Ahad, April 15, 2018

JANGAN LETAK CALON WANITA DI TEMPAT YANG BN KALAH

KUALA NERUS, 14 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu bakal meletakkan calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.

Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci nama-nama calon wanita yang bakal bertanding di kawasan berkenaan.

"Kita akan letakkan calon wanita di 15 kerusi DUN yang masih kita belum menang dan empat kerusi (Parlimen) yang tewas kepada pembangkang."

"Ketika ini saya belum tahu berapa calon wanita dan diharap apabla kita letak mereka, ia boleh membawa kemenangan di kerusi-kerusi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu di sini hari ini.


Ulasan saya, nasib calon wanita BN di Terengganu amat malang kerana usaha meletakkan calon wanita tidak pernah berjaya. Kali terakhir calon wanita diletakkan pada tahun 2008 di Batu Buruk di mana Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie tewas kepada calon PAS, Dr Syed Azman Syed Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.

Pada PRU 2004, Datuk Seri Idris Jusoh menawarkan Nordiana bertanding di DUN Ladang tetapi beliau menolaknya. Maka BN meletakkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh bertanding di situ dan menang. Nordiana tolak tuah ketika itu.

Kenyataan Ahmad Razif semalam sudah tentu berita tidak baik kepada Wanita Umno Terengganu jika calon wanita diletakkan di 15 kawasan yang dikuasai PAS. Menurut sumber, kalau mahu letakkan YB wanita di Terengganu letaklah di kawasan selamat seperti Ajil atau Pengkalan Berangan.

Kalau letak di kerusi PAS seperti Chukai yang mana BN tewas dengan majoriti 2,446 pada tahun 2013 mana mungkin calon wanita seperti Datuk Rohani Abdullah mampu menang. Oleh itu saya cadangkan supaya jika benar BN mahu letak calon wanita carilah kawasan yang selamat seperti di Besut.

Atau adakah pengundi lelaki Terengganu terlalu ego tidak mahu menerima wanita menjadi wakil rakyat mereka?  PAS sudah berubah meletakkan calon wanita Napisah Ismail di DUN Kuala Besut pada tahun 2013 tetapi nampaknya BN Terengganu masih jumud jika meletakkan calon wanita di tempat yang sukar.