Khamis, September 30, 2010

PERKASA TETAP PERTAHAN HAK MELAYU


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak akan berganjak daripada matlamatnya iaitu untuk mempertahankan negara dan hak orang Melayu berasaskan Perlembagaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa juga cabaran mahupun serangan daripada pihak-pihak tertentu, Perkasa tidak akan gentar sebaliknya sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

“Siapa sahaja yang menyerang kita, penulis blog, pemimpin parti politik, pemimpin kerajaan yang mendakwa Perkasa ekstremis dan sebagainya, kita tidak berganjak dan bersedia menghadapi sebarang tentangan.

“Apa yang diperjuangkan Perkasa tidak bertentangan daripada asas Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab itu, kita tidak akan takut dan tetap dengan perjuangan untuk mempertahankan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat pertubuhan itu di Pejabat Media Perkasa Sdn. Bhd. (Suara Perkasa) di sini, hari ini.

Ibrahim juga menegaskan, pertubuhan itu bukan alat UMNO seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Perkasa menyokong 1Malaysia kerana ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi itu bukan bermakna Perkasa adalah alat UMNO.

“Perkasa tidak pernah berjumpa dengan pemimpin UMNO, sebaliknya berjumpa dengan pemimpin kerajaan untuk menyuarakan pandangan. Ini disalah anggap oleh pihak tertentu lalu mendakwa Perkasa alat UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut berterima kasih kepada pihak yang menuduh, mengecam dan menghentam Perkasa kerana tindakan mereka itu telah membantu mempopularkan lagi pertubuhan itu.

“Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya memerlukan sokongan ahlinya dan rakyat dalam mempertahankan perjuangan kami,” katanya.

Rabu, September 29, 2010

KALAU GALAS KERUSI UMNO, ADAKAH TAKIYUDIN CADANG PAS JANGAN TANDING?


Pas mencadangkan supaya UMNO tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, atas nama perpaduan orang Melayu.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, UMNO seharusnya menjadikan pilihan raya kecil DUN Galas untuk membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu sebagaimana didakwa sebelum ini.

Beliau berkata, jika UMNO boleh mengambil tindakan untuk tidak bertanding di kawasan DUN Penanti, Pulau Pinang atas pelbagai alasan, maka tindakan sama boleh dibuat di DUN Galas yang menjadi 'medan' persaingan antara dua parti Melayu itu.

Pada masa sama katanya, tindakan mengelak pertandingan dalam pilihan raya boleh menjimatkan wang dan masa yang diketahui umum menuntut perbelanjaan besar.

"Kalau nak betul-betul hasrat perpaduan, apa salahnya untuk pilihan raya kecil ini (UMNO tidak bertanding), untuk pilihan raya umum kita bincang semula, ini untuk menunjukkan keikhlasan dan 'solidariti' (perpaduan) antara dua parti Melayu ni, (UMNO) sepatutnya kompromi bagi kepada Pas.

"Lagipun, kalau BN menang, ia tidak banyak berubah kerusi dari 45 semua kerusi (jika menang) hanya menjadi tujuh kerusi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran 'Tortura' di Muzium Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan Pas menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas selepas kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima semalam.

Takiyuddin yang juga Exco kerajaan negeri, bagaimanapun menafikan cadangannya itu membuktikan kelemahan Pas walaupun mengakui persaingan untuk mendapatkan kerusi DUN berkenaan sengit dan kedua-dua pihak berpeluang untuk memenangi kerusi tersebut.

"Cadangan ini bukan bermakna kita lemah, kalau perlu lawan kita lawan, lagipun ini kerusi Pas, tetapi jika tidak berlawan alangkah baiknya," katanya.

Mengulas cadangan Takiyuddin itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusoff Abd. Ghani ketika dihubungi berkata, cadangan tersebut menunjukkan Pas tersepit dan takut kehilangan kerusi berkenaan yang mungkin berjaya dirampas semula oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Selain itu katanya, Pas juga berkemungkinan bimbang kelemahan-kelemahan mereka di Gua Musang didedahkan oleh UMNO sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

"Perpaduan dan pilihan raya dua perkara berbeza. Pilihan raya ada pertandingan kerana dengan adanya pertandingan itu kita akan mendapat suara majoriti yang diperlukan untuk membuat keputusan bukan sahaja melibatkan perpaduan tetapi banyak perkara lain berkepentingan rakyat," katanya.

Mengenai peluang UMNO dan BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan kelak, Mat Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri berkata, DUN Galas milik BN yang terlepas kepada Pas pada pilihan raya umum lalu.

"Jadi, kita nak balik dan insya-Allah BN akan menang," katanya.
Lucu juga mendengar cadangan Takiyudin ini. Jika kerusi DUN Galas milik UMNO, adakah beliau akan mencadangkan supaya pAS tidak bertanding?

Oleh itu cadangan Takiyudin tidak boleh diterima. Soal perpaduan Melayu soal lain, soal menghadapi pilihanraya kecil soal lain untuk mengisi kekosongan wakil rakyat.

Selasa, September 28, 2010

KU LI KENA RAMPAS SEMULA DUN GALAS


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang ini.

Pegawai Khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak lima hari lalu selepas mengikuti rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.

"Chek Hashim telah dibawa ke Kuala Lumpur pada hari raya kelima lalu, bagaimanapun keadaannya bertambah kritikal sebelum meninggal dunia hari ini.

"Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum dibawa pulang ke Kampung Kerinting, Galas, Gua Musang untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham Chek Hashim meninggalkan dua isteri iaitu Che Bongsu Junuh dan Aida Zakaria, 49, serta 12 anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.

Chek Hashim disahkan menghidap penyakit barah paru-paru sejak Mei tahun lalu pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Allahyarham pernah cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 36 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada 21 Mac 2008.

Turut cedera parah dalam kemalangan tersebut ialah isterinya, Aida Zakaria dan anaknya, Amasha, 2 tahun.

Chek Hashim menjadi ADUN Galas pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.

Anak kelahiran Kuala Betis, Gua Musang itu mula menceburkan diri dalam bidang politik sejak di bangku sekolah apabila menjadi pemimpin pelajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Tarbiah Mardziah, Panchor, Pengkalan Chepa.

Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang agama ke Pakistan dan Afghanistan sebelum pulang dan menyertai Pas.

Chek Hashim juga pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri dan kini memegang jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika ditemui selepas selesai melaksanakan solat jenazah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka reda dengan ketentuan tersebut.

Sementara itu, Isteri pertamanya, Che Bongsu, 49, pula berkata, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepadanya agar menjaga anak-anak dengan baik.

Pilihanraya kecil DUN Galas tidak dapat dielakkan dalam masa satu bulan ini. Ketua Bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah kena rampas semula kerusi DUN Galas. Oleh itu beliau perlu mengemukakan nama baru sebagai calon BN kerana Saufi Deraman telah ditolak oleh rakyat.

BN mampu menang semula di Galas jika calonnya boleh diterima oleh semua pihak. Oleh itu tanggungjawab Ku Li amat berat kali ini kecuali para pemimpin UMNO mahu mensabotajnya supaya BN kalah di DUN Galas.

Isnin, September 27, 2010

HISHAMUDDIN TUDUH NAZRI ADA AGENDA


Tohmahan kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad ingin kembali menjadi Perdana Menteri terbukti tidak benar sama sekali dengan penafian bekas Perdana Menteri itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penafian tersebut jelas menyangkal fitnah yang dilemparkan pihak tertentu sebelum ini.

"Apabila tuan punya badan sudah sahkan, jelas apa yang digembar-gemburkan sebelum ini tidak berada pada landasannya, tidak berpijak pada bumi yang nyata.

"Mungkin perkara ini dibuat kerana pihak tertentu mempunyai tujuan tertentu, jangan pula kita mengikut rentak mereka ini, lebih-lebih lagi jika ia tidak benar. Saya percaya rakyat yang matang tahu membezakan antara yang benar dan tidak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kepong di Taman Metropolitan, Kepong petang semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Rezuan Abdul Hamid.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas mengenai penegasan Dr. Mahathir bahawa beliau tidak mempunyai keinginan untuk kembali menjadi Perdana Menteri sebagaimana dibimbangi oleh sesetengah pihak.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan demikian semasa berucap di hadapan hampir 20,000 penduduk terdiri daripada pelbagai kaum pada Perhimpunan Melayu Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pasir Mas, Kelantan, Sabtu lalu.

Dr. Mahathir yang menegaskan usianya telah pun menjangkau 85 tahun, turut menujukan penjelasannya itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, Datuk Badri Yunus menyangkal tuduhan Mohamed Nazri yang menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Perkasa termasuk cuba membawa balik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan Mohamed Nazri itu dibuat dalam portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan kepentingan dan kebajikan pengundi parti itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Selain ahli UMNO terdapat ramai lagi penghuni kota merupakan pelajar dan rakyat negara ini yang datang mencari rezeki. Apabila tiba masanya (pilihan raya umum) mereka ini akan balik mengundi di kampung masing-masing termasuk Parlimen Sembrong, iaitu kawasan saya.

