Selasa, April 12, 2016

GST DAN 1MDB TIDAK PENGARUHI PRN SARAWAK

Isu nasional seperti isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing.

"Sudah pasti isu itu akan digunakan untuk mempengaruhi pengundi ketika pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak nanti, kata Masing.

Katanya jika isu-isu itu cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik, rakyat Sarawak sebenarnya tahu apa yang telah dilakukan Perdana Menteri kepada negeri ini sejak beliau menjawat jawatan pemimpin nombor satu negara.

"Isu 1MDB dan GST pasti akan dibawa pada pilihan raya nanti...tetapi kita merasakan tidak banyak impak yang akan berlaku. Sebagai contoh saya merasakan dalam isu GST apa yang kita perlukan ialah memberi penerangan yang jelas.

"Berkenaan Perdana Menteri pula, banyak sudah beliau lakukan kepada negeri ini. Sebagai contoh, beliau luluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu-Kanowit-Song-Kapit...Kapit sebelum ini ibarat 'pulau dalam Pulau Borneo' namun dalam tempoh tiga tahun ia bakal mempunyai akses jalan raya," katanya.

Masing berkata Perdana Menteri memahami keperluan rakyat negeri ini dan rakyat Sarawak memahami 'beliau seorang yang baik yang menjaga kita dan kita tidak akan lupakannya'.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena pelancaran jentera pilihan raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di sini hari ini.

Turut hadir calon DUN Kakus daripada PRS Datuk John Sikie Tayai.

Sementara itu, Masing yang juga calon DUN Baleh berkata PRS sudah membuat persediaan sebaik mungkin dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau berkata PRS mempunyai kelebihan apabila beliau sebagai Presiden PRS, bersama Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem; mencapai kata sepakat dalam menentukan siapa calon yang akan bertanding di 11 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, dan ia dipersetujui anggota parti.

"Perancangan adalah penting, kita mesti bertindak bersama sebagai satu pasukan dan kita tidak mempunyai orang lain untuk menyokong kita selain Adenan, ketua menteri kita. Apa yang sedang dilakukan beliau (Adenan) ketika ini adalah tepat dan dasar beliau memberi manfaat kepada kawasan luar bandar, itu juga kelebihan kita," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11 berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.

-- BERNAMA