Selasa, April 30, 2019

PEGAWAI KHAS HISHAMMUDDIN DITAHAN RASUAH RM1.8 JUTA

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas menteri Kabinet, kerana disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Sumber SPRM memberitahu lelaki bergelar Datuk berumur 50 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah hari ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya siasatan awal mendapati suspek dikatakan menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta sekitar tahun 2017.

Sumber itu berkata SPRM juga sedang berusaha mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan individu itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurutnya SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

-- BERNAMA

Isnin, April 29, 2019

TIDAK MUSTAHIL KERAJAAN PH TUMBANG JIKA ABAIKAN RAKYAT



JOHOR BAHRU 28 April - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri perlu mengambil iktibar terhadap kelemahan kerajaan terdahulu yang ditumbangkan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, tidak mustahil untuk kerajaan PH menerima nasib yang sama sekiranya mengulangi kesilapan dilakukan terutamanya mengabaikan kepentingan rakyat.


“Tetapkan niat untuk berbakti kepada masyarakat dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, insya-Allah perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha PH negeri berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Buku Bersatu: Mulanya Di Sini di Hotel Thistle di sini sebentar tadi yang turut dilancarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr. Sahruddin berkata, apabila sudah menjadi kerajaan seharusnya tidak sesekali PH atau Bersatu lupa kuasa pemerintahan yang ada ini adalah amanah daripada rakyat yang mesti digalas dengan sebaik mungkin.

“Tanpa sokongan dan kerjasama itu, PH mungkin masih lagi menjadi parti pembangkang,” katanya.

“Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin berpesan kepada semua, untuk perkukuhkan permuafakatan kita. Hindarkanlah perselisihan yang boleh memecahbelahkan parti.Tingkatkanlah usaha untuk menambah seberapa ramai ahli di seluruh negeri bagi memperkuatkan parti kita seperti kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

“Perbanyakkan program-program untuk menarik minat rakyat di luar sana menyertai Bersatu. Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap kepada anak-anak muda di kawasan masing-masing agar mereka tertarik untuk menyertai Bersatu dan menyumbang kepada parti. Dekati dan santunilah mereka agar kita tidak dianggap asing,” katanya.

Ahad, April 28, 2019

MUHYIDDIN TOLAK JADI PM KERANA BERI LALUAN KEPADA DR MAHATHIR



KUALA LUMPUR 27 April - Rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Isnin lalu tidak dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu ditegaskan oleh Pegawai Khas Tugas-Tugas Khas Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad sambil menjelaskan dengan panjang lebar bahawa Muhyiddin berada di luar negara dan tidak terlibat langsung dalam keputusan melantik serta merombak Exco negeri tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Marzuki:


Penglibatan Muhyiddin dalam rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor: Fakta sebenar

Beberapa pihak telah melemparkan tuduhan terhadap Muhyiddin Yassin berhubung isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. Kononnya Muhyiddin telah membuat u-turn di saat akhir dengan membuat rombakan barisan Exco yang bercanggah dengan keputusan Kabinet supaya tiada rombakan dibuat.

Ramai ahli Bersatu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar perkara ini. Walaupun saya berasa berat hati untuk tampil membuat penjelasan kerana ini merupakan hal dalaman parti, tetapi oleh kerana fitnah terhadap Muhyiddin yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab telah berleluasa, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Bersatu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyatakan perkara yang sebenar.

Pertama, rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak dibuat oleh Muhyiddin. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berjumpa Muhyiddin pada 20 April 2019 untuk mendapatkan nasihat beliau mengenai pembentukan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu. Saya berada bersama dalam pertemuan tersebut di mana Muhyiddin telah memberikan nasihat secara umum bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Menteri Besar berhak menasihati Sultan Johor mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Johor memberitahu Muhyiddin bahawa beliau mahukan satu pasukan Exco yang beliau percaya boleh bekerjasama dengannya dalam mengurus pentadbiran kerajaan Negeri Johor. Ini selaras dengan kenyataan Menteri Besar Johor sendiri yang dilaporkan oleh media. Oleh kerana Menteri Besar Johor mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor untuk menyembah maklum nama-nama Exco yang akan dilantik, maka Muhyiddin menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Menteri Besar.

Kedua, Muhyiddin berada di luar negara ketika Kabinet membuat keputusan bahawa barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak boleh dirombak. Keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Muhyiddin. Beliau hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada petang Isnin 22 April 2019, iaitu beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas MPT Bersatu diadakan. Saya percaya jika Muhyiddin mengetahui keputusan ini dari awal, beliau sudah pasti menasihati Menteri Besar Johor supaya mematuhi keputusan tersebut.

Ketiga, ada pihak yang mendakwa Muhyiddin mengadap Sultan Johor pada 21 April 2019 semata-mata untuk menyembah maklum nama-nama Exco Kerajaan Negeri Johor kepada Tuanku Sultan. Saya telah jelaskan dalam tulisan saya sebelum isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor timbul bahawa Muhyiddin telah memohon perkenan Tuanku Sultan untuk mengadap kerana beliau tidak berkesempatan mengadap Tuanku untuk menyembah maklum nama Menteri Besar Johor kerana beliau berada di luar negara pada ketika itu. Ia tiada kaitan sama sekali dengan rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor. Sebagai bekas Menteri Besar, Muhyiddin amat maklum bahawa bukan kuasa beliau untuk menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri. Itu adalah kuasa Menteri Besar.

Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai tulisan Tamrin Ghafar bertajuk “Jika Tak Nak Bantu Jangan Jadi Hantu”. Tulisan ini menyentuh tentang sejarah awal penubuhan Bersatu yang menggambarkan Muhyiddin sebagai seorang yang tamak kuasa dan ingin menghalang Dr. Mahathir daripada menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak ingat bila masa Tamrin berada dalam Bersatu. Mungkin kerana dia tidak berada dalam Bersatu, dia tidak tahu sejarah sebenar.

Saya masih ingat di peringkat awal dahulu ketika beberapa pimpinan parti anggota Pakatan Harapan mula hendak menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Bersatu masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi mengenainya. Ada beberapa ahli MPT Bersatu datang menemui saya bertanya pendirian Muhyiddin mengenainya. Mereka merasakan Muhyiddin juga layak.

Tetapi Muhyiddin tegas mengatakan tiada orang yang lebih layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain daripada Dr. Mahathir. Malah, Muhyiddin adalah orang yang pertama membuka mulut dalam Mesyuarat MPT Bersatu mengesyorkan agar Bersatu secara rasmi menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Yang selebihnya adalah sejarah.

Malah, di ambang pembentukan kerajaan PH selepas 9 Mei 2018, seorang individu berpengaruh menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Tetapi tawaran ini ditolak oleh Muhyiddin kerana rasa hormat beliau kepada Dr. Mahathir selain janji yang telah termeterai untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tamrin tidak tahu sejarah ini kerana dia tidak berada dalam Bersatu.


Akhir kalam, kepada mereka yang gemar membuat cerita rekaan dan menabur fitnah, hentikanlah perbuatan terkutuk ini. Ingat, beban yang anda tanggung di padang Mahsyar nanti amatlah berat.

Bagi saya, sudah-sudahlah membuang masa bermain politik. Berilah ruang kepada pimpinan parti untuk menumpukan kerja membela rakyat kerana itulah sebab sebenar rakyat memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan

Sabtu, April 27, 2019

WANITA VS WANITA DI SANDAKAN

SANDAKAN, 26 April (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengumumkan bahawa Naib Presiden parti dan Anggota Parlimen untuk dua penggal Datuk Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya parlimen Sandakan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang membuat pengumuman itu berkata bekas anggota Parlimen Batu Sapi berusia 63 tahun itu mempunyai rekod prestasi yang baik.

Ongkili berkata parti itu akan terus memperjuangkan isu-isu penting, khususnya Perjanjian Malaysia 1963, isu keselamatan dan pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Beliau juga berkata PBS mendapat sokongan parti-parti politik lain, seperti Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Umno dan MCA pada pilihan raya kecil itu.

Tsen dipilih sebagai Anggota Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya kecil pada 2010 berikutan kematian anggota Parlimen berkenaan, Datuk Edmund Chong Ket Wah, suaminya.

Sementara itu DAP mengumumkan Vivian Wong Shir Yee, 30, sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil iSandakan yang didakan berikutan kematian anggota Parlimen kawasan itu Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga bapa Shir Yee pada 28 Mac lepas.

-- BERNAMA

Jumaat, April 26, 2019

ITU PENDAPAT PM PERLEMBAGAAN JOHOR DAN TERENGGANU TERBATAL



IPOH 25 April - Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan sekadar pandangan Perdana Menteri.

Menurut Abdul Aziz, betul atau salah pandangan itu ia tidak penting kerana ia sekadar pendapat dan bukan keputusan mahkamah.

Beliau berkata, ini berbeza jika keputusan mahkamah kerana sama ada betul atau salah maka ia perlu dipatuhi dan dilaksanakan jika tidak hukuman akan dikenakan hukuman kerana menghina mahkamah.

“Jadi tidak patut timbul rasa cemas dengan pandangan Perdana Menteri itu.

Dalam hal ini, Speaker DUN Johor semacam membayangkan perasaan itu.

“Kalau dirasakan penting, isu Perlembagaan boleh dirujuk kepada Mahkmah Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia malam tadi.

Menurut Abdul Aziz, ada pendapat Mahathir yang jelas salah dan tidak mengikut Perlembagaan seperti dalam isu peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim beberapa hari lalu.

“Dalam isu ini, Yang di-Pertuan Agong perlu berbincang dengan Majlis Raja-Raja dan tidak hanya mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Perdana Menteri menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc menjelaskan Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.


Mahathir berkata, kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Kenyataan Mahathir itu dibuat selepas pertelingkahan dengan istana Johor dalam isu pemilihan menteri besar dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri

Khamis, April 25, 2019

MARZUKI NAFI WUJUD DUA KEM DALAM BERSATU



SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya hari ini menafikan dakwaan wujudnya dua kem, dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata persepsi tersebut dilakukan pihak luar, yang hanya mahu memburukkan parti Bersatu.

"Jangan salah anggap kerana orang selalu membuat spekulasi tidak benar, dan perkara sebenar yang dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini adalah untuk membetulkan keadaan. Sebab kita tahu dalam berpolitik ini hanya platform yang paling tertinggi adalah Majlis Kepimpinan Tertinggi, jadi kita panggil bermesyuarat adalah untuk berbincang bagi mengetahui perkara sebenar.

"Alhamdullilah... kita selesaikan dengan baik, tanpa sebarang masalah cuma spekulasi dibuat oleh pihak tertentu menyatakan terdapat dua kem atau tiga kem, adalah tidak wujud sama sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ASEAN Day 2019 di sini, hari ini.

Tambahnya yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar, penubuhan parti Bersatu ini adalah untuk berjuang bersama-sama dalam membina negara.

"Kita tidak perlu nak buat siasatan dalaman mengenai perkara ini sebab memang tidak wujud kem dalam parti seperti didakwa. Itu hanya persepsi orang luar.

"Kita tahu politik tidak jauh dari persepsi. Apa-apa juga persepsi hanya merosakkan segala-galanya, padahal kita tidak apa-apa dan mesyuarat dijalankan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu yang tular di media sosial yang mendakwa wujudnya dua kem melibatkan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan kem Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti Bersatu.

"Isu viral tersebut mungkin dilakukan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, jadi kita abaikan...," katanya.

Semalam, media melaporkan beberapa pemimpin Bersatu hadir ke ibu pejabat parti di Petaling Jaya bagi menghadiri Mesyuarat Khas yang difahamkan dijadualkan pada saat-saat akhir.

-- BERNAMA

Rabu, April 24, 2019

SPRM PATUT BUAT FILEM MACAM P STORM




KUALA LUMPUR: Semalam rakan saya Shafie Ismail mengajak saya menonton filem cina di Wangsa Walk bertajuk P Storm. Ia mengisahkan seorang pegawai ICAC (macam SPRMlah) menyiasat kes rasuah pengarah penjara yang menerima rasuah sebanyak HK30 juta daripada banduan jutawan untuk dibebaskan satu hari lebih awal dari tarikh pembebasan.

 Louis Koo (gambar bawah) yang berlakon sebagai pegawai ICAC cari jalan untuk masuk ke penjara dengan memandu laju. Maka beliau dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan. Filem arahan David Lam ini merupakan franchise filem Storm yang mendapat sambutan sebelum ini.

Filem yang ditayangkan di China pada 4 April lalu telah mengutip 8 juta Yuan di tangga box office. Pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Kevin Cheng, Raymond Lam, Gordon Lam, Chrissie Chau dan Patrick Tam.

P Storm adalah filem keempat franchise Storm yang mana filem terdahulu mengutip lebih 100 juta Yuan pada tahun 2014, 200 juta Yuan pada tahun 2016 dan 450 juta Yuan pada tahun 2018.

Filem aksi ini menggambarkan betapa serius pegawai ICAC membenteras rasuah. Jika siasatan SPRM difilemkan maka sudah tentu cara pegawai SPRM bekerja sama seperti ICAC yang  mana nyawa mereka sering menjadi mangsa pesalah rasuah.

Selama dua jam penonton melihat aksi yang mendebarkan maka usaha Hong Kong membuat filem seperti ini wajar diberi pujian. Semoga produser filem Malaysia dapat menerbitkan filem keberani pegawai SPRM menyiasat kes berprofil tinggi seperti ini. Syabas produser filem P Storm.






Selasa, April 23, 2019

PERGINYA SEORANG SAHABAT BERNAMA YUSOF FORENSIK

KUALA LUMPUR: Pagi semalam saya terkejut menerima berita kematian Haji Yusof Yaacob yang kami lebih kenali sebagai Yusof Forensik. Beliau adalah di antara sahabat Nagas kami yang amat baik.

Saya amat rapat dengan beliau kerana beliau selalu join meja kami sama ada di restoran Nagas atau restoran Arif Maju atau di Sepiring Sunway Putra Mall. Kadang kadang kami bertemu di lounge Seri Pacific Hotel di depan Sunway Putra Mall.

Bukan semua orang beliau berkawan. Beliau amat pemilih orangnya. Tetapi dia selalu join meja saya bila nampak saya keseorangan menunggu Hidayat Fansuri. Beliau tidak ngam dengan Datuk Zaharin Mohd Yassin. Apabila Zaharin nampak saya bersama Yusof Forensik, Zaharin tak akan join meja kami. Saya tak tahu kenapa mereka bergaduh kerana dari dahulu Yusof tak suka dengan Zaharin.

Saya amat rapat dengan beliau kerana beliau suruh saya tulis banyak berita. Saya tak tahu dari mana beliau dapat sumber tetapi berita yang saya suruh tulis dapat rating yang tinggi. Katanya dia dapat info dari Bukit Aman. Dia tak pernah upah saya tulis tetapi dia selalu belanja saya makan apabila berita yang dia mahu keluar dalam blog saya.

Dia pun kata bossnya puji berita yang saya tulis itu. Saya pun tak tanya siapa bossnya. Arwah rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Arwah selalu ke rumah Najib di Taman Duta. Saya pernah suruh dia bawa kawan saya ke rumah Najib. Tetapi sebagai bekas pegawai forensik arwah nasihati saya jangan berkawan dengan orang itu kerana orang itu tak jujur.

Beliau bekerja sebagai pegawai forensik di HUSM Kota Bharu dan sudah lama bersara.Walaupun beliau bukan orang Kelantan tetapi beliau ada di rumah di Kota Bharu. Beliau selalu balik ke sana.Bila dia hilang, saya tanya Haji pergi mana. Dia jawab baru balik dari Kota Bharu.

Beliau cerita bagaimana kumpulannya terlibat dalam penubuhan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu. Ketika itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tak nak ia dibuka di Kelantan kerana BN kalah di Kelantan.

Mereka gunakan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Hussein Serama untuk jumpa Dr Mahathir. Mereka dapat temui Perdana Menteri dan yakinkan Dr Mahathir kenapa perlu tubuh Hospital USM di Kota Bharu memandangkan kematian bayi amat tinggi di Kelantan. Dr Mahathir akhirnya menerima alasan kumpulan Yusof dan beliau bersetuju HUSM dibuka di Kota Bharu.

Beliau berkhidmat di HUSM Kota Bharu sehinggalah bersara. Sebagai orang yang terlibat dengan forensik beliau lebih mengenali telatah manusia dari raut mukanya. Sebab itu arwah selalu menasihati saya jangan berkawan dengan orang itu dan orang ini. Saya banyak belajar tentang kehidupan dengan arwah.

Beliau banyak buat kerja politik di belakang tabir. Saya tak tahu dia buat kerja untuk siapa kerana beliau tak pernah beritahu siapa bossnya. Sebelum PRU 14, beliau sudah jangka BN akan kalah. Banyak info yang beliau beri tapi ketika itu semua orang tak percaya BN akan kalah di peringkat parlimen.

Selepas PRU tahun lepas,  saya tak pernah jumpa dengannya. Saya whatsapp beliau tak pernah jawab. Biasanya saya nampak beliau berada di Restoran Arif Maju tetapi sudah 11 bulan saya tidak temuinya.Saya whatsapp arwah beritahu saya kena serangan jantung pada 25 Disember 2018, beliau tak jawab whatsapp saya.  Saya jemput arwah ke majlis perkahwinan anak saya  pada 7 April lalu pun  beliau tidak hadir. Rumah terbuka aidilfitri saya dua tahun lepas beliau hadir walaupun beliau kata jauh sungguh rumahmu Zabidi.

Saya amat menyenangi berkawan dengan arwah kerana sebagai orang tua beliau banyak menasihati kami. Hangpa tak tahu sejarah ini semua, kata arwah apabila menasihati rakan saya Hidayat Fansuri yang masih baru mengenali dunia politik. Saya amat terasa kehilangannya. Al Fatihah buat beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Isnin, April 22, 2019

ANUAR TAHIR JADI MANGSA BERITA PALSU



TEMERLOH 21 April - Berita kematian Ahli Parlimen Temerloh, Mohd. Anuar Tahir yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya yang tular dalam media sosial sejak semalam adalah tidak benar.


Berita yang tular termasuk menerusi aplikasi WhatsApp itu memaparkan makluman dalam bentuk berita dan rakaman suara.


Rakaman suara berkenaan adalah seperti berikut:

“Berita terbaharu diterima Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Menteri Kerja Raya, Anuar Tahir telah kembali ke Rahmatullah. PRK lagi..PRK lagi..siap siaga.”

Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Temerloh, Ahmad Tarmizi Ismail berkata, pihaknya kesal dengan berita tidak benar yang sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Ia adalah palsu dan fitnah yang tidak boleh terus dibiarkan dan kita akan membuat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya di sini hari ini.

Ahad, April 21, 2019

TIMBALAN MENTERI MITI JAGA PERKHIDMATAN AWAM?



KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan didesak supaya memberi penjelasan segera sama ada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming bahawa kerajaan tetap meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam merupakan keputusan rasmi Kabinet atau sebaliknya.



Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki malah menegaskan sekiranya kenyataan berkenaan bukanlah keputusan rasmi Kabinet, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Kian Ming kerana didakwa melampaui bidang kuasa yang diamanahkan.


Hal ini kerana, menurut Asyraf Wajdi, apa yang diungkapkan Kian Ming itu menjadi persoalan sedangkan pengumuman mengenai perkara berkenaan sepatutnya diumumkan sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau pun Menteri, bukannya seorang Timbalan Menteri.

“Kenyataan ini menguatkan lagi persepsi dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan kini dikuasai DAP kerana sejak dulu lagi pemimpin parti berkenaan diketahui tidak senang dengan penjawat awam. Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pada 25 Oktober 2016 juga pernah mengatakan kakitangan awam membebankan kerajaan.

“Sekiranya diteruskan, perkara ini membuktikan dengan jelas Pakatan Harapan (PH) menzalimi penjawat awam malah seperti mahu mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 132 (2A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penjawat awam memegang jawatan selama diperkenankan oleh Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kian Ming dalam wawancara bersama Astro Awani Rabu lalu mendedahkan kerajaan akan meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam kerana mendakwa masih ramai yang berpihak kepada kerajaan terdahulu.


Ahli Parlimen Bangi itu turut mengakui jentera PH dilihat lemah sejak berjaya menubuhkan kerajaan kerana ramai ‘orang kuat’ yang sebelum ini menjadi tulang belakang kepada kempen parti sudah menyertai pentadbiran kerajaan sekali gus memberi kesan kepada jentera.

Sabtu, April 20, 2019

SIDANG DUN GAMAT APABILA ADUN BN NYANYI LAGU "HATIKU LUKA LAGI"



IPOH 19 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini gamat apabila seorang wakil rakyat menyanyikan lagu 'Hati ku luka lagi' bagi menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika perbahasan penggulungan titah Sultan Perak.



ADUN Kuala Sepetang dari Barisan Nasional (BN), Mohd. Kamaruddin Abu Bakar yang pada mulanya berbahas dengan membangkitkan beberapa isu di kawasannya, meminta kebenaran daripada Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham untuk menyanyi ketika mahu menutup perbahasannya.


Koo Ham kemudiannya membenarkan Mohd. Kamaruddin menyanyi dengan alasan perbahasan boleh disampaikan dalam pelbagai gaya termasuk menyanyi.

Mohd. Kamaruddin hanya menyanyikan dua baris lagu popular kumpulan Black Dog Bone’ iaitu ‘Harapan setinggi gunung, Berderai menjadi debu’ sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya sebelum mengakhiri perbahasan.

Gelagat beliau menyebabkan semua ahli DUN ketawa sambil bertepuk tangan kerana wakil rakyat itu menampilkan gaya berlainan ketika sesi perbahasan.

Lagi ‘Hatiku luka lagi’ sering dijadikan lagu untuk menyindir kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji manifesto selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Jumaat, April 19, 2019

CADANGAN TUKAR NAMA KLIA KEPADA SIA TAK MANASABAH



KUALA LUMPUR: Belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA), kata exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Soal penjenamaan semula lapangan terbang itu timbul susulan tersebarnya satu surat di laman Twitter yang menyatakan cadangan tersebut telah dipersetujui dan disahkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Oktober tahun lalu.

“Isu ini cuma pernah disebutkan dalam MMKN (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri), setakat ini tiada apa-apa yang telah diputuskan.

“Perkara ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor. Lapangan terbang antarabanga yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya, contohnya adalah Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan sebagainya,” kata Ng  ketika dihubungi hari ini.


Beliau turut mengesahkan surat yang dibocorkan di media sosial itu merupakan minit mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor tetapi tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Dalam surat itu, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Teng Chang Kim dicadangkan untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

“Keperluan ini adalah seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.


“Sehubungan itu, cadangan nama yang dipersetujui oleh exco adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA),” kata surat itu.

Menurut surat itu, Ng akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila diminta mengulas cadangan itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Selangor.

“Saya belum menerima sebarang permohonan rasmi dari kerajaan Selangor. Setakat ini, nama KLIA kekal,” katanya.

Khamis, April 18, 2019

PERGINYA PENCATAT KETURUNAN KELUARGA DAENG MENAMPUK

Sabtu lalu, 13 April, pencatat keturunan keluarga Daeng Menampuk, Cikgu Wahid Yusof, 78, (dua dari kiri)  telah meninggal dunia. Beliau adalah bekas pensyarah Maktab Perguruan Pasir Panjang. Beliau dikebumikan di Kg Paloh, kampung yang dibuka moyangnya walaupun beliau duduk di Gong Tok Nasek.

Siapakah Daeng Menampuk? Beliau adalah anak Raja Bugis yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah untuk menabalkan adik Sultan, Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1708.

Dari keturunan Daeng Menampuk atau Raja Tua maka lahirlah Raja Daud. Raja Daud mempunyai anak bernama Raja Muslimin yang membuka Kampung Paloh dan Pulau Rusa. Beliau adalah orang Bugis yang membuka kedua-dua kampung tersebut.

Anak Raja Muslimin, Raja Muhammad menjadi pengiring Sultan Zainal Abidin III. Selepas Raja Muhammad, beliau tidak membenarkan keturunannya menggunakan nama Raja.

Cikgu Wahid Yusof menyimpan susur galur keturunan keluarga Daeng Menampuk. Dengan kematian beliau maka sejarah keturunan keluarga Daeng Menampuk mungkin tidak berkembang lagi.

Malah dari Raja Muhammad ini maka lahir beberapa tokoh korporat dan politik seperti Tan Sri Razali Abdul Rahman (Pengerusi Peremba Berhad), Azmi Lop Yusof (bekas ADUN Bandar), bekas calon calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif Muda dan Othman Awang. Malah bekas Ketua Polis Pahang,  Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani juga dari keturunan Raja Muhammad.

Patah tumbuh hilang berganti. Semoga usaha arwah Cikgu Wahid diteruskan oleh keluarga mereka. Jika tidak sejarah keturunan keluarga Daeng Menampuk akan tenggelam begitu sahaja. Alfatihah buat Cikgu Wahid.

Rabu, April 17, 2019

DAH TIGA PRK PH KALAH SIVARASA



KUALA NERUS 15 April - Kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menuduh kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hilang sokongan rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, adalah tidak wajar untuk semua pihak membuat kesimpulan sedemikian kerana setiap parti politik mempunyai pengaruh masing-masing.

Beliau yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR menarik perhatian kerajaan PH akan tetap meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat di samping menunaikan janji-janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita tidak boleh nilai daripada satu PRK. PH memang ada majoriti di Dewan Rakyat dan beberapa negeri.

“Ini adalah realiti, walaupun kita memegang majoriti tetapi kita tidak boleh menang di semua kawasan. Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan menang 100 peratus di semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Interaksi Pemimpin bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri Terengganu di Tabung Haji Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (Infra), Datuk Rubiyah Abd. Rahman.

Terdahulu, Sivarasa turut menyampaikan Sijil Kursus Induksi MPKK kepada wakil-wakil daerah.

