Memaparkan catatan dengan label mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mahathir. Papar semua catatan

Rabu, Jun 06, 2018

KHAIRUDDIN DAKWA UMNO YANG LAGAKAN DR MAHATHIR DENGAN ANWAR



PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, hubungan sesama pemimpin Pakatan Harapan (PH) akrab dan tiada perebutan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau   mendakwa Umno melancarkan perang psikologi dengan memberi gambaran negatif mengenai hubungan Dr Mahathir serta Anwar untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PH supaya rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan negara.

“Namun, kita harus bersyukur kerana perpaduan sesama pemimpin di dalam PH pada realitinya amat akrab serta tulen.

“Keseluruhan rakyat Malaysia dapat lihat sendiri kemesraan serta keakraban Dr Mahathir dengan Anwar ketika makan malam bersama di kediaman peribadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak dibebaskan 16 Mei lalu selepas 3 tahun dipenjarakan, Anwar menemui Agong, empat sultan dan kerabat diraja Johor, Pahang, Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa ketua umum PH itu membelakangkan perdana menteri dan sengaja mendekati istana yang tidak mempunyai hubungan mesra dengan Dr Mahathir.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak merahsiakan apa-apa daripada Dr Mahathir mengenai pertemuannya dengan sultan dan kunjungan itu atas jemputan istana yang tidak patut disalah tafsir sebagai langkah politik untuk menggugat pengerusi PH itu.

“Semua saya lapor kepada Tun Mahathir. Dia harus tahu saya menghadap Agong.

“Sebelum ke Johor, saya maklumkan kepada Tun Mahathir. Sebelum menghadap Sultan Nazrin (Perak), juga saya maklum Tun Mahathir. Yang lain sibuk apasal?” soalnya Isnin lalu.

Anwar sebelum ini turut menggesa penyokongnya memaafkan kesalahan lampau Dr Mahathir dan memberi kepercayaan kepada pengerusi PPBM itu untuk membina semula negara.

Katanya, beliau sendiri memaafkan Dr Mahathir yang pernah memenjarakannya selepas menyaksikan keikhlasan mahu memulihkan negara dan menghapuskan rasuah.

Khairuddin berkata, tindakan Umno itu tidak akan berjaya kerana Anwar memainkan peranan proaktif dengan cara sendiri untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PH demi masa depan negara.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, Anwar dan Dr Mahathir hanya mementingkan agenda membangunkan semula Malaysia, bukannya agenda politik peribadi.

“Gandingan kali kedua Dr Mahathir dan Anwar adalah lambang kejayaan Malaysia Baru. Insya Allah.

“Rakyat Malaysia boleh sandarkan harapan kepada kerajaan PH yang amat tulen membela kesejahteraan masa depan keseluruhan masyarakat tanpa kira kaum ataupun agama.”

Selasa, Mei 01, 2018

MAHATHIR BUAT TUDUHAN PALSU LAGI

PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia tidak melakukan pemeriksaan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu sebelum berlepas ke Subang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihak imigresen tidak melakukan pemeriksaan ke atas pemimpin pembangkang tersebut memandangkan beliau menaiki penerbangan domestik.

"Saya telah mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada Pengarah Imigresen Terengganu (Rahim Hanafi ) menyatakan ada penerbangan dari Kuala Terengganu ke Subang yang dinaiki Tun Mahathir namun tiada pemeriksaan dilakukan ke atas beliau kerana itu merupakan penerbangan domestik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu ketika berceramah di Dengkil, Dr Mahathir mendakwa beliau diperiksa oleh pihak Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia ketika berada di Terengganu sebelum terbang ke Subang.

"Saya baru balik dari Terengganu pagi tadi. Terengganu dalam Malaysia dan saya diperiksa oleh kastam dan imigresen. Kami tidak membawa apa apa dengan kami lagipun kami sudah berada dalam Malaysia," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa pesawat yang sepatutnya menerbangkan beliau dari Subang ke Langkawi baru-baru ini disabotaj namun dinafikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) hasil pemeriksaan menyeluruh.

-- BERNAMA

Ahad, April 29, 2018

PESAWAT MAHATHIR TIDAK DISABOTAJ

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) menolak dakwaan sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya menerbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dari Subang ke Langkawi semalam.

Pengerusinya Datuk Azharuddin A.Rahman berkata pesawat jenis Bombardier Challenger CL60 yang dikendalikan oleh Vista Jet Limited tidak dapat diterbangkan ekoran masalah teknikal yang kecil dan rutin iaitu kebocoran udara di roda kiri pada muncung pesawat.

"Hari ini kami telah melakukan pemeriksaan menyeluruh, termasuk pengesahan dokumentasi, pemeriksaan fizikal terhadap pesawat, dan menemubual juruterbang serta petugas penyelenggaraan pesawat persendirian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan terhadap dokumentasi pesawat itu tidak menunjukkan sebarang kecacatan kecuali kebocoran udara di roda kiri yang dicatatkan oleh petugas penyelenggaraan pada 27 April.

Tekanan pada roda itu adalah rendah dan setelah diisi udara paras tekanan tetap menurun pada 2psi setiap minit, katanya sambil menambah bahawa tayar simpanan pula tidak ada untuk menggantikanya.

"Dakwaan sabotaj terhadap sesebuah pesawat adalah serius dan boleh menjejaskan reputasi penerbangan Malaysia serta negara secara keseluruhan," katanya.

Malam tadi , CAAM telah diarahkan menyiasat dakwaan Dr Mahathir bahawa penerbangannya dibatalkan sejurus sebelum berlepas kerana juruterbang mengesan sedikit kerosakan pada pesawat dan pembaikan segera tidak dapat dilakukan.

Bekas perdana menteri itu yang ketika itu hendak menaiki pesawat berkenaan ke Langkawi bagi proses penamaan calon Pilihan Raya ke-14 mendakwa pesawat itu mungkin disabotaj.

Isnin, April 16, 2018

MAHATHIR LARI DARI KUBANG PASU KE LANGKAWI

LANGKAWI, 15 April - Kubang Pasu yang selama ini menaikkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun akhirnya ditinggalkan oleh  Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang itu untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini malam ini.

