Sabtu, Ogos 13, 2016

AHI UMNO YANG MASIH SOKONG MUKHRIZ DIMINTA KELUAR DARI UMNO

JITRA, 12 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata sekiranya anggota terbabit kekal dalam UMNO, ia hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baharu seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Johari berkata ini kerana sekiranya anggota parti yang menyokong Mukhriz dihalang daripada keluar parti berkemungkinan mereka ini akan menjadi duri dalam daging yang mana mereka akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Beliau berkata UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Katanya krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi Perdana Menteri selama 30 tahun," katanya.

Ujarnya anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA