Memaparkan catatan dengan label bayar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bayar. Papar semua catatan

Ahad, Januari 17, 2016

BERBALOI BAYAR RM899 TENGOK KONSERT MEGA GEGAR VAGANZA



Tiga malam berturut turut  sejak hari Jumaat lalu Istana Budaya, Kuala Lumpur digegarkan dengan konsert Mega Gegar Vaganza. Menonton persembahan mantap bintang ternama di malam pertama Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya yang berlangsung pada hari Jumaat di Istana Budaya memang terbaik.

Konsert ini dibawa ke Istana Budaya sebagai penghargaan Astro kepada penonton yang menjadikan program Gegar Vaganza sebagai rancangan Astro yang paling tertinggi ratingnya.

Seramai 13 orang penyanyi telah mempersembahkan 19 buah lagu iaitu Siti Nordiana (Kerana Terluka, Cinta Hanya Sandaran) Nizam Laksmana, Nasir Wahab (Memori Cinta Luka), Khatijah Ibrahim, Faradhiya, Haiza (Segalanya Pasti), Haleeda,   Ezad Lazim, (Alasanmu), Fazli Zainal (Harapan), Ayai Ilusi, Zul Handyblack, Achong dan  Rahmat Mega.

Tidak sia sia Astro membawa artis artis Gegar Vaganza siri 1 dan 2 ke Istana Budaya.

Penonton terhibur dengan pengacara mereka Nabil dan Jihan walaupun mereka agak meleret namun, sekurang-kurangnya penonton yang membeli tiket mahal-mahal tu rasa berbaloi dengan 19 buah lagu yang disampaikan. Pendek kata, semua lagu yang bergema di Istana Budaya malam ini adalah lagu  yang super-leleh.

Sebagai kejutan, Dato’ Seri Vida membawa 12 orang pemain pasukan bola sepak Kelantan yang kini dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors ke pentas Istana Budaya. Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah orang kuat KAFA, Tan Sri Anuar Musa.

Ketua juri Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS pula bertindak sebagai pemimpin orkestra konsert. Khabarnya untuk tiga malam, beliau dibayar RM450,000

Persembahan pembukaan oleh Nabil dan Jihan Muse sangat bertenaga dan mencuit hati. Persembahan Siti Nordiana tidak pernah 'gagal'. Pada malam pertama konsert (semalam) dia menyanyikan lagu Cinta Hanya Sandaran, Kerana Terluka dan Gurauan Berkasih (berduet dengan Rahmat Mega) dengan sangat baik.

Lapan segmen konsert membuatkan penonton tidak mahu berganjak dari kerusi kerana lagu-lagu yang disajikan.Persembahan Haiza ketika menyampaikan lagu nyanyian Aida Agil, Segalanya Pasti memukau penonton.

Nyanyian Ayai Illusi dan Amir Ukays menerusi lagu Zikir Berkasih, Joget Angan Tak Sudah dan Inang Bujang dan Dara menggamit kenangan.

Persembahan Zul Handy Black "awesome" dan Datuk Seri Vida dikatakan berat sebelah oleh Nabil dan Jihan kerana sentiasa meletakkan penyanyi Kau Yang Bernama Seri itu sebagai favourite.

Vokal Farahdhiya, Haleeda, Nassier Wahab dan Ezad Lazim membuai penonton. "Macam dalam kaset" kata Datuk Seri Vida.

Fazli Zainal dan Nassier Wahab berduet menyanyikan lagu Beribu Sesalan! Duet Datuk Khatijah Ibrahim dan Nassier Wahab menerusi lagu Doa Buat Kekasih, menusuk kalbu! Ternyata Datuk Kat masih berbisa!

Acong paling menyerlah ketika menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih dan nyanyiannya Layu Dihujung Mekar.


Memang berbaloi menonton konsert ini walaupun ada yang membeli tiket yang paling mahal RM899.00. Kepada mereka yang belum menonton konsert ini, malam ini adalah malam terakhir. Ayuh kita ke Istana Budaya malam ini.

Selasa, April 07, 2015

MPK BAYAR PROJEK TIDAK DILAKSANAKAN?

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara mengemukakan tiga syor untuk dilaksanakan oleh ketua dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu yang didapati tidak cekap menguruskan projek dan perolehan serta lemah tadbir urus korporat mereka.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Majlis Daerah Besut (MDB) diminta menggunakan syor berkenaan bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan dengan tujuan mengelak kelemahan sama berulang.

Menurut laporan itu, pengauditan terhadap MPK dan MPB dari Julai hingga September 2014 mendapati pengurusan perolehan kurang memuaskan kerana terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan.

Bagi perolehan secara tender dan rundingan terus, antara kelemahan dikenal pasti adalah bayaran dibuat terhadap kerja yang tidak dilaksanakan, projek tidak siap dalam tempoh ditetapkan, projek siap yang tidak dimanfaatkan, serta dokumen kontrak tidak disediakan dan lewat ditandatangani.

