Memaparkan catatan dengan label tiga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tiga. Papar semua catatan

Khamis, Mei 05, 2016

TIGA KALI BERNAMA DIFITNAH

KEMAMAN, 4 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi mangsa penyebaran berita palsu berkaitan politik Terengganu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Dalam tempoh hampir dua bulan sejak Mac lalu, Bernama telah membuat tiga laporan polis, terbaru membabitkan berita bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kerteh pada pukul 5.46 petang ini dan kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ini merupakan kali ketiga Bernama menjadi mangsa fitnah dengan penyebaran berita palsu yang melibatkan politik di negeri ini. Saya yakin bahawa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengadu domba dengan menyiarkan berita sensasi bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.

"Tindakan menjadikan Bernama sebagai sumber berita adalah salah dan ia perlu ditangani supaya tidak berlaku kekeliruan kepada pembaca kerana ia telah menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp," katanya di sini hari ini.

Zalina berkata penyebaran berita palsu ini mengaitkan beberapa tokoh UMNO seperti bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, bekas Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Saya dimaklumkan mengenai berita palsu ini kira-kira pukul 1.20 tengah hari. Apabila saya merujuk menerusi rekod berita kami, memang tiada berita sedemikian dan selepas ia menjadi viral, saya telah dihubungi oleh beberapa pegawai dari Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan kesahihanannya.

"Penulisan sedemikian telah menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak namun saya bersyukur kerana setelah memberi penjelasan bahawa ia adalah berita palsu, mereka dapat menerimanya dengan baik," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Zalina Maizan membuat laporan polis pertama berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lalu, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Zalina Maizan berkata beliau amat berharap agar perbuatan tersebut dapat dikesan oleh SKMM secepat mungkin kerana individu yang melakukannya sudah semakin berani dan sentiasa muncul di saat keadaan semasa Terengganu telah tenang daripada krisis.

"Ia bagaikan sengaja ditimbulkan dan pada pendapat saya, pihak ini sengaja menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi meraih perhatian seolah-olah ia berita rasmi. Saya membuat laporan ini bagi menjaga reputasi Bernama sebagai agensi berita yang dihormati dalam dan luar negara," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Januari 31, 2015

BEKAS SETIAUSAHA POLITIK IDRIS JUSOH DIPENJARA TIGA BULAN

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga bekas wakil rakyat Barisan Nasional dan SMS fitnah kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, pada 2009. Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi. Ahmad Ramzi, 43, yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen sebelum pihaknya merayu ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan Ahmad Ramzi yang diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik Abdullah dalam prosiding hari ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan secara serentak bermula hari ini setelah ketiga-tiga hakim menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf semasa membuat keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi pada 29 Dis 2013. Hakim Mohtaruddin berkata Mahkamah Tinggi tidak menilai secara menyeluruh keterangan kesemua saksi dan hanya bergantung kepada keterangan pembelaan Ahmad Ramzi bahawa 'router' (medium penghantaran SMS) milik Ahmad Ramzi mengalami mengalami masalah teknikal ketika itu. Katanya, sejak dari awal prosiding pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Ahmad Ramzi dan mendapati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman untuk kesemua pertuduhan. Tambahnya, Mahkamah Sesyen juga telah memenuhi elemen-elemen yang diperlukan dalam kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Ramzi. Pada Jun 2009, Ahmad Ramzi didakwa mengugut bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Mohd Ariffin Abdullah, bekas ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan bekas ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di Kampung Kubang Parit di sini, antara 11.21 malam dan 11.25 malam pada 13 April 2009. Tertuduh juga didakwa memfitnah bekas SUSK menteri besar Terengganu Datuk Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS ugutan berkenaan melalui nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad. Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 dan 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda jika sabit kesalahan. -- BERNAMA