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri mengumumkan calon daripada partinya, yang akan bertanding di enam kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Semua calon PH akan bertanding di bawah simbol tunggal PKR.

Selain PKR, tiga lagi parti komponen PH ialah PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Antara calon PPBM yang lain adalah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan bertanding di Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Calon lain yang akan bertanding kerusi Parlimen adalah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Wan Saiful Wan Jan (Pendang), Mohd Taufik Yaacob (Baling) dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Jerai).

Calon DUN pula adalah Datuk A. Aziz Mohamud (Ayer Hitam), Halimahton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Mohd Aizad Roslan (Bukit Lada), Syed Fadzil Syed Embun (Kuala Nerang) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Mohd Nazari Abu Hassan (Jeneri), Abdul Rahim Kechik (Bayu), Mohd Saffuan Sabari (Guar Chempedak), Mejar (B) Annuar Abd Hamid (Tanjung Dawai), Datuk Azimi Daim (Bandar Baru), Johari Bulat (Air Hangat) dan Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).

Rabu, April 11, 2018

ZAMAN MAHATHIR MENGUNDI PUN PADA HARI BEKERJA

LUMUT, 10 April (Bernama) -- Penetapan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini yang juga merupakan hari bekerja bukanlah suatu perkara luar biasa sehingga boleh mencetuskan permasalahan kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tarikh tersebut sudah pasti telah dipertimbangkan sebaiknya sebelum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian pada hari bekerja pernah berlaku pada PRU 1995 dan 1999.

Shamsul Anuar berkata penetapan tarikh mengundi pada hari bekerja tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum ini ia pernah dilakukan ketika negara di bawah pemerintahan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Setiap perkara yang dibuat kerajaan atau agensi (kerajaan) akan diputar belit (oleh pihak pembangkang) dan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada rakyat. '

"Sebenarnya mengundi pada hari Rabu (hari berkerja) bukanlah perkara baharu..ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu beberapa kali pilihan raya dibuat pada hari berkerja," katanya.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) berkata, isu berkaitan tarikh pengundian dilihat seperti sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang yang disifatkan mahu menimbulkan kemarahan rakyat.

Katanya, beliau percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi serangan pihak pembangkang yang sudah boleh dijangka terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan 9 Mei nanti.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata BIKUM sentiasa menggerakkan kerja bantuan secara konsisten dan berterusan sejak dahulu lagi dan bukan hanya dilakukan menjelang PRU semata-mata.

Beliau berkata BIKUM memberi jaminan bantuan kepada rakyat akan diteruskan malah akan dipergiatkan dari semasa ke semasa biarpun selepas PRU diadakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

"Kita akan lakukan secara konsisten kerana ia tanggungjawab kita dan sebagai tanda terima kasih parti kepada rakyat yang sentiasa memberi kepercayaan kepada UMNO," katanya.

-- BERNAMA

Ahad, Januari 14, 2018

BN BUKAN TAKUT KEPADA MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Blogger-blogger pro pembangkang menulis kononnya BN takut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) menamakan beliau sebagai bakal PM apabila  PH menangi PRU14. Sebenarnya BN atau Umno bukannya takut kepada Mahathir sebaliknya BN kekalkan tradisi yang diajar oleh Mahathir dahulu.

Cuba ingat kembali apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyertai Parti Semangat 46 pada tahun 1989. Bukankah Mahathir suruh anak-anak buahnya menyerang Ku Li ? Malah dalam perhimpunan agung Umno 1989 setiap perwakilan dari semua negeri menghentam Ku Li.

Tradisi yang diajar oleh Mahathir itu diteruskan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999. Mahathir kerah semua jentera Umno menghentam Anwar dengan mengedar pelbagai video yang kononnya Anwar melakukan hubungan  homosex. Oleh itu jangan kata kepada Umno kelam kabut apabila Mahathir diumumkan sebagai calon PM kerana Umno meneruskan tradisi yang diajar oleh Mahathir.

Umno berhak mempertahankan diri kerana Mahathir mahu menghapuskan Umno yang diasaskannya pada tahun 1988. Mahathir secara terbuka menyerang Umno dan BN maka Mahathir kini adalah musuh nombor satu Umno.

Berjayakah kali ini Mahathir menumbangkan Umno setelah Mahathir mengarahkan mahkamah mematikan Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946? Umno asal ditumbangkan melalui mahkamah oleh Mahathir. Kini Mahathir mahu tumbangkan Umno yang ditubuhkannya pada tahun 1988 melalui PRU.

Ku Li cuba menumbangkan BN sebanyak dua kali melalui PRU 1990 dan 1995. Akhirnya Ku Li sedar bahawa orang Melayu tetap mahu bersama Umno. Maka Ku Li kembali kepada Umno.

Bukan mudah Mahathir mahu menumbangkan Umno kerana ahli Umno sudah tahu bahawa Parti Bersatu tidak akan menang besar menewaskan BN. Sebaliknya DAP yang dapat 35 kerusi akan menjadi parti yang dominan dalam PH kerana Bersatu, Parti Amanah dan PKR tidak dapat menumbangkan Umno lebih lebih lagi dalam pertandingan tiga penjuru bersama PAS.

PRU14 paling sengit dalam sejarah PRU di Malaysia. Maka Umno dan BN tiada pilihan terpaksa menyerang Mahathir habis habisan dalam PRU kali ini kerana beliau mahu menguburkan Umno yang beri kekayaan kepada keluarganya selama 22 tahun menjadi PM.

Oleh itu BN perlu mengemukakan lebih ramai calon muda dalam PRU14.  Orang lama yang sudah menjadi wakil rakyat BN selama dua penggal wajar beri laluan kepada orang baharu. Pilih calon yang diterima akar umbi dan bukannya kerana calon itu sahabat pemimpin atasan. BN perlu berubah. Jika tidak ia akan rebah.

Semoga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar suara akar umbi yang mahu calon yang bersih, berwibawa, mesra rakyat dan baik akhlaknya.


Khamis, Januari 11, 2018

UMNO ATAU MAHATHIR YANG KERAMAT?

KUALA LUMPUR: Seperti kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, PRU yang ke 14 adalah ibu kepada segala PRU. PRU 14 akan menjadi penentu kepada hidup atau matinya BN khasnya atau Umno khususnya.