Malah Jawatankuasa Pembuka dan Penilaian Sebut Harga tidak dilantik bagi perolehan secara sebut harga dan selain itu kelemahan turut dikesan bagi perolehan secara pembelian terus iaitu pesanan kerajaan dikeluarkan selepas barangan diterima dan pembelian terus ke atas barang yang sama melebihi RM50,000 setahun.

Menurut laporan itu, semakan dan pemeriksaan audit sehingga September 2014 turut mendapati hanya empat daripada 16 projek kerja yang sudah dilaksanakan MPK manakala empat daripada tujuh projek kerja dilaksanakan di MDB telah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan selain turut mendapat teguran tentang kualiti dan kemasan kerja yang tidak memuaskan.

Pihak audit yang melakukan lawatan pada September 2014 di Kemaman turut menegur projek siap yang tidak dimanfaatkan iaitu Bangunan Pasar Binjai yang masih tidak dibuka untuk sewaan biarpun siap dibina pada 2008 dan bangunan Kompleks Tekstil di Bandar Baru Kijal yang masih belum digunakan biarpun siap dibina pada 2011.

Justeru Ketua Audit Negara mengesyorkan dua PBT itu membuat pemantauan rapi terhadap perolehan terutamanya kontrak pembinaan bagi mengelak kelewatan menyiapkan projek yang menjejaskan imej Majlis.

Selain itu disyorkan tindakan tatatertib atau surcaj dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembayaran tidak teratur berhubung kerja yang tidak dilaksanakan supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

"Malah Jawatankuasa Pembuka dan Penilai Sebut Harga perlu dipastikan dilantik secara bertulis dan tempoh kerja dilindungi oleh polisi insurans," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Ahad, Februari 01, 2015

MUSTAFA ALI BAYAR HUTANG GUNA WANG HARAKAH

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali perlu berundur daripada pengurusan Harakah jika mahu melihat akhbar itu meneruskan kelangsungannya sebagai lidah rasmi parti tersebut. Pengasas Harakah, Ishak Surin berkata, Mustafa sudah terlalu lama berada di tampuk pimpinan akhbar berkenaan iaitu lebih daripada 20 tahun bermula sebagai Pengarah Urusan, Timbalan Pengerusi dan kini Pengerusi Lembaga Pengarah. “Mustafa dah lama, memang patut berhenti. Kalau lama sangat pemimpin di sesuatu tempat, tempat itu akan jadi seperti harta dia, macam harta bapa dia lah. Advertisement “Sebagai pemimpin, beliau perlu menerima teguran, tambahan lagi kita dalam jemaah Islam. Dalam solat sendiri jika imam melakukan kesalahan kita kena tegur,” katanya dalam forum Harakah Dalam Bahaya: Mengapa Mustafa Ali Mesti Berundur Daripada Harakah, di sini malam tadi. Menurut Ishak yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, terlalu banyak pembaziran dilakukan pengurusan Harakah yang diketuai Mustafa dan perbuatan itu tidak menggambarkan imej islam yang dibawa oleh Pas dan akhbar tersebut. Antara contoh pembaziran itu, kata beliau, pengubahsuaian bilik Pengarah Urusan yang disifatkan sebagai mewah kerana menelan belanja hingga puluhan ribu ringgit. Malah, kata beliau, pernah suatu ketika wang Harakah digunakan untuk kepentingan peribadi iaitu membayar hutang. “Tindakan ini tidak mengikut kehendak Islam. Orang akan ejek kita, bukan sahaja cakap tak serupa bikin malah bertentangan sekali dengan apa yang dicakapkan. “Hampir 30 tahun Harakah berdiri, sepatutnya wang yang diperoleh digunakan untuk membangunkan parti. Tapi apa yang kita dapat lihat, hanya pembaziran,” katanya. Ishak turut melahirkan kekesalannya terhadap pengurusan Harakah yang menganiaya dan mengabaikan kebajikan pekerjanya. Sambil menyifatkan pemecatan Ketua Pengarang dan dua Pengarang pengarang akhbar itu baru-baru ini sebagai perbuatan zalim, Ishak turut melahirkan kekesalannya mengenai gaji pekerja Harakah yang tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). “Kita bercakap soal negara berkebajikan, tapi kebajikan dalam agensi parti sendiri tidak diberi perhatian mengikut lunas Islam. “Oleh yang demikian saya sarankan kesatuan sekerja perlu diwujudkan dalam Harakah. Jika ada kesatuan ini, saya yakin masalah dalaman Harakah dapat diselesaikan,” katanya.

Sabtu, Januari 07, 2012

BAYAR DULU HUTANG MARA SEBELUM AMBILALIH PROTON


Tan Sri Nazmi Salleh nak ambilalih Proton. Sebelum beliau nak ambil alih, kita mahu beliau bayar dulu hutang MARA RM40 juta. Janganlah jadi keparat yang tak tahu bayar hutang MARA tetapi senang senang beliau mahu ambilalih Proton.