Rabu, Disember 04, 2013

BN BERDEPAN DENGAN TIGA PARTI, BUKAN PAKATAN RAKYAT, KATA NAJIB

Berikut transkrip wawancara khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di pejabat beliau di bangunan Parlimen di sini Isnin. Perdana Menteri diwawancara sekumpulan wartawan kanan Bernama diketuai Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh. Dalam wawancara kira-kira 40 minit itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno bercakap mengenai cabaran, harapan dan hala tuju Umno susulan Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lepas dan pemilihan parti pada Oktober lepas.
BERNAMA: Bagaimana kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) memberi impak kepada corak kepimpinan dan transformasi Umno? NAJIB: Umno sebagai parti yang berkuasa setelah sekian lama perlu melihat masa depan, kerana kejayaan walaupun begitu hebat sekalipun tidak merupakan jaminan untuk kejayaan masa akan datang, lebih-lebih lagi dalam perubahan landskap politik tanah air. Dari segi perubahan demografik, perubahan teknologi dan juga tahap pendidikan yang semakin tinggi. Bererti untuk kekal sebagai sebuah parti yang relevan, Umno mesti sanggup melakukan transformasi yang mencerminkan parti untuk masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya. BERNAMA: Selepas Datuk Seri mendapat mandat baharu menerusi PRU-13 dan pemilihan parti baru-baru ini, timbul pelbagai tuduhan bahawa hala tuju dan gaya kepimpinan Datuk Seri seolah-olah ada perubahan hala tuju terutama dengan pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. NAJIB: Tidak...mesti faham, saya juga Presiden parti Umno. Tiang seri perjuangan Umno ialah memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan Islam. Walaupun perjuangan Melayu Islam, tidak bererti kita pinggirkan kaum lain, yang tak pernah kita lakukan. Dasar memperkasakan ekonomi bumiputera adalah konsisten dengan apa yang dilakukan Umno sejak penubuhannya. Yang berbeza adalah cara atau kaedah. Saya selalu tekankan 'market friendly'. Mesti berdasarkan merit bukan 'handout' (pemberian). Bukan kepada 'rent-seeker', bukan sistem kuota tapi lebih kepada membangunkan orang Melayu dan Bumiputera berdasarkan apa yang perlu dan patut diberi demi menegakkan keadilan sosial. Kita cuba beri lebih peluang tapi tak boleh jamin outcome (hasilnya). Kalau mereka yang telah terpinggir dari arus perdana selama ini kesan zaman penjajahan yang begitu lama, maka kita tak boleh tidak, perlu lakukan untuk betulkan keadaan ini yang tempang, supaya "we equalise opportunities" dalam negara tanpa nafikan hak kepada kaum-kaum lain. BERNAMA: Banyak program transformasi dalam Umno, sejauh mana ahli-ahli dapat menerima idea-idea yang Datuk Seri perkenalkan? NAJIB: Saya ingat sebahagian hasrat saya tercapai bila kita lakukan pemilihan berdasarkan perlembagaan baru. Rata-rata akui Umno telah ambil satu tindakan berani dan futuristik dengan membesarkan 'constituency' yang memilih pemimpin-pemimpin Umno termasuk di peringkat tertinggi. Kebolehan Umno menguruskan pemilihan ini dari Arau (Perlis) sampai ke Semporna (Sabah) dengan penambahan lebih 150,000 (perwakilan) adalah satu kejayaan yang setakat ini tak boleh ditandingi parti-parti lain dalam negara. Saya berbangga dengan kejayaan ini, bermakna Umno telah menyahut apa yang kita kehendaki untuk kita menjadi lebih demokratik, lebih agresif. Seterusnya perlu diperkukuhkan lagi nilai-nilai perjuangan Umno, supaya apa yang kita fikir tidak sihat, mesti kita kikiskan. Umno mesti muncul sebagai parti yang memperjuangkan, mendahulukan rakyat dan mengelak daripada mencari kuasa semata-mata hendakkan kuasa tapi mesti merupakan parti yang sentiasa sanggup meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. BERNAMA: Selepas pemilihan parti Oktober lepas, adakah Datuk Seri berpuas hati dengan keputusan pemilihan? Adakah ia menepati jangkaan? NAJIB: Saya kena terima...sebagai seorang yang menjunjung prinsip demokrasi, proses telah dilalui, perwakilan telah membuat keputusan, saya perlu terima apa-apa keputusan yang dibuat perwakilan. Bukan