"Rapatkan persefahaman antara kita, dekati mereka dan terangkan dasar kerajaan kerana apabila kembali ke kawasan masing-masing mereka akan turut membawa bersama perspektif positif atau negatif yang bakal diterjemahkan semasa mengundi," katanya.

Ahad, September 26, 2010

P.RAMLEE BOLEH MAIN SEMUA ALAT MUZIK


Malam tadi bersama dua rakan, Yusfa dan Sam, kami hadiri majlis perasmian Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Sri Gombak.Restoran ini adalah cawangan kedua selepas Setiawangsa. Malam tadi ramai yang datang makan free termasuk sebuah bas dari Sekinchan yang penuh dengan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Dari situ kami ke rumah terbuka Rela di Batu Caves tetapi majlis dah habis tapi pegawai rela yang juga Tok Empat Gombak Batu 14 sempat kami temui. Sedang bersembang dengan Tok Empat, datang Pak Adam Jailani yang merupakan peminat setia Tan Sri P. Ramlee.

Berusia 64 tahun, Pak Adam pernah bekerja di sebuah restoran di Singapura ketika berusia 16 tahun. Di restoran ini dia mengenali P. Ramlee dan Saloma. Selepas itu beliau bekerja di Pulau Panjang, Singapura di restoran lain. Di situ sekali lagi beliau bertemu dengan P. Ramlee yang terkejut dia sudah bekerja di restoran lain pula.

Pada tahun 60an, beliau berhijrah ke Klang dan bekerja dengan sebuah fun fair. Di malam akhir fun fair, P. Ramlee datang menyanyi bersama Saloma. P. Ramlee terkejut melihat Pak Adam bekerja di situ. Selepas berhenti bekerja di Klang, beliau balik kampongnya, Jelebu dan masih bekerja dengan fun fair. Sekali lagi beliau terserempak dengan P. Ramlee yang datang menyanyi di fun fair itu.

"Saya di Singapura, kamu di Singapura. Saya pergi Kelang, kamu ada di Kelang. Saya ke Jelebu, kamu ada di Jelebu," kata P. Ramlee kepada Pak Adam. Pak Adam yang meminati P. ramlee suka karaoke dan menyanyi lagu 60an. Suatu hari seorang dj memberitahunya Pak Adam lebih sesuai menyanyi lagu P. Ramlee dalam pertandingan yang mana beliau kalah.

Selepas menyanyi lagu P. ramlee, beliau selalu menang dalam pertandingan menyanyi lagu P. Ramlee peringkat negeri Selangor dan sebagainya. Wajahnya yang sekali imbas macam P. Ramlee menyebabkan orang memanggilnya P. Ramlee.

Pak Adam menyangkal dakwaan Datuk Ahmad Nawab dalam akhbar tiga hari lepas bahawa P. Ramlee hanya pandai main piano.Ahmad Nawab mendakwa P. Ramlee tidak pandai main saksofon. Pak Adam berkata ini semua tidak benar kerana P. Ramlee pandai main semua alat muzik.

Pak Adam pernah bekerja di kapal korek dan bekas ADUN MIC pernah bekerja sekapal dengannya. Selepas lombong bijih timah dituup, beliau bekerja di fun fair di mana apabila pengurusnya, seorang Melayu meninggal dunia, maka Pak Adam yang jadi pengurus. Beliau yang menguruskan permit dengan pejabat daerah, polis dan majlis daerah.

Memang seronok mendengar pengalaman Pak Adam bekerja dengan fun fair yang mana beliau sudah masak dengan kerenah polis, orang majlis daerah dan orang perbendaharaan negeri. Beliau pernah bekerja dengan depoh bas RAPID sebagai pengisi minyak bas dari jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari. Apabila beliau dipatuk ular ketika sedang bekerja, beliau berhenti kerja dan kini beliau mendapat pencen bulanan Perkeso sebanyak RM600 sebulan.

Sayangnya Pak Adam kepada P. Ramlee hinggakan rumahnya diberi nama Teratak P. Ramlee yang terletak di Batu Caves.

Sabtu, September 25, 2010

KALAH KES BUAT APA SPRM PUAS HATI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati dengan mekanisme sistem pendakwaan sedia ada yang ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Siasatannya, Mustafar Ali berkata, walaupun mengakui keperluan badan itu diberi kuasa pendakwaan, tetapi sistem sedia ada diyakini memiliki keadilan tersendiri.

"Setakat ini, sistem dan undang-undang sedia ada cukup baik dan saya berpuas hati dengan mekanisme itu kerana apa yang penting adalah pelaksanaan.

"Kuasa pendakwaan yang menjadi bidang kuasa Peguam Negara memberi situasi 'check and balance' demi memberi keadilan kepada tertuduh dan pihak berkuasa," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Seminar dan Mesyuarat Inisiatif Antirasuah (ADB-OECD) bagi rantau Asia Pasifik di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Mustafar, sistem dan undang-undang yang diguna pakai di negara ini sekarang sudah cukup baik dan bersesuaian bagi memerangi jenayah rasuah selain selaras dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun, tegasnya, pihaknya menyambut baik jika perubahan dilakukan pada masa depan dengan memberi lebih kuasa kepada suruhanjaya itu untuk mendakwa.

Ditanya antara pendekatan yang dapat diambil dan dikongsi hasil seminar selama tiga hari itu, Mustafar berkata, pelbagai pengalaman dan pendekatan positif dapat dipelajari SPRM.

Pada masa sama, jelas beliau, rata-rata negara yang menjadi peserta juga tertarik dengan pelaksanaan Akta SPRM yang mengandungi lima mekanisme termasuk proses semakan semula.

"Sebagai contoh, dalam siasatan, kita mempunyai jawatankuasa yang dipanggil Panel Penilaian Operasi (PPO) yang tiada pada jabatan lain.

"Selepas siasatan dijalankan dan tangkapan dilakukan selama 12 bulan, PPO boleh meminta penjelasan SPRM seandainya kes itu belum dibawa ke mahkamah.

"Contoh lain, terma rujukan. Jika kes itu selepas enam bulan dikemukakan SPRM kepada Peguam Negara tetapi tiada keputusan diambil, PPO juga boleh bertanya kenapa tiada keputusan," katanya.

Bagi saya, setakat puas hati dengan mekanisme pendakwaan tidak mencukupi kerana sudah banyak kes yang dibawa ke mahkamah SPRM kalah. Sedikit sebanyak imej SPRM tercemar. Sudah banyak contoh di hadapan mata bila dakwa tokoh-tokoh ternama di mahkamah tetapi kalah.

Oleh itu SPRM perlu melengkapkan diri supaya menang dalam semua kes yang dibawa. Kalau tidak rakyat tidak akan percaya kepada SPRM lagi kerana mendakwa tanpa bukti yang cukup.

IKLAN


TANAH UNTUK DIJUAL. DI IBOK, KEMAMAN, TERENGGANU SELUAS 6 EKAR.RM40 RIBU SEEKAR. TANAH PERTANIAN. LOKASI DI TEPI JALAN BYPAS IBOK KE SERI BANDI. HUBUNGI 0199160295

Jumaat, September 24, 2010

MAJLIS KERAJAAN BOLEH HENTAM KERAJAAN


Tiga hari lepas saya telah ikuti majlis ETP di PWTC yang dihos oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala. Agak pelik juga majlis kerajaan ini yang mana ahli panel forum boleh menghentam kerajaan pula.

Lain kali Idris bila nak jemput ahli panel forum hendaklah mempastikan tiada ahli panel yang boleh mengeluarkan kenyataan menghentam kerajaan. Apa yang saya maksudkan ialah kenyataan CEO Air Asia,Tony Fernandez mahu kerajaan berhenti berniaga. Nampak sangat dia ada kepentingan peribadi kerana melihat penerbangan MAS menjadi saingan kepada Air Asia.

Apakah maksud kenyataan beliau ini? Adakah MAS perlu dibubarkan dan semuanya diberi kepada Air Asia untuk monopoli perniagaan penerbangan ini. Kenapa beliau takut bersaing dengan MAS sedangkan MAS sudah biasa mengalami kerugian. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan mengendalikan MAS sejak Malaya merdeka lagi.

Oleh itu Tony menggunakan forum kerajaan tidaklah wajar kecuali ia diadakan dalam mesyuarat tertutup dengan agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan bolehlah beliau mengemukakan pandangan ini. Kenyataan beliau dibesarkan oleh akhbar bahasa Inggeris yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan.

Jadi Vincent Tan turut bersetuju agar kerajaan tidak perlu berniaga lagi. Ini adalah kali kedua Idris Jala membuat kesilapan. Dahulu ketika mengadakan Hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, beliau menjemput ahli parlimen DAP, Tony Pua yang turut mengambil kesempatan menghentam kerajaan. Sudah tentu sebarang kenyataan yang menghentam kerajaan mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Saya kira Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menilai semula kedudukan Idris Jala dalam kabinet. Beliau lebih banyak merugikan Barisan Nasional untuk mendapat sokongan rakyat.

Khamis, September 23, 2010

IDRIS DILANTIK PENGARAH PILIHANRAYA?


