Sabtu, Oktober 25, 2008

APAKAH INI KENYATAAN BALAS DENDAM?


Sejauh mana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor membela orang Islam? Kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin. Dr. Xavier Jayakumar bahawa kerajaan negeri akan mengenakan kompaun terhadap rumah ibadat termasuk masjid dan surau yang dibina secara haram di Selangor amat mengejutkan.

Banyak benarkah surau dan masjid dibina secara haram di negeri itu? Atau adakah India ini mahu membalas dendam kerana Dr. Khir Toyo merobohkan kuil-kuil haram dahulu. Beliau menyalahkan kerajaan BN yang menyebabkan banyak masjid dibina tanpa kelulusan PBT terutama di kawasan lapang perumahan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu melihat isu ini secara serius. Jika PBT diarah oleh kerajaan negeri merobohkan masjid atau surau, ia akan menimbulkan isu perkauman. PKR akan kehilangan undi orang Melayu jika kerajaan PR bertegas merobohkan masjid atau surau haram ini.

Masjid Haji Hadi di Rusila, Marang, Terengganu tidak dapat kelulusan PBT tetapi kerajaan BN tidak sezalim itu untuk merobohkan masjid Presiden PAS itu. Oleh itu Khalid hendaklah menangani isu ini secara serius. Kerajaan negeri telah menetapkan keluasan pembinaan rumah ibadat baru termasuk pemindahan tidak melebihi daripada 10,000 kaki persegi juga perlu dikaji semula.

SELAMATKAH POK LI DI DUNGUN?


Hari ini juga akan menentukan nasib Ketua bahagian Dungun, Rosli Mat Hassan (Pok Li). Beliau dicabar oleh ADUN Bukit Besi, Din Adam. Rosli sebagai bekas ahli parlimen Dungun juga merupakan Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu yang merupakan tokoh politik yang tidak asing lagi.

Din yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri dikatakan proxy Idris manakala Pok Li adalah adalah proxy Ahmad Said. Sejarah politik Pok Ali agak menarik. Tiga kali beliau kalah bertanding ketua pemuda di tangan ADUN Paka, Zakaria tetapi akhirnya Pok Li yang dapat jadi ketua bahagian.

Cara beliau mendapat jawatan itu agak menarik kerana beliau beritahu Idris yang ketika itu adalah timbalan pengerusi perhubungan UMNO Terenganu bahawa Awang Jabar sudah setuju beliau jadi ketua bahagian Dungun pada tahun 2000. Akhirnya kerusi itu jadi miliknya.

Sebelum ini Awang Jabar amat kepingin jadi ketua bahagian setelah bertarung berkali-kali dengan bekas ketua bahagian, Syed Omar Syed Mohamad. Awanh Jabar pernah menang dan Syed Omar pun pernah menang. Akhirnya kerusi itu jadi milik Pok Li.

Pada tahun 2004, Pok Li yang juga bekas Senator yang mewakili persatuan kontraktor menang sebagai calon parlimen BN Dungun. Beliau dilantik setiausaha BBC ketika Shahrir Samad jadi pengerusi BBC. Pada tahun 2008, beliau tidak dipilih sebagai calon oleh Idris.

Idris pernah panggilnya dan beritahunya akan gugurkan dua tiga orang ketua bahagian sebagai calon. Beliau setuju tetapi tidak sangka pula namanya ada dalam senarai Idris untuk digugurkan sebagai calon. Paling sedih pada hari Idris mahu berangkat ke Kuala Lumpur untuk hantar nama calon ke Perdana Menteri, Idris singgah di Dungun merasmikan gelombang biru peringkat parlimen Dungun. Pok Li berjaya kumpul hampir 10 ribu orang di padanga astaka Dungun dan Pok Li berdiri teguh di belakang Idris. Tidak sangka pula Idris tergamak menikam Pak Lah dari belakang menggugurkan nama Pok Li sebagai calon.

Din Adam yang menentang Pok Li adalah panglima Idris. Berjayakah Din Adam menumbangkan Pok Li? Mereka dikatakan tidak ngam dari dulu lagi. Din yang berasal dari Jerung, Marang dijadikan isu bukan anak Dungun kerana Pok Li dilahirkan di Dungun.

Kejayaan Pok Li menaikkan taraf Majlis Daerah Dungun ke Majlis Perbandaran Dungun tidak boleh dinafikan. Oleh itu jika perwakilan Dungun menolak Pok Li, amatlah malang bagi masyarakat Dungun. Cuma kelemahan Pok Li ialah banyaknya kereta mewah di rumahnya yang bernombor 56 yang menjadi tandatanya orang Dungun bahawa betapa kayanya Pok Li sejak masuk politik.