Apatah lagi Pakatan Harapan (PH) sudah menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM menentang BN yang diketuai PM, Najib Razak. Mampukah Najib mengalahkan Dr Mahathir? Semua orang tahu Najib naik kerana dipilih oleh Mahathir. Dua kali mahathir sebut nama Najib secara terbuka yang mahu Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) melantik Najib sebagai TPM pada tahun 2003. Ketika itu Pak Lah lebih suka melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai timbalannya.

Atas desakan Mahathir, maka Pak Lah lantik Najib sebagai TPM yang baharu. Apabila Najib naik jadi PM pada tahun 2009, rupa-rupanya Mahathir sedar bahawa Najib tidak ikut arahannya. Najib sudah jadi PM. Najib tak perlu ikut cakap Mahathir kerana Najib bukannya mahu jadi PM remote control.

Mahathir keluar dari Umno apabila Pak Lah tak ikut cakapnnya bina jambatan bengkok. Pak Lah batalkan projek Mahathir itu. Mahathir masuk semula Umno apabila Najib jadi PM. Akhirnya Mahathir marah kepada Najib apabila Najib tak ikut cakap Mahathir. Paling Mahathir marah apabila anaknya Datuk Seri Mukhriz kalah bertanding naib presiden Umno pada tahun 2009.

Pembangkang membangkitkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Mahathir yang kecewa dengan kekalahan Mukhriz terikut ikut membangkitkan isu 1MDB yang dibawa oleh pembangkang. Kemuncaknya Mahathir keluar dari Umno setelah Muhyiddin dipecat dari jawatan TPM. Mahathir dan Muhyiddin menyertai Parti Bersatu untuk menentang Umno secara terbuka.

Minggu lepas PH menamakan Mahathir sebagai calon PM sementara jika PH mengalahkan BN pada PRU14. Kali ini Najib berhadapan dengan Mahathir dalam PRU akan datang. Siapakah yang akan menang?

Mampukah Mahathir yang berusia 93 tahun itu kembali sebagai PM? Pemimpin BN menyifatkan pemilihan Mahathir kerana PH sudah tidak ada pemimpin yang layak menjadi PM. Sedangkan dalam PH ramai pemimpin yang boleh ditonjolkan sebagai PM seperti Datuk Seri Azmin Ali. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin tidak setuju dengan pemilihan Mahathir. Baginya, Mahathir lebih layak jadi menteri kanan dan bukannya PM. Jika Karpal Singh masih hidup, dia orang pertama yang akan keluar dari DAP membantah pemilihan Mahathir sebagai calon PM.

Jika PH menang dapatkah Mahathir dipercayai untuk rekomen Anwar kepada Yang Dipertuan  Agong untuk diberi pengampunan penuh? Sebagai PM baharu, Mahathir akan jadi PM BN selama 22 tahun memerintah negara secara kuku besi seperti yang didakwa oleh DAP selama ini. Ketika itu Mahathir tak dengar cakap timbalannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pemimpin parti komponen PH yang lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Mahathir akan wujudkan semula ISA dan akan menangkap semua musuh politiknya dalam BN dan PH. Kemungkinan  itu tetap ada kerana dalam politik tidak ada istilah PM sementara. Mahathir akan deal dengan Anwar jika Anwar jadi PM baharu, Anwar kena lantik Mukhriz sebagai TPM.

Itulah hasrat Mahathir yang sebenar mahu Mukhriz jadi PM. Kalau Mukhriz menang Naib Presiden Umno pada tahun 2013, sudah tentu Mahathir desak Najib lantik Mukhriz sebagai TPM selepas pemecatan Muhyiddin. Tetapi Mukhriz kalah yang menyebabkan Mahathir kecil hati dengan Najib sedangkan Mahathir yang menaikkan Najib sebagai TPM pada tahun 2003.

Mahathir lama jadi PM selama 22 tahun. Sudah tentu ramai ahli Umno yang tak berani masuk Parti Bersatu simpati dengan Mahathir akan undi PH. Ini yang membahayakan BN. Kerana musuh masih ramai dalam selimut. Maka tentangan PH dalam PRU14 amat sengit kerana mereka mahu jatuhkan Najib.

Dapatkah PH mengalahkan BN? Bagi saya, jika ahli Umno setia dengan BN tak kira siapa jadi calon maka BN akan menang besar dalam pertandingan tiga penjuru. Seperti PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, BN lega kerana tugas BN diambil oleh PAS menyerang calon Amanah. PAS tidak serang BN maka pertandingan tiga penjuru yang lebih menguntungkan BN.

Selagi PAS di luar PH, peluang BN amat cerah untuk kekalkan kerajaan. Sepatutnya BN kalah teruk pada PRU 1990 apabila PBS keluar dari BN untuk menyokong gabungan Semangat 46, DAP dan PAS. Tetapi strategi akhir BN menyelamatkan BN.

Kenapa BN menang pada PRU 1990? Ia kerana Umno adalah parti keramat. Siapa yang keramat Umno atau Mahathir akan mendapat jawapan pada hari pembuangan undi nanti. Jika BN menang, maka Umno memang parti keramat sebaliknya jika PH menang memang Mahathir yang keramat.

Bagi saya, peluang BN tetap menang kerana banyak lagi rahsia Mahathir akan didedahkan menjelang PRU14 nanti.


Selasa, Januari 09, 2018

PENGUMUMAN PAKATAN HARAPAN TIDAK MEMERANJATKAN

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pengumuman Pakatan Harapan berhubung calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya ia berkuasa memberi isyarat jelas kepada anggota pakatan itu bahawa sesiapa sahaja boleh dijadikan alat dan disisihkan dalam Percaturan Kuasa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pengumuman siapa yang akan menyandang dua jawatan itu sekiranya pakatan berkenaan memenangi pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) juga mencetuskan 'keadaan yang agak kecoh' kerana beberapa sebab.

"Pertama, semua orang tahu Pakatan tidak ada pilihan, selain menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebagai bakal pardana menteri mereka.