soal pilihan saya secara peribadi dan presiden parti tapi kehendak ahli parti. Itu yang mesti saya terima, saya hormati. Keputusan itu jadikan saya pilihan ahli Umno yang mewakili 3.4 juta ahli Umno melalui 150,000 orang (yang mengundi) dan saya akan bersama dengan mereka yang dipilih. BERNAMA: Tetapi hasil pemilihan dilihat lebih kepada melambangkan aspirasi parti dan bukannya aspirasi rakyat? NAJIB: Kita lihat itu adalah pilihan orang Umno. Kita cuba 'align' (selaras)kehendak ahli Umno dengan kehendak rakyat. Kita tak boleh tahu sama ada perkara ini sudah dapat di'align' sepenuhnya melainkan waktu pilihan raya diadakan. Sebab itu saya sentiasa tekankan soal 'winnable candidate' (calon yang boleh menang), bukan saja dipilih parti tapi disenangi rakyat, boleh menang di satu-satu kawasan. Yang sukar adalah definisi 'winnable candidate' kerana tanggapan semua yang minat jadi calon fikir dia adalah 'winnable candidate'. Ini kesukaran bagi kita. Tapi hakikatnya kalau kita nak parti kita berjaya, kita mesti dapat mentafsirkan konsep 'winnable' secara jujur dan ikhlas. BERNAMA: Untuk masa depan, bagaimana hendak membina Umno yang mencerminkan nilai positif dan mencari lebih ramai 'winnable candidate'? NAJIB: Kita mesti perbanyakkan lagi proses melatih pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat. Kita tak boleh terima ahli umno tanpa kita tarbiah mereka, didik mereka melalui kursus-kursus tertentu. Bentuk minda mereka untuk berfikir, cara terbaik langsungkan perjalanan baru dalam konteks environment baharu, new politics (politik baharu). Bukan lagi old politics. Siapa yang tak faham new politics bakal ditolak rakyat. Sebab itu Umno kena sesuaikan dirinya, sediakan pemimpin-pemimpin dalam Umno yang menghayati 'the new politics'. BARISAN NASIONAL BERNAMA: Langkah transformasi Umno dianggap radikal dan berani dan kesannya dilihat telah memperkukuh sokongan ahli Umno kepada parti. Adakah parti-parti komponen patut meniru langkah-langkah ini? NAJIB: Setiap parti komponen perlu melalui proses yang sama tapi setengah dari mereka kena selesaikan kemelut dalam parti sebelum boleh embark atau melancarkan satu proses transformasi dalaman yang perlu mereka lakukan. Saya percaya mereka pun sedar bahawa untung nasib parti mereka bergantung kepada sejauh mana dapat dilakukan proses transformasi dengan mempunyai political will, iltizam politik, untuk hasilkan parti yang boleh diterima oleh rakyat. BERNAMA: Tahap kekuatan parti-parti komponen tidak seperti dulu dan Umno sekarang nampaknya kena bekerja lebih kuat. Bagaimana Umno menghadapi cabaran ini? NAJIB: Kita akan membantu memberi kekuatan Umno kepada rakan-rakan kita. Tapi rakan-rakan kita yang menghadapi masalah dalaman perlu betulkan rumah tangga mereka supaya akan dapat lebih diterima oleh masyarakat yang diwakili mereka. Dan kalau mereka dapat sokongan yang kian meningkat, ini akan menjamin kemenangan BN di masa akan datang dan tidak terlalu bergantung kepada sokongan daripada Umno semata-mata. BERNAMA: Ada yang berpendapat kalau Umno terlalu kuat, parti-parti komponen akan menjadi lemah, seterusnya menganggap seolah-olah kerajaan hanya mementingkan bumiputera/Melayu. Adakah ini benar? NAJIB: Tidak...kita sentiasa bagi skop kepada mereka dan saya bersikap terbuka sebab dalam keputusan-keputusan yang dibuat sama ada dalam parti atau kerajaan kita tak paksa mereka. Kita lakukan pendekatan/kaedah konsensus. Sesuatu dasar dibuat atas cara rundingan terbuka. Bila keputusan dibuat, itu bersandarkan sokongan dari semua pihak. BERNAMA: Pembangkang dilihat sering berpolemik, bercanggah dan berselisih pendapat secara terbuka dalam akhbar manakala BN pula dilihat seolah-olah dikawal media perdana, malah tidak berlaku perbahasan di kalangan komponen parti secara terbuka. Bagaimana Datuk Seri melihat perbandingan ini? NAJIB: Kita adalah parti yang memerintah. Kesan perpecahan adalah lebih buruk daripada kalau kita ini sebaliknya. Pembangkang tak buat dasar, tetapi BN buat dasar. Kalau ada percanggahan secara terbuka, akan merosakkan kredibiliti kita