Memaparkan catatan dengan label 1mdb. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 1mdb. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 03, 2019

1MDB DITUBUHKAN UNTUK MEMBIAYAI PILIHANRAYA UMUM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram menggesa supaya sistem pembiayaan politik diwujudkan di Malaysia agar parti-parti politik tidak perlu lagi meminta wang daripada badan-badan korporat atau memperolehnya secara haram.

Beliau berkata perlu ada sumber kewangan alternatif dengan peraturan-peraturan yang sangat ketat yang harus dipatuhi oleh parti-parti politik.

“Ini (sistem pembiayaan politik) adalah sangat penting jika kita ingin melakukan sesuatu berkenaan politik wang dan perniagaan, ini adalah syarat penting,” katanya dalam ucaptama beliau pada ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Jomo yang juga penasihat kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata politik wang yang diamalkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu memerlukan pembiayaan kewangan yang sangat besar.

Justeru, beliau mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diwujudkan untuk membiayai pilihan raya umum dan memancing sokongan rakyat.

Katanya 1MDB ditubuhkan ketika Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum 2008, kononnya berpunca daripada kekurangan dana.

“Tujuan ECRL adalah semata-mata untuk mendapatkan dana bagi pilihan raya umum lepas, melihatkan kepada cara ia diluluskan dengan terburu-buru oleh Kabinet pada penghujung 2017 dan pada Januari 2018, ECRL sudah mula beroperasi,” kata beliau.

Kerajaan baharu, yang dipimpin oleh Pakatan Harapan baru-baru ini memutuskan untuk menyambung semula project ECRL dengan kos pembinaannya dikurangkan sebanyak 32.8 peratus, iaitu daripada kos asal RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Khamis, Disember 06, 2018

AKHBAR UMNO YANG DEDAH NAFISAH MENGENAI LAPORAN AUDIT 1MDB DIPINDA



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata keterangan yang diberikan oleh pengarah sektor audit kerajaan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad hari ini dilihat dapat membantu siasatan berhubung dakwaan laporan audit 1MDB dipinda.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, prosiding yang berjalan selama dua jam setengah itu melibatkan soalan berkaitan laporan 1MDB yang diubah sepertimana yang didakwa oleh Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

"Itu merupakan soalan utama yang diajukan kepada Nafisah, Ambrin Buang dan Madinah. Mereka telah nyatakan keterangan kepada PAC.

"Sememangnya, kita tanya berkenaan bagaimana pindaan laporan audit itu dijalankan dan kesemua keadaan pada masa itu.

"Kerana bagi kami (PAC), untuk kami mencapai satu kesimpulan pada akhir prosiding ini, kita hendak mengambil kira kesemua senario dan keadaan yang terlibat pada masa itu," katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.



Untuk rekod, Nafisah merupakan individu yang disebutkan dalam ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang didakwa menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB.

Nafisah dikatakan menyerahkan laporan itu kepada Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Nor Salwani Muhammad yang seterusnya menyerahkan salinan itu kepada Madinah.

Sementara itu, Wong juga mengulangi kenyataan Pengerusi PAC Ronald Kiandee bahawa terdapat empat lagi saksi yang akan dipanggil.

Empat individu dalam siasatan itu merupakan bekas peguam negara Apandi Ali, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkfli Ahmad dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.




Namun, Wong tidak menyatakan tarikh empat individu itu akan dipanggil.

Pada 25 November lalu, Madinah mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit asal 1MDB dipinda atas arahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah mendakwa beliau menderima laporan audit asal 1MDB yang belum dipinda daripada Nor Salwani selepas mengambil alih jawatan ketua audit negada daripada Ambrin.

Antara bahagian dalam laporan itu yang dikatakan dipinda adalah bahagian yang menyebut kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, telah dikeluarkan.

Rabu, Mei 23, 2018

ARUL KANDA TIPU RAKYAT BAHAWA 1MDB BAYAR HUTANG RM6.98 BILION?



PUTRAJAYA: Lim Guan Eng mendedahkan Kementerian Kewangan menanggung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM6.98 bilion sejak April 2017 dan bukan program rasionalisasi syarikat berkenaan.

Bercakap kepada media selepas memulakan hari pertama tugas sebagai Menteri Kewangan hari ini, Guan Eng berkata jumlah berkenaan adalah termasuk pembayaran untuk perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM5.05 bilion.


"Perkara ini mengesahkan rasa curiga umum mengenai 1MDB yang selama ini mengaburi rakyat dengan mendakwa mereka telah membayar hutang menerusi program rasionalisasi yang berjaya sedangkan Kementerian Kewangan yang selama ini menyelamatkan 1MDB.

"Lebih buruk, senarai pembayaran hutang terkini itu hanya membabitkan faedah, bayaran kupon dan pendahuluan daripada IPIC.

