Isnin, Mac 09, 2009

TIGA CALON KETUA PEMUDA MAHU SPRM SEGERAKAN SIASATAN RASUAH POLITIK


Ketiga-tiga calon bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan rasuah politik sebelum pemilihan parti berlangsung pada 25 Mac ini.

Tiga calon itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mukhriz berkata, perkara itu amat penting dilakukan bagi membersihkan nama baik UMNO selain mengelakkan berlakunya pembaziran masa dan wang jika terdapat pemimpin tertinggi parti terbabit terbukti melakukan kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, siasatan dan tindakan lanjut SPRM perlulah berdasarkan bukti kukuh supaya tidak ada individu yang teraniaya.

“Tuduhan rasuah memberi gambaran tidak baik kepada parti terutama menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.

“Oleh itu, SPRM perlu mempercepatkan siasatan untuk kebaikan semua pihak supaya tidak ada yang akan menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Pulau Pinang semalam.

Turut hadir Mohd. Khir dan Khairy.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet di sebuah restoran Rabu lalu kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

Penahanan lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dibuat oleh sepasukan anggota SPRM setelah menjalankan intipan ketika menerima suapan kira-kira pukul 10.30 malam.

Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan sehari selepas keterangannya diambil.

Mukhriz berkata, jika SPRM mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu, maka tindakan awal perlu diambil bagi mengelakkan perwakilan salah memilih calon yang sanggup menggunakan taktik kotor demi kepentingan diri.

“Bukannya kami tidak sayang dengan individu itu, tetapi nama baik parti perlu diutamakan. Jika benar pemimpin tertinggi terbabit, adakah perlu diadakan pemilihan sekali lagi? Ia hanya membazir masa, wang dan menyusahkan,” katanya.

Justeru, Mukhriz menegaskan, pemilihan parti perlu dijalankan dengan telus dan bersih kerana ia merupakan satu-satunya peluang untuk membersihkan nama baik UMNO yang terjejas sejak kebelakangan ini.

Mohd. Khir pula berpendapat semua pihak perlu memberi kerjasama kepada suruhanjaya tersebut bagi membendung rasuah politik daripada terus menular dalam parti.

“SPRM mempunyai etika sendiri. Suruhanjaya itu akan menyiasat semua aduan yang diterima.

“Jika seseorang calon itu terlibat dalam rasuah politik, individu itu terpaksalah menerima hakikat dan bersedia dikenakan tindakan undang-undang dan tatatertib,” katanya.

Khairy pula berkata, Lembaga Disiplin UMNO seharusnya diberi peranan sebagai pusat rujukan pertama apabila berlakunya sebarang aduan berkaitan pemilihan parti.

“Walaupun kita berterima kasih kepada pihak SPRM kerana prihatin terhadap pemilihan UMNO, tetapi saya percaya Lembaga Disiplin UMNO adalah tempat rujukan utama untuk kes sebegini,” katanya.