Dua hari lepas saya berada di The Mall selepas menghadiri Hari Terbuka ETP di PWTC. Seperti biasa saya menemui kawan-kawan di situ bersembang politik dengan Kisfi Zainal, Tok Mulu Dalam dan Fizi anak Datuk Abu Bakar Ali bekas ADUN Kemasik.

Tok Mulu Dalam beritahu saya bahawa seorang Exco Kerajaan Terengganu memberitahunya bahawa UMNO Malaysia melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya BN. Saya tidak percaya kerana biasanya tugas itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri. Masakan Tan Sri Muhyiddin menyerahkan jawatannya itu kepada Idris pula.

Hari ini saya baca blog citrabangsa yang mengesahkan perlantikan Idris itu walaupun BN belum membuat sebarang pengumuman. Agak aneh juga kenapa jawatan itu diberi kepada Idris sedangkan sudah jadi tradisi Timbalan Presiden UMNO yang akan menjadi Pengarah Pilihanraya BN.

Blog citrabangsa juga mengatakan Idris akan dilantik sebagai menteri penuh tidak lama lagi. Saya rasa selagi Tuanku Mizan menjadi Yang Dipertuan Agong, Idris tidak akan dilantik sebagai menteri kecuali Sultan Kedah menjadi Yang Dipertuan Agong dua tahun lagi, bolehlah Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan nama Idris untuk dilantik sebagai menteri.

Seorang rakan yang ada sama dengan saya pada petang itu, Fakhrul Azman Abu Bakar menyanggah kenapa perlu dilantik Idris sebagai pengarah pilihanraya BN. BN menang di Terengganu pada tahun 2004 bukan kerana Idris atau gelombang biru tetapi kerana Fakhrul telah memecahbelahkan PAS dengan PKR. Sebagai bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakhrul mendakwa nasi bungkus gelombang biru tidak habis.Ini bermakna ramai yang tidak hadiri majlis gelombang biru.

Fakhrul mendakwa, apabila PKR dan PAS dapat dipecahkan barulah usaha menawan semula Terengganu berjaya dilakukan. Fakhrul adalah orang yang membawa Ezam Mohd.Nor menemui Pak Lah melalui setiausaha politik pak Lah, Datuk Wan Farid Wan Salleh. Akhirnya Ezam Mohd.Nor menyertai UMNO dan kini beliau dilantik sebagai Senator tetapi Fakhrul yang minta jawatan APMT bagi DUN Wakaf Mempelam sampai sekarang tidak dilantik kerana Timbalan Pengarah APMT, Haji Shamsudin Sulong berdendam dengan pak saudara Fakhrul di Pulau Bahagia.

Macam mana APMT mahu maju bila ada pegawai kerajaan tidak profesional lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Orang seperti Fakhrul ini boleh buat kerja tetapi kerana dendam peribadi, surat perlantikan Fakhrul sampai sekarang tidak dikeluarkan.

IBU KEPADA TAN SRI RAZALI MENINGGAL DUNIA


Ibu kepada Pengerusi Peremba Sdn Bhd, Tan Sri Razali Abdul Rahman meninggal dunia pada jam 1.00 pagi tadi di rumahnya di Paloh, Kuala Terengganu. Saya menerima sms pagi tadi dari dua pupu saya, Mohd. Radzi Mohd. Shah pada jam 5.30 pagi yang memaklumkan kematian itu.

Ibu beliau yang kami panggil Tok Yah berusia lebih 80 tahun akan dikebumikan pada jam 10 pagi ini di tanah perkuburan di Paloh.

Tok Yah adalah sepupu nenek saya, aruah Hajah Zaharah Yusuf. Manakala suami Tok yah, Abdul Rahman (Che Man)yang berasal dari Kelantan pernah tinggal di Pasir Gajah, Kemaman kebetulan pula saudara kepada aruah datuk saya, Penghulu Haji Abdullah Omar. Ramai saudara mara Che Man duduk di Pasir Gajah termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO cawangan Pasir Gajah, Saidi Abdul Ghani. Sudah tentu ramai saudara mara dari Pasir Gajah termasuk mak Long, Mak Ngah (emak saidi) akan menziarahi jenazah Tok Yah hari ini.

Saya tidak sempat balik ke Kuala Terengganu. Kalau saya tahu pada jam 1 pagi tadi, saya sempat memandu ke Paloh dari Kuala Lumpur. Bila tahu berita itu pada jam 5.30 pagi, memang tak sempat dah saya balik untuk upacara pengkebumian Tok Yah. Pada hari raya keempat baru-baru ini kebetulan saya ada di Kuala Terengganu, saya memang dah berniat nak pergi beraya ke Paloh tetapi tak sempat. Kalau tidak saya sempat menemui Tok Yah buat kali terakhir.Anak-anak saya sewaktu kecil suka sangat beraya ke rumah Tok yah kerana Tok yah beri RM5 seorang kepada kanak-kanak sedangkan pergi rumah lain biasanya dapat RM1 atau RM2 seorang.

Rumah Tok Yah di Paloh kelihatan seperti muzium. Itulah rumah yang dibina oleh anaknya Tan Sri Razali kepada ibunya. Sedari kecil saya sudah biasa mengunjungi rumah Tok Yah bersama nenek saya. Bila nenek sudah meninggal dunia, saya tetap kunjungi Tok Yah setiap kali ada peluang pergi ke Paloh.

Saudara mara saya ramai di Paloh termasuk aruah Othman Awang, calon BN bagi kawasan DUN Wakaf Mempelam yang bertanding pada pilihanraya umum 2008. Menjelang pilihanraya 2008, kebetulan saya bekerja dengan Warta Parlimen Kepala Batas, setiap malam aruah Othman menelefon saya, tanya namanya naik atau tidak sebagai calon BN.

Tan Sri Razali merupakan anak Paloh yang pertama belajar di Australia pada tahun 60 an dahulu.Beliau memperolehi ijazah sarjana muda perdagangan dari University of Newcastle, Australia dan memperolehi ijazah sarjana dalam pengurusan kewangan dari University of Queensland, Australia.

Beliau merupakan salah seorang anak didik Tun Daim seperti Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajudin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi.

Rabu, September 22, 2010

PERKASA PATUT TANDING PILIHANRAYA


Nampaknya kehadiran Perkasa sebagai NGO Melayu amat ditakuti oleh semua pihak. Bukan sahaja bukan Melayu yang takut malah pemimpin UMNO turut bimbang dengan sambutan rakyat kepada Perkasa.

Tiga orang pemimpin UMNO iaitu Setiausaha Agung UMNO,Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertinggi dilantik, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz sependapat bahawa Perkasa tidak menarik undi bukan Melayu terhadap BN.

Oleh itu ke mana Perkasa pergi selepas ini? Adakah Perkasa akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang? Sebagai NGO yang paling lantang memperjuangkan hak orang Melayu, Perkasa telah dilihat sebagai pengganti kepada UMNO. UMNO yang kini menjunjung konsep 1Malaysia dikatakan tidak selantang dahulu mempertahankan kedudukan orang Melayu. Maka orang Melayu yang kecewa dengan UMNO telah menyertai Perkasa.

Bila orang melayu bercakap tentang soal bangsa mereka, mereka dituduh rasis. Sebaliknya orang bukan Melayu bebas mempertikai hak orang Melayu. Pada hemat saya pada pilihanraya umum 2012, Perkasa patut bertanding dalam pilihanraya sebagai alternatif kepada UMNO.

Perkasa jangan bertanding di kerusi UMNO tetapi bertanding menentang calon BN yang terdiri dari calon MCA, MIC, Gerakan, UPKO yang mana majoriti kerusi itu terdiri daripada pengundi Melayu. Strategi inilah yang menyebabkan PKR menang dalam pilihanraya umum di kerusi yang ditandingi oleh BN dari bukan UMNO (MIC) seperti mana di Teluk Kemang.PKR meletakkan calon Melayu maka calon MIC tewas dalam pilihanraya umum lalu.

Saya kira ada 50 kerusi parlimen MCA, MIC,Gerakan yang bertanding di kerusi majoriti Melayu yang boleh ditandingi oleh Perkasa. Perkasa ada harapan untuk menang kerana undi orang melayu tidak akan pergi kepada PKR lagi sebaliknya mereka yang tidak memilih BN (wakil MCA, MIC dan Gerakan)akan memangkah Perkasa.

Jika Perkasa tidak diluluskan pendaftarannya sebagai parti politik, maka semua calon Perkasa hendaklah bertanding di seluruh negara sebagai calon Bebas. Perkasa tidak perlu tandingi di kerusi yang ditandingi oleh UMNO.

Maka Presidennya, Datuk Haji Ibrahim Ali perlu mencari kerusi di luar Kelantan menentang calon MCA atau MIC atau Gerakan. Beliau tidak boleh bertanding di Pasir Mas kerana UMNO akan menentang calon PAS di situ.

Sebaik-baiknya beliau menentang Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di parlimen Labis. Kita akan lihat adakah pengundi Melayu akan pilih Presiden MCA atau Presiden Perkasa sebagai ahli parlimen Labis yang baru menggantikan anak Dr. Chua Soi Lek.

