Khamis, September 22, 2016

MENGUKUHKAN LAGI SAF PERPADUAN MELAYU

(sudah disiarkan dalam Berita Harian 22 September)
Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN.





Pada 22hb September semalam berlangsungnya Persidangan Tahunan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ke 7 . Penulis akan menceritakan sedikit tentang latar belakang majlis ini bagi memberi sedikit penerangan tentang MPM, khasnya bagi pembaca yang masih tidak tahu akan peranan dan tugas MPM .

MPM ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan bangsa Melayu di Malaysia dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum , etnik, budaya, agama dan sebagainya. Secara umumnya tujuan penubuhan MPM ialah untuk memperkukuh saf perpaduan dalam memperkasa masyarakat Melayu.

MPM dianggotai oleh pelbagai tokoh dan individu Melayu dan bumiptera yang mencipta nama dalam pelbagai bidang di Malaysia. Antara tokoh-tokoh yang terdapat dalam MPM ialah seperti Tun Mohamad Haniff Omar, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Dr Yusuf Noor , Tan Sri Abdul Aziz Rahman serta ramai lagi ahli professional dan cendiakawan yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara.

Setiausaha Agong Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad mengharapkan juga anak-anak muda hari ini memandang tokoh –tokoh yang terdapat dalam MPM ini sebagai satu model peranan untuk golongan ini."Kehadiran tokoh-tokoh ini boleh menimbulkan semangat mereka untuk menjadi bangsa Melayu yang berjaya,"ujar beliau lagi.

Dan pastinya ramai di antara kita yang masih ingat lagi akan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu yang telah dianjurkan pada tahun 2015. Perhimpunan ini telah dianjurkan oleh MPM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN) .

Dalam perhimpuanan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju di abad ke-21 dan menjadi sebuah bangsa yang kuat, hebat dan bermaruah.

Amanat tersebut termasuklah keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka. memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.

Ini hanyalah imbas kembali apa yang berlaku pada tahun lepas. Dan pastinya kita mengharapkan segala yang dikrar sedang dan akan terus diusahakan demi memantapkan lagi perpaduan dan kekuatan bangsa Melayu.

Jika dilihat pada sejarah pula, bangsa Melayu sebenarnya sudah lama hebat sejak dari beribu tahun yang lampau. Daripada beberapa kajian yang telah dilakukan terdapat bukti untuk mempercayai bahawa sejak dari dahulu lagi dikatakan bangsa Melayu sudah mula bertapak serta pernah membina tamadun yang lebih hebat daripada barat dan juga Negara China.

Dan perlu diingatkan juga bahawa satu ketika dahulu Kerajaan Melayu Melaka merupakan antara kerajaan Melayu terhebat serta mendapat pengiktirafan sebagai pusat dagangan utama di dunia . Mungkin yang paling penting, ialah mengapa semenjak dari dahulu lagi, kita sering mendengar daripada kajian-kajian yang dilakukan bahawa, bangsa Melayu sentiasa dikaitkan dengan perkembangan, ketamadunan dan peradaban yang tinggi, khasnya di rantau Asia Tenggara ini.Dan dalam kajian terbaru, Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang, kini dipercayai sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara. 

Penemuan ini juga berkemungkinan besar membuktikan bahawa bangsa Melayu selama ini adalah sebuah bangsa yang pernah mempunyai satu ketamadunan yang maju dan tinggi .Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Orang Melayu adalah kumpulan pertama yang mendiami dan membina tamadun di Alam Melayu dan Pentas Sunda.

Apa yang dijelaskan di atas menggambarkan bahawa Bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang hebat. Generasi hari ini perlu diberitahu akan kehebatan bangsa Melayu yang telah wujud sejak lama dahulu. 

Dan diharapkan persidangan MPM yang bakal diadakan ini, akan terus membincangkan pelbagai agenda yang boleh menjadikan Melayu sebagai sebuah bangsa yang lebih hebat , bermaruah dan berkat.






KUASA MUTLAK PM BUBAR PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak mutlak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata kerajaan sebaliknya kini memberi tumpuan dalam menangani pelbagai isu berkaitan rakyat sebelum pembentangan Bajet 2017.

"Ia adalah prerogatif Najib untuk menentukan bila beliau mahu membubarkan parlimen... matlamat kami sebagai kerajaan bukan hanya untuk mengadakan pilihan raya, tetapi lebih kepada tumpuan dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Converge! 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang memetik seorang pemimpin UMNO bahagian dari sebuah negeri di selatan tanah air, yang enggan dikenali, sebagai berkata pilihan raya umum akan diadakan pada Mac tahun depan. Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan yang memerintah.

"Kami (Barisan Nasional) yakin bahawa majoriti rakyat berdiri teguh di belakang kami. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan dan kesinambungan pembangunan tanpa campur tangan orang luar," katanya.

Mengenai paparan video tentang kemasukan pendatang asing tanpa izin Indonesia ke Tawau, Sabah, yang menjadi viral di media sosial, Salleh berkata sekiranya perkara itu benar, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

Video selama 11 minit itu adalah hasil rakaman media asing untuk menunjukkan betapa mudah pendatang asing tanpa izin Indonesia memasuki Tawau.

Ditanya mengenai 'campur tangan' Wall Street Journal dan The New York Times berhubung isu pembiayaan Permata, beliau menjelaskan tindakan itu sebagai satu usaha untuk merosakkan nama baik negara.

"Media asing itu mempunyai agenda tertentu untuk menjejaskan kestabilan negara kita," katanya.

-- BERNAMA

HASRAT MAHATHIR NAK JATUHKAN PM SUDAH BERKECAI

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perdana menteri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang telah menerima menghadap Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, minggu lepas.

"Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir.

"Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh PPBM," kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana menteri berkata, ini kerana deklarasi dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan.

Ulasan saya, dengan penjelasan PM ini maka hasrat Dr Mahathir mahu gunakan Agong untuk memecat Najib dari jawatan PM sudah berkecai. Maka beliau kena tunggu PRU akan datang untuk menjatuhkan Najib secara demokratik.

Seperti biasa, jika PBBM gagal menumbangkan BN, maka SPR yang akan dijadikan kambing hitam kononnya SPR tidak berlaku adil sewaktu melaksanakan persempadan semula kawasan pilihanraya.