"Menamakan orang lain akan membawa padah kerana Pakatan boleh berkecai dalam masa 24 jam sahaja akibatnya. Maka, jadilah seperti kata orang 'bukankah saya dah nyatakan begitu kepada anda," kata Salleh melalui catatan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Salleh berkata pembangkang juga tidak mempunyai pilihan, selain menamakan presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai bakal timbalan perdana menteri mereka dan sama jugalah, menamakan orang lain untuk jawatan itu umpama 'membunuh diri'.

"Tetapi, tentulah ada pemimpin penting lain yang telah banyak berkorban, termasuk melepaskan jawatan menteri dan jawatan dalam parti.

"Mengapakah nama-nama ini tidak dipertimbang, sebaliknya diketepikan?" tanya Salleh.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calonya untuk menjadi perdana menteri dan Dr Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

-- BERNAMA

Ahad, Disember 31, 2017

DAPATKAH LANGKAWI TERIMA MAHATHIR SEBAGAI AHLI PARLIMEN?

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kemungkinan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mungkin bertanding di satu daripada tiga kawasan ini. Mereka beritahu saya bahawa saya punya peluang baik untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

"Jadi bersiap-siaplah untuk itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata parti itu telah memutuskan segala hubungan dengan PAS dalam soal menjalin kerjasama politik.

"Melainkan kalau orang PAS keluar PAS masuk mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk PPBM, mereka dialu-alukan," katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sedang berusaha merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

Laporan itu antara lain menyebut persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan.

Sebagai balasan, Dr Mahathir kononnya akan berhenti menyerang Najib dan tidak akan lagi bersama Pakatan Harapan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Rabu, Oktober 18, 2017

MAHATHIR HINA KETURUNAN BUGIS



KUALA LUMPUR 17 Okt. - Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keturunan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam himpunan haram anjuran Pakatan Harapan baru-baru ini dilihat hanya merendahkan ilmu pengetahuan bekas Perdana Menteri itu yang membawa kepada keruntuhan sifat beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa.


Penasihat Persatuan Melayu Bugis Selangor Daerah Sepang, Prof. Datuk Dr. Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah al-Haj berkata, Dr. Mahathir dalam hal ini bukan sahaja melakukan serangan peribadi ke atas Najib tetapi telah menghina masyarakat Bugis ke­seluruhannya.


“Apabila Dr. Mahathir menyebut dia (Najib) berasal dari lanun Bugis, entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia, pergi baliklah ke Bugis, itu adalah satu penghinaan kepada bangsa Bugis itu sendiri.

“Secara tidak lang­sung memperlihatkan Dr. Mahathir telah menjatuhkan kredibilitinya se­bagai se­orang pe­­mimpin yang unggul dan tokoh ne­garawan.

“Penghinaan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh sama sekali mengaitkan kepimpinan atas faktor keturunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, Tengku Jamaluddin menyarankan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menarik balik ke­nyataan yang dibuat dan memperakui kesilapannya berhubung masyarakat Bugis.

Selain itu, beliau turut me­ngingatkan ahli-ahli politik di luar sana agar tidak sesekali mengeluarkan kenyataan yang melibatkan hal-ehwal keturunan seandainya tidak me­ngetahui sejarah pembentukan negeri-negeri Melayu di gugusan Tanah Melayu.

“Saya juga sebelum ini pernah menegur dan meminta Datuk Dr. Affifuddin Omar menarik balik kenyataan yang dibuat dan memohon maaf kepada seluruh masyarakat Bugis di atas keceluparan mulut dan keterlanjuran kata-katanya di dalam forum Mencari Pemimpin Baru Malaysia di Dewan Sivik MBPJ pada 23 Mei 2015,” katanya.


Ahad, September 17, 2017

MAHATHIR DIMINTA LIHAT KENYATAANNYA 12 TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar melihat semula kenyataannya yang dibuat 12 tahun lalu yang menyatakan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melabur lebih banyak di seberang laut agar pencarum dapat menerima dividen yang lebih baik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April 2005, justeru amat mengejutkan apabila beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan mengkritik pelaburan Khazanah serta KWSP di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Berita untuk mengingatkan beliau (Dr Mahathir) boleh dibaca di http://tinyurl.com/epf-DrM2. Pada masa itu beliau (Dr Mahathir) berkata KWSP mempunyai dana yang besar berjumlah RM240 bilion dan pelaburan domestik bermakna pulangan yang rendah. Beliau berkata KWSP mesti melabur di luar negara bagi meningkatkan pendapatannya.

"Hari ini, setakat akhir Jun 2017, dana KWSP mencecah RM759.78 bilion - lebih tiga kali ganda berbanding ketika Dr Mahathir membuat kenyataan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata KWSP sudah menjelaskan bahawa pelaburan luar negara mereka, atau 29 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, menyumbang 32.5 peratus kepada pendapatan pelaburan keseluruhan bagi suku kedua 2017.

Ahmad Shabery berkata pelaburan seberang laut juga memberi pulangan atas pelaburan tahunan 11.10 peratus setakat Jun 2017 , jauh mengatasi prestasi pelaburan tempatan KWSP.

"Saya terkejut bila tahu Tun (Dr Mahathir) sekarang sudah menukar fikiran dan pandangan dengan mengkritik pelaburan Khazanah dan KWSP di AS. Ini menunjukkan beliau bermain politik kebencian sambil mengetepikan kebajikan serta kepentingan rakyat," katanya.

Menurut Ahmad Shabery, melabur di luar negara bukan perkara baharu bagi Khazanah dan KWSP.

Khazanah telah membuka pejabat di Lembah Silikon, AS pada 2013 dan pada 2014, Khazanah memperoleh lebih US$1 bilion menerusi penyenaraian Alibaba di AS, pulangan lima kali ganda pelaburan mereka, katanya.

Menurut beliau sebahagian besar dana untuk pelaburan semasa berjumlah US$400 juta dalam firma teknologi di AS datang daripada keuntungan Alibaba.

"KWSP juga merekodkan kejayaan besar menerusi pelaburan dalam projek infrastruktur di seberang laut. Pada 2013, KWSP bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby dan SPT Setia yang pemegang saham utamanya ialah PNB (Permodalan Nasional Berhad), dianugerahi projek bernilai berbilion pound untuk membangunkan Battersea di London," katanya.

Menurutnya projek Battersea merupakan projek berpotensi besar yang bermakna lebih banyak keuntungan akan diperoleh syarikat-syarikat terbabit.



