Rabu, Februari 24, 2016

NAZRI MENTERI YANG PALING BERANI



Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dua hari lepas meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatannya sebagai timbalan presiden Umno jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

Semasa membuat gesaan itu, beliau berkata Perlembagaan Umno menyatakan dengan jelas tugas timbalan presiden parti itu adalah untuk membantu presiden.

"Adalah menjadi satu kesalahan, jika timbalan presiden melakukan sebarang tindakan yang bertentangan dengan tugasnya itu," kata Nazri, yang juga menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurutnya Muhyiddin juga silap bila beliau menyatakan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mengambil tindakan terhadap beliau kerana tiada bukti tentang kesalahannya itu.

"Sebelum Perhimpunan Agung Umno yang lepas, beliau (Muhyiddin) bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menganjurkan perjumpaan terbuka yang digunakan untuk menghentam Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Sekarang, beliau masih lagi mempersoalkan isu seperti sumbangan RM2.6 bilion yang diumumkan selesai peguam negara dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih lagi dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara," katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja hari ini.

Nazri berkata semua perkara itu bukti nyata yang menunjukkan Muhyiddin tidak bersama presiden, dan perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan.

"Muhyiddin juga tidak lagi menjalankan tugas seperti mana yang diharapkan perwakilan yang mengundi beliau untuk menyandang jawatan itu," katanya.

Nazri berkata jika Muhyiddin enggan meletakkan jawatannya, beliau sendiri akan mengusulkan supaya Muhyiddin digantung keahliannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan datang.

Ulasan saya, nampaknya Nazri menteri yang paling berani mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

Walaupun Nazri ahli majlis tertinggi Umno yang dilantik tetapi beliau sebadge dengan Muhyiddin sebagai Exco Pemuda Umno pada tahun 1978 di zaman Haji Suhaimi Kamaruddin.  Malah di zaman Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda, beliau juga Exco Pemuda bersama Muhyiddin.

Tetapi Muhyiddin lebih awal jadi ahli parlimen dan timbalan menteri dari Nazri yang lambat bertanding dalam pilihanraya umum. Sebab itu Muhyiddin lebih ke depan dari Nazri dalam jawatan kerajaan sedangkan mereka satu badge dalam politik Umno.

Nazri lama menjadi naib ketua pemuda di zaman Najib dan Rahim Thamby Chik. Malah beliau turut didesak bertanding jawatan ketua pemuda selepas Rahim melepaskan jawatan ketua pemuda pada tahun 1996, tetapi beliau menolaknya dan memberi ruang kepada Zahid Hamidi mencabar Rahim dan Annuar Musa.

Beliau letih bertanding ahli majlis tertinggi tetapi Najib mengekalkan beliau sebagai menteri dan melantiknya sebagai ahli majlis tertinggi. Oleh itu jika beliau mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan maka beliau memang wajar berbuat demikian kerana beliau bukan orang baru dalam politik.

Sama samalah kita tunggu mesyuarat majlis tertinggi Umno hujung bulan ini sama ada beliau berani mencadangkan penggantungan Muhyiddin dalam mesyuarat tersebut.