Sabtu, Januari 31, 2015

BEKAS SETIAUSAHA POLITIK IDRIS JUSOH DIPENJARA TIGA BULAN

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga bekas wakil rakyat Barisan Nasional dan SMS fitnah kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, pada 2009. Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi. Ahmad Ramzi, 43, yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen sebelum pihaknya merayu ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan Ahmad Ramzi yang diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik Abdullah dalam prosiding hari ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan secara serentak bermula hari ini setelah ketiga-tiga hakim menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf semasa membuat keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi pada 29 Dis 2013. Hakim Mohtaruddin berkata Mahkamah Tinggi tidak menilai secara menyeluruh keterangan kesemua saksi dan hanya bergantung kepada keterangan pembelaan Ahmad Ramzi bahawa 'router' (medium penghantaran SMS) milik Ahmad Ramzi mengalami mengalami masalah teknikal ketika itu. Katanya, sejak dari awal prosiding pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Ahmad Ramzi dan mendapati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman untuk kesemua pertuduhan. Tambahnya, Mahkamah Sesyen juga telah memenuhi elemen-elemen yang diperlukan dalam kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Ramzi. Pada Jun 2009, Ahmad Ramzi didakwa mengugut bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Mohd Ariffin Abdullah, bekas ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan bekas ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di Kampung Kubang Parit di sini, antara 11.21 malam dan 11.25 malam pada 13 April 2009. Tertuduh juga didakwa memfitnah bekas SUSK menteri besar Terengganu Datuk Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS ugutan berkenaan melalui nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad. Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 dan 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda jika sabit kesalahan. -- BERNAMA

Isnin, Januari 26, 2015

KENAPA DENGKI DENGAN ZAHID?

