Ahad, September 17, 2017

MAHATHIR DIMINTA LIHAT KENYATAANNYA 12 TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar melihat semula kenyataannya yang dibuat 12 tahun lalu yang menyatakan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melabur lebih banyak di seberang laut agar pencarum dapat menerima dividen yang lebih baik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April 2005, justeru amat mengejutkan apabila beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan mengkritik pelaburan Khazanah serta KWSP di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Berita untuk mengingatkan beliau (Dr Mahathir) boleh dibaca di http://tinyurl.com/epf-DrM2. Pada masa itu beliau (Dr Mahathir) berkata KWSP mempunyai dana yang besar berjumlah RM240 bilion dan pelaburan domestik bermakna pulangan yang rendah. Beliau berkata KWSP mesti melabur di luar negara bagi meningkatkan pendapatannya.

"Hari ini, setakat akhir Jun 2017, dana KWSP mencecah RM759.78 bilion - lebih tiga kali ganda berbanding ketika Dr Mahathir membuat kenyataan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata KWSP sudah menjelaskan bahawa pelaburan luar negara mereka, atau 29 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, menyumbang 32.5 peratus kepada pendapatan pelaburan keseluruhan bagi suku kedua 2017.

Ahmad Shabery berkata pelaburan seberang laut juga memberi pulangan atas pelaburan tahunan 11.10 peratus setakat Jun 2017 , jauh mengatasi prestasi pelaburan tempatan KWSP.

"Saya terkejut bila tahu Tun (Dr Mahathir) sekarang sudah menukar fikiran dan pandangan dengan mengkritik pelaburan Khazanah dan KWSP di AS. Ini menunjukkan beliau bermain politik kebencian sambil mengetepikan kebajikan serta kepentingan rakyat," katanya.

Menurut Ahmad Shabery, melabur di luar negara bukan perkara baharu bagi Khazanah dan KWSP.

Khazanah telah membuka pejabat di Lembah Silikon, AS pada 2013 dan pada 2014, Khazanah memperoleh lebih US$1 bilion menerusi penyenaraian Alibaba di AS, pulangan lima kali ganda pelaburan mereka, katanya.

Menurut beliau sebahagian besar dana untuk pelaburan semasa berjumlah US$400 juta dalam firma teknologi di AS datang daripada keuntungan Alibaba.

"KWSP juga merekodkan kejayaan besar menerusi pelaburan dalam projek infrastruktur di seberang laut. Pada 2013, KWSP bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby dan SPT Setia yang pemegang saham utamanya ialah PNB (Permodalan Nasional Berhad), dianugerahi projek bernilai berbilion pound untuk membangunkan Battersea di London," katanya.

Menurutnya projek Battersea merupakan projek berpotensi besar yang bermakna lebih banyak keuntungan akan diperoleh syarikat-syarikat terbabit.



"Saya harap Tun dan (pakatan pembangkangnya) Pakatan tidak mencetuskan keraguan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat pengurus dana profesional terbabit memandangkan mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaburan di luar negara.

"Kejayaan mereka bermakna rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada keputusan mereka melabur di luar negara. Adakah salah untuk pemegang dana ini mencari pelaburan terbaik, sama ada di dalam mahupun di luar negara, yang akan memaksimum pulangan simpanan rakyat biasa," soalnya.



-- BERNAMA

SPEAKER WAKILI ABANG JOHARI DI MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA

KOTA KINABALU, 16 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak memberi jaminan hak Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara dalam Persekutuan Malaysia selain memastikan rakyat kedua-dua negeri itu akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji hak orang Sabah dan Sarawak juga telah ditubuhkan bagi memastikan hak serta kepentingan kedua-dua negeri itu dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.


"Kita akan berunding dalam satu keluarga. Tak payahlah kita membuat slogan 'Sabah for Sabah', 'Sarawak for Sarawak'. Kita hendak 'Sabah for Malaysia' dan 'Malaysia for Sabah. Dengan ini, kita (Malaysia) akan maju.

"Keputusan (jawatankuasa khas) akan dibuat dalam masa tidak lama lagi bagi mengagihkan hak rakyat Sabah dan Sarawak," katanya berucap merasmikan sambutan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Likas, di sini, malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, yang mewakili kerajaan Sarawak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta barisan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Najib berkata kerajaan Persekutuan tetap menghormati dan menghargai keputusan Sabah yang bersetuju untuk bersama-sama Sarawak dan Semenanjung bergabung membentuk Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan Persekutuan juga sentiasa berusaha mengurangkan sekali gus menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bagi memastikan pembangunan di kedua-dua negeri itu seimbang dengan negeri-negeri lain.

Usaha mengimbangi pembangunan itu antara lain dapat dilihat menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak dan dari Sindumin ke Tawau di Sabah, dengan nilai peruntukan berjumlah RM30 bilion, katanya.

"Lebuhraya (Pan Borneo) ini tanpa tol kerana ini adalah hadiah kita (kerajaan) kepada orang Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian khusus dalam menyediakan peruntukan diperlukan untuk membina lebih banyak kemudahan asas luar bandar di Sabah dan Sarawak memandangkan kawasan luar bandar di negeri terbabit masih memerlukan peruntukan tambahan.

Najib turut memaklumkan kerajaan juga telah memberi peruntukan khas dalam sektor bekalan elektrik kepada rakyat Sabah dan Labuan menerusi bantuan kewangan RM4.414 bilion dari tahun 2012 hingga 2016 dan geran projek khas bekalan elektrik khusus untuk dua wilayah itu sebanyak RM2.295 bilion.

"Dan, apa yang kurang diketahui oleh rakyat bahawa ada elemen subsidi tersembunyi yang diluluskan kerajaan melalui Petronas apabila bekalan elektrik di Sabah harga gasnya hanya RM6.4 sejuta British Thermal Unit (mmbtu) berbanding RM22.7 mmbtu harga di Semenanjung.

"Tahun ini sahaja, Petronas memberi subsidi sebanyak RM390 juta untuk mengurangkan kadar tarif elektrik di Sabah. Inilah antara yang kita bantu Sabah dan kita nak jamin bahawa Sabah dan rakyatnya akan terus mendapat pembelaan sebaiknya," katanya.

-- BERNAMA