APA PAS NAK BUAT DENGAN RM4 BILION?


Apa yang PAS akan buat dengan RM4 bilion yang diterima daripada I'DA World Group Sdn. Bhd.? Dapatkah PAS tawan Malaysia dengan duit sebanyak itu pada pilihanraya umum akan datang? Benarkah wang sebanyak itu wujud?

Bayangkan jika benar RM4 bilion itu wujud, PAS akan gunakan wang ini untuk tawan semua kerusi parlimen tanpa perlu kepada DAP dan PKR lagi. Maka tercapailah cita-cita PAS untuk menawan Malaysia.

Nik Aziz menafikan menerima wang sebanyak itu tetapi adiknya, Nik Din yang menerima cek itu dari pihak syarikat dalam satu majlis. Yang peliknya kenapa syarikat itu bengong membuat mock cek sedangkan itu adalah sumbangan political fund yang disampaikan pula dalam majlis yang tidak pernah dibuat orang.

Parti politik menerima sumbangan adalah perkara biasa sama ada dalam UMNO atau PAS. Tetapi memberi cek kepada PAS secara terbuka dalam majlis adalah kerja orang bodoh yang boleh mengundang SPRM menyiasatnya.

Saya masih ingat ada seorang kawan saya menulis surat kepada bekas Menteri Kewangan yang mahu beliau menolongnya mendapatkan satu tender. Kawan saya tersilap sikit menulis dalam surat itu bahawa bila dapat tender kelak, dia akan beri sumbangan kepada UMNO. Bukan main marah setiausaha politik kepada Menteri kewangan itu kepada kawan saya kerana Menteri kewangan kata kalau surat itu tersebar ke tangan pembangkang, habislah UMNO.

Jadi kebodohan yang sama dilakukan oleh syarikat yang dapat projek di Kelantan ini. Nik Din kata wang itu untuk kerajaan negeri sedangkan di mock up cek itu jelas ia diberi kepada PAS Malaysia. Alangkah bertuahnya PAS Malaysia kalau benar ada wang sebanyak itu.

Kita ikuti berita penuh mengenai isu ini yang dipetik dari Utusan Malaysia hari ini sepertimana berikut:-

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion yang diberikan oleh sebuah syarikat, I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) kepada Pas Kelantan.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu. Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga.

"Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Model Baru Ekonomi (MBE) di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari I'DA World atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini, dua hari lepas.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai I'DA World yang menimbulkan misteri dan kejutan apabila bermurah hati untuk menderma kepada Pas Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ia sebagai sumbangan untuk kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Replika cek bernilai RM4 bilion itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Rahman Abdul Rashid, seorang anak Kelantan yang kini menetap di luar negara.

Selasa, September 21, 2010

UMNO PERLU JADI UNITED MALAYSIAN NATIONAL ORGANISATION?


Membaca jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz terhadap tulisan Awang Selamat, saya rasa UMNO sudah tidak releven lagi memperjuangkan nasib orang Melayu.

Nazri takut pengundi Cina dan India tidak akan mengundi calon UMNO yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN). Nazri berkata apa yang diperjuangkan oleh Perkasa akan mengurangkan sokongan bukan Melayu kepada BN.

Oleh itu ke mana UMNO mahu pergi? Perlukah UMNO ditukar dari United Malays National Organisation kepada United Malaysian National Organisation? oleh itu parti berasaskan kaum seperti MCA,MIC,PBDS,UPKO perlu dibubarkan dan diserap ke dalam UMNO yang sudah menjadi United Malaysian National Organisational yang menerima ahli berbilang kaum dan agama.

Ini yang dihasratkan oleh Presiden UMNO, Datuk Onn jaafar pada tahun 1951 dahulu yang mahu UMNO dibuka kepada semua kaum. Tetapi ahli UMNO membantah dan Datuk Onn keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti IMP yang menerima ahli berbilang kaum.

Nazri berkata apa yang diperjuangkan oleh Perkasa dan Utusan Malaysia tidak mendokong semangat 1Malaysia. oleh itu UMNO perlu diubah konsepnya dan dibuka kepada semua kaum. Sekarang ini pun sudah ada Bumiputera bukan Islam dalam UMNO, maka apa salahnya orang Cina dan India diterima menjadi ahli UMNO kalau itulah maksud Nazri mahu UMNO menjunjung hasrat 1Malaysia.

Bila UMNO dibuka kepada semua kaum, maka terpulanglah kepada ahli-ahli baru UMNO (United Malaysian National Organisation) untuk memilih Presiden, timbalan Presiden, Naib Persidan dan ahli majlis tertingginya. Dengan ini Dr. Chua Soi Lek, Sammy vellu layak menjadi Presiden UMNO yang baru jika ahli-ahli memilihnya dan tidak semestinya orang melayu yang menjadi Presiden UMNO.Mungkin inilah semangat 1Malaysia yang sebenar kerana UMNO sudah menjadi parti berbilang kaum seperti PKR, PPP, DAP dan Gerakan.

Terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO sama ada mahu membuka parti itu kepada semua kaum kerana UMNo sudah takut untuk mempertahankan hak Melayu kerana peranan itu sudah diambilalih oleh Perkasa yang UMNO takut bila BN bertanding tidak dapat sokongan bukan Melayu.

Jika ini menjadi kenyataan, sudah tentu Datuk Onn yang bangga kerana cita-citanya untuk membuka UMNO kepada semua kaum akhirnya tercapai.

Isnin, September 20, 2010

MUBARAK KEDAH KESAL DENGAN KENYATAAN NAZRI


Tindakan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) termasuk cuba membawa balik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri disangkal oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Badri Yunus berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tingkah laku menteri itu yang cuba mengaitkan Dr. Mahathir dalam perkara itu disifatkan sebagai amat menghairankan.

Beliau berkata, semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa jika tidak kerana Perkasa dan Dr. Mahathir, perbuatan sesetengah pihak di negara ini yang cuba mempertikaikan orang Melayu termasuk hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan akan menjadi semakin dahsyat.

"Ketika orang Melayu dipertikaikan hak-hak mereka, siapakah yang lantang bangkit mempertahankannya? Bukankah Perkasa dan orang seperti Ibrahim Ali serta Dr. Mahathir yang dilihat ke depan tanpa mengira mereka dihentam semula oleh mereka yang berkenaan.

"Yang paling orang hendak tahu ialah di manakah para pemimpin Melayu seperti Nazri ketika itu?

"Yang kita tahu ialah Nazri tidak berhenti-henti menghentam Dr. Mahathir sejak beliau bersara hingga tampak seolah-olah dia mempunyai dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri itu," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan ruangan Bisik-Bisik Mingguan oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Nazri.

Tulisan Awang itu menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan Malaysia berhubung isu Perkasa.

Malah, Nazri seperti yang dilaporkan oleh portal The Malaysian Insider menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Secara peribadi, Badri memberitahu, beliau amat marah dengan tindak tanduk Nazri selama ini terhadap Dr. Mahathir dalam beberapa siri kecaman termasuk mencabar untuk berlawan.

"Siapakah Nazri jika hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir? Bukan saya saja tapi semua orang tahu peranan dan jasa Dr. Mahathir terhadap negara ini.

"Sedarlah diri dan cermin diri sendiri. Janganlah kerana ada sedikit jawatan, kita jadi sombong dan angkuh hingga mencerca dan mencaci orang yang pernah memberi kita peluang naik hingga ke jawatan hari ini," ujar Badri yang pernah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal.

Badri turut sependapat dengan Awang bahawa Nazri perlu menyatakan pendiriannya mengenai siapa ketuanya sekarang memandangkan menteri itu kini dilihat banyak berlembut dengan pembangkang.

Katanya, di sebalik bertindak mengkritik pembangkang, Nazri nampaknya lebih berminat menghentam 'orang sendiri' dan perbuatan itu perlu dijelaskan oleh beliau.

Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan Nazri tidak pula bertukar menjadi beban kepada parti dan kerajaan kerana terlalu asyik dan ghairah menghentam pihak yang diwakilinya sendiri.

NAZRI JAWAB AWANG SELAMAT


Saya ada membaca komen Awang Selamat terhadap saya dalam kolumnya. Saya ingin membuat beberapa penjelasan supaya pembaca tidak menganggap apa yang dia tulis itu adalah betul.

Pertama, saya tidak pernah takut untuk dikritik oleh pembangkang. Saya mahu Awang datang ke Parlimen dan melihat dan mendengar dengan sendiri ucapan-ucapan yang menyakitkan hati dan serangan yang saya terima ketika saya mempertahankan kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perdana Menteri. Sepanjang tempoh 33 tahun pembabitan saya dalam politik, saya tidak terlepas daripada kritikan mana-mana pihak termasuk komen terbaru daripada Awang. Saya sendiri tidak tahu tentang Awang kerana saya tidak tahu siapa dia Awang. Saya harap dia juga seorang lelaki macam saya dan membuktikan bahawa dia tidak takut untuk berhadapan dengan kritikan dan bersembunyi di sebalik nama samaran yang dia gunakan.

