Rabu, September 14, 2016

PPBM GUNA ISU ANWAR UNTUK RAIH SOKONGAN

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat cuba menggunakan isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan.

Tindakan Presiden Penaja PPBM itu, yang menyokong pembebasan bekas ketua pembangkang berkenaan, menyimpang daripada agenda perjuangan penubuhan parti baharu itu, menurut penganalisis politik, Datuk Prof Zainal Abidin Borhan.

Menyifatkan kenyataan sokongan itu sebagai 'cakap-cakap politik sahaja', beliau berkata soal pembebasan Anwar tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut lunas undang-undang.

"Ia akan memberi kesan kepada pembangkang
kerana Bersih dan banyak pihak ingin membebaskan Anwar. Apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin sakadar 'nasi tambah' untuk memanaskan suasana politik dan parti baharu sekaligus menjadikan parti itu relevan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zainal Abidin mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.

Menjelas lanjut, Zainal Abidin berkata dalam tempoh dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tindakan itu sekaligus menunjukkan 'drama' pemimpin politik yang dahulunya berseteru tetapi kini boleh bersahabat semata-mata untuk menarik simpati dan sokongan rakyat.

"Kita tahu sejarah antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Anwar, dahulu lain sekarang cakap lain. Pokok pangkalnya apa sahaja yang berlaku, rakyat boleh menilai dan melihat pemimpin mana bercakap benar serta memahami cakap-cakap begini hanya untuk faedah politik," katanya.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut senada dan menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai strategi parti baharu itu untuk menarik minat orang ramai.

Nik Ahmad Kamal berkata pembebasan Anwar merupakan isu lama yang diperjuangkan parti pakatan pembangkang untuk kepentingan politik semata-mata.

Pandangan sama turut dikongsi Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan yang menyifatkan Muhyiddin telah menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan PPBM.

"Jika PKR diasaskan atas matlamat bebaskan DSA, itu tidak menghairankan kerana antara pengasasnya adalah isteri Anwar. Tetapi PPBM ditubuhkan dikatakan untuk pertahan hak peribumi, maka Tan Sri Muhyiddin telah menjadikan PPBM sebagai agenda peribadi dan sanggup menyimpang daripada perjuangan asal demi menjatuhkan seteru terkini beliau iaitu UMNO.

"Mungkin juga penyokong asal PPBM akan merasa tertipu dengan kepimpinan PPBM kerana sanggup menjadikan PPBM kuda tunggangan PKR," katanya.

-- BERNAMA

JURUTERBANG CUAI PUNCA NAHAS HELIKOPTER



Laporan akhir berhubung nahas helikopter yang mengorbankan ahli parlimen Umno, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain tahun lalu mendedahkan unsur-unsur kecuaian di pihak juruterbangnya.

Menurut laporan setebal 117 muka surat yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia, Kapten Clifford Fournier gagal untuk memeriksa kebocoran minyak berlebihan dan kerosakan bahagian lain helikopter itu selepas pendaratan kecemasan di sebuah padang bola sepak di Muadzam Shah, Pahang, tahun lalu .

"Juruterbang itu dilihat oleh seorang saksi keluar dari helikopter dan disertai oleh seorang penumpang,” petik laporan itu.

"Bagaimanapun, beliau (Fournier) tidak menjalankan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter."

Laporan itu juga memetik beberapa perbualan yang direkodkan antara Fournier dan penumpang helikopter berkenan.

"Tidak normal bagi roda turun ke bawah sebegitu jauh ... Ia pasti tidak baik ,” kata Fournier ketika berhubung pendaratan itu.

Laporan itu menyebut dengan mengetahui bahawa pendaratan helikopter itu rosak, Fournier memutuskan untuk meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Subang.

"Sebab paling mungkin untuk meneruskan penerbangan ini adalah untuk menampung permintaan penumpang untuk tiba di destinasi tanpa kelewatan ...," kata laporan itu.

Selain Fournier, nahas itu turut mengorbankan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, ketua setiausaha sulit perdana menteri Datuk Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razakan Seran serta kenalan juruterbang itu, Aidana Baizieva.