Jumaat, September 03, 2010

DARI FILEM KE SIRI TV: SYURGA CINTA


Saya tidak sempat menonton filem Syurga Cinta di pawagam lakonan Awal Shaari dan Haliza AF. Tapi apabila ditayang ulangkali di Asro, saya rasa seronok juga menonton filem terbitan David Teo itu.

Filem arahan Ahmad Idham itu merupakan satu usaha Ahmad Idham berdakwah kepada para penonton remaja. Setiap petang sebelum berbuka puasa TV3 menayangkan Epilog Syurga Cinta yang merupakan hasil yang sama, bezanya di televisyen ia dinamakan Epilog Syurga Cinta. Bagi siri tv, Epilog dilakoni oleh Azizan Nin dan Rafidah Ibrahim.

Saya tidak mengenali pelakon baru ini, Rafidah yang turut muncul dalam satu lagi siri tv di Astro terbitan David Teo iaitu Cinta Tikar Sejadah yang ditayangkan di Astro Oasis.

Bagi filem Syurga Cinta, Ahmad Idham mengarahkannya tetapi siri tv, Epilog Syurga Cinta, Azhari Zain mengarahkannya. Beliau turut mengarah siri tv, Cinta Tikar Sejadah yang turut menggandingkan pelakon popular, Farid Kamil.

Bagi saya, siri tv ini amat hebat kerana David Teo tetap menggunakan siri tv untuk berdakwah kepada para penonton. Ia mengisahkan bagaimana seorang kaki perempuan yang baru balik dari London boleh terpikat dengan gadis bertudung. Semoga Rafidah Ibrahim yang sudah dua kali muncul di siri tv, Cinta Tikar Sejadah dan Epilog Syurga Cinta tetap bertudung di luar filem.

Senyumannya amat memikat. Saya tidak mengenali siapa Rafidah ini yang menang dalam pertandingan wajah yang mirip seperti Siti Nurhaliza.
Khabarnya dia yang baru berusia 21 tahun ini adalah anak Kampong baru, Kuala Lumpur dan pernah belajr di Kolej Shahputra, Kuantan.

SELAMAT HARI RAYA

PAWAGAM AKHIRNYA KE KEMAMAN


Selepas berdekad lamanya negeri ini tidak mempunyai panggung wayang, akhirnya ia akan diwujudkan di Mesra Mall di sini, Oktober depan.

Cinepleks TGV Cinema itu akan membolehkan para peminat filem di negeri ini menonton dalam suasana cukup selesa tanpa perlu lagi ke Kuantan, Pahang.

Pengurus Besar Pengurusan Pusat Mesra Mall, Michael Vong berkata, ketika ini, kemudahan dan struktur panggung wayang berkenaan sudah siap dan kini menunggu kelulusan lesen yang dijangka diterima dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, ia akan mempunyai tiga skrin layar dengan setiap ruang mampu memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa tayangan.

"Sebelum ini, penduduk Terengganu dan Kelantan terpaksa pergi ke Kuantan yang mengambil masa perjalanan beberapa jam untuk menonton wayang kegemaran mereka.

"Melalui pembukaan panggung wayang ini, mereka tidak perlu lagi pergi sejauh itu dan hanya ke Mesra Mall," katanya baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaini Sulaiman.

Beliau berkata, Mesra Mall menerima kira-kira dua juta pengunjung dalam tempoh setahun sejak ia mula dibuka pada Oktober 2008.

"Kita menyasarkan kira-kira 3.6 juta pengunjung setahun ke Mesra Mall dan untuk itu pihak pengurusan perlu menganjurkan promosi dan acara yang mampu menarik pengunjung," katanya.

Selain menawarkan pelbagai jualan peruncitan berjenama, tambahnya, Mesra Mall turut menawarkan aktiviti rekreasi untuk hiburan sekeluarga seperti gelanggang futsal, permainan video, pusat karaoke dan boling.

Sebagai peminat menonton wayang, saya menyokong penuh pembukaan pawagam di Mesra Mall, Kemasik ini. Maknanya saya tak perlu pergi ke Kuantan lagi apabila mahu menonton wayang.

Saya minat menonton wayang sejak kecil lagi. Saya masih ingat ketika tinggal di pekan Dungun pada tahun 1966, datuk saya, aruah Penghulu Abdullah Omar yang merupakan Penghulu Mukim Pasir Raja apabila balik ke rumah di pekan Dungun akan mengajak saya tengok wayang di sebuah pawagam di Bukit Chatak. Kini tapak pawagam itu dijadikan padang bola. Malah kami juga menonton filem di pawagam yang terletak di stesen bas Dungun kini.

Ketika belajar di Seremban dari tahun 1972-1976, kegilaan menonton wayang tetap ada. Setiap minggu saya turun ke pekan Seremban menonton wayang tidak kira filem Melayu, Inggeris, China dan Hindustan. Pernah saya tengok tiga filem sekali gus satu hari dari jam 1 tengahari, kemudiannya jam 3 petang dan kemudiannya jam 7 malam di pawagam yang berasingan.

Saya pernah tulis berapa buah filem yang saya tonton setiap tahun dari tahun 1972 hingga 1976 yang mana puratanya sebanyak 50 buah filem setahun. Pada hari minggu saya pernah naik bas ke Kuala Lumpur (ketika itu belum ada lebuhraya Seremban- Kuala Lumpur) menonton wayang Hindustan di Pawagam Central di tepi sungai Jalan Ampang. Kalau nak kira filem Hindustan seperti Bobby, Yaadon Ki Baarat, Deewaar, Sholay akan saya tonton berulang kali kerana memang tak puas menonton filem Hindustan.

Ketika berada dalam tingkatan enam di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan Maktab Adabi Terengganu, saya masih menonton filem di panggung Rex dan Cathay di Kuala terengganu. Akhirnya pawagam di Kuala Terengganu dan seluruh Terengganu berkubur.

Ketika itu orang ramai gila menonton video, cd dan dvd. Bila balik Kemaman pada tahun 1980, sudah tidak dapat lagi menonton wayang di Rex dan Cathay, Chukai, maka kami pergi ke Kuanatn biasanya menonton di Berjaya Megamall. Oleh itu pembukaan semula pawagam di Mesra Mall sudah tentu menarik semua golongan umur untuk menontonnya.