Saya juga bukan anti Dr Mahathir. Bagi saya, setakat ini beliau adalah Perdana Menteri terbaik yang saya pernah berkhidmat. Bagaimanapun, sebagai seorang bekas Perdana Menteri juga ada banyak kekurangannya. Awang sewajarnya keluar daripada peredaran masa dan berhadapan dengan hakikat bahawa saya kini berada dalam kerajaan sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan sebaliknya. Justeru, yang mengkritik kerajaan ialah Tun Mahathir dan bukan sebaliknya. Sudah tentu, sesiapa sahaja tanpa mengira siapa yang mengkritik kerajaan akan menerima serangan dalam tindakan saya mempertahankan kerajaan, sebagimana yang telah saya lakukan ketika Tun Mahathir dan Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Dengan mengatakan begitu, saya mahu Awang mengetahui bahawa saya sentiasa tahu siapa ketua saya. Ia buka Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno. Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya.

Bersopan kepada pembangkang adalah tindkaan tepat untuk diambil dalam amalan demokrasi kerana seperti saya mereka juga dipilih oleh rakyat. Sudah tentu Awang terperangkap dalam peredaran waktu masa-masa lalu di mana ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja tidak melibatkan mereka bersama, malah membenci mereka dalam kebanyakan masa. Awang tidak akan faham perkara ini kerana dia bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih, diletakkan di Dewan menerusi suara rakyat. Awang tidak pernah terfikir bagaimana lima Ahli Parlimen PKR boleh melompat ke kumpulan anggota bebas kalau bukan kerana kesopanan yang diperlihatkan oleh saya kepada mereka selaku Meneri Hal Ehwal Parlimen. Bilangan mereka yang melompat untuk menyertai kokus bebas telah mengatasi satu-satunya wakil rakyat tunggal dari kawasan Pasir Mas, hero orang Melayu yang diagung-agungkan oleh Awang. Umno tidak pernah meminta ataupun memerlukan Ibrahim untuk membantu kami, tetapi kerjasama dengan dia hanya akan menyebabkan kami kehilangan undi. Tun Mahathir sendiri memberitahu kami bahawa beliau telah hilang 90 peratus undi di Kota Setar Selatan yang merupakan kerusi Parlimen majoritinya orang Melayu pada 1969 di tangan Yusof Rawa, di mana dilaporkan bahawa Tun mengatakan beliau tidak memerlukan undi orang Cina. Ini adalah perkara yang perlu dibelajari daripada peristiwa itu.

Sudah tentu, Awang tidak akan faham kerana dia bukan sahaja tidak pernah menawarkan dirinya sebagai calon pilihan raya, tetapi juga pembaca tidak tahu siapa dia sebenarnya. Ahli-ahli politik macam saya, yang telah bertanding empat pilihan raya dan yang telah menang, selalunya jelas dengan apa yang kami perkatakan dan tidak semberono macam Awang. Kita perlu menghimpunkan undi tanpa mengira kaum dan kami tidak duduk di zon selesa macam Awang. Dia boleh tulis dan mengatakan apa sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab dan secara semberono dengan menyedari bahawa dia tidak akan dihukum oleh para pengundi.

Itu sebabnya mengapa Awang, jika anda bertanya apakah agenda saya, saya merasakan setiap budak sekolah akan tahu bahawa matlamatnya ialah mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang dan Datuk Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya berharap Awang juga mempunyai agenda yang sama melainkan ketuanya adalah orang lain.

Akhirnya, saya mahu menasihatkan Awang agar berpegang pada apa yang dia lakukan dan tahu apa yang terbaik dan tidak mencampuri politik negara yang pengetahuannya jelas cetek dan sifar pengalaman. Dia harus memberi tumpuan untuk menaikkan edaran akhbarnya yang terus merosot. Kedudukan itu dengan sendiri menunjukkan prestasi dan standardnya yang rendah di mana Utusan terpaksa merujuk kepada laporan media alternatif elektronik baru sedangkan ia seharusnya bertindak sebaliknya. Itu yang sepatutnya menjadi KPI dan ukuran kejayan dia dalam bidang yang dia mendakwa dia mewakili. Saya punya sudah pasti iaitu memenangi kerusi Padang Rengas bagi BN dalam pilihan raya umum akan datang tanpa mengira sama ada saya menjadi calonnya ataupun tidak. Sehingga itu kita harus terus melihat.

Dan, bagi saya, saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?


(dipetik dari the malaysian insider.com)

GANGSTER INDIA GANAS


Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaman Khan (gambar) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera bagi mengekang gejala gengsterisme melibatkan kaum India.

Menurut beliau, ini kerana kumpulan gengster itu mampu bertindak ganas dan kejam berdasarkan beberapa kes yang berlaku sekitar 1980-an.

Jelasnya, berbanding gengster kaum lain, kumpulan samseng daripada kaum India sering bertindak kejam terhadap mangsa mereka.

“Sekitar 1990-an terdapat gengster India seperti Bentong Kali yang melakukan rompakan serta membunuh mangsa kononnya untuk membantu golongan miskin.

“Selain itu, terdapat juga satu lagi kumpulan remaja kaum India yang menggelarkan diri mereka Geng Satu Hati.

“Walaupun hanya kumpulan kecil yang terdiri daripada anak kakitangan Hospital Kuala Lumpur namun mereka mampu bertindak ganas ketika melakukan jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas permintaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah di dalam Mingguan Malaysia hari ini supaya polis memberi perhatian terhadap gejala gengsterisme di kalangan kaum India yang semakin memuncak.

Kenyataan beliau dikeluarkan berasaskan laporan Ketua Pemuda MIC Selangor, M. Shaker Raj Ayenger yang mendakwa 300 belia India di Selangor ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Mohd. Zaman memberitahu, selain kedua-dua kumpulan terbabit terdapat juga pembunuhan kejam lain yang dilakukan gengster India ketika itu.

Antaranya, jelas beliau, satu kes pembunuhan kejam yang berlaku ladang kelapa sawit di Gopeng, Perak.

Katanya, kejadian itu berpunca apabila pemilik ladang kelapa sawit berkenaan mencederakan sekumpulan lembu milik gengster berkenaan.

“Bagi membalas dendam, kumpulan samseng itu menetak pemilik ladang itu dengan kejam sehingga mati.

“Selain itu, di Kuala Kubu Bharu, gengster India di situ yang berang terhadap kesilapan dilakukan seorang lelaki di kuil mereka mencincang mangsa sehingga mayatnya tidak dapat dikenali,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kejadian-kejadian itu termasuk insiden pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, polis kini perlu bertindak pantas menghapuskan kumpulan tersebut.

Menurutnya, jika dibiarkan, perkara itu dikhuatiri akan terus berlaku pada masa depan dengan kejadian lebih menyayat hati dan melibatkan lebih ramai mangsa.

Mohd. Zaman menambah, kumpulan samseng itu perlu dibendung pada peringkat awal termasuk usaha pihak berkuasa untuk melakukan sekatan terhadap aksi ganas dalam filem Tamil.

LIMA PELAJAR JADI KUMPULAN PERTAMA SEKOLAH HARAPAN


Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

Ahad, September 19, 2010

KU NAN, KJ DAN NAZRI PEMIMPIN UMNO ANTI-PERKASA


Khairy menulis di dalam Twitternya bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”. Kenyataan ini berdasarkan kepada akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya. Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

1. Siapa yang menentang PERKASA daripada UMNO? Setakat ini hanya 3 orang penentang tegar PERKASA daripada pemimpin UMNO iaitu Tengku Adnan, KJ dan Nazri Aziz. Adakah 3 orang ini sudah menunjukkan bahawa UMNO secara keseluruhannya menentang PERKASA. Bagaimana dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Naib-Naib Presiden UMNO, MKT, Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang lain?

2. Berikut adalah petikan RESPON DS Najib sendiri dalam wawancara dengan CNBC terhadap PERKASA:-

NAJIB: Mereka tidak menentang kami. Mereka lebih berbicara mengenai hak Bumiputra. Sebenarnya, kami tidak menarik balik sebarang hak daripada Bumiputra tetapi kami memperkatakan biar kita lakukan dengan cara berbeza. Biar kita dapat hasil yang lebih baik. Biar kita capai sebuah masyarakat yang lebih saksama. Tetapi pada masa sama, berlaku adil kepada penduduk bukan Bumiputra. Kerana kami mahu membina 1Malaysia.

Kesimpulannya : Komen Najib kepada PERKASA masih positif

3. KJ perlu menoleh seketika sejarah penubuhan Utusan Melayu 1939 dan melihat perjuangannya.

4. SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu menulis bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''

Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.

Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.

Saya rasa sebab itulah Utusan Melayu masih menyokong PERKASA walaupun ada 2-3 kerat pemimpin UMNO yang 'jaki' dengan PERKASA.