BN mempertahankan DUN Rantau dalam PRK yang berlangsung kelmarin yang menyaksikan calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

Ulasan saya, nampaknya Sivarasa ketinggalan bas. BN sudah menang tiga PRK berturut-turut dan bukannya baru menang kali pertama di Rantau. Pengundi Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau telah menolak PH maka apa  langkah yang diambil PH untuk menarik semula pengundi Melayu?

BN memang tak akan menang di Sandakan kerana ia kubu DAP jadi kemenangan PH di Sandakan nanti menang sudah dijangka. Kita tunggu PRK baharu di kawasan Melayu nanti sama ada PH dapat diterima orang Melayu atau tidak.


Selasa, April 16, 2019

RAPID BUS LAKSANA SISTEM BAYAR ELEKTRONIK TANPA TUNAI SEPENUHNYA

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) hari ini melaksanakan sistem pembayaran elektronik tanpa tunai sepenuhnya dengan permulaan pelaksanaannya di koridor Ampang yang melibatkan 64 buah bas.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata ia melibatkan 11 laluan yang mempunyai purata penumpang harian melebihi 30,000 orang.

“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus bagi menggalakkan menumpang menggunakan transaksi tanpa tunai dan menikmati kos lebih murah.

“Pelaksanaan tanpa tunai ini juga mampu menjimatkan masa, kalau dahulu penumpang mengambil masa lebih enam puluh saat untuk melakukan transaksi, tapi kini hanya ambil masa lebih kurang satu saat sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan hari pertama tanpa sistem pembayaran tanpa tunai itu di sini hari ini.

Muhammad Yazurin berkata koridor lain seperti Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama akan dilaksanakan sistem tanpa tunai sepenuhnya pada 29 April manakala koridor Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang akan bermula 13 Mei manakala Lebuhraya Persekutuan pada 27 Mei ini.

Tambahnya, penumpang yang menggunakan kad tanpa tunai akan menikmati diskaun 20 peratus dari tambang normal manakala bagi pemegang kad konsesi pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) pula, mereka akan menikmati diskaun 50 peratus.

Beliau berkata bagi penumpang tempatan, pembelian kad tanpa tunai My50 dan My100 turut membolehkan akses kepada monorel, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan bas perantaraan MRT serta Bas Rapid Transit (BRT); dan kad-kad boleh dibeli di semua stesen sedia ada.

Sementara itu, pengguna tetap perkhidmatan bas S.Kanaku Selleppan, 46, berkata pelaksanaan sistem tanpa tunai itu memudahkan perjalanan hariannya ke tempat kerja dan menjimatkan masa.

"Setiap hari saya menaiki bas melalui Jalan Ampang dan saya sangat gembira bila pelaksanaan ini dilakukan kerana ia memudahkan dan mesra pengguna," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, April 15, 2019

MB BAHARU SERU RAKYAT BERGANDING BAHU

MUAR, 14 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal menyeru rakyat bersamanya berganding bahu untuk memajukan lagi negeri.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu dapat memastikan rakyat secara keseluruhannya menikmati kehidupan lebih selesa.

"Terima kasih kerana daripada awal bersama saya, saya diamanahkan sebuah tugas lebih besar untuk kita semua dan saya akan laksana dengan sebaiknya," katanya dalam ucapan ringkas setelah bertemu penduduk kampung halamannya di Kampung Batu 28, Lenga di sini hari ini.

Selain penduduk kampung, Dr Sahruddin turut meluangkan masa melawat ibunya Isniah Kasmongin, 72, serta anggota keluarganya di kampung itu.

Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Sementara itu, Isniah berkata meskipun terdapat banyak desas-desus berhubung perlantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar, namun Isniah serta sembilan lagi anaknya tidak menyangka anak kelapannya itu dipilih sebagai Menteri Besar Johor.

Isniah berkata sebagai seorang ibu beliau bangga atas pencapaian anaknya itu yang berjaya memenuhi cita-cita suaminya Allahyarham Jamal Kasran untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang pemimpin.

"Dia (Dr Sahruddin) sendiri telefon makcik semalam maklumkan dia terpilih jadi Menteri Besar Johor. Masa tu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan seorang ibu bila anaknya dilantik jadi pemimpin. Anak-anak yang lain dengar pun terharu, semua menangis gembira.

"Bila dah dilantik ni, makcik gembira dan bersyukur. Apa yang diharapkan, Isah (nama panggilan Dr Sahruddin) mampu jadi pemimpin yang baik, bertanggungjawab dan amanah mentadbir negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

-- BERNAMA

Ahad, April 14, 2019

TIGA KALI BN MENANG PRK BERTURUT-TURUT PETANDA KERAJAAN PH HANYA SEPENGGAL?

SEREMBAN, 13 April (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan hari ini.

Mohamad, 63, yang juga pemangku Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, 60, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan, pada 8.45 malam ini.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali keempat sejak disandangnya pada 2004.

PRK berkenaan menyaksikan seramai 16,446 pengundi atau 79.3 peratus keluar mengundi di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran.

Mohamad dalam sidang media selepas pengumuman itu melahirkan rasa bersyukur memenangi PRK itu yang disifatkan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang mencemarkan proses demokrasi.

“Hari ini kita mendapat keputusan yang selesa dan di luar jangkaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti termasuk parti komponen BN yang bertungkus lumus membantu sepanjang 14 hari tempoh berkempen,” katanya.