sebagai kerajaan. Kita menggalakkan percambahan pendapat secara tertutup. Bila tertutup, orang luar tak berapa nampak. Jadi seolah-olah mereka (parti komponen) tak suarakan sesuatu dengan lantang. Tapi hakikatnya pendapat dan kehendak semua kaum dibahas dalam keadaan tertutup sebelum kita buat sesuatu keputusan. BERNAMA: Jadi, tak semestinya mereka lebih demokratik daripada BN? NAJIB: Tidak. Lagipun mereka (pembangkang) ini tidak merupakan satu coalition (gabungan) sebenarnya sebab mereka bertanding atas tiga simbol berasingan, tidak daftar sebagai satu 'coalition'. Mereka sering bercanggah pendirian antara satu sama lain, malah sehingga hari ni tak ada shadow cabinet (kabinet bayangan). Banyak lagi perkara yang tak mencerminkan two party system. Hakikatnya BN bukan berdepan dengan 'two party' tapi 'multiparty system' (sistem pelbagai parti) dengan pelbagai manifesto. Jadi BN sebenarnya berdepan tiga parti bukan satu parti. Walaupun cuba gelar sebagai Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka pakatan pembangkang yang begitu longgar. 'Loose coalition'. BERNAMA: Pembangkang sering bercakap mengenai nilai-nilai yang dilihat hebat, tetapi secara praktikalnya mereka tidak mengamalkan 'what was being preached' (apa yang diucapkan). Malangnya orang BN nampaknya termakan serangan-serangan nilai sehingga rasa rendah diri kononnya pembangkang lebih (mulia) noble ideanya. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini? NAJIB: Pembangkang pandai memberi gambaran bahawa mereka memperjuangkan sesuatu yang lebih indah daripada BN. Mereka cuba 'occupy the high level ground' tapi dari segi 'action', tindakan mereka banyak yang 'inconsistent and contradiction' (tidak konsisten dan bercanggah), yang perlu kita highlightkan. Dalam ucapan saya akan sebut juga satu dua perkara. BERNAMA: Bukan mudah hendak jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri yang inklusif. Melihat kepada perkara-perkara yang terjadi semasa pilihan raya umum lepas, bagaimana Datuk Seri melihat tentang 'healing action' (tindakan penyembuhan) dalam konteks pengukuhan negara? NAJIB: Sebab itu saya lancarkan Gagasan 1Malaysia, dengan pengertian dan nilai-nilai yang berkaitan 1Malaysia. Saya tidak melihat 1Malaysia sebagai satu prakarsa atau usaha 'cyclical' hanya untuk PRU-13, tetapi ia adalah suatu keperluan dalam konteks nation building (pembinaan negara). Jadi kalau kita berpegang kepada Gagasan 1Malaysia berserta Perlembagaan dan Rukun Negara, saya percaya kita akan dapat mengukuhkan 'national unity dan national harmony'. BERNAMA: Datuk Seri, dalam PRU-13 lepas, Umno mendapat sokongan majoriti Melayu tetapi kurang mendapat sokongan orang bukan Melayu. Melihat perkara ini, adakah Gagasan 1Malaysia akan diteruskan atau akan ada perubahan-perubahan tertentu? NAJIB: Tidak ada masalah apa yang kita lakukan sekarang ini. Pemerkasaan ekonomi bumiputera (termasuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak), bagi kelompok minoriti, kita perlu beri perhatian. Macam orang India, kita ada program khas untuk mereka dan kita tidak mengambil tindakan yang boleh menyakitkan hati kaum Cina. Waima apa keputusan yang telah dibuat, sebab itu adalah pilihan yang dibuat dalam proses demokrasi. Tapi kita harap bahawa masa depan negara kita ini adalah lebih terjamin dengan dasar-dasar yang sederhana, progresif, inklusif dan lebih adil yang diperjuangkan oleh Umno. BERNAMA: Adakah Datuk Seri yakin menjelang PRU-14, kerajaan BN ada masa untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa BN pilihan yang terbaik buat mereka? NAJIB: Kita harus berusaha ke arah itu. Ini bukan sahaja soal PRU tetapi dalam konteks 'nation building' kita tidak mahu kerenggangan antara orang Melayu dan orang Cina ini akan menjadi sesuatu yang boleh 'divide us' (memecahbelahkan kita). Tapi kita mesti cari kaedah dan cara di mana kita boleh merapatkan hubungan antara kaum di negara kita kerana masa depan negara kita ini terlalu besar nilainya. BERNAMA: Pelbagai usaha telah dibuat untuk meyakinkan bahawa Umno turut menjuarai kaum-kaum lain, tetapi