Amir Hamzah
Batu Pahat (dipetik dari segalanya mungkin.blogspot.com)

SATU RENUNGAN

AWANG SELAMAT JAWAB NAZRI


Utusan pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka — Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti — Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh Umno. Nazri lupa, ketika Umno diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin Umno difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan Umno jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela Umno dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin Umno, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.

(dipetik dari mingguan malaysia)

NAZRI PERSOAL UTUSAN MALAYSIA


Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia seolah-olah memperlekehkan gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil berkata, sama ada akhbar milik Umno itu berkonspirasi mahu ‘menggantikan’ beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa arah aliran laporan Utusan Malaysia dan editorialnnya sejak kebelakangan ini menunjukkan akhbar harian itu terbitan Kumpulan Utusan sudah lupa siapa ketua mereka yang sebenarnya.

“Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr Mahathir?

“Saya kadangkala tertanya-tanya jika mereka ada agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib,” kata beliau ketika dihubungi malam tadi.

Dr Mahathir bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara awal April 2009.

Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, dengan memainkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir menyokong pertubuhan hak Melayu Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, ia dengan jelas memperkecilkan konsep 1 Malaysia dibawa oleh Najib.

“Mereka seharusnya mempromosikan konsep 1 Malaysia dan bukannya memperlekehkan program beliau. Saya lihat begitu... mereka menyokong Dr Mahathir,” katanya.

Jelas beliau ekoran perspektif laporan mereka, Utusan Malaysia mahu memberikan lebih banyak liputan kepada pendirian Dr Mahathir berbanding Najib.

“Mereka kelihatan mempunyai agenda sendiri. Adakah mereka mempunyai agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib?” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat dari Perak ini menegaskan, kemungkinan ini sangat tipis memandangkan akhbar harian dari Kumpulan Utusan ini adalah milik Umno yang presidennya ialah Najib.

Najib yang dipilih sebagai Presiden Umno akhir Mac 2009 dan kemudian sebagai Perdana Menteri yang keenam memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

“Dan sudah tentu, 1 Malaysia adalah agenda Najib, maka akhbar dimiliki Umno seharusnya menyokong Najib dengan mempromosikan konsep 1 Malaysia.

“Tetapi, saya tidak tahu... saya tidak terlibat dalam soal ini secara langsung.

“Macam di Harakah, mereka mempromosikan program PAS, Suara Keadilan mempromosikan PKR, The Star mempromosikan MCA tetapi akhbar Umno Utusan tidak menyokong ketua sendiri,” katanya.

Nazri mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang secara terbuka menyokong dasar Perkasa dan pendirian-pendirian memihak pertubuhan bukan kerajaan meskipun Umno mengumumkan tidak menyokong dan mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.

Umno, komponen dominan dalam Barisan Nasional juga mengambil pendirian yang sama pada mesyuaratnya minggu lalu atas alasan tidak mahu Perkasa menghakis sokongan kepada perikatan 13 anggota itu.

Utusan Malaysia membawa laporan meluas menyokong Perkasa semalam - antara komen pelbagai pihak termasuk orang ramai serta rencana di halaman editorial.

Rencana itu bertajuk “Kenapa memusuhi Perkasa” manakala tinjauan orang membawa tajuk “Majoriti orang Melayu menyokong Perkasa”.

Edisi Ahad, Mingguan Malaysia juga menyatakan pendiriannya mempertahankan Perkasa.

Ahad lalu, Dr Mahathir mengulangi sokongan kepada Perkasa dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan BN memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

Nazri berpendapat bahawa laporan tinjauan itu hanya berdasarkan temu bual terpilih dengan minoriti Melayu sambil menegaskan, ia tidak semetinya menggambarkan pandangan akar umbi.

“Bagi saya, mereka tidak mewakili perasaan orang Melayu di akar umbi kerana orang Melayu yang menyokong PAS akan terus menyokong PAS tanpa mengira apa yang diperkatakan oleh Utusan dan begitu juga pengikut PKR yang akan menyokong (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)... mereka tidak kisah apa yang Utusan kata, dan begitu juga yang membabitkan lain,” katanya lagi.

Nazri memberikan contoh persekitaran di bahagian Parlimen Padang Rengas, Perak dengan berkata, Perkasa tidak dapat mengocak pengundi-pengundi Melayu di kawasannya.

“Saya ketua Umno Padang Rengas... di akar umbi, tiada cakap-cakap mengenai Perkasa dan di bahagian saya, tiada mereka yang menyertai Perkasa.

“Begitu di bahagian jiran Kuala Kangsar, Sungai Siput, Lenggong, Bukit Gantang... Perkasa tiada impak langsung,” katanya.

Nazri menambah, Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia.

“Mereka tiada impak di kawasan luar bandar dan anda mahu tahu mengapa? Ini kerana pemimpin-pemimpin Perkasa adalah ahli Umno yang telah ditolak sebelum ini.

“Ahli Umno yang memegang jawatan dalam bahagian tidak akan menyokong Perkasa,” katanya.

“Lihat pada Ibrahim Ali, yang beliau sendiri adalah pemimpin ditolak oleh Umno. Timbalan beliau juga tewas dalam pemilihan bahagian dan begitu juga ketua pemudanya,” kata beliau lagi.

Ibrahim yang menubuhkan Perkasa dua tahun lalu telah dipecat Umno pada 2004.

Pada 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas sebagai wakil Bebas atas tiket PAS tetapi memutuskan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen itu.
(dipetik dari themalaysianinsider.com)

Sabtu, September 18, 2010

FILEM TAMIL AKAN DIPANTAU


Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mencari mekanisme untuk memantau kemasukan filem Tamil berunsur ganas yang dikatakan mempengaruhi masyarakat India di negara ini.

Pemantauan itu akan dibuat menerusi kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah.

"Kita akan mencari jalan mekanismenya...antaranya kita akan melihat kemasukan drama-drama bersiri dari India khususnya. Kita kena lihat kemasukan sama ada drama bersiri yang terlalu banyak boleh mendatangkan bermacam-macam masalah," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pinjaman Tekun Nasional semalam.

Beliau berkata langkah itu adalah sebagai antara usaha kerajaan untuk membanteras kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India terutama golongan remaja.

"Saya tidak menolak andaian yang mengatakan adegan ganas menerusi drama bersiri di televisyen dan filem Tamil dari India sebagai faktor utama punca berlakunya kegiatan jenayah dan gangsterisme di kalangan masyarakat India," katanya.

Murugiah berkata pihaknya juga bercadang mengadakan seminar kesedaran mengenai jenayah dan gangsterisme di kalangan pelajar India di peringkat sekolah rendah.

LIMA KELUARGA MINAT HANTAR ANAK KE SEKOLAH HARAPAN


Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri Melaka di Jasin untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.

“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.

Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.

Jumaat, September 17, 2010

PENYISIHAN KAUM DI SINGAPURA LEBIH TERUK


Tuduhan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bahawa Malaysia tidak berlaku adil dan menyisihkan kaum lain langsung tidak berasas sebaliknya penyisihan kaum di republik tersebut adalah lebih teruk dan lebih hebat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk pulau tersebut menguasai 95 peratus ekonomi negaranya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Singapura bukan negara pelbagai kaum sebaliknya adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama.

"Kuan Yew bercakap mengenai kesaksamaan dan keadilan antara kaum tetapi sebaik sahaja Singapura keluar dari Malaysia, kaum Cina menjadi majoriti dan mendominasi republik itu.

"Seperkara yang harus diketahui aktiviti membantah atau membangkang kerajaan tidak dibenarkan di Singapura,'' katanya dalam entri terbarunya bertajuk Malaysia according to LKY dalam blognya di http://chedet.co.cc/chedetblog/ di sini.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew dalam akhbar New York Times pada 1 September lalu yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Kuan Yew membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menarik perhatian mereka yang bertanding menentang parti pemerintah PAP akan dikenakan tindakan termasuk diheret ke mahkamah atas tuduhan memfitnah.

Sekalipun menang pilihan raya, beliau berkata, mereka tidak berpeluang menduduki kerusi di Parlimen republik itu berbeza dengan parti-parti pembangkang di Malaysia.

Malah di Malaysia, empat daripada 13 negeri di perintah oleh parti pembangkang.

"Di Singapura, PAP terpaksa melantik wakil mereka untuk berperanan sebagai pembangkang,'' katanya.

Mengenai tuduhan Malaysia akan menjadi lebih baik dari segi hubungan kaum jika tidak berpisah dengan Singapura, Dr. Mahathir melontarkan soalan:

"Adakah kita percaya jika Singapura masih berada dalam Malaysia, masalah perkauman tidak akan berlaku?

"Saya juga percaya jika Singapura masih berada di dalam Malaysia, PAP sudah pasti akan menguasai politik negara bersama kaum Cina yang lain. Pada masa itu parti-parti pembangkang tidak akan ada suara. Seorang pun tidak akan berani bercakap apa-apa."

Dr. Mahathir berkata, hilang ingatan memang boleh berlaku tetapi membuat kenyataan bahawa Malaysia akan menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura jelas tidak berasaskan fakta sebenar.