Malarvizhi pula berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan berterima kasih kepada mereka yang mengundinya manakala Mohd Nor berkata beliau redha dengan keputusan itu.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Sabtu, April 13, 2019

KETIDAKHADIRAN DR MAHATHIR UNTUNGKAN CALON BN



KUALA LUMPUR 11 April- Kemenangan Barisan Nasional (BN) dilihat lebih terjamin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau walaupun persaingan saat akhir masih terbuka antara pihak yang bertanding.



Malah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal berkata, sebanyak 24.5 peratus pengundi Pakatan Harapan (PH) dijangka beralih sokongan kepada BN dalam PRK DUN Rantau kali ini berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


Katanya, berdasarkan kajian, sebanyak 81.6 peratus responden berpandangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat mempunyai kredibiliti yang tinggi berbanding calon PH, Dr S. Streram.

“Selain itu, faktor populariti Tok Mat berbanding Streram sebagai orang luar yang kurang dikenali. Pengundi India di sini lebih mengenali Ketua Cabang R. Tanggam, Ketua Cabang PKR Rembau, T Rangga.

“Kebajikan pengundi India yang dahulunya majoriti mengundi PH nampaknya gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan sehingga wujud kekecewaan segmen pengundi India terhadap Kerajaan khususnya yang melibatkan pembelaan terhadap tahap ekonomi dan kebajikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azlan, jentera PH juga masih lagi dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) , Amanah dan DAP.

“Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun. Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minima. Ini menggambarkan struktur jentera PH masih lagi kabur di mata akar umbi.


“Kempen PH juga nampaknya terlalu bergantung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggerakkan gerakan kempen di sini,”ujarnya.


Jumaat, April 12, 2019

FINAS AKAN PERKENAL SKIM KWSP DAN PERKESO KEPADA PENGGIAT SENI

KUALA LUMPUR, 11 Apr (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dijangka memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lama lagi bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas, kata Pengerusinya Datuk Gerald Hans Isaac.

Beliau berkata skim tersebut bukan sahaja bakal menjamin masa depan pelakon, tetapi juga kru produksi termasuklah jurumekap, runner, pemandu serta penjaga busana yang bekerja siang malam.

“Finas sudah ada kertas kerjanya...perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan tersebut. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengaplikasi sistem itu dalam industri seni.

“Finas juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen-stesen televisyen dan syarikat produksi yang karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di Finas hari ini.

Hans Isaac berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai industri profesional, justeru dengan adanya kedua-dua skim tersebut nanti, pengiktirafan itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, pengenalan skim tersebut adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangka oleh beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru sebulan memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dahulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Dalam pada itu, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakan-rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada Finas untuk produksi filem dan televisyen.

“Sekiranya sesuatu permohonan itu melibatkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah yang membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada Finas berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu-ragu dan skeptikal dengan pelantikan beliau dan Ahmad Idham, agar memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas yang positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Isnin lepas bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu.

-- BERNAMA

Khamis, April 11, 2019

DATARAN RANTAU RIUH DENGAN AJAKAN BALIK MENGUNDI

SEREMBAN, 10 April (Bernama) — Pekan Rantau di sini hari ini ‘riuh’ apabila lebih 200 anggota jentera Pakatan Harapan berhimpun mengajak pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Sabtu ini.

“Moh balik Rantau”, “Vote for Hope” dan “Vote for Rantau” antara ungkapan yang tertera pada plakad Himpunan Flashmob Harapan “Moh balik mengundi N27 Rantau” yang diadakan di sekitar Dataran Rantau bermula jam 5.30 hingga 7 petang.

Sepanjang acara itu berlangsung, terdapat kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Anggota Jawatankuasa Penerangan Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata ‘flashmob’ itu diadakan bertujuan mengajak seluruh pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya pengundi awal.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu.

Mahkamah Pilihan Raya itu mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA

Rabu, April 10, 2019

MALARVIZHI TAK KESAL KALAH

SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau R. Malarvizhi tidak menyesal sekalipun kalah bertanding.

Beliau berkata perkara itu (menyesal) sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Sebab ini adalah kali pertama dan terakhir saya bertanding, kalau menang saya akan teruskan, kalau kalah itu sahaja.

"Saya beritahu pada masyarakat Rantau saya mahu berkhidmat untuk kamu, kalau mahu terima saya terimalah, terpulang kepada pengundi," katanya ketika berkempen di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui sambutan pengundi terhadapnya walaupun baik, namun ia agak kurang memberangsangkan kerana ada yang takut untuk mendekatinya malah ada juga yang hanya memandang dari jauh.

Malah bekas penyampai radio di Toronto, Kanada selama 25 tahun itu berkata sehingga kini beliau tidak menerima langsung sumbangan daripada orang ramai sejak dari hari pertama mengedarkan kad nama yang mengandungi nombor akaun bank miliknya namun tidak kecewa dengan perkara itu.

"Saya berdikari bertanding dalam PRK ini, apa yang saya termampu saya buat, semua saya lakukan dengan kebolehan dan keupayaan saya, kalau nak bantu dialu-alukan, tak nak bantu tak apa," katanya.