"Saya harap Tun dan (pakatan pembangkangnya) Pakatan tidak mencetuskan keraguan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat pengurus dana profesional terbabit memandangkan mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaburan di luar negara.

"Kejayaan mereka bermakna rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada keputusan mereka melabur di luar negara. Adakah salah untuk pemegang dana ini mencari pelaburan terbaik, sama ada di dalam mahupun di luar negara, yang akan memaksimum pulangan simpanan rakyat biasa," soalnya.



-- BERNAMA

Selasa, Ogos 15, 2017

TEMBELANG MAHATHIR SUDAH PECAH

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jawapan yang tidak memuaskan berkaitan peristiwa Memali oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan punca utama berlakunya kekecohan semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Ahad lepas.

Majlis anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kecoh apabila ada individu yang membaling selipar, botol air, kasut dan menyalakan suar ke arah Dr Mahathir, ketika Pengerusi PPBM itu menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa Memali, Baling Kedah.

"Semua pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kekecohan tercetus kira-kira 5.10 petang Ahad lepas apabila peserta mula membaling selipar dan sebagainya sehingga keadaan panik berlaku dan peserta terpaksa berlari keluar dari Dewan Raja Muda Musa, itu untuk menyelamatkan diri.

Beberapa individu cedera ringan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri.

Ulasan saya, tembelang Mahathir sudah pecah. Apa yang berlaku pada Ahad lepas sudah dirancang oleh penyokong Mahathir kerana beliau gagal menjawab dua soalan sensitif  mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Memali.

Kenapa penganjur gagal menjalankan pemeriksaan ketat kepada semua hadirin sehingga orang yang membawa suar boleh terlepas. Masihkah kita ingat pada reformasi di Kg Baru pada tahun 1998 oleh para penyokong Anwar?

Bukankah Mahathir yang mengarahkan supaya buat rusuhan di Kg Baru yang kononnya ia dicetuskan oleh puak reformasi? Maka taktik yang sama digunakan oleh Mahathir Ahad lepas selepas hadirin tak puas hati dengan jawapan beliau.

Sepatutnya penganjur kena bertanggungjawab apa yang berlaku kerana gagal mengawal keselamatan. Oleh itu menyalahkan puak Umno kerana merancang rusuhan itu berlaku amat dangkal. Yang peliknya Lim Kit Siang keluar awal dari dewan seolah olah sudah tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Ini bermakna mereka sudah merancang dari awal.

Sabtu, Ogos 05, 2017

BERANIKAH MAHATHIR SAHUT CABARAN ZAHID UNTUK BUAT SUMPAH LAKNAT?

BALING, 5 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan kesediaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.

Timbalan perdana menteri menyatakan kerelaan hati untuk disiasat SPRM bagi membetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan, namun pada masa sama turut meminta harta bekas perdana menteri dan keluarganya juga disiasat suruhanjaya tersebut.

"Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu (Dr Mahathir). Pada masa sama saya minta aset beliau dan keluarga beliau juga disiasat SPRM. Ini bukan cabaran, cuma minta baru namanya telus. Jangan dok tuduh orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Baling di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu merangkap Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya. Bagaimanapun Dr Mahathir menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu.

Timbalan perdana menteri menjelaskan pada masa itu beliau merupakan ahli perniagaan dengan turut menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam, pengerusi tiga syarikat tersenarai awam dan pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan kesanggupan membuat sumpah laknat di mana-mana masjid di negara ini sekiranya ada pihak mengatakan beliau berbohong tentang mempunyai rakaman perbualan Dr Mahathir yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Dr Mahathir juga perlu sanggup membuat sumpah laknat berhubung tuduhan dilemparkan terhadap dirinya.

"Kalau sumpah laknat saya sanggup buat, beliau pun mesti juga sanggup buat (sumpah laknat), dia (Dr Mahathir) patah balik kata saya (dakwa saya cadangkan untuk jatuhkan Najib)," katanya.

Semalam ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun, Ahmad Zahid mendedahkan bekas presiden UMNO itu sebenarnya dalang disebalik usaha untuk menyingkirkan Najib dan beliau memiliki cukup bukti dalam bentuk rakaman.

Ulasan saya, beranikah Mahathir menyahut cabaran Zahid untuk buat sumpah laknat di mana mana masjid? Jika beliau tidak berani ini bermakna Mahathir memang bercakap bohong.

FAKTOR MAHATHIR DAN SKANDAL 1MDB PUNCA BN KALAH?

KUALA LUMPUR: Lucu baca laporan Global Risk Insights  (GRI) yang mengatakan BN bakal kalah dalam PRU 14 kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dan skandal 1MDB.

GRI adalah penerbitan antarabangsa yang diasaskan di London School of Economics (LSE). Bagi saya penemuan yang dibuat oleh GRI belum tentu tepat.

Mahathir sekarang tak sama dengan Mahathir dahulu. Mahathir dahulu kuat kerana disokong oleh semua bangsa. Sekarang pembangkang pun berpecah sesama sendiri. GRI ingat ikhlas ke PKR terima Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH)? Takkan pemimpin PKR sudah lupa apa yang Mahathir buat kepada pejuang mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai lebam ditumbuk Tan Sri Rahim Noor. Siapa yang arah Rahim Noor kalau bukan Mahathir?

Oleh itu mereka bersatu menentang BN tetapi sesama sendiri mereka curiga. Anwar sudah hampir jadi PM tetapi Mahathir singkirkannya kerana kononnya Anwar tak bermoral. Mahathir tangkap Anwar di bawah ISA. Takkan Anwar, Lim Kit Siang, Mat Sabu sudah maaafkan Mahathir yang tangkap mereka tanpa bicara?

Mahathir dahulu ada kuasa bolehlah guna segala kuasa untuk menakut-nakutkan musuh politiknya. Sekarang Mahathir tidak ada kuasa. Siapa yang berani ikut Mahathir secara terbuka? yang ikut mereka orang yang sudah tiada jawatan seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Zainuddin Maidin, Kadir Jasin.