seolah-olah tidak nampak di mata rakyat. Jadi bagaimana langkah Umno untuk menonjolkan imej itu secara lebih jelas? NAJIB: Kita kena banyakkan lagi aktiviti bersifat (bertemakan) BN. BN di akar umbi kadang-kadang tak aktif, jarang adakan mesyuarat. Jadi kalau boleh kita gerakkan BN (peringkat) bahagian ini, (they are) more or less dormant (tidak aktif), dekat pilihan raya baru bergerak. Jadi kita hendak tampilkan program-program yang bersifat BN di samping program yg dibuat oleh Umno. BERNAMA: Perhimpunan Agung Umno kali ini diadakan selepas pilihan raya umum dan mendapat mandat daripada parti. Apakah mesej utama yang Datuk Seri hendak sampaikan kepada perwakilan? NAJIB: Soal cabaran masa depan, parti, Melayu, Islam dan negara pada keseluruhannya. Saya hendak bawa ahli Umno melihat ke hadapan. Ucapan saya akan bertumpu kepada cabaran masa depan, bukan hanya kejayaan yang diketahui umum malah apresiasi atas kejayaan itu perlu kita sebutkan juga. BERNAMA: Maknanya ia seiring dengan sifat orang muda yang suka melihat ke depan daripada mendengar cerita yang sudah menjadi sejarah? NAJIB: Hakikatnya bukan saja orang muda. Orang pelbagai umur pun suka lihat kepada masa depan. Mereka hendak tahu apakah hala tuju, ke arah mana Umno akan bawa negara dan sama ada visi kita ke arah masa depan itu meyakinkan mereka atau sebaliknya. Ini yang mesti kita bentangkan, paparkan. BERNAMA: Pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk memperkasa kedudukan ekonomi Bumiputera. Adakah perkara itu masih akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden? NAJIB: Ya, saya akan sebut sebab masalah ini dua. Satu, masalah 'structural change' (perubahan struktur) yang ini diwarisi sejak zaman penjajah dahulu, melalui dasar pecah dan perintah yang menyebabkan kelemahan struktur yang memakan masa untuk dibetulkan. Yang kedua soal untuk membangunkan atau memperkukuhkan budaya kita dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin kompetitif, memakan masa untuk dibangunkan. BERNAMA: Apa yang Datuk Seri harap dapat dicapai pada akhir perhimpunan ini? NAJIB: Saya berharap bahawa ahli Umno akan kembali dengan keyakinan bahawa kita berada atas landasan yang betul dan perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan Umno untuk membawa negara kita ke arah pengisian wawasan dan matlamat yang kita sama-sama inginkan. Keduanya, saya mengharapkan ahli Umno merasakan bahawa proses transformasi ini perlu berlaku pada diri mereka juga. Ia tidak boleh hanya pada peringkat dasar atau organisasi, tetapi akhirnya kepada ahli-ahli Umno sendiri, mesti merasakan bahawa mereka juga perlu mencerminkan transformasi yang kita kehendaki barulah transformasi Umno akan sampai ke penghujungnya. BERNAMA: Satu wadah terbaik untuk Umno mendapat sokongan bukan Melayu ialah semasa Perhimpunan Agung itu sendiri. Tetapi malangnya perwakilan bila berucap seolah-olah hanya menjuarai kaum Melayu dan melupakan rakan-rakan kaum lain. Adakah kali ini kita akan melihat perbezaan dari aspek itu? NAJIB: Kita menghadapi keadaan di mana wakil yang berucap mewakili (badan) perhubungan masing-masing dan lebih fokus kepada isu yang dekat di hati mereka. Tetapi kita akan memberi nasihat supaya jangan bercakap sesuatu yang boleh menyakiti hati bukan Melayu dan tidak menjadikan forum ini medan menyerang yang lain. Kita hendak menggambarkan Umno ini bersikap inklusif. Walaupun kita ini parti Bumiputera tetapi kita mesti anggap bahawa Umno ini juga membawa kaum-kaum lain ke arah masa depan yang lebih terjamin lagi. BERNAMA: Di akhir Perhimpunan Agung, apakah isyarat utama yang perlu dihantar oleh perwakilan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia? NAJIB: Bahawa parti Umno adalah parti harapan untuk negara kita bukan sahaja untuk Melayu dan untuk orang Islam tetapi untuk negara pada keseluruhan. Dan kita mesti menggambarkan bahawa kita ini parti yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam semua hal. Yang pentingnya ialah kita conscious (peka) dengan kehendak rakyat, 'we must be the people's party'. -- BERNAMA