Memasuki minggu kedua berkempen, tiada gegantung atau poster beliau kelihatan di jalan-jalan utama, sebaliknya Malarvizhi, yang bergerak secara solo dalam siri kempennya, hanya mengedarkan risalah yang memaparkan manifestonya kepada para pengundi.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional, Malarvizhi dan seorang lagi calon Bebas, bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Isnin, April 08, 2019

KEBERSAMAAN KEMPEN TENTUKAN KEJAYAAN PH

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kebersamaan yang ada dalam jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH), akan menentukan kejayaan kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata meskipun PRK ini dikatakan sukar apabila calon PH Dr S. Streram berhadapan dengan penyandang Datuk Seri Mohamad Hasan, namun pemuafakatan jentera parti yang bertugas dan tanggungjawab masing-masing, PH yakin menang.

“(Semasa Pilihan Raya Umum ke-14) kita tiada jentera, tiada kuasa media, tiada wang berbilion ringgit, tetapi apabila kita bersama, berniat ikhlas, bekerja keras bersama rakyat dan memperjuangkan masa depan mereka, itu sudah mencukupi.

Jumaat, April 05, 2019

DUA CALON BEBAS MASIH DINGIN BERKEMPEN

SEREMBAN, 4 April (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan hanya dua daripada empat calon yang bertanding lebih aktif mendekati pengundi.

Meskipun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, namun dua calon Bebas setakat ini didapati kurang menunjukkan kesungguhan untuk memenangi kerusi DUN berkenaan.

Ketika ini, liputan media lebih banyak tertumpu kepada aktiviti berkempen dua calon utama iaitu Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, 60, yang mewakili PH dan calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, 63.

Khamis, April 04, 2019

MAT HASSAN BERHENTI MB TINGGALKAN RIZAB RM764 JUTA



REMBAU 1 April - Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kenapa banyak projek di Negeri Sembilan dibatalkan, sedangkan beliau meninggalkan rizab yang besar berjumlah RM764 juta ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri.

Bekas Menteri Besar itu berkata, yang paling mengecewakan apabila perancangannya sebelum ini untuk memodenkan negeri ini bagi tempoh 30 tahun dari 2015 hingga 2045 tidak diteruskan kerajaan sedia ada.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, antara projek yang terbengkalai ialah pembinaan jalan pintasan Kuala Pilah dan kereta api Port Dickson-Seremban, manakala pembinaan tiga masjid di Jempol, Seremban dan Tampin yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini dibatalkan.

“Projek kerajaan dibatalkan untuk menjimatkan kewa­ngan tetapi nampaknya kerajaan masih tak ada wang. Saya pergi ke Pekan Saga baru-baru ini ada beberapa wanita warga emas hampir menangis kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipotong atau dihentikan empat hingga lima bulan.

“Saya hairan, mengapa keadaan ini berlaku kerana dalam belanjawan yang dibentangkan tahun lalu menunjukkan rizab yang saya tinggalkan begitu tinggi sebanyak RM764 juta.

“Ini yang saya tak faham dan ramai amat kecewa. Ini menunjukkan bahawa memang kerajaan Pakatan Harapan tak ada harapan, tak boleh diharap,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Kampung Sendayan di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sejak 2004 menegaskan bahawa perpaduan yang wujud antara orang Melayu dan kaum lain boleh menjadi kunci kepada kejayaan negara.


“Sudah terbukti apabila Melayu bersatu, kita boleh mendapatkan kemerdekaan, negara stabil dan kita berjaya memajukan negara. Sebab itu apabila saya mahu satukan orang Melayu adakah kami dianggap rasis? Jangan main sentimen perkauman, semua akan rugi kalau negara terjerumus dalam masalah perkauman yang tak terkawal,” katanya.

Rabu, April 03, 2019

MENANTU FADZIL NOOR DITAHAN TERIMA RASUAH



PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Dalam kenyataan malam ini, katanya, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Dalam pada itu setiausaha politik Salahuddin direman empat hari bermula hari ini berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000.

Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 47 itu sehingga 5 April ini.

Semalam, suspek tersebut ditahan pada kira-kira 5 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Selasa, April 02, 2019

MAT HASSAN TAK AMBIL MUDAH PRK RANTAU

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK berkenaan di sebalik dakwaan dirinya dikenali ramai pengundi berbanding saingannya.

Bekas menteri besar tiga penggal itu berkata seperti mana calon lain, beliau juga akan meluangkan tempoh kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

"Politik ini dinamik bukan statik, saya tak boleh rasa selesa dan tak boleh ambil mudah, saya akan cuba sebaik mungkin jumpa pengundi," katanya pada sidang media hari ketiga kempen PRK berkenaan, di sini hari ini.

Isnin, April 01, 2019

VAS AERO KERJASAMA DENGAN SYARIKAT UKRAINE DI LIMA



LANGKAWI:  Sebuah syarikat Bumiputera tempatan, Vas Aero Malaysia Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat Ukraine, Ukroboronservice untuk mendapatkan tender overhaul of component parts untuk kapalterbang Su-27, Su-30 dan MIG-29 di pameran Lima '19 Selasa lalu.

Majlis menandatangani kerjasama itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan wakil Duta Ukraine, Yevhenia Shynkarenko yang diadakan di booth Vas Aero Sdn Bhd. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Vas Aero, Datuk Nordin Ahmad.

Datuk Nordin ketika ditemui rasa terharu kerana syarikatnya dipilih syarikat antarabangsa untuk menjalin kerjasama tersebut.

"Ia adalah satu kejayaan bagi syarikat Bumiputera untuk sama sama terlibat dalam penyelenggaraan kapalterbang TUDM," katanya.