Khamis, Jun 25, 2015

KENAPA RAZIF DISERANG?


Ribut tidak, hujan pun tidak tiba-tiba Exco Kerajaan Terengganu, Nawi Mohamad menafikan Menteri Besar Terengganu, Razif Abdul Rahman akan ditukarkan. Pelik juga kenapa Ketua Umno Bahagian Besut membuat kenyataan seperti itu.
Apakah motif beliau membuat kenyataan seperti itu sedangkan rakyat berpuas hati dengan pentadbiran Razif? Semua orang tahu siapa Nawi. Beliau adalah orang kuat bekas Menteri Besar, Ahmad Said.
Umno Bahagian Besut yang begitu lama berketuakan Menteri Pelajaran II, Idris Jusoh dilanggar  Nawi yang dipasang oleh Ahmad Said. Idris tarik diri bila dapati Nawi mahu menentangnya bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Besut pada tahun 2013. Idris pasang Pahemi untuk melawan Nawi tetapi Pahemi dibeli oleh Ahmad Said supaya menarik diri dan dijanjikan jawatan Exco.
Maka Idris berundur menjadi Naib Ketua Umno Bahagian apabila Pahemi bertanding jawatan timbalan ketua bahagian. Idris terpaksa menarik diri jadi Ketua Umno Bahagian apabila dapati Nawi begitu bernafsu mahu menentangnya.
Jika berlaku pertandingan Ketua Umno Bahagian Besut di antara Idris dan Nawi, Idris tetap menang tetapi Idris tidak mahu Umno Besut berpecah dua. Maka Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu terpaksa berkorban walaupun beliau masih banyak idea untuk membangunkan Besut.
Apa yang Nawi buat untuk Besut sejak mengetuai Umno Besut selama dua tahun? Tak nampak pun sumbangan Nawi kerana pembangunan yang berlaku di Besut adalah legasi Idris bermula jadi Menteri Besar pada tahun 2004.
Jadi motif Nawi mengambilalih Umno bahagian Besut adalah semata-mata untuk memalukan Idris. Jika kalah bertanding ketua bahagian pada ketika itu, beliau tiidak kehilangan apa-apa sebaliknya jika beliau  menang masa depan Idris dalam politik Besut terjejas.
Sebagai menteri pusat Idris tidak mahu kalah dalam gelanggang kerana di Terengganu ramai bekas menteri pusat kalah bertanding Ketua Umno Bahagian seperti bekas Menteri Pertanian, Manan Othman di Kuala Terengganu. Malah Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Multi Media dan Komunikasi tidak diberi peluang mengetuai Umno Bahagian Kemaman.
Maka Idris terpaksa mengorbankan jawatannya dan berundur tiga langkah menjadi Naib Ketua Umno Bahagian. Ada yang beranggapan bahawa Idris takut dicabar dan sepatutnya Idris tidak menerima jawatan nombor tiga itu sebaliknya menjadi penasihat Umno bahagian sahaja. Tetapi idris ada perkiraannya sendiri. Jika tidak ada jawatan dalam parti, maka beliau mungkin digugurkan sebagai calon paelimen pada PRU 2018. Mahu tidak mahu beliau terpaksa memegang jawatan Naib ketua bahagian kerana pemilihan calon dibuat berdasarkan jawatan dalam parti.
Mengulas kenyataan Nawi terhadap Menteri Besar baharu, ia adalah kenyataan yang mengejutkan kerana kenapa sebagai Exco beliau berani membuat kenyataan seperti itu? Adakah Razif telah memanggil Nawi untuk meminta penjelasan atau adakah Nawi tidak berkenan dengan Razif yang slow dalam tindakan.
Berbanding dengan Ahmad Said yang merupakan bekas pegawai tadbir negeri, Ahmad cepat buat keputusan manakala Razif bekas guru memang slow. Beliau tidak berani buat keputusan.
