Sabtu, Februari 03, 2018

PAKATAN HARAPAN TAK BOLEH DIHARAP JADI KERAJAAN

KUALA NERANG, 3 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan tidak boleh diharap menjadi kerajaan kerana dilihat masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda gabungan parti pembangkang itu, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau meminta rakyat menilai sama ada mahu menjadikan parti yang berdepan kemelut menjadi kerajaan untuk mentadbir urus negara atau mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada yang telah terbukti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Wujud perasaan iri hati dan tak suka antara satu sama lain - (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir (Mohamad) cakap semua dah selesai tapi kalau tengok daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat parti masing-masing ada yang tidak puas hati dan terbaru ialah di Selangor melibatkan PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Pada saya macam mana nak jadi kerajaan - sedangkan empat parti dalam pasukan dah tak boleh nak selesai, berkecamuk, bergaduh, tak tentu hala tuju serta bergaduh pasal calon," katanya kepada pemberita pada Program Larian Estet 2018 di Homestay D'Belimbing, di sini, hari ini.

Katanya, krisis dalaman yang berlaku ini diharap menjadi medan penilaian oleh rakyat sebelum membuat pilihan untuk mengundi parti mana pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR mengakui Pakatan Harapan di Selangor masih belum mencapai kesepakatan berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengakuan itu sekali gus mengesahkan wujudnya kemelut dalaman antara DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung isu tersebut yang sehingga kini gagal diselesaikan.

-- BERNAMA

ZAHID KAGUM DENGAN KEBOLEHAN ANAK SYRIA BERUSIA 6 TAHUN MENYANYI DALAM BAHASA MELAYU

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menjadi penyokong kuat kepada perjuangan Palestin dan Syria bagi kebebasan mutlak dan kemakmuran rakyat negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memainkan peranan secara aktif dan menyuarakan pandangannya dalam menyokong penyelesaian konflik di Syria dan perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan memerdekakan wilayah mereka.

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia melakukan usaha ini pada masa lalu dan akan meneruskan sehingga Palestin bebas dan menubuhkan sebuah negara merdeka.

"Kerajaan juga akan terus menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Syria yang datang ke Malaysia," katanya ketika berucap pada pelancaran Program Memperkasa Pelarian Kanak-Kanak (Program Kanak-Kanak Pintar) di kediaman rasmi beliau, Seri Satria, di sini, malam ini.

Beliau berkata Malaysia menerima 3,000 rakyat Syria di bawah Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang membolehkan mereka untuk menetap, bekerja, menerima perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

Justeru, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) atas peranan penting pertubuhan itu sehingga menjayakan pelaksanaan PPSMS serta menyediakan khidmat dan sokongan kepada saudara Syria di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, secara umum rakyat Malaysia merasakan kesucian Baitulmuqaddis perlu dipertahankan kerana ia adalah tempat bagi rakyat Palestin, umat Islam dan penganut Kristian.

"Walaupun berada jauh, rakyat Malaysia percaya Masjid Al-Aqsa dan Palestin adalah milik rakyat Palestin. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi dan membebaskannya daripada penaklukan dan penindasan," katanya.

Mengenai program kanak-kanak itu, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan membangunkan pengetahuan kanak-kanak pelarian Palestin dan Syria di Malaysia serta tahap pemahaman sains asas mereka.

Beliau berkata program itu akan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran sosial dan praktikal kanak-kanak pelarian tersebut. Beliau kagum persembahan anak anak Syria dan Palestine menyanyi dalam Bahasa Melayu dan menari tarian inang.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

-- BERNAMA