Ahad, Februari 01, 2015

MUSTAFA ALI BAYAR HUTANG GUNA WANG HARAKAH

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali perlu berundur daripada pengurusan Harakah jika mahu melihat akhbar itu meneruskan kelangsungannya sebagai lidah rasmi parti tersebut. Pengasas Harakah, Ishak Surin berkata, Mustafa sudah terlalu lama berada di tampuk pimpinan akhbar berkenaan iaitu lebih daripada 20 tahun bermula sebagai Pengarah Urusan, Timbalan Pengerusi dan kini Pengerusi Lembaga Pengarah. “Mustafa dah lama, memang patut berhenti. Kalau lama sangat pemimpin di sesuatu tempat, tempat itu akan jadi seperti harta dia, macam harta bapa dia lah. Advertisement “Sebagai pemimpin, beliau perlu menerima teguran, tambahan lagi kita dalam jemaah Islam. Dalam solat sendiri jika imam melakukan kesalahan kita kena tegur,” katanya dalam forum Harakah Dalam Bahaya: Mengapa Mustafa Ali Mesti Berundur Daripada Harakah, di sini malam tadi. Menurut Ishak yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, terlalu banyak pembaziran dilakukan pengurusan Harakah yang diketuai Mustafa dan perbuatan itu tidak menggambarkan imej islam yang dibawa oleh Pas dan akhbar tersebut. Antara contoh pembaziran itu, kata beliau, pengubahsuaian bilik Pengarah Urusan yang disifatkan sebagai mewah kerana menelan belanja hingga puluhan ribu ringgit. Malah, kata beliau, pernah suatu ketika wang Harakah digunakan untuk kepentingan peribadi iaitu membayar hutang. “Tindakan ini tidak mengikut kehendak Islam. Orang akan ejek kita, bukan sahaja cakap tak serupa bikin malah bertentangan sekali dengan apa yang dicakapkan. “Hampir 30 tahun Harakah berdiri, sepatutnya wang yang diperoleh digunakan untuk membangunkan parti. Tapi apa yang kita dapat lihat, hanya pembaziran,” katanya. Ishak turut melahirkan kekesalannya terhadap pengurusan Harakah yang menganiaya dan mengabaikan kebajikan pekerjanya. Sambil menyifatkan pemecatan Ketua Pengarang dan dua Pengarang pengarang akhbar itu baru-baru ini sebagai perbuatan zalim, Ishak turut melahirkan kekesalannya mengenai gaji pekerja Harakah yang tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). “Kita bercakap soal negara berkebajikan, tapi kebajikan dalam agensi parti sendiri tidak diberi perhatian mengikut lunas Islam. “Oleh yang demikian saya sarankan kesatuan sekerja perlu diwujudkan dalam Harakah. Jika ada kesatuan ini, saya yakin masalah dalaman Harakah dapat diselesaikan,” katanya.