Ahad, Disember 04, 2016

SUARA NORDIN AHMAD GAMATKAN PERHIMPUNAN AGUMG UMNO




Perhimpunan Agung Umno semalam gamat dengan celoteh wakil UMNO Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail yang membahaskan usul agama dan pendidikan.


Cara penyampaian yang bersahaja disulam dengan jenaka membuatkan perwakilan tidak kering gusi sepanjang beliau membahaskan usul tersebut.

Walaupun sarat dengan gurau senda tetapi setiap patah perkataan dalam loghat Negeri Sembilan itu mengandungi pelbagai mesej serta teguran kepada pemimpin sehingga ke peringkat akar umbi.

Disebabkan itu juga, Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin membiarkan pemuda berusia 39 tahun yang lebih dikenali dengan Syamsul Debat untuk berucap lebih 30 minit tidak seperti pembahas yang lain.

Ketika berucap, Syamsul Amri turut menyanyikan lagu Warisan bersama-sama dengan Badruddin serta perwakilan serta pemerhati yang berada di dalam dewan tersebut.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Alumni Pendebat Malaysia berkata, ahli UMNO harus bersatu di dalam saf dan mendoakan kepada bekas-bekas pemimpin mereka yang meninggalkan parti keramat itu.

“Yang keluar biar keluar, yang ada guna dan bela elok-elok, pedulikanlah (bekas pemimpin) nak buat parti tupperware atau parti periuk, kita tengok kisah yang berlaku dulu, segan-segan datang balik.

“Kita bersatulah dalam jemaah, biarkan mereka yang pergi. Kita doakan mereka,” katanya.

Syamsul Amri berkata, UMNO perlu membantu rakyat untuk berdepan dengan krisis ekonomi global yang memberi kesan kepada kos sara hidup di negara ini.

Katanya, kerajaan telah membuat pelbagai dasar untuk memerangi kefakiran melalui kejahilan serta melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Kita risau negara Islam tetapi pertandingan melalak banyak sampailah otai masih berdosa, apa kojo (kerja), kita kata kita UMNO berjuang untuk Islam tetapi membiarkan begitu sahaja.

“Ini yang berlaku kepada masyarakat dan perlu bantu. Kalau Datuk Seri Presiden boleh memetik kata-kata Nordin Ahmad dalam filem.

“Ku sangkakan nanas atas permata, rupanya durian tajam berduri. Kusangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari,” katanya sambil meniru gaya Nordin.