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan seorang pemimpin Umno yang mempunyai masa depan yang cerah. Bermula dari bawah sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Datoh, beliau kemudian dilantik Naib Ketua Pemuda Umno Perak dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia oleh ketua pemudanya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas Ketua Pemuda, Tan Sri Rahim Thamby Chik meletakkan jawatan pada tahun 1995, jawatan itu dipangku oleh Datuk Seri Nazry Tan Sri Aziz. Dalam pemilihan 1996, Nazri tak berminat merebut jawatan itu maka Zahid menawarkan diri bertanding jawatan tersebut selain dari Tan Sri Anuar Musa. Zahid menang dan dinobatkan sebagai Ketua Pemuda yang baru. Oleh kerana Zahid dikaitkan dalam kem Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka Tun Dr Mahathir tidak melantik Zahid sebagai timbalan menteri atau menteri walaupun jawatan Ketua Pemuda setaraf dengan naib Presiden Umno. Apabila Anwar dipecat dari Umno, Zahid ditahan di bawah ISA dan beliau melepaskan jawatan itu yang dipangku oleh Datuk seri Hishamudin Hussein. Zahid kekal dalam Umno dan tidak mengikut jejak Anwar menyertai PKR. Di zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri, bintang Zahid mula bersinar. Beliau dilantik timbalan menteri pelancongan. Selepas itu timbalan menteri penerangan. Selepas pilihanraya umum 2004, Zahid dilantik oleh Pak Lah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal agama Islam. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada April 2009, najib melanytik Zahid sebagai menteri pertahanan. Pada tahun yang sama beliau bertanding jawatan naib presiden Umno. Zahid menang di tempat pertama di samping Hishamuddin dan Datuk Seri Shafie Afdal. Di kementerian pertahanan tidak timbul isu yang kontroversi. Zahid mengekalkan jawatan Naib Presiden Umno buat penggal kedua pada tahun 2013 bersama Shafie dan Hishamuddin. Kali ini beliau menang sebagai Menteri Dalam Negeri. Di sini pelbagai isu yang timbul. Paling terbaru surat kepada FBI yang melibatkan seorang taukeh judi, Phua. Saya rasa tidak salah beliau memberi penjelasan kepada FBI bahawa Phua bukan penjenayah yang dikatakan oleh FBI. Oleh itu kenapa bising dengan surat ini. Nama Zahid mula tercemar dengan isu ini. Orang yang mengharapkan beliau akan jadi timbalan presiden Umno selepas ini mula sangsi dengan Zahid. Kalau Najib yang sedang tidak popular sekarang berundur, Muhyiddin yang bakal menjadi PM. Muhyididn lebih senang melantik Zahid sebagai TPM daripada Hishamuddin yang terbukti sebagai menteri amaran. dengan isu yang melanda Zahid, nama Hishamuddin lebih ke depan. Kalau Najib berundur, mungkin Najib beri arahan kepada Muhyididn bahawa beliau sedia berundur dengan syarata lantik sepupunya, hishamuddin sebagai TPM yang baharu. Jika perwakilan diberi pilihan sama ada timbalan presiden Umno yang baharu Zahid atau hishamuddin, sudah tentu perwakilan pilih Zahid kerana Zahid mudah didekati. tidak banyak protokol. Malah perjumpaan orang ramai di KDN menyebabkan beliau begitu popular di kalangan ahli umno. Sesiapa sahaja boleh berjumpa Zahid. Masa Hishamuddin di KDN, tak ada pun dia buat perjumpaan dengan orang ramai. Tun Musa Hitam jatuh ketika berada di KDN. Isu Memali menghantuinya. Genap 100 hari orang PAS buat solat hajat, Musa melatkkan jawatan sebagai TPM pada tahun 1986. Adakah Zahid akan jatuh di KDN juga? Bagi saya, jika Zahid tidak melenting dengan provokasi pihak media, dia akan selamat di KDN. Bersabarlah Datuk Seri. Percayalah Allah akan mengangkat darjat orang yang bersabar. Peduli apa orang kata terhadap Datuk Seri asalkan Datuk Seri ikhlas menghapuskan jenayah. Mana ada menteri yang berani senaraikan nama kongsi gelap di seluruh negara kecuali Datuk Seri seorang/ Biar Datuk Seri tak popular di KDN, asalkan nawaitu Datuk Seri berjuang untuk bangsa, agama dan negara tidak menyimpang. Selamat meneruskan perjuangan Datuk Seri. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Zahid, bacalah biodata beliau dalam wikipedia seperti berikut:-
Zahid merupakan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 April 2009. Beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Zahid Hamidi dilahirkan pada 4 Januari 1953 di Kampung Sungai Nipah Darat,Rungkup, Bagan Datoh, Perak. Bapanya Raden Hamidi Abdul Fatah (90) dan ibunya Tuminah Abdul Jalil (81 tahun). Ahmad Zahid anak sulung dari sembilan adik-beradik.Pada 1 Oktober 2011, ibunya meninggal dunia pada 1.40 pagi kerana sakit angin ahmar dan komplikasi jantung di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka .Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh. Isterinya bernama Datin Seri Hamidah Khamis. Ibu mertuanya Salmah Yahya meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka pada 14 Februari 2011. Ahli parlimen PAS Hassan Adli Mohd Arshad merupakan bapa saudaranya. Anaknya Nurul Hidayah 34, adalah pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM dan menyertai Rejimen Askar Wataniah Pada 8 Ogos 2014, bapanya Hamidi Raden Abdul Fateh, 90, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.05 petang akibat jangkitan paru-paru di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju. Solat jenazah di Wangsa Maju diimamkan oleh Sheikh Muhammad Idress Al-Mashrafe. Perkahwinan anak lelakinya Ahmad Khairul Hafiz, 32, dan pasangan Marina Zainal, 29, berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 8 Ogos 2014 dijadikan majlis tahlil arwah bapanya. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai dan menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Selepas itu beliau menyambung pengajiannya ke Universiti Malaya dalam bidang Sastera pada tahun 1975-1976.Selanjutnya mengambil kursus Certificate in Banking dan Diploma in Marketing Communication .Seterusnya M.Sc jurusan Komunikasi Koprporat dari UPM.Seterusnya mendapat PhD dari Universiti Putra Malaysia (UPM) semasa 'cuti rehat' selepas tahanan ISA 1998. Semasa di universiti , beliau menjadi editor tabloid 'Mahasiswa Negara' yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Beliau seorang pegawai bank dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC,Pengerusi Bank Simpanan Nasional (1995-1998) dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB).Pengurus Pemasaran di Amanah Saham Nasional Berhad, Pengarah Eksekutif di Scandinavian Motors Sdn Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif di Kretam Holding Berhad , Pengerusi Tekala Corporation Berhad, Pengerusi Seng Hup Berhad dan Pengerusi Ramatex Berhad. Pada 1999 menjadi Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Pada 2007, Ahmad Zahid bersama pasukan motosikal besar berkonvoi ke seluruh Malaysia termasuk Indonesia untuk mempromosikan pelancongan Malaysia. Konvoi ini menjelajah Sumatera,Jawa dan Bali di Indonesia. Beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datok, Naib Ketua Pemuda UMNO Perak, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Beliau memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha politik Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa di Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pertahanan. Seterusnya sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Kemudian beliau dilantik sebagai Senator di Dewan Negara Malaysia. Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-53 (1997), beliau menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu KKN (Kroni,Korupsi dan Nepotisme) dalam kerajaan.Berikutan itu, Dr Mahathir telah mendedahkan nama-nama Melayu/Bumiputera yang mendapat saham dan jawatan dalam syarikat tertentu. Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang pada masa itu merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sejak 1996 dan empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 21 September 1998 kerana menyokong kegiatan Reformasi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jawatan beliau selaku Ketua Pemuda UMNO pada masa itu dipangku oleh Datuk Hishamudin Tun Hussien. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1995 beliau mengalahkan Asha'ri Marsom dari Semangat 46 di parlimen Bagan Datok atas tiket Barisan Nasional / UMNO. Beliau dilihat pemimpin muda yang berpotensi dari negeri Perak. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999 beliau menewaskan Mohamad Dahalan Arhsad (PKR) Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Ahmad Zahid menang dengan mendapat undi sebanyak 13115. Calon lawan ialah Madzi Bin Hasan dari PKR mendapat 10,423 undi - Kalah . Peratus pengundi yang keluar ialah 70% . Undi rosak sebanyak 814. Selepas itu Perdana Menteri, Datok Seri Abdullah bin Ahmad Badawi melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Sabtu, Januari 24, 2015

