Khamis, Mei 05, 2016

TIGA KALI BERNAMA DIFITNAH

KEMAMAN, 4 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi mangsa penyebaran berita palsu berkaitan politik Terengganu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Dalam tempoh hampir dua bulan sejak Mac lalu, Bernama telah membuat tiga laporan polis, terbaru membabitkan berita bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kerteh pada pukul 5.46 petang ini dan kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ini merupakan kali ketiga Bernama menjadi mangsa fitnah dengan penyebaran berita palsu yang melibatkan politik di negeri ini. Saya yakin bahawa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengadu domba dengan menyiarkan berita sensasi bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.

"Tindakan menjadikan Bernama sebagai sumber berita adalah salah dan ia perlu ditangani supaya tidak berlaku kekeliruan kepada pembaca kerana ia telah menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp," katanya di sini hari ini.

Zalina berkata penyebaran berita palsu ini mengaitkan beberapa tokoh UMNO seperti bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, bekas Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Saya dimaklumkan mengenai berita palsu ini kira-kira pukul 1.20 tengah hari. Apabila saya merujuk menerusi rekod berita kami, memang tiada berita sedemikian dan selepas ia menjadi viral, saya telah dihubungi oleh beberapa pegawai dari Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan kesahihanannya.

"Penulisan sedemikian telah menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak namun saya bersyukur kerana setelah memberi penjelasan bahawa ia adalah berita palsu, mereka dapat menerimanya dengan baik," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Zalina Maizan membuat laporan polis pertama berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lalu, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Zalina Maizan berkata beliau amat berharap agar perbuatan tersebut dapat dikesan oleh SKMM secepat mungkin kerana individu yang melakukannya sudah semakin berani dan sentiasa muncul di saat keadaan semasa Terengganu telah tenang daripada krisis.

"Ia bagaikan sengaja ditimbulkan dan pada pendapat saya, pihak ini sengaja menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi meraih perhatian seolah-olah ia berita rasmi. Saya membuat laporan ini bagi menjaga reputasi Bernama sebagai agensi berita yang dihormati dalam dan luar negara," katanya.

-- BERNAMA