Ahad, April 03, 2016

JINS SHAMSUDIN MENJADI YB DI LUAR DAN DI DALAM FILEM

HIBURAN

Baru-baru ini heboh dikatakan Jins Shamsuddin sudah meninggal dunia. Tetapi rupanya beliau masih hidup dan masih sakit Alzheimer.

Berbeza dengan P. Ramlee yang mendapat gelaran Tan Sri selepas beliau meninggal dunia, Jins Shamsuddin mendapat gelaran tersebut ketika beliau masih hidup. Beliau mendapat pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) pada tahun 2007 ketika berusia 72 tahun.

Sumbangan Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin dalam sumbangan seni tidak perlu dipertikai lagi. Beliau adalah anak didik P. Ramlee yang berjaya dalam bidang lakonan dan pengarahan filem.

Jins dikenali sebagai seniman yang berdisiplin, tegas dan serius. Filem Jefri Zain yang dibuat sebagai James Bond Melayu yang melonjakkan namanya sebagai pelakon filem terkenal.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935, Jins yang kini berusia 81 tahun disahkan mengalami Alzheimer pada Februari 2011.

Biarpun mengalami penyakit Alzheimer sejak dua tahun lalu, Jins tetap ingat dan memikirkan tentang kerja.

Isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 57, memberitahu suaminya sukar mengingati perkara-perkara lalu namun tidak pernah berhenti daripada memikirkan soal pekerjaannya.

“Dia sudah tidak ingat orang, kadang-kadang dirinya sendiri di televisyen pun dia tidak kenal. Keadaan ingatan dia semakin lama semakin serius.

“Tapi setiap hari dia akan bercakap tentang kerja dan ingin ke Finas untuk bekerja, jika kita bawa dia bercuti pun dia akan suruh balik awal sebab ada urusan kerja katanya,” ujar Halijah.

Jins pernah menjadi Pengerusi Finas yang merupakan agensi kerajaan untuk membantu industri perfileman di negara kita.

Dalam pada itu, Halijah memberitahu punca utama suaminya menghidap alzheimer adalah terlalu banyak berfikir pada usia muda dan ketika mengambil mengikuti program Doktor Falsafah (PhD).



“Dia banyak sangat berfikir dan bekerja, sebagai manusia kita ada batas bekerja dan bercuti tapi dia tidak.

“Lebih teruk lagi selepas dia mengambil PhD, sepatutnya tiga tahun tetapi dia buat jangka pendek selama setahun sahaja mungkin itu beri kesan kepada fikirannya kini,” katanya.

Pada 24 Mac 2010, Jins Shamsuddin menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23 UUM.

Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dari 1970-1972 dan menerima diploma dengan Kepujian Kelas Pertama. Pada tahun 1999, beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.


Pembabitan beliau dalam bidang seni bermula apabila menjalani uji bakat yang diadakan oleh P. Ramlee, di mana beliau diterima sebagai pelakon tambahan. Dari pelakon tambahan, beliau sedikit demi sedikit menimba pengetahuan dari P. Ramlee.

Kalau kita tonton filem Anakku Sazali lakonan P. Ramlee arahan Phani Majumdar, Jins muncul sebagai pelakon pembantu sahaja. Tetapi beliau diberi watak utama oleh P. Ramlee dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957.

Hubungan P. Ramlee dengan Jins Shamsuddin dikatakan kurang rapat selepas P. Ramlee menceraikan isterinya Norizan bekas emak tiri Sultan Azlan Shah. Jins dikatakan punca perceraian P. Ramlee dengan Norizan.

P. Ramlee amat sukar untuk menerima tawaran berlakon daripada pengarah-pengarah yang lain. Tetapi penghormatan ini telah diberikan kepada Jins Shamsuddin untuk berlakon di dalam filem ‘Bukan Salah Ibu Mengandung.’

Filem lakonan

Beliau telah melibatkan diri dalam 40 buah filem sejak tahun 1956. Filem-filem lakonannya seperti berikut:-.

