pun Tun buat saya sokong. Macam Anwar Ibrahim (Datuk Seri) juga dulu, apa beliau buat saya sokong, tetapi apabila beliau lakukan angkara yang saya tidak boleh terima, saya kena undur. Inilah yang saya katakan seperti pepatah not that I loved Caesar less, but that I loved Rome more.

Datuk menyatakan rasa hormat dan sayang kepada Dr. Mahathir, tetapi tidak semestinya menyokong beliau dalam semua perkara. Orang melihat tindakan Datuk ini lebih berprinsip dan konsisten, apa pandangan Datuk?

Pada saya kalau nak menjatuhkan Najib sekalipun, kalau nak lawan UMNO sekalipun cukup sekadar UMNO. Jangan campur dengan yang lain. Sebab itu saya kata matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Nak tenggelamkan kapal (UMNO), orang yang belum tentu kita boleh percaya, musuh tradisi (DAP) kita bawa masuk sekali. Ini yang saya tidak boleh terima. Bila bawa mereka ini bersama, bagaimana dengan doktrin Malaysian Malaysia? Bagaimana dengan agenda liberalisme PKR? Bagaimana dengan soal kepentingan Melayu dan bagaimana dengan soal lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)?

Pada pandangan peribadi Datuk, kenapa Dr. Mahathir sanggup ‘mengotorkan’ diri beliau apabila memilih bekerjasama dengan DAP serta melakukan pelbagai perkara yang sebelum ini dibencinya termasuk demonstrasi jalanan?

Tun sanggup berbuat demikian kerana usahanya mahu menjatuhkan Najib melalui UMNO dan undi tidak percaya gagal. Apabila Muhyiddin, Mukhriz (Datuk Seri) dipecat serta Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) digantung, untuk menjatuhkan Najib dalam gelanggang pilihan raya, mereka memerlukan platform parti dan inilah yang mendorong tertubuhnya PPBM.

Keadaan kemudiannya diburukkan lagi apabila saya lihat ramai sahabat-sahabat serta mereka yang pernah mendapat nikmat semasa kepemimpinan Tun menjauhkan diri. Realitinya, sehebat mana pun kita sebagai pemimpin, apabila tiada lagi jawatan, orang tidak akan mempedulikan lagi. Saya sahaja yang kekal setia walaupun Tun tiada sebarang jawatan. Saya sentiasa hantar dan jemput Tun di lapangan terbang. Saya cari masa, saya buat program atas nama Perkasa dan jemput Tun datang kecuali dalam isu kerjasama dengan DAP saya berbeza pendapat.

Barangkali kerana inilah (tiada orang yang mahu berkawan), dia berkawan dengan DAP sehingga dia sanggup telan apa yang dia benci. Dulu Tun benci DAP tetapi kini berkawan dengan DAP, dulu Tun buang Anwar, kini bersalam dengan Anwar. Dulu Tun kata demonstrasi benda tidak berfaedah sehingga beliau memarahi, tetapi sekarang boleh minta orang turun berdemonstrasi dan beliau sendiri turun ke jalanan hingga apabila Maria Chin Abdullah kena tahan Tun pergi berhimpun dengan lilin.

Bagaimana kesudahan hubungan Datuk dengan Dr. Mahathir selepas ini?

Saya tidak anggap ada sebarang masalah antara saya dengan Tun. Apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat.

Dengan perkembangan politik semasa, adakah Perkasa akan terus kekal berkecuali?

Perkasa kekal berkecuali sebagai pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang saya sebut untuk bertanding di 50 kerusi Parlimen tempoh hari hanya untuk menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia. (dipetik dari Utusan Malaysia)