Jumaat, Ogos 09, 2019

BERSATU JOHOR NAFI MB LETAK JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan khabar angin kononnya Datuk Dr. Sahruddin Jamal akan meletak jawatan Menteri Besar Johor sebagai tidak berasas dan mengarut.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata khabar angin yang berpunca daripada laporan sebuah portal tajaan pembangkang itu adalah berniat jahat, membuang masa dan tidak perlu dilayan.

Katanya, Sahruddin telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan gigih dan penuh integriti, dan mendapat sokongan yang baik dari semua anggota Exco sama ada dari Bersatu mahupun parti komponen Pakatan Harapan.

Katanya, Sahruddin juga mendapat kerjasama yang baik daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani isu-isu semasa termasuk isu pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

"Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dengan meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang sewajarnya dalam setiap tindakan serta perancangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, satu akaun Facebook iaitu Ops Johor memuat naik satu posting bertajuk ‘MB Johor akan lepaskan jawatan’ dengan mendakwa ia disebabkan kegagalan Sahruddin dalam menguruskan masalah pencemaran selain menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini.

Bagaimanapun, ini dinafikan oleh Sahruddin.

Menurut Solihan lagi, pembangkang tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap setiap masalah dan menjadikannya isu politik sedangkan sebahagian besar masalah itu berakar dan berpunca daripada kesilapan dan kealpaan mereka (pembangkang) sebelum ini.

“Pakatan Harapan khususnya Bersatu tidak akan menyerahkan masa depan negeri ini kepada pihak yang sengaja menjadikan isu-isu terpencil sebagai alat menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan negeri yang disokong majoriti rakyat,” katanya.

— BERNAMA