Najib dengan segala jentera yang ada akan gunakan seperti mana Mahathir guna. Bagi saya peluang terbaik BN untuk tumbang dalam PRU ketika dalam PRU 1990. PBS keluar dari BN menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Parti Semangat 46,PAS dan DAP. Tapi BN mampu menang di saat saat akhir.

Begitu juga ketika Anwar Ibrahim berada di luar memimpin PKR, PAS dan DAP sepatutnya Pakatan Rakyat sudah menang pada PRU 2013 tetapi BN tetap menang walaupun tak dapat majoriti dua pertiga.

Oleh itu faktor Mahathir bukan boleh menumbangkan BN. Apabila Ku Li menentang BN, ucapan Ku Li dalam Umno digunakan untuk menunjukkan beliau tidak konsisten. Begitu juga apabila Anwar menentang BN, ucapan Anwar dalam Umno dimanupulasikan oleh BN untuk menunjukkan dahulu lain sekarang lain Anwar.

Sekarang giliran BN pula menggunakan ucapan Mahathir dalam Umno untuk menunjukkan dia u turn menyokong DAP pula. Jadi apa yang BN buat sekarang dipelajari dari apa yang dibuat Mahathir dahulu.

Skandal 1MDB tidak beri kesan kepada pengundi luar bandar. Lagipun 1MDB sudah buat pelan rasionalisasinya. Selagi PAS tidak bersama PH maka BN ada peluang untuk mengekalkan kerajaan pada PRU akan datang.

GRI kata skandal rasuah akan mengalahkan BN termasuk PKRZ. Macam mana kita mahu percaya laporan GRI kerana skandal PKRZ berlaku di zaman Mahathir dan bukannya zaman Najib. Nampak sangat laporan GRI tidak tepat.

Bagi saya BN tetap menang dalam PRU akan datang kerana BN ada senjata akhir untuk mengalahkan Mahathir. Sama sama kita tunggu.

Selasa, Ogos 01, 2017

JIKA BETUL MAHATHIR DARI KERALA, KENAPA PERLU MALU?

KUALA LUMPUR: Jika betul keturunan ayah Tun Dr Mahathir Mohamad berasal dari Kerala, India kenapa beliau perlu malu? Sepatutnya beliau bangga kerana sebagai bukan Melayu tulen beliau dapat menjajah orang Melayu selama 22 tahun.

 Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Dr Mahathir memperalatkan orang Melayu untuk menjadi juara orang Melayu. Dengan buku Malay Dilemma yang diterbitkan pada tahun 1970 Dr Mahathir kelihatan lebih Melayu dari orang Melayu.

 Orang Melayu terpesona dengan Dr Mahathir yang menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Selama ini tiada orang Melayu yang berani menentang anak Raja. Maka Dr Mahathir dijulang sebagai pejuang nasib orang Melayu.

 Kebencian Dr Mahathir kepada anak Raja diterjemahkan dengan menyokong Tun Musa Hitam menentang Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih senior untuk jawatan timbalan beliau. Orang Melayu patuh kepada ketua.Maka menanglah Musa dalam pertandingan 1981 itu.

 Tetapi Musa kena main dengan Dr Mahathir. Beliau kekalkan Ku Li sebagai Menteri Kewangan yang membimbangkan Musa untuk meseimbangkan pengaruh Musa supaya jangan terlalu cepat nak jadi PM.

Dr mahathir amalkan politik pecah dan perintah. Beliau biarkan Musa dan Ku Li bergaduh untuk kekalkan kuasanya. Ku Li kalah kali kedua menentang Musa pada tahun 1984 tetapi Dr Mahathir kekalkan Ku Li dalam kabinet.

Musa tergamam dengan politik pecah perintah Dr Mahathir akhirnya beliau meletakkan jawatan TPM pada tahun 1986.Musa akhirnya bergabung dengan Ku Li dalam menjatuhkan Dr Mahathir. Ku Li hampir hampir menumbangkan Dr Mahathir tetapi Pemangku Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelamatkan nyawa Dr mahathir yang menang dengan majoriti 43 undi.

 Ketika pemilihan 1987 isu Mahathir anak lelaki Iskandar kutty sudah dimainkan oleh Team B. Tapi perwakilan Umno mengekalkan Dr Mahathir sebagai Presiden Umno.Mereka anggap isu ini sudah basi.

 Ahad lalu keturunan Dr Mahathir diungkitkan kembali oleh Dr Zahid yang berasal dari tanah Jawa. Di Malaysia ini mana ada Melayu tulen semuanya berasal dari Bugis, Minang, Jawa, Jambi, Acheh tetapi mereka penduduk asal Tanah Melayu dan bukannya imigran seperti ayah Dr Mahathir.

 Apa yang diungkitkan oleh Dr Zahid bukan mengenai keturunan Dr Mahathir tetapi kenapa nama asal beliau Mahathir anak lelaki Mohamad Iskandar Kutty ditukar kepada Mahathir bin Mohamad.


Kenapa Dr Mahathir tukar nama di kad pengenalannya. Adakah kerana keluarga Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak mahu terima orang yang ada nama anak lelaki menjadi menantunya? Keluarga bapa mertua Dr Mahathir amat terkenal di Selangor.

 Yang diungkitkan oleh Dr Zahid bukannya kerana keturunan Dr Mahathir dari Kerala, India tetapi kenapa Dr mahathir sanggup memalsukan surat beranak dan kad pengenalannya dari anak lelaki kepada bin. Ini yang dipersoalkan oleh Dr Zahid.

Pembangkang marahi Dr Zahid yang mainkan isu keturunan sedangkan dahulu ketika Dr Mahathir berkuasa, pembangkang turut main isu Mahathir adalah mamak dan bukannya orang Melayu tulen. Pembangkang sudah lupa ke?