Khamis, September 16, 2010

PERLU ADA SATU HARI KEBANGSAAN


Selama ini 31 Ogos dianggap sebagai Hari Kebangsaan kerana negara mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut 53 tahun lalu.Bila negara menyambut hari kebangsaan, sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak tidak rasa bangga kerana mereka merdeka pada 16 September 1963.

Oleh kerana 31 Ogos adalah hari merdeka Malaya, maka kerajaan perlu mengiktiraf Hari Malaysia pada hari ini, 16 September, sebagai Hari kebangsaan tunggal negara. Ini adalah kerana pada tarikh ini, 47 tahun lagi secara rasmi Malaysia dibentuk selepas Sabah dan sarawak menyertai Malaysia.

Kita dengar apa kata Pairin Kitingan yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah mengenai sambutan Hari Malaysia ini sepertimana dilaporkan oleh Bernama.

Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.

"Ungkapan 'Sabah menyertai Malaysia', pertanyaan 'bila sampai ke Malaysia' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekaligus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Pairin berkata pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakann pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibbah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan," kata beliau.

Rabu, September 15, 2010

PENDEDAHAN MURUGIAH PERLU DIPANDANG SERIUS


Pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Murugiah bahawa dalam masa lima tahun kebelakangan ini seramai 300 orang belia India ditahan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam, Johor perlu dipandang serius.

Kenapa ramai belia India terjerumus dalam gangsterisme? Apakah kerana pengaruh filem Tamil di televisyen? Oleh itu kerajaan perlu mengharamkan filem Tamil kerana ia banyak mempengaruhi belia India terlibat dalam keganasan. Semalam saya sudah buat cadangan ini dan kebetulan pula ia turut dicadangkan oleh Tan Sri Lee Lam Thye yang mahu supaya adegan ganas di tv diharamkan.

Semua filem tidak kira Tamil atau Inggeris atau China penuh dengan adegan keganasan tetapi yang lebih menonjol ialah filem Tamil di mana bila bergaduh sedikit, terus berparang. Ini yang mempengaruhi belia India untuk menjadi ganas dan liar.

Murugiah berani mendedahkan pekung di dada. Tahniah buat beliau. beliau minta Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin turun padang ke estet supaya belia India tidak menjadi samseng. Bagi saya, Hishamuddin tidak perlu turun padang. yang penting para pemimpin MIC perlu mainkan peranan mendidik belia India dengan mengadakan kursus motivasi dan sebagainya.

Apakah punca mereka menjadi ganas? Adakah kerana mereka tiada pekerjaan? oleh itu pemimpin MIC perlu mencari pekerjaan buat meeka. jika mereka tidak mempunyai kelulusan, hantarlah mereka mengikuti kursus kemahiran di IKBN dan sebagainya. Di sinilah perlunya pemimpin MIC main peranan. Jangan hanya sibuk berpolitik sahaja.

PUAD KENA GUNA SALURAN KERAJAAN


Beberapa pensyarah universiti tempatan hari ini berharap Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dapat menggunakan saluran kerajaan dalam menyuarakan sesuatu pendapatnya mengenai perjalan dan pentabiran jabatan atau agensi kerajaan.

Mereka berkata anggota Majlis Tertinggi Umno itu tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap kerajaan secara terbuka memandangkan beliau adalah juga anggota pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Pensyarah Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Safar Hashim berpendapat kritikan secara terbuka Mohd Puad terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam boleh menjejaskan hubungan antara kementerian.

"Tindakan beliau bukan sahaja boleh mengeruhkan hubungan kementerian, malah boleh menimbulkan tekanan yang tidak wajar terhadap suruhanjaya itu," katanya kepada BERNAMA di sini hari Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Puad yang disiarkan sebuah akhbar hari ini yang mendakwa SKMM gagal mengambil tindakan tegas terhadap media alternatif dan blog yang didakwanya kini bebas menyalurkan agenda membenci kerajaan, selain membangkitkan provokasi di dalam negara.



Safar berkata tindakan Mohd Puad juga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat yang melihat seolah-olah anggota Kabinet tidak bersatu dan mengalami ketidakstabilan.

Bagi Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Salleh Buang, yang juga pakar perundangan berkata Mohd Puad perlu menggunakan saluran lain dari media, seperti perbincangan peribadi bersama menteri dari kementerian berkenaan.

"Lainlah jika beliau merupakan orang awam, sudah tentu tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan jika Mohd Puad mengkritik perjalanan atau perlaksanaan dasar sesuatu kementerian," katanya.

Penganalisis Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata Mohd Puad wajar menegur SKMM, "tetapi jangan melalui media massa kerana tidak bagus dan rakyat akan mempersoalkan kredibiliti kerajaan".

"Sepatutnya beliau gunakan saluran lain untuk kritik seperti melalui parti, biro-biro Umno, memo ataupun ketika menghadiri mesyuarat," katanya.

Pendapat Ahmad Atory itu turut dipersetujui Profesor Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff yang berkata kritikan memang diperlukan untuk meningkatkan kualiti serta keberkesanan sesebuah badan.

Bagaimanapun menurutnya ia harus dijalankan secara tertutup oleh pemimpin negara bagi mengelakkan berlakunya salah faham antara kementerian.

Selasa, September 14, 2010

HARAMKAN FILEM TAMIL DI TV


Sudah sampai masanya kerajaan mengharamkan penayangan filem Tamil di televisyen. Kalau kita lihat filem Tamil penuh dengan keganasan. Bila bergaduh, terus bawa parang untuk membunih si hero. Pengaruh filem Tamil menyebabkab banyak keganasan berlaku di kalangan kaum India di negara kita.

Paling terbaru kita lihat bagaimana seorang peguam tergamak membunuh empat orang musuhnya termasuk Datuk Sosilawaty Lawia. Selain dari pukul, bunuh, mayat empat orang ini pula dibakar. Betapa ganasnya seorang terpelajar seperti peguam ini sering kita lihat dalam filem-filem Tamil.

Oleh itu sudah sampai masanya filem Tamil diharamkan penayangannya di tv dan juga di pawagam. Apakah kita mahu negara kita ini dipenuhi dengan pembunuhan kejam seperti ini berulang? Cukuplah kita dengar kisah Mona Fendi mengerat mayat Datuk Mazlan Idris menjadi 18 potongan. Setiap hari akhbar laris di pasaran kerana semua orang mahu mengikuti perkembangan pembunuhan kejam Sosilawati sehingga ada akhbar harian yang mendahului polis yang mengatakan Sosilawati sudah dibuh sedangkan polis mengesahkan pembunuhan itu sehari kemudian.

Tahniah kepada polis yang cekap menyelesaikan kes ini. Ini bermakna di zaman canggih ini teknologi banyak membantu polis. Walaupun handphone Sosilawaty tidak ditemui tetapi maklumat nombor orang yang menghubungi aatau yang dihubungi Sosilawati dapat dikesan semula. Inilah untungnya di zaman teknologi yang memudahkan penyiasatan polis.

Isnin, September 13, 2010

UMNO AKAN HILANG SOKONGAN JIKA JAUHI PERKASA


Keputusan UMNO menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh menyebabkan parti itu kehilangan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar tetapi ia tetap memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kemenangan.

Sambil mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Putrajaya baru-baru ini beliau menegaskan, keputusan tersebut tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada UMNO.

''Dalam keadaan UMNO yang tidak begitu kuat, kita tidak boleh menolak sebarang hubungan dengan pihak lain. Hakikatnya, jika kita kehilangan sokongan seratus atau dua ratus pengundi kemungkinan kita akan kalah di kawasan-kawasan tertentu.

''Oleh kerana kita amat memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, demikian ketika ditanya mengenai keputusan BN dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya termasuk UMNO untuk menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.

Tengku Adnan yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Dr. Mahathir berkata, satu perkara yang perlu diambil kira iaitu Perkasa selama ini tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana perjuangannya masih tertakluk kepada hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Perjuangannya masih berasaskan Perlembagaan dan kita juga harus sedar bahawa Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan sebuah parti politik. Perkasa tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

''Sebagai NGO, Perkasa berperanan menegur mana-mana pihak jika berlaku sesuatu yang tidak baik termasuk parti-parti politik. Perkasa boleh tegur Pas, DAP atau UMNO. Saya kadangkala pun kena tegur juga,'' katanya.

Mengenai kedudukan Tengku Adnan mempengerusikan mesyuarat komponen BN baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, sepanjang pengetahuannya setiap mesyuarat yang melibatkan komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN.

''Pada kebiasaannya mesyuarat komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Oleh itu saya tidak fikir kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Adnan itu adalah pandangan rasmi kerajaan,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, apabila ada pihak mula mempersoalkan sesuatu hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sudah tentu ia akan mengundang reaksi daripada pihak lain.

''Kewujudan Perkasa adalah salah satu contoh. Pada zaman pemerintahan saya tidak ada NGO seperti Perkasa kerana tiada pihak yang berani mempersoalkan hak-hak yang telah termaktub dan diamalkan selama ini.

