Selasa, Mei 15, 2018

LIM GUAN ENG SINDIR MAHATHIR BILA KATA BN BUAT SILAP SELAMA 61 TAHUN SEDANGKAN MAHATHIR PIMPIN BN SELAMA 22 TAHUN

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan akan memastikan 'kesihatan' kewangan negara dapat dipulihkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau berkata selepas melihat penyata kewangan negara, pihaknya perlu bekerja lebih kuat untuk memulihkan kembali kewangan negara.

"Kami akan berusaha supaya 'kesihatan' kewangan negara dapat dipulihkan. Ini satu tugas yang berat.

"Tetapi kerana dapat sokongan rakyat, saya berjanji dan berikrar serta membuat komitmen bahawa saya akan berusaha dan berjuang setiap hari untuk rakyat Pulau Pinang dan Malaysia," katanya ketika berucap pada ceramah mega 'Sekalung Budi Membina Harapan' di Padang Kota, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan PH negeri.

Bagaimanapun, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata pada masa ini, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kementerian itu berikutan belum mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan PH akan menunaikan setiap janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya dan berharap rakyat memberi masa kepada mereka.

"Selama 61 tahun BN buat silap dan salah serta buat tidak betul untuk rakyat. Ini semua tidak boleh dibetulkan dalam satu malam atau satu hari. Kami perlukan masa. Harap rakyat beri masa, semua janji akan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Chow mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang memberi kemenangan kepada PH untuk terus mentadbir negeri itu bagi penggal ketiga.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, PH memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen, keseluruhannya.