SEMOGA IA TAK BERULANG DI ZAMAN RAZIF

Bertemu dengan seorang bekas Exco Kerajaan Terengganu baru baru ini, macam macam cerita saya dengar dari mulutnya. Katanya, bekas MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad buat jalan empat lorong dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang supaya orang Kuala Berang lebih cepat sampai di bandaraya Kuala Terengganu. Katanya, bila jalanraya ini siap perjalanan dari Kuala Berang sampai ke bandaraya sekitar 30 minit sahaja. Sebaliknya bila siap jalan itu, perjalanan ambil masa 1 jam lebih kerana ada 25 buah lampu isyarat sepanjang jalan tersebut. Bekas Exco itu bising bila bertemu dengan orang besar kerana banyak sangat lampu isyarat. Rupa-rupanya konsultant yang untung bila banyak lampu isyarat yang berharga RM500,000 sebatang. Bayangkan satu simpang ada empat lampu isyarat ini bermakna konsultant untung RM200,000 iaitu untung 10 peratus dari setiap batang lampu isyarat. Cuba bayangkan ada 25 lampu isyarat maknanya konsultant dapat RM5 juta.Bekas Exco itu bercerita juga betapa kayanya seorang bekas Exco yang sezaman dengannya. Bekas Exco itu pernah beritahu kepada seorang bekas timbalan menteri bahaewa duitnya yang ada dalam bank bernilai RM32 juta. Dahulu sebelum masuk politik, bekas Exco itu pakai kereta buruk sahaja. Kini beliau kaya raya dan beliau nak jual rumah di Kuala Lumpur bernilai RM4 juta. Nampaknya kedudukannya sebagai bekas Exco digunakan untuk menyamun projek projek yang ada di Terengganu.Kalau bekas Exco ada RM32 juta dalam bank apatah lagi bekas MB mesti lebih dari itu. Dianggarkan seorang bekas MB ada duit ratusan juta. Wallahuaklam.Sebab itu semua orang berebut nak jadi MB. Seorang proxy kepada bekas MB telah isytihar bahawa hartanya tidak kena mengena dengan bekas MB itu lagi. Nasib yang sama berulang apabila bekas MB itu kalah pada pilihanraya umum 1999. Keretanya kena tarik dan apabila dia temui proksi itu, proksi itu kata mana ada duit lagi. Nampaknya pisang berbuah dua kali. Rasuah berleluasa di negeri Darul Iman malah sebatang jalan raya yang panjang satu kilometer berharga RM40 juta. SPRM tak tahan pula orang politik yang terlibat kerana adakah logik satu kilometer jalan raya berharga RM40 juta.Cerita ini berlaku di zaman bekas MB yang terdahulu. Semoga ia ti
dak berlaku di zaman Datuk Razif Abdul Rahman menjadi MB.

Jumaat, Januari 23, 2015

AKHBAR PALING BEBAS DI SABAH?

Sabah mungkin contoh terbaik dalam amalan kebebasan akhbar di negara ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai apa yang dinamakan "pendekatan liberal" oleh kerajaan Malaysia, yang menilai kebebasan akhbar sebagai komponen utama tadbir urus demokratik, terutamanya hak untuk kebebasan memberi pendapat. "Setiap hari dalam media Sabah, kita dapati atau dengar pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengkritik parti pemerintah Barisan Nasional (BN) atau kerajaan, dan kadangkala artikel mereka diterbitkan di muka depan (akhbar-akhbar tempatan). "Begitu juga, para pemimpin BN negeri juga bebas mematahkan kritikan mereka. Senario ini telah berjalan berdekad lalu. Dengan perkataan lain, media Sabah nampaknya menikmati margin yang begitu luas dalam kebebasan akhbar berbanding amalan media di negeri-negeri lain di negara ini," katanya dalam ceramah 'Prinsip Demokrasi - Hak kepada Kebebasan Memberikan Pendapat' sempena lawatan anggota Institut Akhbar Malaysia di sini Khamis. Bagaimanapun, Salleh berkata walaupun peruntukan Artikel 5 hingga 15 Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan hak bagi kebebasan memberikan pendapat, ia adalah salah bagi sesiapa untuk mendakwa bahawa "dia mempunyai hak mutlak untuk berbuat apa sahaja yang dikehendaki atas nama kebebasan". Atas alasan itu, Salleh berkata Parlimen Malaysia menyediakan beberapa sekatan terhadap perkara-perkara sensitif yang boleh mengancam keselamatan negara. "Saya percaya kebebasan bukan suatu yang mutlak, malah kebebasan memberi pendapat. Kebebasan memberi pendapat tidak boleh diambil secara membuta tuli, tanpa menghiraukan sensiviti agama, etika dan nilai-nilai moral. "Di Sabah sahaja, kita mempunyai lebih daripada 32 kumpulan etnik dengan pelbagai budaya, kaum dan agama. Oleh yang demikian, kebebasan memberi pendapat tidak boleh melampaui batas atau melanggar nilai-nilai ini," katanya. Oleh itu, beliau berkata demokrasi di sebuah negara seperti Malaysia dengan kepelbagaian masyarakat perlu difahami dalam konteks kebebasan bersyarat. Bekas ketua menteri itu berkata kebebasan harus diiringi dengan tanggungjawab sambil berkata "lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia yang masih mempunyai banyak isu-isu sensitif". Beliau berharap media memainkan peranan mereka dengan bertanggungjawab terutama berhubung dengan penyebaran maklumat yang sensitif demi kebaikan rakyat, negeri dan negara seperti yang dibayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan negara. -- BERNAMA