Selasa, Mac 05, 2013

MB DIDESAK JAWAB ISU SKANDAL BAKAL (SIRI TIGA)

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli, mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, menjawab isu skandal penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan balak di negeri itu. Beliau mendedahkan modus operandi wang rasuah bersabit balak di Terengganu, yang melibatkan 12 syarikat pembalakan yang dipaksa memeterai satu perjanjian pembelian saham dengan proksi untuk membeli sebuah syarikat bernilai RM2. “Satu perjanjian ditandatangani pada 28 Disember 2011, agar syarikat-syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd yang mempunyai saham berbayar RM2 sahaja,” kata Rafizi menerangkan isu tersebut di ibu pejabat parti hari ini. Menurut Rafizi, syarikat itu dijual dengan harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan. “Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak,” kata Rafizi lagi. Beliau juga berkata, media milik Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) seperti Kedah dan Kelantan, sedangkan kes rasuah balak di Terengganu lebih besar dan lengkap beserta dengan bukti. Turut bersama Rafizi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, yang mula-mula membongkarkan skandal balak di negeri tersebut. “Apa yang berlaku di Terengganu ialah ‘daylight robbery’, hasil kekayaan negeri Terengganu dikaut oleh kroni-kroni,” kata Dr Syed Azman dalam sidang media tersebut. “12 syarikat terpaksa membeli syarikat RM2 dengan harga RM2.5 juta. Cuba bayangkan RM2.5 juta didarabkan dengan 12?” Menurut Rafizi, pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu. “Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri Datuk Seri Ahmad Said,” katanya lagi. Pihaknya juga berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit dengan urusniaga pembelian saham, dimana satu perjanjian dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli Berkat Seribumi. “Bukti-bukti ini akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihan raya umum ke-13, sementara menunggu jawapan rasmi dari beliau dan keseluruhan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional,” kata Rafizi lagi. Beliau juga berkata, media milik Umno dan Barisan Nasional jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kedah dan Kelantan, sedangkan kes rasuah balak di Terengganu lebih besar dan lengkap dengan bukti.

Jumaat, Januari 22, 2010

E MAIL DARI PEMBACA (3)

assalamualaikum saudara. sudah agak lama saya tidak menulis kepada saudara. jikalau saudara masih ingat saya adalah salah seorang pekerja baru di YPKT tempat saudara pernah bekerja dahulu.

tidakkah saudara ingin kembali ke YPKT kerana pada saya YPKT telah lari dari laluan asal dan tujuan penubuhan asalnya. dan organisasinya yang terlampau besar, menyebabkan sesetengah pihak selalu mengambil sikap lepas tangan. dan orang yang berjawatan besar di YPKT seperti isteri kepada ahli parlimen, tentunya menunjukkan taringnya.

untuk makluman saudara, YPKT telah menerima ketua kerani yang baru. beliau asalnya bertugas di JKR Daerah Marang dan kini ditugaskan di YPKT. selepas beberapa bulan bertugas di YPKT, akhirnya terluah juga perasaan rasa tidak puas hati bekerja di YPKT. katanya, politik di dalam pejabat YPKT terlalu kuat. bukannya politik baik tapi politik hasrat dengki sesama staff.

jika saudara masih ingat, di waktu saudara masih bertugas di YPKT, ada seorang staff yang menjadi pekerja kesayangan kepada isteri ahli parlimen di YPKT. orangnya di panggil "ular" kerana sikapnya yang suka membelit dan akhirnya mematuk orang. pada saya, jika 2 mahkluk ni dibuang atau ditukarkan jauh dari YPKT, pejabat YPKT tentunya aman damai.