''Berbanding sekarang yang mana sudah ada pihak atau kumpulan yang sengaja membangkitkan atau mempersoalkan hak-hak tersebut antaranya persetujuan mengenai kontrak sosial. Bila terjadi demikian pasti akan muncul satu pihak untuk mempertahankannya,'' katanya lagi.

Beliau berkata, salah satu faktor lain ialah tahap keyakinan rakyat terhadap UMNO dalam mempertahankan hak-hak mereka.

''Apabila rakyat merasakan UMNO tidak lagi melindungi mereka sudah tentu akan muncul pihak lain untuk mengambil peranan tersebut,'' katanya lagi.

Ahad, September 12, 2010

RM1 BILION RUMAH AKAN DIBINA MENJELANG 2013


Sekurang-kurangnnya 12,000 unit rumah kos rendah bernilai lebih RM1 bilion akan dibina oleh kerajaan negeri Terengganu menjelang 2013.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bertujuan mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri itu.

Setakat ini, kerajaan negeri sudahpun membina kira-kira 6,500 unit rumah kos rendah di negeri itu, katanya pada program Menteri Besar Bersama Perantau sempena sambutan Aidilfitri, di sebuah hotel di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata agenda pembinaan rumah kos rendah itu adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak mempunyai kediaman.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan memberikan tumpuan dalam bidang pelajaran kepada anak-anak Terengganu supaya setanding dengan negeri-negeri lain.

"Alhamdulillah, dalam tahun-tahun kebelakangan ini Terengganu telah mencipta sejarah dan mengatasi negeri-negeri dalam semua peperiksaan," katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan melatih anak-anak Terengganu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, juruterbang, mekanikal dan sebagainya.

Ahmad berharap para perantau dapat menyumbangkan idea dan buah fikiran bagi membantu kerajaan memajukan Terengganu.

Lebih 1,000 perantau menghadiri majlis itu.

Sabtu, September 11, 2010

25 BAYI LAHIR DI KL


Seramai 25 bayi dilahirkan di beberapa hospital di sekitar Lembah Klang ketika umat Islam menyambut ketibaan 1 Syawal hari ini.

Kelahiran bari-bayi Raya itu amat bermakna bagi ibu bapa masing-masing yang menyambut ”hadiah istimewa” itu dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.

Hospital Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 15 bayi setakat 2 petang ini dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 3.59 pagi.

"Seramai lapan bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan di mana lapan daripadanya berbangsa Melayu, empat India manakala masing-masing satu Myanmar, Indonesia dan Afrika,” kata seorang jururawat dari wad bersalin hospital itu ketika dihubungi.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), seramai lapan bayi dilahirkan iaitu enam bayi lelaki dan dua bayi perempuan.

Hospital Pantai Kuala Lumpur pula mencatat dua kelahiran dengan satu lelaki dan satu perempuan dengan kelahiran pertama pada pukul 6.07 pagi.

Bercakap tentang bayi yang lahir pada hari raya aidilfitri ini, teringat saya pada hari raya aidilfitri 21 tahun lalu dimana anak lelaki saya, Mohd. Zuwairi dilahirkan pada hari raya pertama di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Semalam dia call kami dari kapal MISC yang dalam perjalanan dari Hong Kong ke Los Angeles. Kali pertama Zuwairi berhari raya tanpa keluarga. Sedih juga bila dia tiada bersama kami. Bulan depan dia akan balik ke Malaysia.

Khamis, September 09, 2010

MACAM MACAM JENIS GILA


Macam-macam jenis gila terdapat di dunia ini. Paling terbaru gila nak berhari raya awal. Yang lucunya dia orang yang raya lebih awal dua hari daripada orang lain.

Kumpulan Al Nadzir Awwalun mendakwa mereka menyambut Aidilfitri semalam, dua hari lebih awal berbanding umat Islam lain di negara ini berdasarkan perkiraan empat elemen utama iaitu air, udara, api dan angin selain anak bulan Syawal kononnya sudah kelihatan, malam kelmarin.

Seorang ahli jemaah dikenali Abang Man ketika ditemui berkata, dia sudah mengikuti kumpulan itu sejak 1993 dan menyatakan semua yang dia lakukan mengikut hukum dan ajaran Islam.

“Anak bulan sudah keluar malam tadi (Selasa) dan Aidilfitri perlu segera disambut iaitu hari ini (Rabu),” katanya yang turut ditahan bersama lapan yang lain, termasuk dua wanita kerana disyaki menyambut Aidilfitri lebih awal daripada ditetapkan pemerintah di sebuah surau ahli kumpulan terbabit di Taman Pertiwi Indah, Seriab, dekat sini, semalam.

Kumpulan yang membabitkan penduduk tempatan itu ditahan ketika khusyuk mendengar khutbah Aidilfitri disampaikan ketua kumpulan terbabit yang berusia 51 tahun, kira-kira jam 8.30 pagi.

Serbuan dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan beberapa anggota polis menemui beberapa bungkusan kuih-muih, termasuk lemang dan ketupat dipercayai dibawa kumpulan terbabit untuk menyambut Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin, berkata lima yang ditahan itu membabitkan anak-beranak iaitu ketua kumpulan bersama isteri, dua anak lelaki serta menantu mereka manakala empat lagi penduduk tempatan yang menjadi pengikut setia kumpulan terbabit.

Rabu, September 08, 2010

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

LEMBAB SANGATKAH KDN?


Apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlalu lembab sehingga 10 bulan senarai nama yang dihantar oleh Ketua Polis Negara untuk mengisi kekosongan jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)masih belum diisi? Apa KSU dan PTD yang ada di KDN buat?

Pendedahan terbaru Tan Sri Musa Hassan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam KDN.yang peliknya Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak sering kali menyebut tentang KPI tetapi cara kerja pegawai kerajaan masih di takuk lama. Masih tidak berubah. Surat yang boleh dijawab dalam masa lima minit sampai tiga bulan tidak berjawab. Macam mana perkhidmatan awam kita mahu maju jika perkara remeh-temeh seperti ini masih tidak boleh diatasi.

Kita baca berita penuh Musa Hassan mengenai perkara ini seperti mana berikut:-

Tan Sri Musa Hassan berharap beliau tidak dituduh 'tidak buat kerja' kerana membiarkan kekosongan beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Ini kerana jelasnya, beliau telah menghantar senarai nama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) November tahun lalu untuk dipertimbangkan tetapi kekosongan jawatan itu masih berlaku.

"Saya pun tidak tahu kenapa kekosongan itu tidak diisi sampai sekarang walaupun kita sudah hantar senarai nama sejak November lalu. Saya tak mahulah ada yang mengatakan saya tidak buat kerja.

"Malah senarai nama yang dicadangkan itu juga telah dipersetujui bersama oleh jawatan kuasa pemilihan dianggotai oleh pegawai kanan polis sebelum dihantar kepada KDN," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Musa ditanya berhubung beberapa kekosongan, termasuk jawatan dianggap penting dalam polis yang tidak diisi sehingga sekarang termasuk Ketua Polis Daerah Cheras.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Polis Selangor sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Dalam pada itu, Musa menafikan laporan akhbar yang mengatakan dirinya terkejut hanya diberitahu berhubung penamatan kontraknya sebagai KPN semasa pengumuman mengenainya dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein di Putrajaya dekat sini kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata demikian semasa sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

"Ada media salah faham mengenainya. Saya katakan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum sidang akhbar dibuat bukannya hanya tahu ketika pengumuman itu," jelasnya.

Selasa, September 07, 2010

SELAMAT HARI RAYA

MUSA TUJU KEPADA SIAPA?


Kenyataan terbaru Ketua Polis Negara yang akan bersara, Tan Sri Musa Hassan bahawa ada orang yang campurtangan urusan polis yang menyebabkan beliau kecewa.

Katanya, kenyataan itu merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Siapa yang berani arah polis tanpa merujuk kepada Musa di KDN? Adakah beliau tuju kenyataan itu kepada menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein atau kepada Ketua Setiausaha (KSU)?
Musa yang sempat empat tahun menjadi KPN berkata campurtangan itu melibatkan pengeluaran arahan tanpa pengetahuannya tidak selari dengan arahan dan kawalannya sebagai KPN.

Pendedahan berani Musa ini tentu mengejutkan semua pihak. Selepas ini pihak wartawan akan mengejar Hishamuddin pula untuk minta komennya. Malah komen Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak pun akan disusuli juga. Apa yang sebenarnya berlaku di antara Hishamuddin dengan Musa ini akan menarik perhatian akhbar sehari dua ini.

Musa pernah berkhidmat di bawah tiga orang Menteri dalam negeri iaitu Pak Lah, Tan Sri Syed hamid Albar dan Hishamuddin. apakah ketiga-tiga menteri ini menyusahkan Musa? jadi siapakah yang ditujukan oleh Musa ini dalam kenyataan itu.

Dalam suasana mahu bersara dari polis ini, sebaik-baiknya Musa berdiam diri sahaja. Apatah lagi beliau berkata berita tidak sambung kontrak sebagai KPN diketahuinya elalui sidang akhbar. Kenapa ia tidak dimaklum melalui surat terlebih dahulu? Mungkin ini yang membuatkan Musa kecil hati.