Jumaat, Ogos 17, 2018

FILEM TAMIL TEMPATAN PERTAMA KUTIP LEBIH RM1.1 JUTA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Filem Tamil tempatan ‘Vedigundu Pasangge’ mencatat sejarah sebagai filem bahasa Tamil pertama box office apabila mengutip lebih RM1.1 juta.

Penerbitnya Denes Kumar berkata kutipan tersebut diperoleh setelah dua minggu filem itu disiarkan di 55 pawagam di seluruh negara dan di lima pawagam di United Kingdom bermula 26 Julai lepas.

“Saya sangat gembira kerana filem ini berjaya mengutip RM1.1 juta dan mencatat box office di Malaysia. Saya rasa promosi, pengarahan dan mutu penggambaran filem yang menggunakan kamera berteknologi tinggi serta sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) banyak membantu filem ini mencapai kejayaan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Trilogi Pasanga selepas ‘Vilayaatu Pasangge’ (2011) dan ‘Vetti Pasangge’ (2014) itu memecahkan rekod empat tahun yang dipegang filem ‘Maindhan’, arahan C. Kumaresan yang membuat kutipan sebanyak RM903,000.

‘Vedigundu Pasangge’ turut memecahkan rekod apabila memasuki pasaran antarabangsa setelah dilancarkan di United Kingdom pada Julai dan sedang menunggu untuk disiarkan di Singapura pada hujung bulan ini.