Sabtu, April 04, 2009

MENGIKUT JEJAK LANGKAH DR. MAHATHIR


28 tahun lalu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri ketiga pada 16 Julai 1981, beliau telah mengumumkan beberapa langkah yang agak mengejutkan rakyat Malaysia termasuk menghalalkan buku Malay Dilemma yang dikarangnya pada tahun 1969. Buku itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu berjudul Dilema Melayu.


Menjelang hari raya aidilfitri tidak lama kemudian, beliau membebaskan ramai tahanan ISA termasuk Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Sri Samad Ismail dan ramai lagi.


Nampaknya Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam semalam 3 April telah mengikut jejak langkah Dr. Mahathir dengan membebaskan 13 tahanan ISA termasuk dua orang peguam Hindraf. Selain dari itu beliau berjanji mengkaji semula ISA dan menarik balik penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.


Ini menunjukkan Najib sebagai Perdana Menteri yang baru amat terbuka dan banyak lagi yang bakal dirubah dalam UMNO termasuk menghapuskan sistem kuota dalam pertandingan UMNO. Najib akan dilihat sebagai Perdana Menteri yang cemerlang jika beliau berjaya menghapuskan kuota ini yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir dan diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Dua hari lepas, di The Mall, seorang ahli jawatankuasa PERKASA, Ahmad Jadawi Ghazali begitu yakin bahawa Najib tidak akan angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April. Katanya, Pak Lah yang pergi menghadap Yang Dipertuan Agong berkata terpulang kepada tuanku bila ditanya pemberita mengenai adakah Najib akan angkat sumpah pada keesokan harinya.


Jadawi atau dikenali dengan panggilan Jad turut berkata bila Najib keluar dari istana, mukanya merah dan enggan bercakap kepada pemberita. Gambaran Jad seolah-olah Najib tidak diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri yang baru.


Pada Oktober 2003, Jad juga yang mengatakan bukan Pak Lah yang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kelima tetapi Tengku Razaleigh walaupun Pemangku Presiden UMNO ialah Pak Lah dan bukannya Ku Li. Cakap-cakap orang seperti Jad nampaknya berkesan. Pada 2 April lalu, jam 2.30 petang saya menerima panggilan dari stringer WATAN di Muar, Tukiran Hitam yang bertanya benarkan Najib tak jadi angkat sumpah Perdana Menteri esoknya.


Seluruh negara gempar dengan cakap-cakap orang seperti Jad ini. Sebab itu Naib Presiden UMNO yang baru, Hishamuddin yang juga sepupu Najib kesal dengan sms yang disebarkan pembangkang kononnya Najib tidak jadi angkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam.


Petang semalam sekali lagi ketika berada di The Mall dengan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Rahim Hussin; bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Mat Dalam Awang; Sabari Jusoh, Zainal, Mat Gonjeng dan Mat Cincin,tiba-tiba datang sepupu Najib, Azmi yang secara sinis perli bahawa Najib belum angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku di istana pada pagi semalam hanya raptai sahaja. Azmi perli orang seperti Jad yang begitu yakin istana menolak Najib menjadi Perdana Menteri yang baru.


Yang Dipertuan Agong pernah mencipta sejarah menolak pilihan Pak Lah sebagai Menteri Besar Terengganu pada tahun lepas.Baginda menolak pilihan Pak Lah, Idris Jusoh kerana mahu Ahmad Said dilantik Menteri Besar yang baru. Jadi masakan Yang Dipertuan Agong boleh menolak perlantikan Presiden UMNO yang baru sebagai Perdana Menteri kerana Najib telah dipilih oleh para perwakilan UMNO sebagai Presiden yang baru tanpa bertanding. Oleh itu mustahil istana mahu berkrisis dengan UMNO pula.


Justru itu teori Jad tidak menjadi kenyataan tetapi cakap-cakap Jad telah menyebabkan rakyat terpengaruh dengan teori ini. Oleh itu tak perlulah kita layan orang seperti Jad kerana ternyata beliau yang banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.


Bila bercakap tentang Jad, teringat saya kepada sms kiriman Sang Kelembai atau Zaharin Mohd. Yassin yang menulis: " Ahmad Jadawi Ghazali kelihatan berlegar di lobi The Mall berpakaian baju melayu merah, seluar kuning,samping hitam dan songkok putih kerana menunggu giliran menukar nota dengan PM, kemungkinan akan diadakan di Hotz Cafe".
Najib,55, bukan orang baru dalam politik. Beliau menjadi ahli parlimen dalam pilihan raya kecil parlimen Pekan menggantikan tempat ayahandanya, Tun Razak yang meninggal dunia pada tahun 1976. Ini bermakna Najib lebih awal dari Pak Lah menjadi ahli parlimen (1978).
Pada tahun 1978, beliau dilantik timbalan menteri tenaga, telekom dan pos. Pada tahun 198o, beliau dilantik timbalan menteri pelajaran di bawah Musa Hitam dan pada tahun 1981, bertugas sebagaiu timbalan menteri kewangan di bawah Ku Li. Pada tahun 1982, beliau dipanggil balik menjadi menteri besar Pahang sepenggal.
Pada tahun 1986, beliau kembali ke pusat sebagai menteri belia dan sukan. Pada tahun 1990, beliau menjadi menteri pertahanan. Pada tahun 1995, beliau menjadi menteri pendidikan. Pada tahun 1999, beliau kembali menjadi menteri pertahanan. Pada tahun 2004, beliau dilantik timbalan perdana menteri. Pada tahun lepas, beliau menjadi menteri kewangan dan kemuncaknya pada 3 April beliau menjadi perdana menteri yang keenam.
Dalam UMNO pula, pada tahun 1978, beliau adalah exco pemuda umno. Pada tahun 1981, beliau menang ahli majlis tertinggi UMNO. Pada tahun 1982, beliau menang naib ketua pemuda tanpa bertanding. Pada tahun 1987, beliau menjadi pemangku ketua pemuda dan setahun kemudian beliau menjadi ketua pemuda tanpa bertanding. Pada tahun 1993, beliau menjadi naib presiden UMNO selama tiga penggal sebelum menjadi timbalan presiden UMNO pada tahun 2004 dan 26 Mac lalu beliau disahkan sebagai Presiden UMNO yang baru tanpa bertanding.
Dengan pengalaman yang luas sebagai ahli parlimen, timbalan menteri, menteri besar, menteri, timbalan perdana menteri selama 33 tahun, tidak syak lagi Najib akan menjadi Perdana Menteri yang berjaya memandangkan tindakan beliau yang berani di hari pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan membebaskan tahanan ISA dan menarik balik penggantungan permit akhbar Harakah dan Suara Keadilan.