Jumaat, Ogos 14, 2009

RUMAH PEMILIK WATAN MUNGKIN DISITA


Pemilik akhbar WATAN, Wan Bahador Wan Ismail atau Baha Azuwan akan dipanggil ke Jabatan Tenaga Manusia Bangi pada 20 Ogos ini berikutan aduan pekerja-pekerja akhbar tersebut kononnya beliau tidak membayar gaji selama lima bulan.



Menurut jurucakap jabatan tersebut, jika Baha tidak datang ke pejabat ini, beliau akan dikenakan waran tangkap kerana beliau sudah mengengkari panggilan pertama ke pejabat itu baru-baru ini.



Sehingga ini empat orang bekas pekerja akhbar WATAN telah membuat tuntutan di pejabat itu yang berjumlah hampir RM50 ribu. Ramai lagi yang belum buat tuntutan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.



Akhbar WATAN telah diterbitkan semula oleh Naluri Teratai Sdn. Bhd. mulai 15 Ogos tahun lepas dan ia dihentikan penerbitannya pada bulan April lalu. Sebelum ini ia dimiliki oleh Kumpulan Krangkraf dan Kumpulan Krangkraf telah menjualnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 1992.



Akhbar itu sudah tidak diterbitkan selama 13 tahun dan Baha yang rapat dengan Tengku Adnan telah menjaya mengambilalih penerbitan akhbar tersebut yang sudah lama mati permit penerbitannya.



Menurut jurucakap jabatan itu, jika Baha enggan membayar tunggakan gaji para pekerjanya, mungkin jabatan itu tidak ada pilihan selain menyita rumahnya di Selayang.



Baha dikaitkan dengan Tengku Adnan kerana sudah tiga kali beliau menolong Baha. Pertama, Tengku Adnan sebagai ahli lembaga pengarah Hyundai telah memberi dealership kereta Hyundai di Selayang. Kali kedua Tengku Adnan sebagai Menteri pelancongan telah memberi syarikat Baha, Dalamasa Sdn Bhd menjadi operator teksi eksekutif Pempena anak syarikat Tourism Malaysia dan kali ketiga, Tengku Adnan memberikan Baha akhbar WATAN.



Tiga kali tengku Adnan menolong Baha tetapi ketiga-tiga perniagaan Baha lingkup.

ROHAIZAT CALON BN


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.


Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.
Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru ini.


Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.


Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.


Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.


Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.


Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.

SHAH RUKH KHAN RAI ALI RUSTAM


Superstar Bollywood Datuk Shah Rukh Khan telah meraikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Mumbai Isnin lalu.


"Saya makan malam di rumahnya. Beliau hidang masakan India terbaik termasuk briyani and thosai. Boleh saya katakan, masakan Malaysia kurang 20 peratus sedap daripada masakan asli India," kata Mohd Ali kepada Bernama semasa berkunjung ke Hyderabad.


Mohd Ali dan ahli rombongan kecilnya berada kira-kira dua jam di rumah besar Shah Rukh di Banjara Hills di Mumbai.


Beliau berkata Shah Rukh turut bersetuju untuk melakukan satu atau dua penggambaran filem untuk filem terbarunya bertajuk Happy New Year di Melaka lewat tahun ini.Filem ini diarah sendiri Shah Rukh dan isterinya Gauri Khan.


Shah Rukh Khan menerima gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka akhir tahun lalu.Semasa di sini, Shah Rukh dan Mohd Ali juga berbincang untuk menubuhkan studio filem di Melaka bagi membangunkan bakat untuk industri filem Malaysia.


"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan dan pengeluaran filem. Beliau telah memberi persetujuan, kita berharap beliau dapat memberi syarahan dan berkongsi pengetahuan dengan kita," kata Mohd Ali.


Dua filem Shah Rukh "One Two Ka Four" dan "Don" dibuat penggambaran di Melaka.