Sabtu, Mac 03, 2018

EMPAT TAHUN KEHILANGAN MH370 BERLALU

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- "Mak akan tetap tunggu kau nak, selagi hayat dikandung badan. Mak tak akan mengalah," itu luahan perasaan Kamariah Sarip, ibu kepada Mohd Razahan Zamani, seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang hilang empat tahun lalu.

Walaupun sekian lama masa berlalu, namun bagi Kamariah, 59, doa dan harapan sentiasa meniti di bibir dan mindanya agar anak dan menantunya, Nurli Akma Hamid, yang turut berada dalam pesawat berkenaan, dapat ditemui dalam keadaan selamat.

"Saya terlampau rindukan dia. Bila saya rindu (Mohd Razahan), saya akan peluk cium baju dia. Kalau saya dah tiada, saya tak akan jumpa dia sampai bila-bila. Lepas arwah bapa dia meninggal, dia pula hilang, kini saya macam dah patah sayap.

"Walaupun ada pihak yang cuba berkata buruk (mengenai kehilangan pesawat itu), saya akan tepis dan yakin Allah tahu di mana mereka berada.

"Apa yang saya pegang hingga kini adalah jika betul dia dah meninggal dunia, kenapa tiada sijil kematian?," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Memperingati MH370 Kali Ke-empat, di sini hari ini.

Program berkenaan diadakan bagi mengenang peristiwa kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pada 8 Mac 2014.

Selain memberi peluang kepada orang ramai memberi sokongan moral kepada ahli keluarga para penumpang, sesi ceramah, persembahan dan aktiviti menampal mesej ucapan di dinding turut diadakan.

Nurlaila Ngah@Awang, 44, isteri ketua pramugara, Wan Swaid Wan Ismail berkata beliau dan anak-anak semakin tabah dan kental untuk meneruskan hidup.

"Kehidupan kami berjalan seperti biasa walaupun kesedihan yang teramat sangat itu masih ada dan sampai hari ini saya masih teringatkan dia dan merinduinya.

"Walaupun saya akui agak rumit besarkan mereka seorang diri, tetapi saya berusaha untuk mencekalkan diri dengan menghadiri kelas agama dan mendekati Tuhan, saya rasa mendapat petunjuk," katanya, tenang.

Intan Maizura Othman, 37, isteri pramugara, Mohd Hazrin Hasnan pula berkata walaupun sukar menguruskan dua anaknya berseorangan, beliau bersyukur kedua-duanya kini membesar dengan sihat.

"Kalau dulu anak sulung (perempuan) asyik bertanyakan tentang ayahnya, kini dia yang sudah berusia sembilan tahun lebih matang dan faham. Buatkan saya senang nak terangkan situasi tersebut kepada dia.

"Saya kini lebih realistik dan terima apa jua kenyataan kerana sebagai umat Islam, kita kena redha dan jalani kehidupan seperti biasa dan sentiasa bersabar dengan dugaan yang datang," kata ibu kepada Iman dan Muhammad, 4.

-- BERNAMA