Khamis, Mac 08, 2018

WAN AZIZAH PERLI MAHATHIR PALING SINGKAT PRU DALAM TEMPOH 10 HARI

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pembangkang hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen pilihan raya tidak kurang daripada 21 hari bermula daripada tarikh penamaan calon.

Ketuanya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata cadangan itu bagi membolehkan calon pilihan raya mendekati pengundi yang direkodkan semakin bertambah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Amatlah tidak adil jika tempoh berkempen yang diberi terlalu singkat kerana berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

"Saya memohon agar SPR mempertimbangkan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari untuk parti dan calon mendekati pengundi," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan rekod, tempoh berkempen pernah diadakan dalam tempoh 35 hari iaitu pada PRU 1959, 1964 dan 1969.



Pada 1974 pernah berlangsung selama 16 hari manakala pada PRU 1982, tempoh berkempen disingkatkan kepada 15 hari, kemudiannya dikurangkan lagi kepada 10 hari pada PRU 1986, 1990 dan 1995.