Isnin, November 22, 2010

KAJI SEMULA JUARA RAKYAT


Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu mengkaji semula keberkesanan program Juara Rakyat bagi memastikan ia sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia sangat penting bagi memastikan program yang baik itu mampu mencapai matlamat di samping benar-benar memberi kesan serta manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ia sekadar cukup syarat dan hanya melibatkan aktiviti biasa yang tidak mencapai objektif asal pelancarannya secara keseluruhan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian, di Beaufort semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Aliasnih; Ketua Wanita bahagian, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Pemuda bahagian, Mohd. Ishak Ibrahim.

Lajim berkata, sebagai contoh, terdapat beberapa kes program Juara Rakyat yang diadakan hanya melibatkan pertandingan badminton.

“Saya boleh terima jika itu hanya program sampingan tetapi jika program utama, ia memang satu pembaziran kerana kesannya tidak akan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lajim yang juga Ketua UMNO bahagian menegaskan, matlamat program Juara Rakyat adalah mendekati rakyat di peringkat akar umbi selain membantu serta menyelami permasalahan dihadapi.

Katanya, penganjuran program tersebut juga alternatif parti bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di setiap bahagian dan sebagai wadah memperkukuhkan perpaduan di kalangan ahli parti.

Menurutnya, apabila pengisian program Juara Rakyat hanya melepaskan batuk di tangga, sudah tentu matlamatnya tidak tercapai dan rakyat pula tidak menerima manfaat daripadanya.

“Kita kena kaji semula konsep dan pengisian program Juara Rakyat yang kita anjurkan.

“Jika tidak, ia akan hanya menjadi program yang tidak memberi kesan jangka panjang kepada rakyat dan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, penyertaan parti komponen BN terhadap program Juara Rakyat setakat ini masih hambar.

Katanya, disebabkan penyertaan dingin parti komponen BN tersebut, ada pihak menganggap program Juara Rakyat hanyalah program UMNO