Sabtu, Ogos 13, 2016

AHI UMNO YANG MASIH SOKONG MUKHRIZ DIMINTA KELUAR DARI UMNO

JITRA, 12 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata sekiranya anggota terbabit kekal dalam UMNO, ia hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baharu seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Johari berkata ini kerana sekiranya anggota parti yang menyokong Mukhriz dihalang daripada keluar parti berkemungkinan mereka ini akan menjadi duri dalam daging yang mana mereka akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Beliau berkata UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Katanya krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi Perdana Menteri selama 30 tahun," katanya.

Ujarnya anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA

SAYA MINTA MAAF KEPADA TPM, MB DAN HAJI PA

Saya ingin minta maaf kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pegawai Khas MB, Haji Mustapha Abdul Rahman  mengenai rundingan sulit di Mekah.

Dua bulan lalu kawan saya Haji Pa telah menunaikan umrah di Mekah. Kebetulan TPM turut menunaikan juga umrah di bulan Ramadhan tersebut di mana Zahid tiba seminggu kemudian daripada Haji Pa. Maka Haji Pa masukkan gambar beliau dengan TPM dalam Facebooknya.

Pada masa yang sama saya mahu uji kebenaran kata kata orang bahawa ada seorang kawan saya yang tak boleh simpan rahsia. Maka saya uji beliau dengan mereka cerita kononnya ada rundingan sulit di Mekah yang mahu Haji Pa jadi MB Terengganu selepas PRU akan datang. Cerita ini memang tidak masuk akal tetapi kawan saya percaya 100 peratus. Untuk menguatkan hujah saya, saya beritahunya jangan cerita kepada sesiapa.

Seperti mana saya jangka dari awal, rahsia sulit itu akhirnya sampai ke teingan kawan saya yang lain pula. Sudah sah kawan saya itu tidak dapat simpan rahsia. Kawan saya tanya saya mengenai kebenaran cerita tersebut. Saya kata tak logik langsung cerita tersebut kerana cerita itu adalah rekaan saya semata-mata.

Ada orang yang menuduh saya melaga-lagakan Haji Pa dengan MB. Sata tidak sangka cerita rekaan saya ini dianggap serius oleh kawan saya dan beliau sebarkan cerita rekaan saya itu kepada semua kawan-kawannya, Saya ingin menafikan bahawa cerita rundingan sulit di Mekah adalah tidak benar. Oleh itu saya minta maaf kepada Zahid, Razif dan Haji Pa kerana cerita rekaan itu diletupkan oleh kawan saya kelmarin dengan tujuan untuk mengesahkan cerita tersebut. Saya amat kesal kerana nama mereka bertiga dilibatkan dalam cerita rekaan ini. Oleh itu saya mohon maaf.