ZAHID TETAP INGAT KAWAN LAMA

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menziarah rakannya semasa bekerja sambilan di Wisma Radio, Khairuddin Che Long yang uzur di rumahnya di sini, pada Khamis. Bekas timbalan pengarah Hal Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu baru sahaja keluar dari unit rawatan rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah dirawat 18 hari kerana masalah kekurangan oksigen akibat penyakit "Chronic Obstructive Pulmonary Disease" (COPD). Ahmad Zahid berkata beliau mengenali Khairuddin, 62, semasa beliau masih menuntut di Universiti Malaya dan bekerja sambilan di Wisma Radio. "Saya mengetahui keadaannya yang kini uzur apabila beliau beberapa kali menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya untuk berjumpa. Jadi, hari ini saya datang untuk bertemunya dan melihat sendiri keadaan Khairuddin," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis. Ahmad Zahid berharap lebih ramai rakan-rakan yang pernah mengenali Khairuddin, terutamanya dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, menziarahinya kerana beliau amat memerlukan semangat dan motivasi bagi mengharungi penyakitnya itu. Sementara itu, isteri Khairuddin, Wan Hanisah Wan Omar, 60, yang juga bekas Penerbit Rancangan RTM berkata suaminya kini beransur pulih, namun kurang selera makan sebab penyakitnya turut melibatkan masalah paru-paru. Wan Hanisah berkata Khairuddin mula didiagnos penyakit berkenaan pada 2011 apabila batuk yang dihidapinya tidak sembuh, dan keadaan kesakitannya kini tidak menentu. -- BERNAMA