Rabu, Julai 26, 2017

CUKUPLAH MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Apa akan jadi jika Datuk Mukhriz menang bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2013? Adakah Tun Dr Mahathir akan mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak? Tanya seorang veteran ketika minum di Restoran Nagas dekat PWTC petang semalam. Walaupun Nagas sudah bertukar nama Restoran Al Raziq tetapi ia tetap popular dengan nama Restoran Nagas,

Veteran itu bukannya ada jawatan dalam Umno tetapi sebagai bekas pegawai kerajaan beliau memantau apa yang bekas Perdana Menteri 22 tahun itu buat untuk orang Melayu. Katanya, jika Mukhriz menang hari itu Dr Mahathir tidak akan mengkritik PM sekarang sebaliknya akan mendesak Najib melantik Mukhriz sebagai TPM selepas perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dr Mahathir ingatkan selepas bersara pada tahun 2003 beliau akan mati setahun kemudiannya. Tetapi Allah lanjutkan usianya. Dah 14 tahun bersara tetapi tak mati mati. Beliau pun tak sangka Najib yang dididiknya tidak mengikut arahannya supaya duitnya dari luar negara dapat masuk. Najib sebagai Menteri Kewangan dikatakan tidak meluluskan permohonan Dr Mahathir punca kemarahan Dr Mahathir kepada Najib memuncak.

Tetapi Najib lebih kebal dari Pak Lah, Dr Mahathir tekan Pak Lah sehingga keluar dari Umno, Dr Mahathir balun Pak Lah akhirnya BN tak dapat dua pertiga dan Pak Lah beri laluan kepada Najib jadi PM. Dr Mahathir ingatkan Najib akan menjadi mangsa seterusnya sebaliknya Najib steady dan Dr Mahathir terpaksa mengasaskan parti baru Bersatu untuk tentang PM.

Veteran itu berhujah dari satu segi Dr Mahathir untung berada di sebelah pembangkang kerana pembangkang tidak akan korek kesalahannya lagi. Zaman Mahathir, Lim Kit Siang suruh tubuh Suruhanjaya Diraja mengenai Forex, Mahathir arah Menteri Kewangan kata tak perlu. Tetapi bila Dr Mahathir terlalu lantang mengkritik kerajaan maka kerajaan terpaksa menubuhkan Suruhanjaya Diraja tersebut yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang dahulu. Lim senyap tak dapat kata apa.

Agaknya betullah seperti kata bekas Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Nur bahawa beliau minta Allah panjangkan usia Dr Mahathir supaya beliau dapat melihat kesilapan yang dilakukannya selama ini. Sudah ramai yang jadi mangsa politik Dr Mahathir seperti Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pak Lah.

Dengan tokoh tokoh tersebut Dr Mahathir berjaya cantas mereka tetapi dengan Najib beliau gagal kerana rakyat sudah sedar bahawa perjuangan Dr Mahathir bukan kerana bangsa tetapi kerana dendam di atas kekalahan anaknya Mukhriz. Kalau Ku Li boleh bubarkan Parti Semangat 46 selepas dua kali kalah dalam pilihanraya umum, Dr Mahathir perlu kembali ke pangkal jalan selepas Bersatu gagal menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Selasa, Julai 18, 2017

TINDAKAN MAHATHIR BERMOTIFKAN DENDAM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bermotifkan dendam kerana sering mengeluarkan pelbagai kenyataan berupa tohmahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mendakwa Dr Mahathir sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan menganggap tuduhan yang dilemparkan bekas perdana menteri itu tidak berprinsipkan moral.

"Dr Mahathir sebenarnya kecewa dengan kekalahan anaknya (Datuk Seri Mukhriz) sebanyak tiga kali iaitu tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, kalah jawatan Naib Presiden UMNO dan diturunkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Ini yang menyebabkan Dr Mahathir melupakan prinsip moral yang dipegang sebelum ini dan sanggup berpakat dengan pembangkang untuk membalas dendam dalam menjatuhkan Najib,"katanya dalam sidang media selepas melancarkan 'EzCab', aplikasi e-hailing pertama di Malaysia yang menyediakan butang SOS untuk keselamatan pengguna teksi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan semasa politik tanah air.

Mohamed Nazri berkata pihak pembangkang juga dilihat sudah tidak relevan jika parti itu masih dibarisi pemimpin-pemimpin lama dan terus mempunyai konflik dalaman yang berpanjangan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri turut menyatakan sokongannya terhadap Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekiranya Jamal mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.

"Sekiranya Khairy Jamaluddin mahu melepaskan jawatan itu, dia (Jamal) boleh sahaja bertanding. Jamal adalah calon yang baik dan selagi beliau adalah ahli Umno, kenapa tidak?, Saya sokong sekiranya Jamal mahu bertanding,"katanya.

-- BERNAMA
v

Isnin, Mei 29, 2017

NAJIB LEBIH LIBERAL DARI DR MAHATHIR



KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak boleh dibandingkan dengan bekas anak didiknya, Datuk Seri Najib Razak.

"Jangan bandingkan saya dengan Najib. Saya membenarkan banyak perkara untuk dilaksanakan walaupun terdapat orang yang mencabar saya dalam parti saya.

"Najib memecat orang. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau, akan diusir," kata Dr Mahathir dalam satu temubual bersama Financial Times.

Dr Mahathir berkata demikian selepas wartawan Financial Times yang menemubualnya cuba memberitahu bahawa beliau melakukan perkara sama ketika menjadi perdana menteri.

Dakwaan itu dinafikan Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang merupakan pengkritik paling lantang Najib turut memberitahu bahawa beliau tidak mencuri wang negara dan berpuas hati dengan gajinya semasa menjadi perdana menteri.

"Saya gembira hidup dengan gaji saya yang mana bagi saya agak besar, lebih daripada cukup untuk keperluan saya," katanya.


Selain itu, perdana menteri keempat Malaysia itu juga berkata, ketika meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, negara ini dalam keadaan baik dan sedang menuju sebuah negara maju menjelang 2020.

"Sudah tentu, mereka (penggantinya) tidak dapat mencapai matlamat itu," kata Dr Mahathir lagi.

Perdana menteri didakwa terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dengan wang RM2.6 bilion didakwa didepositkan ke akaun peribadinya.

Bagaimanapun, perdana menteri secara konsisten menafikan dakwaan berkenaan.

Dr Mahathir yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi pengkritik pentadbiran Najib sejak 2015.

Dalam usaha untuk menjatuhkan perdana menteri, Dr Mahathir juga mula bekerjasama dengan bekas musuh politiknya dengan menyertai pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).


"Apa yang berlaku pada masa lalu bukan lagi menjadi satu masalah.

"Saya bersedia untuk bekerja dengan mereka dan mereka juga bersedia untuk bekerja dengan saya kerana kita mempunyai matlamat yang sama - menumbangkan kerajaan," kata Dr Mahathir lagi.

