Sabtu, Julai 31, 2010

KSN DIMINTA BERI PENJELASAN


Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan diminta memberi penjelasan lanjut berhubung arahannya kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan daripada ahli politik.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah tersebut perlu memandangkan arahan itu seolah-olah memberi gambaran telah berlaku salah guna kuasa di kalangan wakil rakyat dan ahli politik yang mengemukakan surat sokongan berkenaan.

''Bukan kita hendak mengarahkan mana-mana jabatan tetapi untuk menarik perhatian supaya mereka dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan segera,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda di PWTC di sini hari ini.

Akhbar The Star baru-baru ini memetik kenyataan Mohd. Sidek yang mengarahkan penjawat awam menulis surat dan melaporkan kepada ketua mereka jika mendapat 'permintaan istimewa' daripada ahli politik dalam urusan pemberian tawaran kontrak, permit, lesen, kewarganegaraan dan biasiswa.

Dalam laporan itu, Mohd. Sidek berkata, sebarang cadangan atau surat sokongan daripada ahli politik kepada penjawat awam tidak seharusnya dalam apa cara pun mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan itu sebagai tindakan salah guna kuasa oleh wakil rakyat atau ahli politik.

''Kita membuat surat sokongan itu semata-mata untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,'' tegasnya.

Khairy berkata, surat sokongan ahli politik diperlukan apabila pemohon gagal untuk mendapat layanan yang adil daripada jabatan kerajaan yang berkaitan.

Jelasnya, wakil rakyat bukan sahaja berusaha untuk menyelesaikan kes yang melibatkan kontrak atau perolehan kerajaan malah juga permohonan biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan oleh rakyat.

''Surat sokongan ini cuma untuk menarik perhatian jabatan berkenaan kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat,'' katanya.

Khairy berkata, pihaknya percaya majoriti kakitangan awam profesional dan mereka akan dapat menilai jenis permohonan sama ada yang ada merit atau tiada merit.

Bagaimanapun, kata beliau, realitinya tidak boleh ditolak bahawa ada segelintir 'napoleon kecil' di kalangan kakitangan awam yang tidak cuba untuk membantu rakyat dengan baik dan adil.

DATUK HAJI IBRAHIM AZMI DALAM KENANGAN


Petang semalam saya berada di The Mall selepas melawat pameran Franchise di PWTC. Di Secret Recipe saya menemui rakan dari Kuala Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar bersama dua orang Exco dari Terengganu.

Seorang Exco itu saya kenalinya sejak kecil. Saya pernah hentamnya dalam buku saya 10 tahun lalu. Dia kuat berdendam. Sampai sekarang dia tak tegur saya. Saya sempat bersalam dengannya. Lansung dia tak tegur saya. Saya pun angkat kaki pergi ke Tingkat 4, The Mall.

Saya diberitahu nama Exco itu pernah disebut-sebut bakal MB menggantikan Datuk Ahmad Said. Saya hairan macam mana dia nak jadi MB sedangkan dia tidak bersifat terbuka dan pemaaf. Dia patut belajar dari MB sekarang, Datuk Ahmad Said yang memaafkan musuh politiknya. Semua tahu Ahmad pernah berkrisis dengan Zahari Said akhirnya dia melantik Zahari sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian(1993-1998) dan Setiausaha UMNO bahagian(2000-2008). Oleh itu jika Exco ini masih berangan nak jadi MB, dia kena berjiwa besar seperti Ahmad Said.

Saya sempat bersembang dengan Fakrul di Tingkat 4 satu jam kemudian. Fakhrul terlupa beritahu saya berita kematian bekas ahli parlimen Kuala Nerus (1986-1990), Datuk Haji Ibrahim Azmi Hassan. Petang ini saya terbaca akhbar baru saya tahu kematiannya. Yang peliknya kawan rapat Ustaz Ibrahim, Tok Mulu Dalam tidak pula sms saya mengenai berita kematian itu.

Saya kenali Ustaz Ibrahim sejak bekerja dengan WATAN pada tahun 1987. Ketika itu beliau aktif dalam Team B yang diketuai oleh bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah.Saya selalu menemuinya di parlimen untuk mendapatkan pandangannya untuk akhbar WATAN.

Andainya dalam pertandingan 24 April 1987, team B menang, Ustaz Ibrahimlah bakal Menteri di Jabatan perdana menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam. Tetapi team A yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menang maka Ustaz Ibrahim hanyut dalam karier politiknya.

Pada tahun 1990, BN meletakkan veteran Datuk Abdul rashid Mohamad untuk menentang Ustaz Ibrahim, maka kalahlah Ustaz Ibrahim yang bertanding di atas tiket Parti Semangat 46. BN menang di Kuala Nerus kerana undi pos yang banyak di kem askar Seberang Takir. Menurut beliau, "saya menang di kampung-kampung tetapi dalam kem saya kalah".

Ustaz Ibrahim lama belajar di Mesir. Maka beliau terikut stail orang Arab yang tidak tidur malam. Selepas solat subuh baru dia masuk tidur. Tengahari baru dia bangun melayan rakyat menemuinya di rumahnya di Batu Buruk.Saya pernah layaninya selepas interbiu beliau di hotel Grand Continental. kami bersembang di biliknya sampai jam 5 pagi. Dia belum mengantuk sedangkan saya yang sudah mengantuk terpaksa order kopi dua kali untuk hilang mengantuk.

Kelebihan rumahnya itu di Batu Buruk beliau tidak pernah tutup tingkapnya pada waktu malam. Selepas Ku Li membubarkan Semangat 46, beliau menyertai UMNO bersama Ku Li. tetapi kedatangannya semula ke dalam UMNO tidak begitu disambut oleh ahli UMNO.

Beliau dilantik sebagai ahli pemikir JASA. Selepas itu beliau dilantik oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad said sebagai penasihat agama dan politik di pejabat MB.Beliau yang sederhana mudah ditemui di mana-mana.

Saya pernah bayangkan kepada beliau jika beliau diberi peluang bertanding di DUN Bukit Tunggal pada pilihanraya umum akan datang, adakah beliau sedia bertanding? beliau menjawab sedia menggalas amanah itu dan beliau yakin BN dapat merampas semula kerusi DUN itu dari tangan PAS jika beliau dipilih sebagai calon.

Saya banyak kali terserempak dengan beliau di The Mall. Walaupun saya bukan lagi wartawan WATAN, beliau tetap menganggap saya sebagai wartawan WATAN dan sering memberi pandangan dalam politik dan agama. Saya amat terasa kehilangan beliau sebagai seorang rakan dan seorang guru agama. Al Fatihah buat Datuk Haji Ibrahim Azmi!