Isnin, Januari 19, 2015

JURI BODOH PILIH LAGU APA KHABAR

KUALA LUMPUR: Menepati ramalan, lagu Apa Khabar dendangan Joe Flizzow menampilkan SonaOne diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) yang berlangsung malam tadi di Stadium Putra Bukit Jalil. Lagu berkenaan sebelum ini pernah dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 yang diadakan tahun lalu. Lagu Dayang Nurfaizah yang disebut-sebut sebagai saingan sengit lagu Apa Khabar berada di tempat ketiga. Menurut Datuk Mokhzani Ismail yang bertindak sebagai salah seorang juri profesional pertandingan karya lagu kebanggaan TV3 itu, menghuraikan pandangan kenapa lagu Apa Khabar mengungguli AJL29 di akaun laman Facebook miliknya. Beliau juga sejujurnya amat berpuas hati dengan keputusan penuh AJL29. "Pemilihan lagu Apa Khabar sebagai juara amat tepat kerana ia mempunyai ciri-ciri bertaraf antarabangsa selain condong kepada bentuk lagu aliran terkini yang cukup kreatif daripada segi melodi yang bersahaja. "Malah tag line lagu ini yang senang kita ingat iaitu aku tanya apa khabar. Keseluruhan melodinya juga mesra. Kalau dikupas liriknya satu persatu dapat dilihat dengan lebih jelas maksud yang Joe Flizzow rapkan. "Ia bukan sekadar rap biasa yang tidak ketahuan biji butir tapi ia punya isi dan kekuatan . Lagu ini melarikan terus aliran lagu ala-ala percintaan dan bentuk yang stereotype. Bagi saya, mereka telah melonjakkan satu dimensi muzik baru dalam arena industri muzik Malaysia. Yang mampu diletakkan di arena muzik global," katanya.
Mokhzani berkata, memilih lagu terbaik dapat dilihat pada kreativiti melodinya dengan kupasan lirik dalam penyampaiannya. "Impak lagu ini nampak hidup dalam genre yang dipilih. Penyanyi hanya sebagai penyampai. Apapun lagu yang baik datang dengan pakej yang melengkapi segala-galanya. "Perlu diingat segala yang kita tengok atas pentas daripada aspek lain termasuk gubahan, set dan kreatif persembahan adalah nilai tambah semata-mata. "Kesimpulannya walau genre apa sekalipun yang mereka pilih, kualiti tetap menjadi perkara utama. Karya seni ini tidak terbatas pada muzik mood ala-ala Melayu. Muzik Malaysia ini kalau boleh kita mahu ke pasaran antarabangsa . "Kalau tak dia hanya berlegar-legar dari Perlis ke Sabah saja. Sebelum ini lagu balada lebih mendominasi AJL sedari dulu. Biasalah kebanyakan lagu balada terutamanya cepat meresap ke dalam jiwa pendengar. Melodinya balik-balik akan ke arah situ juga," katanya. Mokhzani turut menjelaskan kebanyakan lagu balada cepat sampai ke jiwa terutamanya pendengar Melayu kerana jiwa Melayu dengan terma minor tak dapat dilarikan. Ia cepat menangkap telinga dan jiwa tetapi perlu kita sedar cabang atau genre muzik ini luas. Katanya, kreativiti ini tidak terbatas pada satu genre dan peluang sama rata kepada yang terbaik daripada genre yang berbeza perlu diberikan. Lagu Apa Khabar katanya menyerlahkan bagaimana sesebuah lagu bentuk baru menjadikan ia unik kekuatannya dan lain dari yang lain. "Yang balada ini kalau ia boleh melarikan dari kebiasaan, baru akan nampak kelainan. Bukan tak bagus. Kualitinya ada tetapi banyak sangat lagu sedemikian di pasaran. Malah kalau dipanggil juri luar negara pun pasti mereka melihat dari persepsi yang sama. "Lagu terbaik perlulah kalau boleh mempunyai ciri standard pasaran antarabangsa. Sudah sampai masa kita ubah aliran. Menerima sesuatu yang luar dari kebiasaan mungkin susah tapi kalau tak dimulakan dari sekarang bila lagi kita akan berada di takuk lama. "Ubah aliran kepada yang lebih baik sekurang-kurang ia sebagai satu anjakan atau lonjakan. Kadang-kadang apa yang kita minat itu sebenarnya kita menjurikan berdasarkan naluri kita sendiri dan tidak bolehlah kita memaksa semua hendak mengikut kehendak kita," katanya yang cukup terkesan dengan persembahan Mojo menampilkan penyanyi cacat penglihatan mendendangkan RomanCinta. Mokhzani di akhir catatannya turut mengucapkan tahniah kepada pihak produksi AJL 29 dan TV3 atas penganjuran yang cukup gemilang itu. "Tak lupa tahniah diucapkan kepada Dayang Nurfaizah. Tiada yang lebih layak untuk merangkul kategori Vokal Terbaik selainnya. Daripada awal buka mulut sampai akhir susah nak jumpa salah Dayang. "Pitching, penghayatan dan keyakinan di atas pentas tidak goyang. Tahniah juga kepada pemuzik orkestra pimpinan Datuk Ramli MS yang sangat hebat dan juga pemenang lain. Semua komposer dan penyanyi yang bertanding amat saya kagumi bakat kalian," katanya. Selain Mokhzani, persembahan 12 finalis AJL29 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Acis, Loque, Cat Farish, Azlan Abu Hassan dan Moots (Pop Shuvit) dan Azmeer bertindak sebagai ketua juri. (petikan BH Online)

Ahad, Januari 18, 2015

SEKAT FAHAMAN FANATIK DI SEKOLAH KATA SALLEH

KOTA KINABALU: Kerajaan harus memantau dan mengetatkan peraturan sedia ada khususnya ke atas sekolah swasta dan persendirian di negara ini, yang disyaki menanam ideologi fanatik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said. Beliau berkata langkah itu perlu bagi menyekat penyebaran fahaman fanatik dalam kalangan pelajar, sekali gus mengelak anak-anak terpengaruh dengan ajaran ekstrem sehingga boleh mencetuskan keadaan huru-hara dan permusuhan. Menerusi pemantauan, tindakan tegas lebih awal dapat dilakukan oleh kerajaan, kata Salleh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, menerusi kenyataan hari ini. Beliau berkata sebarang perkara yang boleh menimbulkan pertelingkahan juga seharusnya dibincang secara tertutup atas semangat saling menghormati demi mengekalkan suasana aman, khususnya di Sabah yang sememangnya aman damai sejak merdeka. Dalam pada itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata sistem pendidikan harus mampu melahirkan generasi baharu Sabah yang berdisiplin, memiliki keyakinan diri, berkemahiran serta berfikiran sederhana dalam hubungan antara kaum dan agama. "Mereka (pelajar) wajib memahami sejarah pembentukan negara dan mampu merebut peluang ekonomi dan pekerjaan yang tersedia di mana-mana pun, termasuk di luar negara. Sudah pun terbukti, anak-anak Sabah mampu dan boleh bersaing dalam semua profesion," katanya. -- BERNAMA