Ada yang mengatakan beliau berkiblat kepada setiausaha politik Najib Razak iaitu Jailani Ngah. Setiap keputusan diambil setelah merujuk kepada Jailani Ngah yang menaikkan namanya sebagai pengganti Ahmad Said.
Razif penakut buat keputusan tidak seperti Ahmad Said. Malah ada yang menemui beliau minta rekomen, Razif menjawab saya tiada kuasa. Terkejut aktivis Umno itu bila mendengar jawapan Razif. Adakah Logik Menteri Besar tiada kuasa? Sedangkan rakyat melihat bekas Menteri Besar seperti Wan Mokhtar Ahmad, Idris Jusoh dan Ahmad Said ada kuasa untuk mengkayakan rakyat Terengganu.
Malah surat sokongan mereka laku dan pegawai kerajaan takut. Ahmad Said kalau mahu sesuatu projek itu diberi kepada kroninya dia akan call pegawai yang berkenaan. Begitu juga di zaman Wan Mokhtar, pegawai yang menerima surat dari Wan Mokhtar faham bahasa isyarat Wan Mokhtar. Kalau beliau tandatangani surat itu dengan pen merah, maka dapatlah apa yang dihajati oleh tuan punya surat. Kalau beliau tandatangani surat dengan pen biru atau pen hitam, maka kecewalah tuan punya surat itu.
Di zaman Ahmad Said rakyat bebas minta kawasan balak dan kawasan bijih besi. Tapi di zaman Razif, beliau beku semua permohonan kawasan balak dan kawasan bijih besi. Tetapi tersebar di Facebook bahawa apa yang rakyat marah kepada Ahmad Said berlaku juga di zaman Razif. Dahulu rakyat marah kepada Ahmad said kerana balak, bijih besi dimonopoli oleh kroninya Agu dan Haji Dol.
Nampaknya Razif tidak belajar dari kesilapan Ahmad Said. Kononnya kawasan balak diberi kepada kroninya. Maka timbullah nama abang Razif, Azmi Abdul Rahman yang menjadi ketua penyamun sambal dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri, Osman Muda. Rakyat mula tidak berpuas hati dengan sikap Razif kerana kononnya dia tiada kuasa tetapi abangnya yang memberi projek kepada kroninya.
Memang tidak salah membantu kroni tetapi janganlah melampau. Beri peluang yang adil dan saksama kepada rakyat cari makan. Ingatlah masa angkat sumpah jawatan, Menteri Besar telah berjanji berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bulu.
Apa yang diungkitkan Ahmad Said di Dewan Undangan Negeri memang betul. Dahulu Ahmad menghidupkan Percetakan Yayasan Islam Terengganu sehingga untung dan dapat menolong kakitangan anak syarikat kerajaan negeri tersebut. Tetapi apa yang berlaku sekarang menyebabkan kroni kaya tetapi Percetakan Yayasan Islam rugi dan majoriti pekerja yang malang ini berada di bahagian Kuala Nerus yang diketuai oleh Razif.
Di zaman Ahmad Said rakyat marah kepada Ketua Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda yang banyak merosakkan pentadbiran Ahmad Said. Sebaliknya sekarang Razif seolah-olah Menteri besar remote control yang dikawal oleh jailani Ngah dan abangnya sendiri, Azmi Abdul Rahman yang juga bekas ahli parlimen Kuala Nerus.
Rakyat akan bosan kepada BN jika Razif tidak hentikan apa yang berlaku sekarang. Dalam suasana 17-15 kerusi dalam DUN, jika Ahmad Said terus bersekongkol dengan Dr Mahathir Mohamad, tidak mustahil dalam PRU 2018 PAS akan memerintah semula Terengganu.
Justru itu Razif kena belajar dari kesilapan Ahmad said yang menimbulkan kemarahan rakyat. Jika tidak berubah, BN Terngganu akan rebah. Melihat senario yang berlaku sekarang, maka Nawi Mohamad merupakan Exco pertama yang berani membuat kenyataan beliau belum mendengar berita Razif akan ditukarkan. Hanya Allah yang tahu niat Nawi membangkitkan isu ini.