Ulasan saya, memang Dr Mahathir tidak boleh dibandingkan dengan Najib kerana Najib yang menghapuskan ISA sedangkan Dr Mahathir seringkali menyalahgunakan ISA untuk menahan pengkritiknya seperti Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib menggubal SOSMA yang dikatakan lebih zalim dari ISA tetapi Najib tidak pernah menggunakan SOSMA untuk menahan musuh politiknya.

Di zaman Najib akhbar bebas mengkritik Najib tetapi kalau akhbar mengkritik Dr Mahathir alamatnya akhbar itu akan dibatalkan permit. Jadi siapa yang lebih liberal? Adakah Dr Mahathir atau Najib?

Selasa, April 18, 2017

MAHATHIRLAH MALA PETAKA KEPADA ORANG MELAYU



Dalam posting terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog chedet.cc beliau menulis bagi orang Melayu penubuhan PAS adalah satu malapetaka. Ia memecahbelah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya tumpas Malayan Union. Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi.

Benarkan dakwaan Dr Mahathir bahawa PAS parti yang memecahbelahkan orang Melayu? PAS dari dahulu hingga sekarang tetap tidak berubah. Pemimpinnya yang berubah menubuhkan Hamim, Berjasa dan Amanah. Dari segi akar umbi PAS tetap kuat. PAS tetap parti yang menjadi saingan Umno sekalipun sudah ada PKR.

Dr mahathir marah kerana PAS enggan bersama Pakatan harapan untuk menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU akan datang. Baginya, bila PAS bertanding tiga penjuru dengan BN dan Pakatan Harapan maka peluang BN untuk menang besar adalah  lebih cerah.

Bagi saya, bukan PAS memecahbelahkan orang Melayu sebaliknya Dr mahathir yang memecahbelahkan Umno parti majoriti orang Melayu. Beliau rela perwakilan Umno pilih timbalan presiden pada tahun 1981 sama ada Tengku Razaleigh hamzah atau Datuk Musa hitam kerana tak mahu lantik Ku Li sebagai TPM seperti yang disarankan oleh Tun Hussein onn.

Sebaliknya beliau sebagai PM baharu boleh lantik Ku Li sebagai TPM jika beliau berpegang teguh dengan pesanan Hussein Onn. Tetapi beliau lebih suka politik "divide and rule" yang menyebabkan Umno ada kem Musa dan kem Ku Li.

Apabila Musa memenangi jawatan timbalan presiden kali kedua pada tahun 1984 beliau mengekalkan Ku Li sebagai menteri dalam kabinetnya yang menyebabkan Musa merajuk dan meletakkan jawatan sebagai TPM. Dr mahathir mengekalkan politik "divide and rule".

Pada tahun 1987 Ku li tewas tipis di tangan Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno menyebabkan penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah. Penyokong Ku Li mahu pemilihan semula jawatan Presiden Umno diadakan tetapi Dr Mahathir lebih rela Umno diharamkan kerana beliau mahu tubuhkan Umno baru yang tidak membenarkan Ku Li dan Musa menyertai parti tersebut.

Maka keegoan Dr Mahathir ini menyebabkan Ku Li menubuhkan Parti Semangat 46. Siapa punca penubuhan Semangat 46? Bukankah Dr Mahathir? Jika Dr mahathir membenarkan Ku Li menyertai Umno baru sudah tentu Semangat 46 tidak wujud.

 Dua kali kalah dalam PRU 1990 dan 1995, Ku Li membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno. Tiga tahun kemudian Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan TPM dan dari Umno menyebabkan penyokong Umno mengadakan reformasi dan tunjuk perasaan setiap minggu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Akhirnya Anwar menyertai PKR. Siapa punca penubuhan PKR? Bukankah Mahathir? Jika Mahathir tidak pecat Anwar dari Umno, sudah tentu PKR tidak wujud. Begitu juga apabila anaknya Mukhriz kalah bertanding jawatan naib presiden Umno pada tahun 2013, beliau keluar dari Umno kononnya kerana isu 1MDB. Sebaliknya isu peribadi anaknya. Lalu beliau menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentang Umno. jadi siapakah punca perpecahan orang Melayu? Adakah PAS atau Dr mahathir?
Oleh itu Dr mahathirlah mala petaka kepada orang melayu dan bukannya PAS. Beliau sanggup bersekongkol dengan DAP yang selama ini dianggap rasis. Sekarang DAP tak rasis lagi katanya. Jadi siapa yang jadi alat DAP sekarang? Bukankah Dr mahathir? PAS sudah insaf. Sebab itulah PAS tak mahu bersubahat dengan DAP lagi.







Rabu, Februari 15, 2017

MAHATHIR AKUI BN MENANG JIKA PAS BERADA DI LUAR

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- UMNO atau Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan meraih kemenangan sekiranya PAS enggan menyertai Pakatan Harapan serta meletakkan calon dalam pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Penyokong parti lawan akan berbelah bagi dan ini bermakna PAS menolong UMNO atau BN mendapatkan kemenangan. Mana-mana parti, kalau jadi tiga penjuru, maka niat itu adalah untuk menyokong UMNO dan BN," katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata PPBM tidak akan merayu kepada pemimpin PAS untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun tempoh sebulan diberikan untuk membuat keputusan itu.

"Kami telah cuba menyelesaikan kebuntuan ini dan kami bersabar... Saya tidak akan merangkak dan mencium kaki pemimpin PAS.

"Tetapi kami terbuka dan masih memberikan PAS masa sebulan walaupun mereka kata ini tidak perlu," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan ketua-ketua bahagian PPBM Semenanjung Malaysia di sini semalam


Pada 1 Feb lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di ibu negara bagi merintis jalan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Ditanya sekiranya PAS hanya mahu bekerjasama dengan PPBM dan bukan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP, Dr Mahathir berkata:

"Bersatu tidak boleh melepaskan kerjasama dengan DAP, kerana parti itu ketika ini menguasai 36 kerusi di Dewan Rakyat, sementara PAS, bukan merupakan parti pembangkang terbesar, mempunyai kurang daripada 26 kerusi."

-- BERNAMA