0 Matahari – (1951) – (Pelakon Pembantu)
0 Kaseh Sayang – (1957) – (Pelakon Utama)
0 Pancha Delima – (1957) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Suria Kencana)
0 Azimat – (1958) – (Pelakon Pembantu)
0 Sarjan Hassan – (1958) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Aziz)

0 Anak Pontianak – (1958) – (Pelakon Utama)
0 Dandan Setia – (1959) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tengku Dandan Setia)
0 Lela Manja – (1960) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Megat Komeng)
0 Megat Terawis (1960) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Megat Sari)
0 Si Tanggang – (1961) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tanggang)

0 Indera Bangsawan – (1961) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Indera Bangsawan)
0 Neracha – (1962) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Rahman)
0 Lubalang Daik – (1962) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Sinkip Anak Juragan Bagus)
0 Batu durhaka – (1962) – (Pelakon Utama)
0 Darah Muda – (1963) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Yazid)

0 Bidasari – (1964) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tengku Indera)
0 Sayang Si Buta – (1965) – (Pelakon Utama)
0 Gerak Kilat – (1966) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)
0 Kacha Permata (1966) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Hamzah)
0 Bayangan Ajal – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)

0 Kanchan Tiara – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Kanchan)
0 Jurang Bahaya – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)
0 Bukan Salah Ibu Mengandung – (1969) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Agus)
0 Di Belakang Tabir – (1969) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Osman dan Karim)
0 Menanti Hari Esok – (1977) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Cikgu Talib dan Jalil)

0 Esok Masih Ada – (1979) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (ASP Zamri)
0 Tiada Esok Bagimu – (1979) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Ghailan)
0 Filem Bukit Kepong – (1982) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Sarjan Jamil Md Shah)
0 Esok Untuk Siapa – (1982) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jiman)
0 Ali Setan – (1986) – (Pelakon Pembantu) – Watak Sebagai (Tan Sri)

0 Memory – (1991) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Herman)
0 Filem Balada – (1993) – (Pelakon Pembantu)
0 Filem The Deadly Disiple – (2001) – (Artis Jemputan)
0 1957 Hati Malaya – (2007) – (Artis Jemputan)
0 Filem Akhirat – (2008) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Dato’ Shamsudin)

Pada 1969, beliau diberi peluang mengarahkan filem “Bukan Salah Ibu Mengandung” yang telah menjulang namanya sebagai penulis lakonlayar, pelakon dan pengarah, malah telah mengangkat kewibawaan Studio Merdeka.

Selepas itu beliau belajar di London dalam bidang pengarahan filem. Sekembalinya dari London, beliau mengarah dan menerbitkan filem Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Tiada Esok Bagimu (1980) dan Esok Untuk Siapa (1982).

Anugerah

Di antara anugerah yang diterimanya ialah:-

Anugerah Seniman Veteran bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-18 pada tahun 2004 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Pesta Filem Asia ke-26 di Bali, Indonesia (1980): filem “Esok Masih Ada” lakonan dan arahannya telah memenangi Anugerah Mitra bagi Tema Terbaik yang menganjurkan perpaduan kaum.

Tujuh anugerah dalam Pesta Filem Malaysia Ketiga untuk filem peperangan, “Bukit Kepong” (1981), sebuah filem tulisan, lakonan dan arahannya;

“Silver Crane Award” dalam Pesta Filem Asia Pasifik (1987);

Jemaah juri sebanyak lima kali bagi siri “Pesta Filem Asia Pasifik”;

Penghormatan dan kepercayaan untuk mengarah teater bernilai RM2 juta untuk filem yang berjudul “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” di Istana Budaya, bersempena sambutan kemerdekaan 2002. Pementasan teater tersebut berlangsung selama lima jam selama lebih dari dua minggu.

Sebagai menghargai jasanya dalam bidang seni, beliau dianugerahkan pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Paduka Seri Sultan Perak (1990); Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Yang di-Pertuan Agong (1990) dan darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri (2007).

Kalau dahulu dalam drama, beliau pernah berlakon jadi Yang Berhormat (YB) akhirnya Jins Shamsuddin dilantik ahli Dewan Negara (Senator) yang dipanggil YB juga selama dua penggal mewakili golongan seni. Sewaktu berada di Dewan Negara beliau sering kali mengambil bahagian dalam perbahasan untuk memperjuangkan nasib artis dan penggiat seni.