Selasa, Februari 02, 2016

RM50 JUTA UNTUK TAWAN PARLIMEN PENAMPANG



PENAMPANG, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini meluluskan peruntukkan lebih RM50 juta bagi pembangunan kawasan luar bandar di daerah Penampang, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata peruntukan besar sebanyak RM48 juta akan diberikan khusus bagi membangunkan bekalan air luar bandar, menerusi pembinaan loji air di Moyog.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sugud, di sini, Ismail Sabri berkata, loji itu akan turut memberi manfaat kepada penduduk Kota Kinabalu dan kawasan sekitar.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose dan Pengerusi Barisan Nasional Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin serta pemimpin parti komponen BN di daerah itu.

Ismail Sabri berkata kementeriannya turut meluluskan pembinaan sebanyak 30 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh kawasan Penampang.

Turut diluluskan ialah pembinaan dewan baharu bernilai RM400,000 untuk kegunaan penduduk Kampung Sugud, selain membina jalan-jalan kampung yang baharu bagi menggantikan jalan yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM300,000, katanya.

Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan pembangunan kawasan luar bandar di Sabah.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memikirkan kepentingan rakyat negeri ini khususnya di luar bandar agar penduduk di kawasan itu tetap terus terbela.

"Saya berharap masyarakat di kawasan ini akan mengubah fikiran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan Penampang dipulangkan semula kepada Barisan Nasional," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan bantuan beg sekolah untuk 300 murid sekolah rendah dan Tabika Kemas di kampung itu.




-- BERNAMA