Jumaat, Januari 16, 2015

PENGURUSAN BANJIR KEMAMAN WAJAR DICONTOHI

Oleh Erda Khursyiah Basir KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Saya orang Kemaman, terlibat sama sebagai mangsa banjir, kebetulan balik waktu cuti tahunan, terpaksa berpindah di tempat pemindahan di dewan MPK (Majlis Perbandaran Kemaman), dalam keadaan ini saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama kepimpinan politik yang banyak memainkan peranannya. "SOP (Prosedur Operasi Standard) yang terbaik, ada makanan yang mencukupi, ada sleeping bag, ada sumbangan yang lain, anak-anak dilayan secara yang baik. Saya ingin bagi 5 star (bintang) kepada semua agensi kerajaan yang sentiasa beri semangat kepada kami semua." Demikian status seorang mangsa banjir yang dikenali sebagai Kamariah Ismail di akaun Facebook miliknya pada 29 Dis lepas ketika daerah Kemaman dilanda banjir besar akhir tahun lepas dan minggu pertama bulan ini. PENGURUSAN LEBIH BAIK Bagi seorang suri rumah Noor Hayati Hassan, 46, beliau turut mengakui bahawa bencana banjir baru-baru ini tidaklah seburuk yang pernah melanda daerah itu pada 2013. "Tahun 2013, air naik tinggi dan ia memang suatu keadaan yang kami tidak sangka sama sekali. Tapi banjir baru-baru ini, Alhamdulillah awal-awal lagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dah beri amaran dan notis mengenai air pasang dan hujan. "Jadi persediaan memang kami dah buat awal-awal. Ada jiran yang buat para tinggi, ada yang guna perancah... sampaikan ada yang awal-awal lagi segala barang dah simpan dekat porch kereta, atas perancah penuh set-set sofa, tapi syukur banjir tak teruk kali ini," katanya kepada Bernama. Noor Hayati, yang menetap di Chukai, berkata beliau 'tidak berkesempatan' melihat longgokan sisa-sisa banjir seperti yang berlaku sebelum ini ekoran tindakan segera Majlis Perbandaran Kemaman mengurus dan membersihkan sisa-sisa tersebut. Suzana Ghazali, 42, yang menetap di Taman Fikri pula terpaksa berpindah ke rumah ibu mertuanya dekat Gong Pauh selama lima hari ekoran air yang naik sehingga ke paras pinggang. "Namun saya lihat banjir 2013 lebih teruk berbanding kali ini kerana pada masa itu saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Geliga. "Banjir kali ini, Alhamdulillah sebab kita penduduk dah bersedia dari awal terutama mengemas barang apa yang patut. Pengurusan banjir kali ini pun saya rasa lebih baik sebab kita sudah diberitahu awal termasuk persediaan yang diatur oleh kerajaan negeri dan pihak lain yang terlibat," katanya. PENGURUSAN BENCANA BANJIR Apakah kelebihan dan keunikan persiapan pengurusan bencana banjir di daerah Kemaman sehingga dinilai mencapai tanda aras piawaian emas (Gold Standard)? Pada 31 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendengar Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014 turut mengumumkan pelan pengurusan banjir di Kemaman akan menjadi model kepada SOP banjir di kawasan terjejas pada masa akan datang. Merujuk 'Taklimat Pengurusan Banjir Daerah Kemaman 2014' berkenaan, gerak kerja dilakukan seawal April 2014 dengan 69 pusat pemindahan dikenal pasti dan penubuhan jawatankuasa bencana banjir yang unik turut membantu keberkesanan pengurusan banjir pada kali ini. Berdasarkan kepada gambaran senario paling buruk, metodologi pra banjir, semasa banjir dan pasca banjir dipraktikkan bagi menghadapi bah. PRA BANJIR Antara metodologi pra banjir termasuklah program kesedaran banjir oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merangkumi maklumat asas menghadapi banjir, kit banjir untuk mangsa berserta maklumat pusat pemindahan semasa banjir. Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) turut dijadikan markas taktikal (Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Medic Team dan sokongan logistik), penempatan, tempat memasak dan tempat penyimpanan barangan sumbangan daripada pihak luar. Di samping itu, terdapat dua kawasan untuk landasan helikopter atau 'helipad' serta padang yang boleh digunakan untuk penghantaran barang-barang keperluan mangsa banjir. Proses simulasi banjir antaranya termasuklah persediaan urusetia, penerimaan barang keperluan, pendaftaran mangsa, pengagihan barangan kepada mangsa, penginapan mangsa serta pengurusan makanan untuk mangsa. Selain itu, persediaan infra menghadapi banjir, stor, tandas, 'helipad', substesyen janakuasa bergerak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mini depoh seperti di Pasir Gajah, Batu 14 Kuala Tayor, Air Putih dan Felda Seberang Tayor. Jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd, DiGi.Com dan Telekom Malaysia Bhd bagi meninggikan kabinet peralatan di tapak pemancar komunikasi yang dilakukan di Bukit Mentok dan Chukai turut membantu keberkesanan sistem komunikasi semasa banjir. Kemudahan set generator bergerak dan kekal, pemancar selular bergerak (COW), walkie-talkie beserta penambahan peralatan logistik dengan 34 bot daripada kerajaan negeri dan 17 bot daripada Parlimen Kemaman turut membantu memudahkan perjalanan pengurusan banjir. Seterusnya, perkongsian maklumat antara pihak terlibat terutama melalui aplikasi Whatsapps dan Telegram berhubung bencana banjir dan maklumat terkini keadaan banjir menyumbang kepada kejayaan pengurusan banjir di daerah Kemaman. SEMASA BANJIR Selain mengadakan mesyuarat koordinasi setiap hari pada pukul 8.30 malam, bekalan makanan dan minuman untuk tempoh tujuh hari turut dihantar ke setiap pusat pemindahan banjir. Usaha menyelamat mangsa banjir menjadi keutamaan di samping kelengkapan pusat pemindahan seperti tikar, selimut, kain pelikat, tong gas, 'power bank' dan sejumlah 12,000 set bag tidur disediakan. Berhubung aspek kesihatan, klinik statik yang merawat minimum 500 mangsa, kawalan vektor bagi mengelakkan penyakit dan hospital yang dibantu oleh Pasukan Medik ATM dan doktor sukarelawan antara kemudahan yang disediakan bagi membantu mangsa banjir. Selain itu, pertubuhan dan agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, KEMAS, Jabatan Penerangan, Majlis Belia Daerah Kemaman serta parti politik turut menyumbang bantuan dan khidmat kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan. PASCA BANJIR Selepas banjir surut, penilaian kerosakan seperti harta benda awam yang melibatkan jambatan, bangunan dan jalan serta harta benda persendirian yang melibatkan rumah dan kereta antara perkara utama yang diberi perhatian dalam tempoh pasca banjir. Justeru, pengurusan sumbangan dan bantuan seperti barangan keperluan harian giat dijalankan secara berpusat di pejabat daerah. 'Post-mortem' turut dijalankan seminggu selepas pusat pemindahan terakhir ditutup selain pembentangan cadangan penambahbaikan. Kesimpulannya, banjir yang berlaku di daerah Kemaman pada 2014 adalah dalam kawalan. Daripada 69 pusat pemindahan yang disediakan hanya 67 yang dibuka dengan mangsa seramai 32,963 berbanding kapasiti 40,000 orang. Berdasarkan pengalaman dan bencana banjir yang melanda Kemaman, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah menyegerakan tebatan banjir dan sistem perparitan, bantuan membaiki jalan rosak, menaik taraf kemudahan pusat pemindahan seperti tangki air, surau, stor, bilik air dan tandas. -- BERNAMA

