Selasa, Februari 02, 2016

KENAPA ZAHARIN BUAT KEJUTAN

Zaharin Mohd Yasin bukanlah ahli parlimen dan bukannya ketua Umno Bahagian. Beliau adalah bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak dan bekas Setiausaha Kerja BN Bandar Tun Razak.Tetapi semua orang politik mengenalinya. Jika aktivis Umno tidak kenal siapa itu Zaharin maknanya orang itu belum khatam lagi dalam politik Umno.

Saya mengenali Zaharin sejak 29 tahun lalu ketika bekerja sebagai wartawan akhbar Watan. Ketika sedang minum di kantin parlimen saya yang tidak kenalinya ditegur beliau sambil berkata, "Zabidi, ini Datuk Ishak Ketua Pengarah Jabatan Langskap Malaysia".

Saya hairan siapa lelaki gemuk ini yang kenali ramai pegawai kerajaan di kantin parlimen. Sejak itu kami berkawan dan untuk dapatkan info yang baik mengenai Umno maka Zaharinlah sumbernya.

Beliau bukan sahaja kenali hampir semua pegawai kerajaan malah kenali semua ahli parlimen yang ada di kantin itu tidak kira ahli parlimen BN atau pembangkang. Maka apabila semalam sempena cuti Hari Wilayah, beliau menarik balik sokongan kepada PM, Najib Razak sudah tentu ada yang tidak kena.

Zaharin berkawan dengan Najib sejak beliau menang dalam PRK Pekan pada tahun 1976 lagi. Sama sama dalam pemuda Umno Malaysia. Najib adalah Exco pemuda manakala Zaharin adalah ahli jawatankuasa biro antarabangsa pemuda Umno.

Facebook Zaharin mencatat sejarah kerana mempunyai 23,000 pengikut. Bila beliau keluarkan posting, biasanya 3,000 pengikutnya akan "like" posting tersebut. Betapa berpengaruhnya beliau.

Dalam perjuangan beliau konsisten. Sejak Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 29  Mac 1982 sehinggalah dipecat dari Umno pada 2 September 1998, Zaharin balun Anwar kerana beliau tahu Anwar bukannya pemimpin yang baik. Semua orang tahu beliau di belakang tabir penerbitan buku Khalid Jefri berjudul 50 Dalil Kenapa Anwar Tak Boleh jadi PM yang mana buku itu yang menjatuhkan Anwar sebagai TPM.

Namun demikian Zaharin kagum dengan sikap Anwar yang berjiwa besar. Walaupun Zaharin yang menaja buku yang menjatuhkan Anwar, tetapi Anwar tetap menegur Zaharin bila terserempak di parlimen.

Di zaman Pak Lah menjadi PM, Zaharin secara konsisten menghentam pentadbiran Pak Lah dalam blognya Sang Kelembai sehinggalah Pak Lah terpelanting dari jawatan PM. Di zaman Dr Mahathir, Zaharin dipecat dari Umno kerana menulis surat kepada semua ahli majlis tertinggi mengadu tentang anak Dr Mahathir iaitu Marina.

Beliau dua kali dipecat dari Umno tetapi beliau tetap bersama Umno dan beliau tidak menyertai parti lain. Di zaman Najib beliau hentam Muhyiddin Yasin dan akhirnya Muhyiddin gugur sebagai TPM. Jadi apabila Najib dihentam beliau, ini bermakna jangka hayat Najib sebagai PM tidak akan bertahan lama.

Apa puncanya yang menimbulkan kemarahan Zaharin kepada Najib? Beliau masih membisu dan sudah tentu ada insiden yang buatkan beliau kecil hati kerana dianggap sebagai sampah.

Apabila meletus isu derma RM2.6 billion Zaharin yang mengakui menerima cek dari Najib untuk pejabat BN Bandar Tun Razak sedangkan semua ketua bahagian yang menerima sumbangan dari Najib membisu seribu bahasa dan tidak berani mengesahkannya kerana sumbangan itu masuk ke dalam poket sendiri dan tidak masuk ke dalam akaun Umno bahagian.

Zaharin rapat dengan Najib sejak 40 tahun lalu. Maka tidak hairanlah Najib selaku PM boleh melawat cawangan Umno Flat Sri Labuan yang diketuai Zaharin. Banyak masalah infrastuktur di flat tersebut diselesaikan Najib sedangkan itu bukan tugas PM. Sepatutnya Datuk Bandar sahaja menyelesaikan masalah kecil seperti itu. Ini bermakna Najib menghormati Zaharin sebagai pemimpin di peringkat cawangan.

Ketika Zaharin bertugas sebagai Setiausaha Kerja BN, beliau komited di pejabatnya menolong rekomen ahli-ahli Umno Bahagian Tun Razak untuk dapatkan flat Dewan Bandaraya. Sokongan beliau laku kerana jika Datuk Bandar tidak luluskannya maka Zaharin selaku pejuang golongan marhain akan bising.

Jika Zaharin terus menghentam Najib maka lebih banyak rahsia Najib akan didedahkannya. Maka lebih baik damaikan segera mereka berdua kerana ia lebih banyak memberi peluru kepada pembangkang untuk menghentam BN dalam PRU akan datang.

Anwar, Pak Lah, Muhyiddin jatuh gara gara Zaharin menulis dalam blog dan Facebook. Maka kita tidak mahu lihat Najib mengalami nasib yang sama seperti mereka. Maka veteran Umno yang ada aturlah pertemuan segera di antara Zaharin dengan Najib demi kemenangan BN pada PRU akan datang.





RM50 JUTA UNTUK TAWAN PARLIMEN PENAMPANG



PENAMPANG, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini meluluskan peruntukkan lebih RM50 juta bagi pembangunan kawasan luar bandar di daerah Penampang, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata peruntukan besar sebanyak RM48 juta akan diberikan khusus bagi membangunkan bekalan air luar bandar, menerusi pembinaan loji air di Moyog.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sugud, di sini, Ismail Sabri berkata, loji itu akan turut memberi manfaat kepada penduduk Kota Kinabalu dan kawasan sekitar.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose dan Pengerusi Barisan Nasional Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin serta pemimpin parti komponen BN di daerah itu.

Ismail Sabri berkata kementeriannya turut meluluskan pembinaan sebanyak 30 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh kawasan Penampang.

Turut diluluskan ialah pembinaan dewan baharu bernilai RM400,000 untuk kegunaan penduduk Kampung Sugud, selain membina jalan-jalan kampung yang baharu bagi menggantikan jalan yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM300,000, katanya.

Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan pembangunan kawasan luar bandar di Sabah.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memikirkan kepentingan rakyat negeri ini khususnya di luar bandar agar penduduk di kawasan itu tetap terus terbela.

"Saya berharap masyarakat di kawasan ini akan mengubah fikiran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan Penampang dipulangkan semula kepada Barisan Nasional," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan bantuan beg sekolah untuk 300 murid sekolah rendah dan Tabika Kemas di kampung itu.




-- BERNAMA