untuk pengetahuan saudara, pada disember yang lalu, pihak pentadbiran YPKT telah mengeluarkan 13 sebutharga membekal peralatan dalaman untuk Taska Permata Keluarga YPKT yang kini sedang giat di bina. dan salah satu daripada sebutharga itu telah diawardkan kepada pembekal yang menggunakan nama "Shutter Point Ent." beralamat di daerah marang. syarikat berkenaan telah menolak tawaran tersebut kerana harganya terlalu rendah dan boleh mengakibatkan kerugian. oleh itu, pihak pentadbiran YPKT telah melakukan suatu perkara yang saya rasa salah disisi undang-undang sebutharga dimana mereka, diketuai oleh KPP/Pentadbiran bersama ularnya telah sebulat suara telah mengubah semula jadual keputusan untuk sebutharga tersebut dimana syarikat lain yang saya kurang pasti namanya telah berjaya untuk tawaran sebutharga itu dan bukannya Shutter Point.

untuk keputusan yang baru, ketua kerani yang baru bersama akauntan yang mana tahu perbuatan itu adalah salah bersepakat untuk tidak menandatangani jadual buka sebutharga. akibat perbuatan mereka itu, maka tidak bertegur sapalah mereka bertiga itu. itulah masalahnya orang kita, apabila dibuat perkara yang betul orang tak suka. bila buat sesuatu yang salah, mendapat sokongan padu pula. so saya rasa sebagai KPP or apa saja, sepatutnya tunjukkan sikap ramah mesra, contoh yang baik, supaya anak-anak buah dapat ikut, beri tunjuk ajar, dan bukannya selalu marah-marah dan janganlah selalu menangkan "ular" kesayangan walaupun kita tahu "ular" tersebut ada melakukan kesalahan. jangan dengar cakap orang, siasatlah suatu perkara dari akar umbi.

contohnya, untuk makluman saudara la, untuk pembelian kasut pemandu YPKT pembelian di lakukan oleh en.ular senduk. kebetulan, 4-5 bulan yang lalu, saya telah ke kedai dimana kasut pemandu itu dibeli untuk beli kasut futsal. dan saya katakan kepada tokey kedai tersebut, yang saya dari YPKT semoga dapat murah sikit. tokey kedai menjawab, ooo you pun mau jadi macam en.saari ar. dulu dah dapat banyak, satu kasut dapat RM 12.00. 17 kasut sudah banyak maa.. aisey, tak sangka sungguh saya. macam tu rupanya pembelian dilakukan. itu kasut, kalau tonner, kertas mesti dapat komisen secara paksaan atau secara sukarela.

saya rasa perbuatan sebegini merosakkan imej kakitangan kerajaan. tapi apa kan daya saya. saya hanyalah kuli di pejabat.

DARI Q.A

Selasa, Disember 29, 2009

Ahad, Disember 07, 2008

RTC PERLUKAN TIGA PENCALONAN LAGI


Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa semalam telah mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik (RTC) untuk jawatan Naib Presiden UMNO bersama Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin dan Menter Pelajaran, Hishamuddin Hussein.


Nampaknya RTC makin hampir mendapat kuota untuk bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau perlukan tiga pencalonan lagi. Sehingga kini empat bahagian belum bermesyuarat iaitu Tenom, Larut, Tanah Merah dan Seremban.


Saya rasa RTC akan mendapat lesen untuk bertanding. Harganya untuk dapatkan tiga pencalonan lagi mungkin semakin mahal daripada empat bahagian yang belum bermesyuarat. Beliau kena dapatkah empat pencalonan penuh kot-kot ada lagi bahagian yang ditolak pencalonannya kerana digantung di saat-saat akhir.


Oleh itu RTC yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1993 ini perlu bekerja kuat untuk dapatkan empat pencalonan ini. Jika beliau lepas, ini bermakna sembilan orang yang layak bertanding. Enam dari selatan, Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled, Dr. Rais Yatim, Isa Samad dan RTC.


Manakala seorang dari Pantai Timur, Dr. Jamaluddin Jarjis, seorang dari Utara iaitu Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seorang dari Sabah, Shafie Afdak. Selamat maju jaya kepada RTC. Semoga beliau dapat empat lagi pencalonan.