Sabtu, Mac 11, 2017

100 AKAUN PALSU USTAZ KAZIM DIKESAN



IPOH 10 Mac – Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias mendakwa terdapat hampir 100 akaun media sosial palsu menggunakan nama beliau untuk membuat kenyataan berunsur perkauman dan mengutip dana.

Mohd. Kazim Elias mendakwa namanya disalah guna untuk pelbagai akaun media sosial.

Menurut beliau, antara akaun media sosial yang dikesan menggunakan namanya ialah akaun Facebook seperti Koleksi Kata-Kata Ustaz Kazim dengan 900,000 pengikut, Ustaz Kazim Fan Club (115,000 pengikut) dan Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim (274,000 pengikut).

“Menerusi akaun media sosial palsu ini, terdapat kenya­taan yang dimuat naik menyen­tuh isu keselamatan negara seperti isu perkauman hingga menjadi tempat pertelingkahan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.


“Contohnya isu yang tular ialah pertelingkahan mengenai Dr. Zakir Naik sehingga terdapat komen-komen yang menyentuh isu perkauman. Ini membimbangkan saya kerana itu bukan akaun media sosial milik saya dan saya tidak pernah pun memasukkan gambar-gambar ber­kenaan,” ka­tanya dalam sidang akhbar di Pusat Pendidikan Al-Barakah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Kazim, beliau juga bimbang dengan kemungkinan terdapat unsur-unsur penipuan atau tujuan tidak baik di sebalik kewujudan akaun palsu tersebut.

Katanya, ini termasuk menggunakan akaun palsu itu untuk mengutip dana atau mengumpul derma yang konon­nya untuk membantu Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Pihak sekolah sendiri setiap hari menerima panggilan tele­fon daripada orang ramai yang bertanya sama ada kami ada pungut dana untuk bantu orang miskin dan anak yatim.

“Selain itu terdapat juga akaun palsu yang menyiarkan gambar yang bukan-bukan dan hadis-hadis palsu. Ini bukan sahaja mengecewakan saya malah memalukan kera­na dicop sebagai pengeluar hadis palsu,” katanya.

Tambah Mohd. Kazim, beliau telah pun membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Manjoi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Selasa lalu.