Isnin, Januari 12, 2015

KENAPA REMOVE SAYA ZAHARIN?

Hari ini blogger terhebat abad ini, Zaharin Mohd Yassin remove saya dari rakan Facebooknya kerana saya hentam Zizan Ahmad dalam posting FB zaharin.Zaharin sudah saya kenali selama 28 tahun ketika bekerja dengan akhbar Watan pada tahun 1987. Saya sering bertemu dengan beliau di parlimen. Saya tertanya tanya siapa orang yang berkot biru ini. Rupanya dia seorang aktivis Umno. Semua tokoh politik kenal siapa zaharin. jadi berkawan dengan Zaharin memang seronok kerana kita dapat kenal YB melalui beliau. beliau dikutuk kerana sering pau ahli politik. Padahal orang politik yang jaga zaharin kerana takut dengan mulutnya yang celupar, Dia maki orang tak kira di mana. Dia konsisten. Dari awal Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk Umno pada tahun 1982 sampailah Anwar dipecat dari Umno pada tahun 1998, Zaharin konsisten maki Anwar. Semua orang tahu Zaharin adalah tokoh yang menjatuhkan Anwar dengan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tak Dapat Jadi PM. Beliau yang sebarkan buku yang menjadi rebutan ahli Umno. Punca kejatuhan Anwar dikatakan berpunca dari buku tersebut. Hari ini Zaharin remove saya dari FB dia kerana saya hentam Zizan Ahmad yang meruoakan kawan baiknya. Siaoa Zizan? Dia adalah penulis buku politik dan saya berjumpa dengannya kali pertama dengan beliau di pejabat Zaharin di pejabat Umno Bahagian Tun Razak. Ketika itu Zizan atau nama sebenarnya Dr Azizan Ahmad setiap hari bantu Zaharin yang bekerja sebagai Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak. Sejak itu saya baik dengan Zizan. Dia seorang yang bercakap slow menyebabkan ramai perempuan tergilakannya. Saya silap berkawan dengan Zizan. Akhirnya rumah tangga saya runtuh gara gara hasutannya. Dia hasut kenapa janda saya yang sedang refinance rumahnya sebanyak RM150,000 nak beri duit kepada saya buat bisnes. Dia kata buat apa beri kepada zabidi kerana nanti zabidi lebihkan bini tuanya. Bini muda saya terpengaruh dengan Zizan dan akhirnya dia buat bisnes dengan Zizan terbitkan buku AYAH PIN dan MAWI. Saya ceraikan bini muda saya kerana Zizan sudah menidurinya di Port Dickson. Takkan saya nak jadi suami dayus kerana jiran kata bila saya tiada di rumah, Zizan datang ke rumah saya di Setapak Garden sampai larut malam. Orang macam Zizan peruntuh rumah tangga orang memang tak layak dibuat kawan. kawan yang tikam belakang kawan. Masa tu di pakai kereta kancil. Dia tiada duit nak beli minyak kereta. Dia mintak duit dengan saya. hari ini aku ada RM10 sahaja Zizan. tak apalah kau ambil semua beli minyak kereta itu. Orang macam ini yang kita tolong masa dia susah sanggup menggoda bini kita di belakang kita.Saya memang tak dapat maafkan dia kerana runtuhkan rumah tangga saya sedangkan bini nombor satu dah terima bini muda sebagai madunya. Malah kami pernah tidur sekatil tiga orang. Bila bini tua nak pergi berjalan, dia ajak bini muda pergi sekali. Seronok ketika itu beristeri dua kerana isteri tua dan muda saling berbaik. Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hukan di tengah hari. Rumahtangga isteri muda saya selama 10 tahun akhirnya berkecai kerana hasutan Zizan. Bila saya nampak dia selalu muncul komen dalam FB Zaharin, saya hentam dia tak payah bercakap tentang agama kalau perangai sendiri macam setan. Saya tak kesah Zaharin remove saya, kerana hak saya untuk menegur orang yang meruntuhkan rumahtangga saya. Terima kasih Zaharin.