"Itu belum lagi mengambil kira hutang berbilion ringgit yang akan matang bermula tahun 2022," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan juga perlu melunaskan bayaran faedah pinjaman 1MDB berjumlah RM143.75 juta pada 30 Mei ini.

Selain itu katanya, 1MDB juga perlu menyelesaikan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan antara September hingga November ini.

"Saya dimaklumkan Arul Kanda masih kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sehingga 30 Jun ini. Beliau sehingga hari ini menegaskan yang 1MDB mampu membayar hutangnya.


"Sehubungan itu, saya telah memberi arahan kepada Arul Kanda supaya memberi penjelasan sama ada 1MDB masih mampu membayar hutang yang akan berakhir minggu depan.

"Saya juga telah meminta untuk berjumpa dengan Pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob bagi memberi penjelasan kepada kementerian mengenai situasi semasa dalam 1MDB," katanya.

Sabtu, Disember 31, 2016

SIAPA MAHATHIR YANG TENTUKAN ORANG YANG NAIK HAJI DAPAT HAJI MABRUR ATAU TIDAK?



KUALA LUMPUR 30 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan orang yang melaksanakan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.



Mahathir Mohamad


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu membuat dakwaan berkenaan sewaktu berceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Katanya, haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada duit penajaan program tersebut kononnya haram kerana dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib boleh menghantar 1,000 orang ke tanah suci kerana dia menggunakan duit curi, jadi penghantaran mereka ini ke Mekah adalah tidak mabrur.

“Apa yang jadi saya ingat mereka tidak mendapat haji mabrur, tetapi Najib sanggup melakukan apa sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memburukkan Perdana Menteri kononnya tergamak menggunakan duit curi semata-mata mahu ‘membeli’ hati rakyat.

“Inilah sikap Najib yang sanggup melakukan apa sahaja dan sehingga hari ini, kerajaan kita kekurangan duit. Malah, rakyat terpaksa mengeluarkan wang sendiri contohnya ke hospital, kita terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli ubat,” katanya.

Tuduhan sedemikian tidak mengejutkan kerana Dr. Mahathir juga pernah mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada jutaan rakyat yang memerlukan sebagai salah satu bentuk rasuah dan haram diterima.

Ulasan saya, siapa Mahathir yang tentukan orang yang naik haji itu dapat haji mabrur atau tidak? Hanya Allah yang menentukannya dan bukan Dr Mahathir. Oleh itu seramai 8,000 orang yang menunaikan haji melalui 1MDB tidak perlu bimbang dengan kenyataan tersebut. Oleh itu Dr Mahathir tidak perlu berlagak menjadi Tuhan pula. Biar Tuhan Harun seorang sahaja yang mengaku jadi Tuhan.

Selasa, April 12, 2016

GST DAN 1MDB TIDAK PENGARUHI PRN SARAWAK

Isu nasional seperti isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing.

"Sudah pasti isu itu akan digunakan untuk mempengaruhi pengundi ketika pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak nanti, kata Masing.

Katanya jika isu-isu itu cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik, rakyat Sarawak sebenarnya tahu apa yang telah dilakukan Perdana Menteri kepada negeri ini sejak beliau menjawat jawatan pemimpin nombor satu negara.

"Isu 1MDB dan GST pasti akan dibawa pada pilihan raya nanti...tetapi kita merasakan tidak banyak impak yang akan berlaku. Sebagai contoh saya merasakan dalam isu GST apa yang kita perlukan ialah memberi penerangan yang jelas.

"Berkenaan Perdana Menteri pula, banyak sudah beliau lakukan kepada negeri ini. Sebagai contoh, beliau luluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu-Kanowit-Song-Kapit...Kapit sebelum ini ibarat 'pulau dalam Pulau Borneo' namun dalam tempoh tiga tahun ia bakal mempunyai akses jalan raya," katanya.

Masing berkata Perdana Menteri memahami keperluan rakyat negeri ini dan rakyat Sarawak memahami 'beliau seorang yang baik yang menjaga kita dan kita tidak akan lupakannya'.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena pelancaran jentera pilihan raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di sini hari ini.

Turut hadir calon DUN Kakus daripada PRS Datuk John Sikie Tayai.

Sementara itu, Masing yang juga calon DUN Baleh berkata PRS sudah membuat persediaan sebaik mungkin dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau berkata PRS mempunyai kelebihan apabila beliau sebagai Presiden PRS, bersama Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem; mencapai kata sepakat dalam menentukan siapa calon yang akan bertanding di 11 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, dan ia dipersetujui anggota parti.

"Perancangan adalah penting, kita mesti bertindak bersama sebagai satu pasukan dan kita tidak mempunyai orang lain untuk menyokong kita selain Adenan, ketua menteri kita. Apa yang sedang dilakukan beliau (Adenan) ketika ini adalah tepat dan dasar beliau memberi manfaat kepada kawasan luar bandar, itu juga kelebihan kita," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11 berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.

-- BERNAMA