JIDIN DIJANGKA TUMBANG DI SETIU


Ketua UMNO Bahagian Setiu, Mohd. Jidin Shafee dijangka tumbang di Setiu hari ini. Beliau dicabar oleh ADUN Jabi, Cikgu Ramlan. Mohd. Jidin yang juga ahli parlimen Setiu dikatakan tidak disenangi oleh tiga ADUN lain, Shaari Idris (Langkap), Khazan (Batu Rakit) dan Halim Jusoh (Permaisuri).

Gabungan empat ADUN ini mampu menumbangkan Mohd. Jidin. Beliau mula masuk politik pada tahun 1995 sebagai ADUN Permaisuri. Pada tahun 1999, beliau kalah di Permaisuri. Pada tahun 2004, beliau merampas kembali kerusi Permaisuri dan dilantik Exco Kerajaan negeri. Pada tahun ini, beliau diarahkan bertanding kerusi parlimen dan menang.

Beliau menerajui Setiu sejak tahun 2004. Beliau menang tanpa bertanding selepas penyandang jawatan, Tengku Mahmud Mansor menarik diri. Pengaruh Tengku Mahmud tidak boleh diketepikan. Anwar Ibrahim, Penasihat PKR mahu datang berceramah di Setiu minta izin Tengku Mahmud.

Anwar menyenangi bekas Timbalan Menteri Pertanian itu kerana beliau tidak pernah minta projek ketika Anwar jadi Menteri Kewangan. Anwar amat hormati Tengku Mahmud. Dia nak berceramah di Telaga Papan, maka dia call Tengku Mahmud beritahu nak pergi ke sana.

Mat Jidin naik pun kerana Tengku Mahmud. Beliau adalah PTD yang berkhidmat di bahagian pinjaman perumahan di Perbendaharaan. Ketika itu Tengku Mahmud mahu buat pinjaman perumahan. Di situ mereka berkenalan kerana kebetulan ayahnya orang Kampung Mangkuk di Setiu walaupun ayahnya sudah berpindah menjadi peneroka di FELDA Jerangau.

Tengku Mahmud perlukan anak muda yang pandai. Maka Tengku Mahmud bawa pulang Mat Jidin ke Setiu untuk ditonjolkan sebagai calon DUN Permaisuri. Tapi Mat Jidin tidak kenang budi Tengku mahmud. Tengku Mahmud dikatakan agak kecil hati dengan Mat Jidin kerana tidak pernah mengundangnya ke majlis UMNO sedangkan pengaruh Tengku Mahmud di Setiu amat besar.

Petang ini baru Mat Jidin tahu tinggi rendahnya langit. Jika dia menang, dia kekal di Setiu. Sebaliknya jika dia kalah, inilah penggal terakhir beliau sebagai wakil rakyat.

BAGAIMANA NASIB TENGKU PUTERA HARI INI?


Hari ini akan menentukan nasib Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang sama ada dapat mengekalkan kerusi Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu atau tidak. Beliau dicabar oleh ahli parlimen Hulu Terengganu, Cikgu Mohd. Nor.

Dari segi grassroot, Tengku Putera memanglah kuat. Beliau menang Ketua Pemuda Hulu Terengganu pada tahun 1993. Pada tahun 1995 beliau dipilih sebagai calon BN bagi DUN Telemong dan terus dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada tahun yang sama beliau mencabar ketua bahagian, Datuk Ahmad Sidi Ismail dan berjaya menyingkirkan beliau yang begitu lama bertapak di Hulu Terengganu. Pada pilihan raya umum 1999, di saat BN Terengganu tumbang, beliau tetap menang di DUN Telemong.

Pada pilihan raya umum 2004, beliau dipindahkan bertanding di parlimen dan menang. Sejurus itu beliau dilantik Timbalan Menteri Kewangan dan menang ahli majlis tertinggi UMNO. Tetapi hanya dua tahun beliau kekal di kementerian itu dan akhirnya digugurkan dari kabinet kerana dikatakan tidak ngam dengan Menteri Besar, Idris Jusoh.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau digugurkan sebagai calon BN dan dilantik Speaker oleh Ahmad Said kerana beliau adalah penyokong kuat Ahmad Said ketika krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu berlaku.

Timbalannya, Rosol Wahid yang merupakan orang kuat Idris tidak bernai melawan Tengku Putera. Beliau menaja ahli parlimen baru, Cikgu Mohd. Nor yang baru masuk politik tiba-tiba dapat sokongan yang kuat untuk menentang Tengku Putera. Dapatkah Cikgu Mohd. Nor menumbangkan Tengku Putera? Jawapannya akan diketahui petang ini.