Sebagai Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menasihati supaya Nazmi bayar hutanag RM40 juta terlebih dahulu. Beliau dapat penswastaan Mara Holdings pun di zaman Dr Mahathir jadi PM. Kesian MARA berhempas pulas menuntut hutang RM40 juta tetapi Nazmi enggan membayarnya.

Khamis, November 26, 2009

NSTP DIPERINTAH BAYAR GANTI RUGI KEPADA ANWAR


The New Straits Times Press (M) Berhad diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu membayar ganti rugi RM100,000 kepada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung satu artikel bersifat fitnah bertajuk "Anwar's Link To US Lobbyist".

Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwal berkata beliau mendapati laporan yang disiarkan dalam akhbar The News Straits Times pada 2 Mac 2002 itu berunsur fitnah kerana ia menggambarkan Anwar sebagai seorang yang tidak ada integriti, tidak jujur, terlibat dalam rasuah dan seorang pemimpin dan ahli politik yang tidak boleh dipercayai.

"Tujuan kenyataan itu adalah untuk menunjukkan bahawa plaintif (Anwar) telah menyalahguna kedudukan politiknya bagi kepentingan diri.

"Tidak salah jika dibuat kesimpulan bahawa kesan daripada artikel ini pasti akan merendah maruah palintif di mata rakyat. Akan timbul sedikit rasa benci dan dihina," kata Hakim Harmindar Singh ketika membacakan penghakimannya setebal 45 muka surat.

Pada 4 Julai 2003, Anwar memfailkan saman terhadap syarikat itu menuntut ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa artikel berkenaan memfitnah beliau.

Laporan itu menyentuh antara lainnya mengenai hubungan Anwar dengan seorang yang didakwa pelobi di Washington dan mengenai tuduhan yang dibuat dalam akuan berkanun oleh bekas Penolong Gabenor bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid.

Dalam samannya itu, Anwar berkata penulis artikel itu, Datin Rose Ismail, tidak mengambil apa-apa langkah untuk mengesahkan kesahihan kandungan laporan itu sebelum menerbitkannya.

Hakim Harmindar Singh berkata soal keistimewaan dibenarkan tidak timbul kecuali jika penerbitnya bertindak dengan bertanggungjawab.

"Jika wartawan menikmati keistimewaan ini, mereka harus melaksanakannya dengan kemahiran dan bertanggungjawab sebagai seorang profesional. Inilah akibatnya kepada seorang wartawan sebagai balasan kepada keistimewaan itu," katanya.

Mengenai tuntutan RM100 juta itu, Hakim Harmindar Singh berkata ia satu jumlah yang melampau.

"Prinsip membayar ganti rugi ialah ianya satu pampasan dan bukan laluan kepada kekayaan yang tidak terhingga," katanya.

Anwar, yang tidak hadir semasa prosiding, diwakili peguam Karpal Singh dan Sankara Nair, manakala defendan diwakili peguam, Nad Segaram.

Khamis, Oktober 22, 2009

NALURI TERATAI DIARAH BAYAR TUNGGAKAN GAJI


Mahkamah Buruh Bangi mengarahkan Naluri Teratai Sdn. Bhd., pemilik akhbar WATAN membayar tunggakan gaji sebanyak RM41,949.00 kepada tiga orang bekas kakitangan WATAN dalam tempoh 30 hari mulai semalam.




Ketika membuat keputusan tersebut, hakim Mahkamah Buruh, Nor Halina Haron berkata jika majikan itu gagal membayar tuntutan itu, barang-barang Naluri Teratai akan disita dan dilelong selepas tamat tempoh pembayaran tersebut.




Tiga orang bekas kakitangan itu ialah bekas editornya, Mohd. Zabidi Haji Saidi yang menuntut tunggakan lima bulan gaji sebanyak RM17,500; bekas jurugambarnya Baharul Hafiz Abu Bakar sebanyak RM16,557.00 dan bekas wartawan, Zainora Zakaria sebanyak RM7,892.00.




Nor Halina Haron membuat keputusan itu setelah ahli lembaga pengarah Naluri Teratai, Wan Bahador Wan Ismail gagal menghadiri perbicaraannnya semalam buat kali kedua. Kali pertama beliau dipanggil menghadiri perbicaraan pada bulan lepas tetapi beliau juga tidak hadir.




Wan Bahador tuan punya permit akhbar WATAN menerbitkan semula akhbar itu pada 1 Ogos 2008 setelah mengambilalih permit itu daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Bagaimanapun WATAN hanya bertahan setahun sahaja dan penerbitan terakhir diterbitkan pada bulan April tahun ini. WATAN mempunyai hampir 15 orang kakitangan tetapi hanya lima orang bekas kakitangan sahaja yang membuat tuntutan tunggakan gaji di Mahkamah Buruh termasuk Azam Hamzah dan Shahilan M. Alias.