Sabtu, Januari 10, 2015

TUN RAHMAN YAKUB DALAM KENANGAN

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu Sarawak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Anchi dan Sekolah St. Joseph, Kuching hingga tingkatan 5. Beliau telah lulus Sijil Seberang Laut Cambridge dan menyambung pengajian ke peringkat Universiti pada tahun 1954 hingga 1959 di Southampton University, England dan mendapat pendidikan dari School of International Law, Hague, Holland, beliau juga mempunyai kelulusan Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn, London. Beliau telah memulakan kerjayanya pada tahun 1948 sebagai Pegawai Percubaan (kadet) Bumiputera Sarawak. Beliau menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sehingga dinaikkan pangkat menjadi Magistrate. Dari tahun 1959 hingga 1963, beliau dilantik sebagai Pegawai Perundangan Sarawak, di samping bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Crown Council dan Stipendiary Magistrate. Beliau adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia. Beliau antara tokoh politik paling berjasa memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Malaysia. Putera Kenyalang ini tidak pernah berputus asa meredah kampung-kampung untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sarawak. Dalam bidang politik Sarawak, Abdul Rahman berjaya membentuk kerajaan campuran dengan menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB). Semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga, beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang berjaya memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat yang turut melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman. Pada tahun 1963, Tun dilantik menjadi Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan. Seterusnya pada tahun 1964, beliau dilantik pula menjadi menteri Muda Kementerian Kehakiman sebelum bertukar portfolio sebagai Menteri Tanah dan Galian Persekutuan hingga 1969. Tun juga pernah bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun (1968-1971). Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran Persekutuan dari tahun 1969 hingga 1970. Beliau kemudiannya memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun bermula 1970 hingga 1981. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Sementara di Muslim College, Earling London dari tahun 1986 hingga 1990. Tun juga merupakan Yang Di Pertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan sehingga kini masih menjadi Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI (Muslim World leugue, Makkah) selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi Pakistan. Semenjak tahun 1970 sehingga ke hari ini, Tun masih lagi aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama Islam dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching Sarawak. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri pelajaran pada tahun 1970 dan apabila beliau dipanggil balik mengetuai pentadbiran Sarawak, para mahasiswa universiti menangis kerana beliau adalah menteri pelajaran yang tegas memperjuangkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ayahnya Haji Yakub dikatakan berasal dari Kelantan dan berhijrah ke Sarawak dan menikahi perempuan tempatan. Bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merupakan anak saudara Tun Rahman. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al fatihah.

Khamis, Januari 08, 2015

SABRI TOKOH KORPORAT HEBAT

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Sabri Ahmad, yang meninggal dunia Khamis disifatkan sebagai tokoh korporat hebat kerana berjaya membawa keuntungan kepada Kumpulan Golden Hope Plantations Bhd (Golden Hope). Pengerusi Golden Hope Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata Allahyarham ketika memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2004 hingga 2007, berjaya membantu Golden Hope meraih keuntungan yang besar. "Allahyarham telah menjalankan tugas dengan baik sehingga Golden Hope layak bergabung dengan Sime Darby dan Guthrie," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini Khamis. Selain itu, Allahyarham juga sangat profesional dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai daya maju projek serta pasaran luar negara. "Allahyarham juga seorang yang sangat sederhana dalam pergaulan dan sangat patuh pada ajaran agama," katanya. Sabri, 68, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, 5.30 pagi di Hospital Sunway, Petaling Jaya. Ahmad Sarji berkata beliau sudah mengenali Allahyarham lebih 30 tahun, malah pernah bersama-sama bertugas di Kementerian Pertanian dan kali terakhir bertemu beberapa bulan lalu. Anak sulung Allahyarham, Sabrina Sabri, berkata bapanya menghidap kanser sejak lebih setahun lalu. Allahyarham meninggalkan isteri Jahara Yahya, 66, dua anak perempuan dan enam cucu. -- BERNAMA