Sabtu, Mei 12, 2018

APABILA BN BUKAN LAGI KERAJAAN PUSAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya kerajaan simple majoriti. Untuk memerintah dengan stabil, PH memerlukan majoriti dua pertiga. Maka rundingan sedang dibuat oleh pihak PH untuk membeli ahli- ahli parlimen BN.

Di Sabah, Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar selaku ADUN Kemabong telah melompat menyertai Warisan. Tindakan beliau selaku bekas pegawai khas Datuk Seri Shafie Apdal tidak menghairankan jika beliau mengikut bekas bossnya itu demi pembangunan rakyat Kemabong.

Kini BN bukan lagi kerajaan pusat. Maka jika dia kekal dengan BN rakyat Kemabong  akan rugi. Tiga orang ADUN BN yang melompat parti Warisan menyebabkan kedudukanTan Sri Musa Aman yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kelmarin goncang. Shafie dikatakan sedang menunggu Yang Dipertua Negeri Sabah memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud dikatakan telah berunding dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya PPB meninggalkan BN dan menyertai PH.

Akan tetapi Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen tidak bersetuju dengan desas-desus PBB mungkin meninggalkan BN dan menyertai gabungan parti pemerintah yang baru.

"Kami tidak akan terima sebarang parti BN Sarawak untuk menyertai kami, termasuklah PBB.

"Menerima PBB ke dalam HARAPAN samalah seperti Umno menyertai HARAPAN di peringkat nasional," kata Chong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata HARAPAN Sarawak telah berjuang melawan rejim kerajaan negeri BN yang 'korup' itu dan membenarkan mereka menyertai gabungan parti pemerintah persekutuan itu akan 'membersihkan' perbuatan 'korupsi' BN Sarawak.

Dalam masa dua minggu ini pelbagai senario politik akan berlaku. Jika benar PBB meninggalkan BN maka memang sukar mencari kawan yang setia seperti lagu D.J. Dave "Kawan Yang Setia" berkumandang di kaca televisyen. BN akan kenal siapa kawan yang setia apabila tewas di peringkat pusat.

Bukan senang mengetuai kerajaan negeri yang tidak selari dengan kerajaan pusat. Demi rakyat negeri apa salahnya ia meninggalkan pakatan yang lama asalkan pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.